Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Kembara di Bumi Jawa Timur Segmen IV - Arjuno dan Gadis Bersimpuh Bersama Seikat Daun Serai di Genggaman

Johor Bahru - Jogjakarta - Surabaya - Malang - Banyuwangi - Malang - Jogjakarta - Johor Bahru
---------------------------------------------------------------------------------------
Kembara di Bumi Jawa Timur Segmen I - Bromo Meletuskan Rasa Kagum


Sumber foto: Merayap 66
---------------------------------------------------------------------------------------------
Selesai menuruni Gunung Arjuno yang seakan mematikan, kami berehat seharian sambil menikmati suasana di Desa Jambearjo dengan secawan kopi. Rasa kopi yang dibakar terik Matahari amatlah membuatkan aku ketagihan bagai candu. Rasanya masih melekat di lidah sehingga ke hari ini. Beruntung orang di sini, mereka mendapatkan segala keperluan asas seperti air mata air, biji kopi dan sebagainya dengan mudah. Perlu jadi rajin sahaja.

Kami berempat duduk bersandar di atas kerusi sambil bercerita kisah dari awal pendakian Gunung Arjuno sehingga hari kedua di atas puncak dan setelah menuruni. Aku menuangkan air kopi di atas piring cukup-cukup sebelum melimpah ke bibir piring lalu menghirup. Agak panas. Perbualan kami diselangi tawa kerana ada banyak siri kebetulan dan cerita yang lucu.

Teringat ketika 'overtime' menuju ke post perkhemahan terkahir sebelum ke puncak melalui laluan yang agak terjal dan berbatu. Oleh kerana malam dan dingin yang menggigit tulang, kami berempat agak hilang kawalan mental kerana kepenatan berjalan hampir 9 jam dan berhenti cuma seketika. Walau apa pun, perjalanannya cukup menarik apabila dapat menikmati bintang malam dan suasana damai malam bertemankan suluhan lampu sorot di kepala. Bukan selalu dapat menikmati suasana macam ini. Kadang-kadang kami sengaja mematikan lampu untuk betul-betul menikmati kegelapan malam bersama bunyi-bunyi serangga seakan melodi menyongsong ke masa silam. Aduh. Sukar untuk aku jelaskan dan bila orang bertanya mengapa memilih untuk mendaki gunung, sukar untuk aku jelaskan juga kerana terlalu subjektif. Ada yang pernah kata, kalau mahu lihat kegelapan malam dan bintang, matahari terbit mahupun terbenam, buat apa susah-susah panjat gunung? 

Kopi yang masih hangat di atas piring kuhirup buat entah ke berapa kali. Fikiran masih berlegaran di dunia Arjuno, memetik beberapa momen sepanjang pendakian.

Pada mulanya, menuju ke desa Ranupane demi menjejaki puncak Mahameru adalah misi pada pagi tanggal 11 Ogos 2015. "Maka beruntunglah mereka yang mati muda" adalah kalimat puisi Soe Hok Gie yang seringkali bermain dalam benakku, lantas memacu kehadiran aku ke sini. Bukan kerana ingin menawan puncak, tetapi lebih terarah menyahut kalimat yang keramat ini. Soe Hok Gie yang mungkin aku tidak betul-betul kenal, tetapi tragedi kematiannya di Semeru akibat terhidu gas beracun membangkitkan semangat untuk lebih mengenali diri. Walaubagaimanapun, pelan pada pagi itu gagal apabila mendapat panggilan telefon bahawa Semeru ditutup kerana insiden kehilangan seorang anak Bogor dan selang esokknya mendapat tahu bahawa seorang pendaki tempatan tewas akibat terhempap batu bergolek sewaktu pendakian dari Archopodo ke puncak Semeru. Pasukan mencari dan menyelamat dikhabarkan masih mengerah tenaga dan itu memakan masa beberapa hari sedangkan aku cuma ada 11 hari untuk mengelilingi Jawa Timur.

Tanpa membuang waktu bergelumang dengan keresahan, kami berempat bersetuju untuk mengubah arah menuju ke Gunung Arjuno-Wilerang di Kabupaten Pasuruan. Mujur Mas Dani, bersama Joni, Martha dan Mas Daniel sudi menghantar langsung dari Malang ke post pendakian. Bertemu dengan pengembara seperti mereka merupakan hal yang tidak dapat aku lupakan. Sahabat baru.

Tepat jam 4 petang, kami memulakan pendakian. Oleh sebab masih bersemangat, kami meneruskan perjalanan walaupun hari sudah gelap. Target kami, sebelum jam 12 malam akan tiba di campsite.

Mungkin foto-foto ini boleh menyimpulkan beberapa scene menuju ke puncak Arjuno.

Sependek ucapan "monggo" sudah cukup membangkitkan rasa persaudaraan antara pendaki yang berselisih jalan sewaktu pendakian. Budaya dan santun bangsa Jawa Timur yang patut dicontohi.

Apabila keletihan, aku berhenti seketika dengan mengamalkan teknik pernafasan hela hembus pada kiraan yang bersesuaian. Mujur ada satu paket kurma yang menjadi sumber tambah tenaga. Di atas gunung, segalanya tentang perkongsian. Berkongsi makanan, berkongsi cerita dan kisah hidup. Kadang-kadang, cerita yang paling indah dikongsikan di tempat yang tidak begitu indah seperti di belakang tandas saat kami duduk santai bersembang tentang hidup masing-masing.

Ada satu spot menarik ketika pendakian ke puncak. Kalau dari jauh, geometrinya adalah berbentuk trigonometri. Tebing gunung yang membentuk 3 garis lurus dan tiga sudut. Kerana itu namanya trigonometri. Tebing gunung itu tadi membentuk hipotenus dan pendaki berada di garisan itu. Apa yang aku dapat simpulkan ialah geometri alam yang tak pernah menghampakan para pencintanya. Malah pencintanya yang sering menghampakan alam, memadam garisan yang membentuk geometri ini dengan longgokan sampah durjana.


Satu lagi spot menarik ialah di kawasan tenda kami dirikan ini sebenarnya begitu hampir dengan rumah atau pondok tinggal penambang-penambang batuan sulfur yang sumbernya dari kawah Wilerang. Gunung Wilerang ialah gunung volkano yang masih aktif walhal gunung Arjuno adalah gunung berapi yang sudah mati. Maka kerana itu nama tempat ini Gunung Arjuno-Wilerang. Kawasan seumpama tempat tinggal Hobbit ini agak unik dan bertambah misteri dengan kisah dari Rasydan yang terserempak dengan beberapa penambang yang rata-rata berasal dari Pulau Madura. Seorang penambang Madura katanya telah menegur dan melarang Rasydan yang sedang asyik memotret foto di sekitar rumah-rumah Hobbit ini. Mungkin tidak senang dengan aktiviti mainstream kerana sebelumnya ada wawancara yang telah menyebarkan foto aktiviti penambang sulfur tanpa kebenaran mereka sendiri lantas mereka berasa jatuh air muka. Menurut kata orang, tidak ada yang berani macam-macam dengan orang Madura kerana jika tersalah kata, boleh binasa. Tapi itu cerita orang dan selaku orang luar, percaya atau tidak, kita cuma harus hormat.

Ketika hampir 500m untuk menuju ke puncak Arjuno, kelihatan sekumpulan kecil pendaki telah berada di puncak sedang duduk menikmati pemandangan yang tidak terkalahkan oleh kecantikkan alam yang berbeda. Dari atas puncak ini, kelihatan beberapa pergunungan, kadang-kadang dilitupi awan-gemawan. Ketika angin menolak awam, jelas kelihatan bentuk bongkah gunung seakan memberi kejutan. Menurut Pak Iman, yang paling tinggi dari arah Timur itu adalah puncak Mahameru. Aku terus teruja dan bergaya gambar seakan menyentuh puncak Mahameru di hujung jari telunjuk. Sebelah Barat pula kelihatan beberapa gunung 'adik-beradik' tersusun satu barisan dengan ketinggian yang berurutan. Itu sangat magis dan unik.

Maka hendak dijadikan cerita, Dewa Krishna telah mengerat bahagian puncak Meru di India lalu diterbangkan ke Jawa Timur. Kerana kononnya Bumi Jawa Timur tidak stabil. Sebagaimana yang kita ketahui, gunung-ganang diciptakan Allah sebagai pasak Bumi. Dan serpihan-serpihan tanah dari Gunung Meru itu telah jatuh bertimpa di tanah Jawa Timur, maka gunung-gunung berbaris ini terbentuk!

Menuruni puncak Arjuno dengan perasaan gundah, kerana harus meninggalkan satu jam sajian indah Maha Pencipta. Pemandangan Gunung Semeru, Gunung Penanggungan, dan Gunung Wilerang semakin ditinggal jauh dengan altitud yang semakin berkurang. Satu jam tadi yang membuat mata ini langsung tidak berkedip.


Malam itu dingin sekali sehinggakan kalau dibayar 4.6 billion untuk telanjangkan diri aku pasti tak mahu. Lebih kurang jam 10 malam, kami tiba di pondok pendaftaran Arjuno Wilerang. Perjalanan menuruni Arjuno tak kurang mencabar apabila kurang tidur dan air. Mujur ada sumber air dari kebun orang di pertengahan jalan. Habis pagar pengadang rebah dibuatnya saat melangkah masuk ke kebun demi mengisi sebotol air 1.5 liter. Tanpa memikirkan apa-apa, aku terus menurunkan backpack ke tanah dan terbaring sambil menutup kelopak mata. Aku cuma perlukan satu minit untuk menikmati segala tenaga yang telah hilang dikerah demi kepuasan diri.

Terdengar dari jauh, Pak Arifin mengajak kami meratah sate kambing di seberang jalan. Tak sangka, lewat malam begini masih ada warung yang menjual makanan. Teringat kisah sundelbolong minta seratus cucuk sate dalam filem Suzanna.

Sebenarnya untuk berjalan ke warung seberang jalan pada waktu itu, adalah dugaan terbesar namun perut dalam masa yang sama merengek minta diisi sesuatu. Setelah mendapatkan bangku untuk duduk, kami menghembus nafas lega seolah-olah perjalanan dari pondok pendaftaran ke warung sate kambing ini adalah sebuah perjuangan besar yang mencapai titik akhir. Sengaja aku duduk di atas bangku yang panjang dan di belakang aku ada bangku yang cukup lebar untuk aku membaringkan tubuh yang hampir longlai. Hawa hangat daripada arang pemanggang sate menambahkan lagi keasyikkan.

Sekarang, masa untuk mencari semacam angkutan atau teksi untuk kami pulang semula ke Desa Jambearjo iaitu ke rumah Pak Arifin. Hampir buntu juga mencari angkutan lewat malam seperti ini. Teman Pak Arifin yang sudah dihubungi juga tidak muncul-muncul sehinggakan sate serta kopi hampir sejuk dibuatnya setelah beberapa kali meneguknya.

Setelah meratah secucuk sate yang terakhir, aku bingkas bangun dan menyeberang ke sebuah hotel. Di hadapan hotel, kelihatan anak-anak muda berkumpul membuat bulatan. Ada yang berbungkus tubuh dengan kain pelikat dan ada yang ketawanya yang besar seakan hampir memecahkan gegendang telinga. Aku cuma tersenyum apabila melewati anak-anak muda tadi. Mengingatkan aku zaman di universiti dulu bersama-sama teman berkumpul di warung mamak sehingga lewat malam tak kisah esoknya ada kelas seawal jam 8 pagi atau tidak. Masa muda yang indah.

Pertanyaan aku di pondok satpam (Satuan Pengaman) gagal dijawab dengan benar kerana mereka juga bingung tak ada satu pun kelibat teksi di sini. Aku berputus asa lalu kembali ke warung sate tadi.

Demi menunaikan hasrat untuk pulan malam itu juga, demi bergerak awal esok pagi untuk ke pantai-pantai sekitar Malang, aku gagahkan diri mengajak Pak Arifin dan Hamizan untuk berjalan menuju ke depan jalan besar sedikit untuk mencari kalau-kalau ada teksi yang dalam 'mode standby'.

Seorang lagi teman sudah tewas ketiduran. Kami biarkan saja. Sesungguhnya malam itu tidak berpihak kepada kami kerana teksi gagal ditemui. Kami berpatah balik kira-kira 500m kembali ke pondok pendaftaran. Setibanya di depan pintu masuk, Hamizan terus membentangkan sleeping bag di betul-betul di sebelah unggun api bertentangan dengan seorang nenek tua yang tidak dikenali terbaring sepi juga betul-betul di samping unggun api tadi. Tanpa memikirkan untuk mendirikan tenda, kami terus baring seperti kepompong dan mencuri sedikit kehangatan unggun api tadi.

Seperti dalam siri perjalanan atau pengembaraan yang sebelumnya, pastinya kita akan belajar erti kesederhanaan dan betapa kesederhanaan itu indah. Menikmati hal-hal yang kecil itu membangkitkan rasa syukur kerana dapat merasai apa yang orang lain rasai buat masa sekarang. Bahkan, hal-hal yang bukan menjadi kebiasaan ini sering menyuntik semangat baru dalam diri dan dapat mematikan hal-hal yang sudah kita bosan lakukan atau fikirkan. Itu juga membentuk sekumpulan kenangan sebagai buah tangan apabila pulang dan menjadi tua nanti. Ya, yang pasti kita semua akan menjadi tua, dan aku mahu kenangan ini akan mengisi masa tua nanti.

Bermula seorang demi seorang antara kami, membentang sleeping bag membentuk susunan rawak. Unggun api tadi adalah semacam Matahari dan kami adalah planet di sekelilingnya. Cuma kami tak beredar mengelilingi Matahari, kami stagnant dan berdengkur!

Pagi keesokkan harinya, setelah menyapu taik mata yang tebal dan mengeras akibat dinginnya malam tadi, aku bangkit dan keluar dari sleeping bag. Rambut yang kusut terasa keras akibat tidak mandi selama beberapa hari. Namun begitu, aku sudah terbiasa malah sengaja begini demi mendapatkan pengalaman bukan biasa-biasa.

(Bersambung)

Suatu Sore di Simpang Melchem

Rim berputar tanpa mengendahkan kebocoran tiub tayar yang menyebalkan. Enjin kuasa dua lejang motosikal yang aku tunggang, nampaknya mengaum betul-betul berusaha keras mengheret aku menuju ke bengkel. Kadang-kadang tubuh motosikal secara tiba-tiba ke kiri samping jalan. Sesekali, leher pengemudi motosikal langsung dibalas ke kanan untuk memastikan tidak secara tiba-tiba terbabas ke kiri jalan. Jalan yang sedikit membukit, menambahkan lagi beban seorang lelaki yang sudah jatuh ditimpa tangga macam aku.

Tanpa tidak mempedulikan hujan yang semakin memburuk, aku meneruskan perjalanan untuk menuju ke sebuah mahkamah pengaduan yang aku namakan sebuah bengkel. Jaraknya yang tidak lebih 2 km namun terasa panjang bagaikan setahun.

Rintik-rintik hujan semakin berkurang saat melepasi bumbung bengkel yang ala kadar cukuplah bisa dijadikan teduhan. Kedatangan aku disambut oleh beberapa ekor ayam sedang sibuk mengais-ngais tanah menggunakan tajinya sambil berkokok meriuhkan satu kampung. Aku pun tak tahu apa sebabnya. Ah sudahlah, apa yang penting si abang mekanik berketurunan Batak ada untuk menampal dan memperbaiki tayar yang sudah bocor akibat paku bedebah.  

Kelihatan ramai bapak-bapak dan ibu-ibu yang sedang mendukung anak kecil sedang berteduh di bawah bumbung bengkel yang sama. Aku menganggukkan kepala lalu melontarkan senyuman ramah. Hari ini hari Ahad, maka ramai antara mereka yang berpakaian batik dan kemas mungkin baru pulang daripada gereja. Mereka saling berkomunikasi dalam bahasa yang aku tidak faham tetapi gaya tubuh dan lontaran vokalnya menyakinkan aku bahawa mereka ini daripada suku Batak. Kedengaran kasar bunyinya, tetapi antara perbualan mesra atau marah sukar untuk dibezakan walhal mereka sebenarnya tidak marah dan berbual tentang perkara biasa saja.

"Mas, ban saya bocor. Minta tolong ditambal ya." Aku terus membuka helmet dan melabuhkan punggung di atas barisan bangku yang berdekatan.


Kedengaran lagu Judika berjudul Aku Yang Tersakiti yang agak keras yang datang dari rumah kedai di sebelah. Ketukkan drum yang kadang-kadang lambat tempo, sedikit mencacatkan rentak yang aslinya. Rupa-rupanya ada yang jamming di sebelah. Tidak aku sangka, kedai yang berbentuk seakan-akan 'rumah liar' ini ada ruang untuk 'jamming'.

Seorang ibu keluar daripada ruang dalam bengkel dan menatang pinggan terisi sepenumbuk nasi dan seketul ayam goreng tak berkuah apa-apa. Aku yang khayal sedikit mendengar lagu Judika itu tadi disapa untuk makan siang. Aku tersengih membalas sapaan. Suapan demi suapan nasi dan ayam goreng dimasukkan ke dalam mulut dengan posisi kaki bersila di atas bangku. Cukup sederhana tanpa perlu mengendahkan 'table manners' dan suasana cukup alami dengan rintik hujan yang sejuk serta mendamaikan. Aku memerhati betapa kesederhanaan itu membentuk kemurahan hati mereka untuk berkongsi apa yang mereka miliki. Sapaan diterima atau ditolak itu lain cerita. Hidup persaudaraan seperti ini lah yang jarang sekali kita temui di kota-kota besar yang kini menjadikan kebanyakkan warganya berubah jadi lebih materialistik dan individualistik.