Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Menggapai Atap Sumatera Indonesia

Pagi itu, sengaja aku berencana bangun awal dan menahan nafsu untuk tidur selepas Subuh. Seperti biasa, gurauan pagi selimut babi masih digunakan sebagai alasan untuk mengajak teman-teman yang lain untuk bangun dan turut serta menikmati pagi gaya lokal. Walaupun kami sudah tahu, lelah malam tadi belum hilang. Kalau untung sabut timbul, dapatlah melihat sosok sang Kerinci tanpa kabut bersama percikkan cahaya sang suria. 

Usai memberikan salam tahiyat akhir serta doa pendek, mataku terus meliar di bingkai jendela betul-betul berhadapan dengan ruang solat di tingkat atas rumah inap. Ya, kebanyakkan rumah inap di sini menghadap Gunung Kerinci yang setinggi 3805 meter dari aras laut, di sekelilingnya adalah kebun teh Kersik Tuo, dalam perkampungan Kayu Aro, Sumatera Barat Indonesia.

Udara pagi yang betul-betul dingin tidak dihiraukan dan ketika masih berkain pelikat, aku dan Hakim langsung mengorak langkah macam orang hendak perang bersama kamera DSLR serta perlengkapan kamera telefon selular secukupnya. 

Saat melangkah masuk laluan tikus ladang teh, embun pagi terperangkap di betis membuatkan rasa hendak terkucil. Setelah tiba di kawasan yang luas untuk berjalan, aku menurunkan pelikat ke buku lali. Melihat keliling, seperti tiada harapan untuk menikmati Matahari terbit di sini tetapi firasat memberitahu kami untuk bersabar untuk beberapa minit. Ternyata memang rezeki buat kami pagi itu sekali lagi kabut berarak menampakkan seluruh sosok sang Kerinci dari jauh walaupun warna jingga tidaklah begitu tampak. Jadi, beginilah sosok sang Kerinci persis dalam gambar carian Google. Beberapa minit kemudian dua orang teman kami datang melewati jalan tikus ladang teh tadi dan malangnya belum sempat orang terkahir berdiri dengan bergaya, kabut datang lagi seolah-olah dengki menutup sang Kerinci. Kami tertawa besar. 

Selepas fajar Subuh

Ibu jari masih berbekas dengan minyak pelincir. Hampir dua kali aku sedaya upaya menekan aplikasi Air Asia di telefon selular namun gagal. Sambil mengeluh kecil, aku kesat seluruh jari-jemari di sisi kanan coverall tanpa sedikit kerisauan. Sudah biasa kotor begini. Ini adalah cerita seminggu terakhir sebelum tarikh penerbangan dan aku masih belum pasti dapat turut serta kerana kekangan kerja.

Dengan harapan dan doa dalam hati supaya harga tiket seminggu sebelum tarikh penerbangan tidak mencanak naik harga, dan dengan jaringan internet di pelabuhan Kakinada yang betul-betul perlahan menguji kesabaran, hampir saja aku berputus asa. Mujur rezeki amatlah murah pada hari itu, maka berjayalah transaksi pembayaran tiket ke Padang, Indonesia pada tanggal 18 Ogos 2017. Aku menarik nafas lega.


1 comment:

i'm shin... i'm inesen said...

Hye.. Why stop menulis? Keep blogging!