Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Kota Hyderabad

Duduk di perkarangan Masjid Makkah di Kota Hyderabad pada waktu senja adalah antara yang boleh dinikmati ketika singgah di kota tua ini. Selain menikmati senja di sini, pengunjung juga boleh memberi burung merpati makan sambil menunggu waktu Maghrib. Sesuai dengan namanya, Masjid Makkah dibina apabila Sultan Muhammad Quli Qutb Shah yakni sultan kelima dalam dinasti Qutb Shahi bertitah untuk membawa segenggam tanah suci Mekah untuk menjadi bahan binaan batuan yang membentuk gerbang utama di dalam Masjid Makkah. Penulis agak apabila mendapat tahu bahawa masjid yang berusia 400 tahun ini pernah dibaluti peristiwa hitam pengeboman yang melibatkan 10,000 mangsa. Namun kekuatan binaan masjid ini menyelamatkan ruang utama dalam masjid.

Tidak jauh daripada Masjid Makkah, terbinanya Charminar iaitu sebuah mercu tanda ketika perpindahan dinasti Qutb Shahi dari Golkonda ke Hyderabad. Monumen ini terletak di tengah-tengah kota Hyderabad dan sekelilingnya bercambah bangunan bazaar dan jualan tekstil dan rempah yang begitu tersusun. Jika ke kawasan ini, agak janggal sekiranya tidak mencuba nasi beriyani Hyderabad di restoran-restoran lokal. Mudah juga untuk mendapatkan makanan halal di sini kerana majoriti masyarakat di sini adalah beragama Islam. Menurut penulis, beriyani kambing yang dimasak di dalam periuk tanah adalah yang paling istimewa di sini. Ketika berjalan di bazaar, penulis dapat merasakan dan membayangkan suasana kesibukan kota Hyderabad 400 tahun dahulu. Begitulah aktiviti yang dapat dilakukan pada hari pertama di Kota Hyderabad.

Perjalanan pulang dan pergi dari satu destinasi ke destinasi di sini lebih mudah dengan menggunakan Ola Cabs iaitu aplikasi seperti Grab di Malaysia dan Ojek di Indonesia. Ola Cabs lebih banyak digunakan oleh masyarakat tempatan dan berikutan terlalu banyak isu pihak yang memanipulasikan aplikasi jemput dan hantar yang lain.

Penulis berdua bersama rakan bermalam di sebuah hostel backpacker Elysium Inn yang terletak dengan bandar baru Hyderabad kira-kira 6km dari kota tua Hyderabad. Hostel yang terletak di dalam kawasan kejiranan Anand-Nagar menjadi pilihan kerana terletak di tengah-tengah. Uniknya, kawasan ini penuh dengan masyarakat lokal setiap pagi kerana terdapat jualan-jualan pasar pagi di kaki jalan. Sesuai buat mereka yang ingin merasai bagaimana masyarakat tempatan menjalani hidup sehari-hari.

Quli Qutb Shah telah membina jambatan menyeberangi Sungai Musi supaya beliau dapat bertemu dengan Bhagmati yakni seorang penari dari kampung Chiclam terutamanya ketika musim hujan dan bah. Kerana telah jatuh hati, Quli Qutb Shah telah mengahwini Puteri Bhagmati walaupun dia datang dari golongan kebanyakkan lantas menamakan kota ini Hydermahal atau Hyderabad sempena kekasihnya itu. Jambatan yang dibina bernama Purana Pul dan kini jambatan itu tertutup oleh pencemaran serta sampah. Sungai Musi tetap menjadi nadi kepada penduduk sekitar termasuk sumber air untuk perkhidmatan cuci pakaian. Begitulah sedikit sebanyak sejarah kota yang mungkin tidak popular dalam kalangan pelancong.

Antara tempat yang menarik untuk mengenali sejarah kota Hyderabad dengan lebih dekat ialah Muzium Salar Jung. Memasuki muzium ini akan memberikan sedikit pengalaman zaman kolonial kota ini dengan banyaknya koleksi lukisan, seramik, tekstil, artifak logam, jam serta perabot daripada pelusuk dunia. Muzium Salar Jung terletak di selatan Sungai Musi dimiliki oleh keluarga Salar Jung III iaitu bekas pemerintah Hyderabad pada tahun 1912.

Antara koleksi utama di Salar Jung ialah gambar-gambar ketika para pembesar-pembesar bersama Sir Winston Curchill di United Kingdom ketika perang dunia kedua. Pelbagai kisah tentang Freemanson ada juga diselitkan di sini bersama koleksi-koleksi hadiah pemberian. Kisah Ramayana juga diceritakan di sini dalam bentuk lukisan Sri Rama bersama Lakshmana, dan Hanuman. Tidak cukup sebenarnya jika sehari meneliti semua pameran yang ada di dalam bangunan bekas kolonial dua tingkat ini.
3 kilometer dari Muzium Salar Jung, terdapat sebuah peninggalan utama dinasti Qutb Shahi iaitu sebuah kubu bernama Golconda Fort. Kubu ini terletak di atas sebuah bukit batuan granit. Kubu ini dibina untuk pertahanan daripada musuh selain pernah menjadi gudang penyimpanan batu berlian.

Untuk zaman itu, binaan Golconda Fort boleh dikatakan sangat maju kerana mempunyai sistem kumbahan dan saliran yang maju. Terdapat ruang masjid dan ruang utama dewan durbar yang terletak di lokasi yang paling tinggi di kubu ini. Penulis bertuah kerana dapat mendengar bunyi azan yang dilaungkan di sini membuktikan ada beberapa ruang terbina dengan ruang akustik yang unik.

Penulis juga dimaklumkan oleh pengunjung lokal disitu bahawa pagar-pagar besi yang runcing sengaja dibina untuk mengelakkan serangan gajah liar. Oleh kerana tiba di Golconda Fort agak kesiangan, Matahari yang agak terik dapat dirasakan ketika melihat pemandangan sekeliling kubu ini. Namun begitu, sejurus memasuki ruang dewan durbar, penulis dapat merasakan redup dan sejuknya ruang dengan arkitektur yang sesuai untuk laluan angin. Ini juga antara keunikan binaan kubu ini.

Makam Quli Qutb Shah adalah sebuah kompleks menempatkan makam-makam keluarga. Uniknya di sini terdapat binaan makan yang menyerupai Taj Mahal dan diceritakan inilah Taj Mahal yang kedua di Bumi Agra. Terdapat juga binaan tempat mandi awam seperti dalam tamadun Indus tetapi tidak diketahui fungsi sebenar binaan tersebut. Sewaktu kunjungan, kerja-kerja pembaikkan masih lagi sedang dilakukan bagi menjaga tinggalan bersejarah ini. Sebuah usaha yang boleh dipuji.

Begitulah kisah tinggalan sejarah di Kota Hyderabad dan sedikit berbeza dengan kota-kota yang besar di India. Yang pasti, usaha Muhammad Quli Qutb Shah membuka kota Hyderabad dengan mengumpulkan ramai arkitek-arkitek tempatan dan luar boleh dipuji dan dijadikan sebagai inspirasi.