Walaupun tidak berjaya merakam Matahari terbit akibat kabus tebal, perjalanan ke sini sedikit sebanyak membuka beberapa pintu pengetahuan tentang Bumi Ceylon. Uniknya di atas puncak Adam's Peak atau Sripada, terbina sebuah kuil yang menempatkan bekas tapak kaki kononnya dipercayai milik Nabi Adam saat pertama kali di turunkan ke Bumi. Begitulah kepercayaan masyarakat di sini dan bagi mereka yang beragama Buddha, mereka percaya kononnya bekas tapak kaki yang tersimpan di dalam kuil ini merupakan bekas tapak kaki Buddha. Melalui pembacaan secara rawak berkenaan Adam's Peak suatu ketika dulu, penulis tertarik untuk memulakan pengembaraan ke sini serta beberapa tempat unik di Sri Lanka.
Puncak Adam's Peak yang berketinggian 2243 meter ini sesungguhnya memiliki keunikkannya tersendiri khususnya buat mereka yang menikmati perjalanan mendaki gunung dan dalam masa yang sama menghargai budaya sesebuah tempat. Nilai tambah di sini sudah tentu pendaki bakal disajikan dengan pemandangan air terjun yang tidak tumpah seperti Angel Falls. Pendakian dimulakan seawal 2 pagi dari kaki gunung untuk sampai ke puncak Sripada saat Matahari terbit. Untuk sampai ke pintu permulaan pendakian, tuk tuk merupakan salah satu kenderaan yang boleh digunakan untuk bergerak perlahan sambil menikmati kawasan tanah tinggi dan perkebunan teh.
Keretapi di Sri Lanka juga begitu sinonim sebagaimana kebanyakkan negara Asia Tengah seperti India, China dan Russia. Bagi pengembara yang gemar mendalami suasana dan budaya masyarakat tempatan, keretapi adalah pengangkutan sesuai untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk 'membunuh waktu' dan menghidangkan banyak subjek-subjek yang menarik untuk dikaji dan dipelajari. Masyarakat di sini tampak sangat sopan dan sudah menjadi budaya mereka untuk memberikan tempat duduk tak hanya kepada orang tua, wanita mengandung dan orang kurang upaya, tetapi juga kepada orang kebiasaan. Jika perjalanan dari Colombo ke Hattan ialah 5 jam, mereka dengan senang hati untuk bertukar posisi daripada duduk kepada berdiri untuk tempoh masa 2 jam setengah perjalanan. Melalui pemerhatian penulis, rata-rata mereka terdiri daripada adalah mereka yang beragama Buddha dan Islam. Melalui perbualan singkat bersama sebuah keluarga Islam sewaktu perjalanan dari Colombo ke Hattan, mereka ternyata selesa mengamalkan agama Islam di Sri Lanka dan tidak seperti yang digembar-gemburkan dalam media massa. Hanya segelintir yang mungkin mempunyai kepentingan dalam politik yang mencetuskan sentimen agama, khususnya di kota.
Ruang ekonomi dalam keretapi di sini, hanya tersedia bangku yang boleh memuatkan empat penumpang bagi setiap baris. Setiap kali tiba di perhentian, akan ada penumpang yang naik dan masuk ke dalam perut keretapi dalam keadaan sedikit berasak. Selang 30 minit, pasti ada anak kecil yang memotong baris tengah serta menyelit barisan sambil membawa jualan seperti samosa dan air minuman. Seperti kebiasaanya, spot tempat duduk yang menjadi pilihan sudah tentu di tepi jendela. Dari jendela, penumpang dapat menikmati hijau pemandangan dan merasai sensasi apabila keretapi melewati tebing tinggi apatah lagi apabila dalam keadaan mendaki. Keretapi akan sedikit perlahan. Apabila menuruni bukit, keretapi akan perlahan-lahan meluncur laju, persis seperti 'roller coaster'. Bezanya, 'roller coaster' ini adalah realistik, bukan 'roller coaster' seperti di taman hiburan.
Antara tempat yang unik dan bersejarah di Sri Lanka ialah Lion's Rock yang terletak di daerah kecil bernama Sirigiya. Dari jauh, peninggalan binaan kerajaan Raja Kashyapa yang berada di atas sebuah bukit yang berbatu, seolah-olah seperti di Grand Canyon. Setibanya di depan pintu kompleks Sigiriya, terdapat binaan sistem perparitan serta taman yang boleh dikatakan maju pada ketika itu. Apabila melangkah ke bahagian kolam-kolam, terbayang sebagaimana cerita majunya tamadun Indus dan Mesopotamia seperti yang diceritakan dalam buku teks sejarah sekolah. Mungkin hampir sama. Berjalan hampir 4km dan dari jauh, akan kelihatan seketul batu besar tetapi bentuk Singa tidak kelihatan dari sini. Apabila mendekati bukit berbatu tersebut, terdapat tangga-tangga daripada batuan berwarna jingga dan berdebu. Batuan batuan ini agak licin kerana berdebu halus dan ditambah lagi musim kering. Sebaik sahaja melewati laluan ke atas puncak, pengunjung pasti akan terpegun dengan beberapa lukisan-lukisan dan tulisan-tulisan purba. Menurut cerita, tulisan purba tersebut adalah berbentuk puisi setiap kali mendapat kunjungan daripada kerajaan luar sebagai tanda penghargaan. Agak pelik juga kerana pengaruh Buddha di sini sangat meluas sedangkan wajah dan budaya orang di sini hampir sama dengan masyarakat India yang secara amnya beragama Hindu.
Laluan ke puncak atas mengelilingi batuan tersebut memungkinkan pengunjung mendapat pemandangan yang menarik setiap kali berhenti menghilangkan lesu. Laluan agak mencabar kerana bertangga dan langkah kaki agak besar dek kerana ketinggian anak tangga yang agak tidak sesuai dengan postur badan manusia normal.
Sebelum sampai ke atas, atau kompleks utama, pegunjung akan bertemu dengan monumen satu pasang kaki singa yang menjadi laluan masuk menuju ke kompleks utama. Setibanya di atas, kelihatan beberapa struktur binaan yang persis seperti Machu Picchu di pergunungan Andes di Peru. Banyak yang boleh dipelajari sepanjang berada di kompleks binaan Raja Kashyapa termasuklah kisah Raja Kashyapa yang membunuh diri dengan tusukkan pedang saat Sigiriya diserang oleh adiknya sendiri Moggallana yang ingin mengambil kembali takhta. Kisah mereka amat tragis dan sering dikaitkan dengan Shakespeare. Puncak Lion's Rock menghidangkan 360 darjah pemandangan Dambulla, Pidurangala, di keempat-empat penjuru. Ini adalah antara keunikan seni binaan yang diilhamkan oleh Raja Kashyapa supaya mempunyai sistem pertahanan yang kuat dan dapat mengawal segala penjuru.
Sekitar komples Sigiriya, terdapat banyak rumah tumpangan walaupun di sini kawasannya agak tersorok. Pengalaman bermalam dengan sebuah keluarga di sini amat bermakna apabila mereka menyajikan beberapa makanan lokal yang jarang dapat dirasa. Malam itu, secara kebetulan, penulis diberitahu bahawa sekarang adalah masanya sekumpulan gajah berhijrah dari kawasan yang kontang ke kawasan yang berair kerana musim kering. Oleh kerana tertarik untuk melihat gajah-gajah yang sedang berhijrah, penulis mendapat pelawaan untuk menaiki pacuan empat roda ke kawasan tasik luas seperti safari untuk melihat gajah-gajah liar seperti yang diceritakan di sebuah kawasan bernama Kaudaulla.
Gajah dalam bahasa Sinhala disebut sebagai "Aliya" dan hari ini ribuan daripada mereka bermigrasi ke Kaudaulla untuk mencari sumber air, berikutan musim kering 3 bulan yang lepas. Bernasib baik sungguh perjalanan pada kali ini kerana ternyata benar-benar dapat melihat sekumpulan gajah berjalan berkelompok menghampiri kawasan tasik. Bagaimanapun, jarak yang paling dekat dapat dilihat ialah sekitar 20 meter, bagi tujuan keselamatan. Memerhatikan telatah sekumpulan gajah mengingatkan tentang siaran National Geographic di televisyen. Pengalaman yang begitu mengujakan. Selain itu, terdapat juga haiwan liar yang berkeliaran di kawasan safari ini termasuklah merak liar dan burung-burung yang turut berhijrah di kawasan ini.
Sepanjang perlananan di Sri Lanka, Kandy adalah sebuah kota damai yang berat untuk ditinggalkan. Setiap hari, senyuman ramah orang-orangnya tidak pernah lekang menguatkan andaian mengapa penjara disini menjadi bangunan tinggal tidak berpenghuni. Kandy adalah sebuah kota bersejarah dan mempunyai banyak pengaruh kolonial. Tarikan utama di sini ialah The Tooth Relic Temple yang terletak di tengah-tengah kota Kandy. Menariknya, terdapat banyak tinggalan sejarah tentang kelahiran Budhha yang dipamerkan di sini. The Tooth Relic Temple ini merupakan sebuah tempat suci bagi masyarakat di sini yang beragama Buddha kerana setiap hari akan ada upacara menunaikan 'Haji' pada awal pagi dan penutupan upacara pada waktu petang. Kompleks bersejarah ini juga menarik perhatian penulis kerana pertama kali melihat pokok Bodhi seperti yang diceritakan dalam kisah kelahiran Buddha. Daun pokok Bodhi berbentuk hati dan jarang dapat ditemui di tempat lain.
Kandy juga kaya dengan budaya dan tradisi Kandyan. Terdapat persembahan tarian traditional yang hampir setiap hari diadakan untuk menarik ramai pelancong ke sini. Antara eleman yang kuat dimainkan dalam tradisi Kandyan ialah api. Beberapa tarian tradisi akan bermain dengan api. Api bagi setiap fahaman dan kepercayaan memiliki banyak maksud dan tersendiri seperti dalam agama Buddha, Shinto dan Hindu misalnya.
Cahaya senja merangkak masuk di tengah-tengah ruang Masjid Jamil Ul Alfar, Colombo. Penjaga masjid menemani sampai ke tingkat atas untuk menunjukkan pemandangan Colombo ketika Matahari terbenam. Masjid ini menjadi salah satu tempat persinggahan kerana posisinya yang begitu unik, tersepit di antara dua blok bangunan kedai. Pada mulanya hampir sesat ketika mencari masjid ini kerana susunan blok kedai hampir sama dan mengelirukan. Lokasi masjid ini sebenarnya tidak jauh daripada stesen keretapi tetapi lokasinya agak tersorok. Warna binaannya sedikit garang dengan batuan blok merah dan kelihatan menyerlah di antara barisan blok kedai di situ. Ramai antara mereka beragama Islam Sunni dan ada juga masjid yang berlatar belakangkan Syiah.
Terdapat beberapa masjid lain yang ada di Colombo kerana rata-rata di sini, terdapat beberapa kawasan didiami oleh masyarakat Melayu Sri Lanka. Menurut sejarah, orang Melayu Jawa dibawa ke sini sewaktu Sri Lanka dan Indonesia di bawah jajahan Belanda. Mereka terdiri daripada askar yang ditugaskan di Sri Lanka dan juga orang melayu ketika zama pemerintahan British di Tanah Melayu.
Komuniti orang Melayu di Colombo agak besar sehinggakan sering disapa oleh orang Melayu yang berdagang di sekitar Pantai Galle Face. Mereka peramah dan boleh bertutur dalam bahasa melayu tetapi tidak begitu fasih. Agak lucu apabila setiap kali bertemu mereka, pasti di tawar nasi goreng. Boleh jadi nasi goreng menurut pemahaman mereka adalah makanan asas orang Melayu.
Selain pantai yang cantik di sepanjang pesisir Colombo, penulis benar-benar menikmati perjalanan menaiki keretapi yang melintas sepanjang pantai. Itulah kali pertama merasai penagalaman menaiki keretapi sambil menikmati pemandangan pantai dan ombak. Malah terdapat juga kafe dan kedai makan yang santai boleh dinikmati sepanjang landasan keretapi.
Dua minggu mengembara di Bumi Ceylon atau Sri Lanka mungkin tidak cukup kerana terdapat beberapa tempat yang belum dapat dikunjungi seperti Taman Negara Horton Plain dan Taman Negara Yala yang terletak di bahagian tengah dan timur Sri Lanka. Walaubagaimanapun, perjalanan dari satu ke satu lokasi di Sri Lanka dengan menggunakan keretapi, tuk tuk dan bas merupakan pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Terutamanya perjalanan berhimpit di dalam bas dari Sigiriya ke Colombo yang memakan masa 6 jam dan hanya beroperasi pada waktu malam!
No comments:
Post a Comment