Sengaja ingin berkongsi gambar tempoh hari, walaupun bukan gambar terkini atau hari ini. Berkumpul dalam ruang ini mungkin tidak tampak kekinian, tetapi apa yang dikongsikan dalam sebuah bengkel penceritaan yang dikelola oleh Sekola Baroka bersama si Tuan pengajar, dulu, kini dan selamanya boleh digunapakai.
Menepati konsep ‘menyelam ke dalam Bandaraya Johor Bahru’, Literasi Bandar mengumpulkan beberapa individu daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi ilmu, minat and dan cerita. Ada yang datang dari latar belakang NGO, sastera, arkitektural, kejuruteraan, sains sosial dan juga perfileman. Sesuatu yang ajaib menurut hemat saya kerana idea dan perbincangan yang sempat berlangsung terperinci dan sukarela.
Bagi saya, sesi yang berdurasi satu hingga dua jam ini berkesan mengejutkan anak harimau Dengkis dan Tepok yang mungkin lena tidur dek terlalu asyik dalam dunia media sosial yang serba ringkas dan hanya fokus dengan penyampaian maklumat melalui visual pendek. Jarang sekali mutakhir ini, dapat membaca penulisan atau karangan beberapa perenggan seperti zaman rancaknya penulisan di blog apatah lagi buku atau zine. Boleh jadi, ramai yang sudah lupa bau kayu daripada lembaran buku, menunjukkan betapa kurangnya waktu senggang terutama bagi yang berkerjaya dan berkeluarga.
Sekali lagi, sesi perkongsian yang ringkas oleh Tok Rimau ini, sedikit sebanyak menyapa kami untuk kembali merujuk kepada asas plot penceritaan dan bekerja dalam kumpulan. Ada juga sedikit kejutan yang digaul mesra dalam gerak kerja kumpulan ini apabila kertas karangan yang kami mulakan dengan perenggan pertama untuk eksposisi, diserahkan kepada individu yang lain secara rawak. Tanpa diduga, perenggan kedua untuk konflik cerita dan keempat untuk klimaks cerita misalnya akan disambung oleh individu yang berbeza. Tiba di peleraian cerita, baru lah masing-masing akan mendapat kertas masing-masing.
Dapat dipelajari bahawasanya kadang-kadang kita perlu merendahkan ego dalam menulis. Antara yang dipelajari juga, idea penulisan juga harus terbuka. Penerimaan tema-tema yang diangkat oleh setiap orang adalah berbeza dan itulah yang memberikan dinamik dalam penulisan. Begitulah ceritanya.
No comments:
Post a Comment