Sebenarnya, ada beberapa perkara yang membuatkan aku terpanggil untuk menulis pada ketika ini.
Beberapa minggu (aku rasalah) aku semacam telah diberikan mandat oleh seseorang. Mungkin dengan meletakkan janji di dalam segmen ini, aku akan disiplinkan diri untuk menepati sesuatu yang aku anggap janji. Mungkin boleh dinilai sebagai janji kepada diri sendiri juga.
Sedar bahawa merakamkan setiap pengalaman atau perasaan sendiri boleh membuatkan seseorang lebih mengenali diri dan berkongsi setiap apa yang kita rasai adalah sedekah ilmu, aku bertambah rakus ingin menulis.
Jadi, rasanya tak rugi untuk kongsikan semua yang kita ada. Aku cuma perlu menekan punat dan terus membaca, mengalami, menulis dan terus menulis. Semoga usaha untuk menulis dipermudahkan kerana aku percaya ilham itu datang daripada Tuhan. Cukup tipu kalau sering menyalahkan ilham tak datang-datang, walhal mulanya gagal berusaha ke arah itu. (Mengeluh)
Beberapa hari ini, sedikit sebanyak, rangka pengalaman merentasi Nusa Tenggara Timur dan Nusa Tenggara Barat Indonesia membuahkan sedikit hasil. Cukup mempersona aku boleh bilang apabila menterjemah pengalaman sebenar dalam bentuk abjad dan perkataan. Sudah lama aku tak rasa begini. Rasa puas.
Untuk segmen seterusnya, aku bercadang untuk menulis secara terperinci pengalaman sendiri bersama rakan-rakan merentasi beberapa kota kecil di sebuah negara yang menutupi hampir 40 peratus Benua Asia. Mujur beberapa catatan sepanjang perjalanan membantu sedikit sebanyak input penulisan.
Seterusnya, aku bakal berkongsi perancangan untuk menjelajah secara solo di sebuah negara. Mengapa aku mahu bergerak secara solo, dan bagaimana caranya aku akan bergerak secara solo serta apakah bentuk perancangan? Itu juga aku akan muatkan dalam huraian penceritaan.
Aku rasa tulisan ini seakan prakata kepada segmen penulisan pada masa mendatang. Acah-acah. Tolonglah bagi peluang aku nak menulis. Amin.
2 comments:
bestnya la hai pi merata dunia..untung ko kerepek tempe!
Kebetulan, haha nak bertukar-tukar suasana dan kutip pengalaman
Post a Comment