Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Teknik Rendaman Yang Terbaik Setakat Ini


Baru sahaja selesai merendam beberapa helai baju kotor bersama sabun Fab Total. Baju yang sebanyak ini aku fikirkan bilakan dapat aku basuh nanti? Hehe. Baru pulang dari Mersing dan seperti biasalah kondisi baju-baju kotor yang perlu dibasuh memberatkan tulang aku untuk menbasuhnya. Maka, teknik rendaman adalah terbaik setakat ini.

Mungkin helaian baju yang berlonggok ini tak dapatlah nak disamakan dengan kuantiti kenangan di Mersing tempoh hari. Bila dapat jumpa sahabat lama, episod hari tersebut adalah luar daripada kebiasaan. Tambahan lagi, lensa kamera aku berjaya merakamkan gambaran-gambaran subjek kenangan di Mersing dahulu, sejak pertama kali aku kenal Mersing. Termasuklah papan tanda Mersing yang sebiji seperti papan Hollywood itu, bas ting tong Omnibus Mersing dan keropok lekor dengan jeti-jeti boat yang sudah macam Pulau Caribbean.

Banyak juga subjek yang sudah berubah. Bangunan kedai yang baru, dan sebagainya. Tempoh dua tahun merayap di Mersing banyak mengubah cara hidup. Berjaga sampai 3 pagi sudah biasa di asrama ketika itu. Paling mengingatkan ialah kenangan-kenangan manis yang banyak ketika itu. Banyak jika hendak diceritakan. Takut terlalu teruja bercerita.

Apa yang penting, pertemuan yang sekejap tempoh hari, mengisi petak-petak kenangan lagi. Masing-masing sudah berfikiran terbuka dan itu adalah kuncinya. Mengharapkan ramai lagi yang akan turut serta untuk akan datang. Oh jangan lupa jemput anak bini sekali insyaallah. Lihat saja 'wallpaper desktop' yang aku 'print screen' ini. Sawah padi mersing dan terima kasih semua yang melibatkan diri dan menyibukkan diri untuk ini.


Oh mungkin bukan teknik rendaman yang terbaik setakat ini, takut kenangan-kenangannya luntur nanti. Aku segera basuh supaya cuma kotorannya sahaja luntur bukan pigmen kenangannya.

No comments: