Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Cerita Gunung Selalu Tidak Menjanggalkan

Seperti biasa, aku singgah di sini kerana tersedar dan tersentak seketika ketika aku sedang melabuhkan punggung di atas mangkuk jamban, bahawa aku telah terlalu lama tidak menulis. Ya, di sini. Baru sahaja akhir tahun tempoh hari aku menulis status Twitter dengan berkobar-kobar untuk menulis kembali pada tahun ini. Malah berkobar-kobar juga ingin menulis serta menghasilkan sebuah buku yang menggabungkan illustrasi serta tulisan tentang perjalanan. Sudah tentu tentang apa yang aku rasa dan jumpa.

Baru sahaja tadi aku berkenalan dengan seorang sub-kontraktor daripada RAE Energy di lapangan kerja. Seperti biasa, di ruang merokok ini lah di mana segala komunikasi bermula. Ruang sosial yang tidak memerlukan banyak usaha dan basa-basi. Tipikal orang merokok, tidak kira lapisan bangsa, agama mahupun dari Negara mana asal mereka. Tidak terkecuali aku, walaupun pada dasarnya aku tidak merokok. Oleh kerana ingin singgah untuk bersosial, aku sengaja lewat ke ruang ini. Ada kalanya aku patah balik kerana minta ingin disapa. Kelakar betul.

Pernah satu hari, teman sekerja aku menyampaikan nasihat yang bunyinya seperti ini.

"Eh jom teman aku merokok. Kau campur lah masyarakat sikit. Jangan duduk berseorangan sangat."

Lantas aku pun rasa ditampar dengan kenyataan itu, dan merelakan diri untuk menemani dia setiap kali ingin merokok. Setiap kali aku ke ruang merokok, apabila ditanya, aku akan menjawab bahawasanya aku perokok kelas kedua iaitu menghisap asap rokok yang dihembus oleh perokok kelas pertama. "Alamatnya cepat mampus lah aku kalau begini.", detik hatiku.

Tengok lah. Aku memang begini. Sudah jauh aku menyimpang daripada cerita asal yang aku hendak sampainya. Soalnya banyak yang aku rasa dan hendak ceritakan.

Secara jujur, aku langsung tidak menghafal nama si sub-kontraktor SAE Energy tadi, namun ada persamaan antara aku dan dia yang menjadikan perbualan kami langsung tidak janggal. Bermula dengan pertanyaan dia tentang gunung. Aku apa lagi, dengan tidak semena-mena, naik syeikh dan perasaan ingin tahu membuak-buak.

Bukan apa, tidak ramai yang faham mengapa orang seperti kami suka naik gunung. Kalau bukan kerana gunung, kami tidak akan se-pelik ini. Menjadi orang pelik yang bersusah payah, merelakan kulitnya disiat duri-duri hutan dan peluh dibazirkan lalu dibiarkan mengalir di lurah-lurah tengkok, tulang belikat serta tersejat ke udara begitu sahaja. Soalnya jangan ditanya sebab jawapan akan berbeza-beza dan kadang kala sukar untuk difahami.


No comments: