Dulu waktu kecil-kecil sekecil berudu, aku suka main teng-teng di depan halaman rumah. Waktu zaman itu, yang aku pijak ialah tanah berumput hijau yang selalu pendek sebab bapak aku selalu potong. Bahagian tengah padang depan halaman rumah aku, sedikit botak menampakkan beberapa persegi luas kawasan pasir. Kawasan menjadi tapak lukisan Teng-Teng dan kotak untuk permainan guli. Masa itu tak ada apa yang aku fikirkan selain bermain dan bergembira serta bergelak sakan sampai kepenatan. Tapi sekarang, macam-macam perlu difikirkan. Aku pasti semua orang mengalami sebegitu rupa. Manusia.
Bila cerita pasal sekolah, aku paling ingat laluan batang paip besar yang menyalurkan air berharga 10sen ke Singapura. Balik dari sekolah, aku selalu melalui atas batang paip yang besar tu. Ada tiga jenis batang paip. Yang paling hujung ada rintangan berjeriji. Waktu darjah 3 aku masih melalui batang paip yang pertama dan kedua itu. Tapi bila masuk darjah 4 dan seterusnya, aku dah berani melalui batang paip yang ketiga dan berjeriji tu.
Paling menarik ada anak sungai sebulong di bawahnya menempatkan banyak belut dan ikan parit. Ikan belut memang banyak macam cendawan banyaknya. Laluan batang paip besar tu memang sangat sinonim dengan hidup ini. Sudah jadi salah satu memori dalam kepala minda.
Aku masih ingat lagi teknik melipat baju melayu teluk belanga di dalam beg. Aku sampulkan baju bergosok dalam plastik rapi-rapi. Kemudian aku duduk di atasnya untuk mengeluarkan angin yang terkumpul di dalam plastik. Hendak memastikan ia jadi seperti beg kedap udara. Barulah terjamin tak ronyok.
Bila loceng sekolah Mohd Khir Johari berbunyi, aku terus ke belakang blok tiga tingkat dengan beberapa rakan aku. Shahrul Amirul, dan beberapa orang lagi yang selalu bersama. Terus tanggalkan baju sekolah rendah dan tukar baju sekolah agama teluk belanga berwarna putih dengan samping hijau. Ada juga bawak bedak wangi sebagai langkah berjaga-jaga.
Berjalan terkedek-kedek menggalas beg bertali guni, aku singgah beli sate dan air sirap 20sen depan Sekolah Rendah Mohd Khir Johari. Teringat abang jual sate dengan makcik van.
Hari minggu, padang bawah Lorong Adil dah meriah macam pesta main bola. Kalau tak disitu, di taman permainan kanak-kanak Lorong Aman jadi pesta. Kalau tidak, padang unta berhampiran dengan batang paip besar. Memang meriah.
Tak lupa juga zaman semangat main kereta Tamiya. Kereta subaru biru berharga RM5 sahaja sudah cukup puas mengikuti keadaan zaman ketika itu. Bersambung...
3 comments:
rindu kampung melayu majidi?
ye kot haha
nice one asyraf!
Post a Comment