Teringat kisah di asrama dulu. Waktu umur aku masih belasan tahun dan kumis serta janggutku tidak lagi selebat setakat hari ini.
Waktu di asrama dulu, Warden Aspura (Asrama Lelaki) di sekolah aku, menggunakan taktik berbasikal untuk tidak meninggalkan sebarang kesan bunyi tapak kaki. Taktik ini sangat berkesan dilakukan pada waktu 'Light Off' atau waktu tutup lampu yang biasanya berkuatkuasa pada jam 11 malam. Jarang sekali warden asrama di sekolah-sekolah berasrama menggunakan taktik ini kerana biasanya motor adalah pilihan utama warden kerana malas tidak memerlukan tenaga yang banyak.
Namun begitu, taktik berbasikal ini sangat berkesan untuk memberikan saguhati rotan kepada pelajar-pelajar terpilih. Taktik ini dimodifikasi dengan taktik penyamaran di belakang bangunan penjana elektrik. Ketika itu bilik aku adalah markas pasukan Navigator atau pemerhati. Lengkap dengan dua mata kurniaan Illahi dan sepasang penyerap bunyi lengkap di kiri dan kanan bahagian muka. Mungkin nasib baik bagi kami yang bereempat ini kerana mendiami bilik yang serba cantik ini atau Bilik Line Clear. Maka jaranglah betis kami dijilat rotan Warden.
Bila dapat tahu Warden berbasikal menghampiri kubu kami, si polan pun menyampaikan maklumat menggunakan kod morse (ketuk dinding kuat-kuat). Kemudian berturutanlah sampai ke dinding bilik yang hujung. Ada juga yang asyik memasang 'ubat nyamuk' di tandas terus melompat masuk ke bilik entah siapa-siapa secara rawak.
Tertawa kecil aku bila Warden cuba buat serang hendap. Kami tutup mata rapat-rapat dan untuk tampak lebih realistik, kami berdengkur sedikit. Bila keadaan tenang, kubu kami semula hidup dengan masing-masing sibuk menghabiskan tugas masing-masing. Terang-benderang semula kubu kami seolah-olah ada kenduri. Ada yang sibuk menyambung cerita bodoh dan lucu tadi, ada yang menyambung menyental pakaian dan sambung pasang 'ubat nyamuk'.
Jadi begitulah sehari-hari kehidupan di sini. Tengah malam kami sangat terisi dan terpaksa menghadapi serangan tentera Jepun berbasikal. Jarang sekali malam kami sunyi.
Dalam kehidupan ini, mungkin taktik tentera Jepun ini boleh digunakan untuk memperbaiki diri sendiri maksudnya kemajuan atau perubahan. Bila hendak menyerang tabiat buruk, hendaklah berbasikal perlahan-lahan tanpa meninggalkan bunyi maksimum. Kayuhan pertama, eloklah dimulakan dengan Bismillah, kayuhan kedua disertai dengan nawaitu dan kayuhan seterusnya perlulah lurus sehingga menuju ke destinasi yang kita tujui. Destinasi yang ingin diserang.
2 comments:
hahaha..pandai kowang berlakon ea..
sapa la yang duk pasang 'ubat nyamuk' kat toilet tu..patutlah nyamuk sume bertebaran ke aspuri..
haha alaa ubat nyamuk tu nak halau nyamuk kat aspuri jugak oh dan nak halau kucing jantan gatal~
Post a Comment