Bulu-bulu pada sayap itu adalah sebahagian daripada aku. Untuk terbang, aku perlu kembangkan sayap. Lalu bulu-bulu itu menyisir lembut angin, membawa aku ke atas untuk kekal terbang. Sehelai bulu itu adalah seperti yang aku katakan, adalah sebahagian daripada diri aku. Setiap daripada satu adalah daya yang membawa aku terbang ke atas ruang udara yang tidak terkira luasnya, aku terkesima. Setiap pagi, dan setiap hari aku bertanyakan kepada diri sendiri. Adakah aku sudah cukup memiliki keupayaan ini? Sudah cukupkah bilangan bulu yang tumbuh pada sayapku ini? Sayap, sesuatu yang aku miliki dan ini adalah salah satu pemberian. Aku menerima tanpa meminta.
Semalam ibu telah mengajar aku untuk membersihkan diri, mengembangkan sayap tapi aku masih belum dapat apakah tujuan ibu yang sebenar. Aku penat dan tetulangku masih belum cukup kuat. Tendon dan sarafku masih muda bekerja. Ya aku masih muda untuk itu.
Melihat ibu terbang jauh membawa pulang sesuatu. Itu adalah aku setiap kala senja. Tidak pula aku mempersoalkan kerana itu adalah kebiasaan. Nikmat menjamah rezeki yang ibu bawa pulang, buat mata hatiku terpadam.
Suatu senja, sinar Matahari di Timur terpancar tepat menembak mataku. Aku terbang dengan sendirinya ke atas sana. Apakah daya yang menujah aku ke atas? Soal dalam hatiku. Ibu memandang aku seperti menunggu, termangu.
No comments:
Post a Comment