Mungkin tidak semua pernah merasa baring di atas toto yang cadarnya hasil jahitan kain perca. Kalau sudah baring di atas toto itu, akan terlihat corak kain perca di atas langit-langit rumah yang sama corak jahitannya. Sedikit lawak untuk siapa yang pernah melihatnya. Seolah-olah berbaring di atas langit-langit rumah pula. Tidak pula mereka mengeluh tidak cukup tidur. Walaupun beralaskan toto bercadarkan kain perca. Pada ketika itu, fikiran mula berawang-awangan sambil berfikir, adakah kita dapat mengubah langit-langit rumah ini menjadi siling berbatu sambil dihiasi lampu tidur berbatu mutiara?
Tak semua membesar di rumah yang ada bilik khas untuk anak bujang atau anak dara tidur dengan selesa. Ada kalanya ruang tamu yang tidaklah luas ruangnya sudah cukup disyukuri mereka untuk dijadikan tempat tidur. Berbaringlah mereka semua itu dengan kombinasi gaya bebas atau lebih jelas bergelimpangan. Haha.
Maka apabila usia meningkat belasan tahun, telah diberikan rezeki untuk dapat bilik tidur dengan katil yang selesa. Kali ini tiada lagi toto bercadar kain perca. Katil satu tingkat dengan tilam empuk, bercadar dan berbantal khas. Sedondon pula kain cadarnya. Katil asrama. Haha.
Konsep atur cadarnya tetap sama macam toto, perlu dikebas dan dikemas setiap hari. Selepas itu meningkat usia 20-an, cadar katil kini boleh dipilih pula. Sebab sudah ada sedikit wang di tangan. Jadi dapatlah memilih dan membeli corak cadar yang berkenan. Cadar tilam kali ini berbunga-bunga dengan warna yang menarik pandangan, pasti tertawan siapa melihat. Tetapi untuk alas tidur sahaja pun. Oh untuk saat ini, dapat juga bilik tidur sendiri. Berdua lagi. Yelah, di rumah sewa sewaktu di universiti.
Setelah selang beberapa tahun, dapat pula menikmati bilik tidur dengan cadar yang lagi cantik coraknya. Coraknya kali ini nampak matang. Tidaklah berbunga-bunga. Anak jantan, adalah pilihan coraknya sendiri. Malah ada bantal peluk tambahan untuk dipeluk. Maklumlah bujang...
Kemudian setelah umur mencecah 30-an, cadar tilamnya bertukar menjadi lagi lebar. Cukup-cukuplah untuk dua orang. Siap dengan comforter atau selimut tebal yang memang lebarlah. Maklumlah sudah beristeri...
Tetapi tiba-tiba cadar katilnya kali ini berbeza sedikit daripada yang biasa menjadi alas untuk tidur. Masih berbunga. Masih sedondon. Cuma tiada toto dan tilam empuk. Habis cadar itu membalut tubuh seolah-olah seperti bayi dibedung, tangan tidak mampu digerakkan.
Kain batik emak yang biasa disidai di ampaian tidak kelihatan. Cadar, alas tempat kita tidur nanti.
No comments:
Post a Comment