Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Izinkan aku berbuka puasa denganmu Markonah, bukan hanya ada di dalam angan.


Markonah, bini baru aku telah seminggu bersama aku. Tidur nyeyaknya aku tenung, mengisi setiap ruang sepiku. Tidur petang setiap hari begini barangkali boleh menjadikannya cukup-cukup gilakan aku. Oh kalau begitu, aku akan biarkan Markonah tidur setiap petang selama 40 hari. Aku akan nanti-nantikan kari yang ke-40 (eh maksud aku hari). Kari ikan yang aku beli hanya untuk Markonah nikmati. Memang aku beli untuk dia, bukan kau. Jam menunjukkan 7:30 pm dan aku harus bersedia untuk berbuka puasa. Hari ini masuk hari yang ke-5 Ramadhan. Biasanya aku akan pasang kisah Jejak Rasul di rumah dan menonton bersama Markonah. Sambil menghayati suara Zainal Ariffin Ismail dan mengambil setiap pengajaran yang terkandung di dalamnya. Kadang-kadang Markonah minta aku tukar rancangan Adikku Sayang. Aku merelakan. Malangya aku di rumah sewa tak berTV, yang memaksa aku hanya duduk menghadap kari yang aku beli tadi.

Azan berkumandang, aku pun membuka bekas polisterin terisi kari tadi. Sebenarnya aku terlupa nak sediakan elok dalam pinggan kerana asyik teringat pasal Jejak Rasul tadi. Aku ambil tamar dan suapkan ke dalam mulut aku sendiri. Bila aku sedari, Markonah tiada di sisi.

Dalam hati aku hanya beristighfar 100 kali dan berharap agar Markonah tak terasa hati. Fikiran aku serabut tak terperi, memikirkan apakah yang perlu aku lakukan bagi mengelakkan Markonah bertindak liar nanti. Segera aku tumpahkan kuah kari tadi di seluar putih ku ini. Aku pun menjerit.

Aduhhhhhhh! Aduh! (Sambil berbuat gaya Johnny Depp mengerang kesakitan)

Dalam hati aku sangat berharap agar jeritan aku tadi membuat Markonah sedar daripada tidur. Kalau tak sedar, memang bini jenis apakah dia ini. Bunyi tapak kaki terseret menghampiri dapur kedengaran. Aku tahu itu tentu Markonah dan aku tersengih merasakan taktik aku berjaya. Markonah menghampiri aku. Lantas, dalam keserabutan mukanya dan rambut ikalnya dia bertanya.

Abang kenapa menjerit ni? Kenapa abang tak kejut saya? Saya dengar jiran sebelah dah mula mencarut dah tanda dah buka puasa. Alahhh

Aku segera menjawab.

Abang sakit perut. Sebab itu tak sempat nak kejut Markonah berbuka. Tengok seluar abang ni.

Markonah melihat kesan kari tumpah berwarna coklat di seluar aku. Ya, itu telah mati-mati menyakinkan dia. Betapa hati aku senang Markonah tak bertindak liar. Kalau tidak habis aku dincincang nanti. Oh Markonah, maafkan abang Markonah. Abang janji tak buat lagi pada esok hari, pada Ramadhan yang akan datang lagi. Hari ini mungkin malang bagi aku tak dapat berbuka puasa bersamanya. Izinkan aku berbuka puasa denganmu Markonah, bukan hanya ada di dalam angan.

No comments: