Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Masih Belum Mengecewakan (Mungkin tidak akan)


Poskad beserta penanda buku tertulis 'Das Leben soll nicht jedes mal wunderbar sein, aber die Wunder bleiben fur immer in des Erinnerrung' atau maksudnya 'Life should not be wonderful every time, but the miracle remains forever in the Erinnerrung'.

Dia yang duduk sebelah kiri tempat duduk belakang kereta itu, adalah seorang rakan yang sejak dari tadi asyik berceloteh berkongsi pengalamannya belajar di negeri orang. Cuping telinga aku ini, masih setia menadah segala apa yang diceritakannya, sampai melimpah-limpah. Daripada kisah itu sampai kisah ini. Itu dan ini, buat pertemuan tadi tambah bermakna, lebih-lebih lagi dapat membatalkan puasa, duduk dua meja yang digabung rapat. Juadah steamboat apalah kiranya kalau nak dibandingkan dengan kesempatan untuk bertemu dengan mereka ini. Apatah lagi ada yang sanggup turun dari daerah Pontian ke negeri JOHO ini. Ya, ini semua adalah geladangan aku sejak di bangku sekolah dulu, yang rasa mesranya seperti dulu-dulu.

Hari pertama aku setibanya di Kampung Melayu, ternampak senyumannya dengan gigi kuning, panjang-panjang. Wajahnya tak pernah sugul, senyuman sentiasa menguntum. Oh itu hanya bayangan aku, sekiranya Kampung Melayu ini adalah seorang manusia yang punya otak dan perasaan. Telah banyak kali pun aku pulang ke tanah kelahiran aku ini, 'dia' tetap tidak mengecewakan. Tiba saja di sini, disambut pulang mak abah sudah tentu perkara pertama yang diraih. Seolah-olah Hari Raya datang awal sebelum sampai waktu.

Aku menyinsing seluar paras lutut. Bersedia untuk ini! Ya, malam pertama aku, adalah kemesraan di persisiran pantai lumpur Senibong. Sebuah tempat yang kotor dan penuh maksiat anak muda. Kami yang berlima sempat berkhalwat menggunakan teknologi penyauk ikan, dengan harapan dapat menangkap beberapa ekor ketam saiz tapak tangan. Dua pasangan berkhalwat, cuma aku seorang tidak berpasangan menjaga baldi dan bertugas sebagai runner. Bantuan lampu di telefon bimbit biasa, yang tak dapat dilakukan oleh telefon Blackberry, kami terbongkok-bongkok mencari ketam, satu baldi penuh (sebenarnya tak penuh). Terasa singkat malam itu. Tapi malam pertama itulah paling mesra!

Oh ya, penanda buku itu tadi macam mengetahui keperluan dan kerakusan yang ada pada aku sekarang. Mungkin ini ilham (ilham lagi). Selepas ini, penanda buku ini mungkin akan tersisip, dinodai beberapa buku sastra Indonesia atau sedikit-sedikit bahan bacaan yang nakal.

Setakat ini Kampung Melayu masih belum mengecewakan (Mungkin tidak akan).

No comments: