Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Jangan Main Sorok-sorok


Lepas aku selak sliding door rumah, ternampaklah dua ekor cicak jantan atau betina aku tak tahu. Tapi yang pasti nampak macam tengah berbincang pasal seekor cicak yang nampaknya berseorangan di sudut paling hujung siling berandah rumah.

Ditambah dengan angin malam yang sepoi-sepoi bahasa, daun-daun kering berguguran. Dah macam aku rasanya berseorangan di rumah sewa ini. Seperti biasa setiap kali hujung minggu. Bila kaki aku tak kemana-mana. Tiba-tiba dua ekor cicak tadi datang menghampiri cicak yang keseorangan tadi. Mereka akhirnya merangkak bersama-sama ke arah lampu pendaflour, untuk memanaskan badan rasanya.

Begitulah, kalau sudah umur macam ini, janganlah yakin sangat dapat menyelesaikan masalah sendiri. Mungkin aku boleh cakap, tabiat suka simpan masalah sendiri. Rasa yakin dapat menyelesaikan masalah sendiri. Sebab utama, mungkin merasakan masalah itu masalah kecil, malu untuk menyatakan masalah, tidak mahu menyusahkan orang lain, tidak mahu memperbesarkan masalah dan yakin dapat menyelesaikan masalah sendiri.

Aku dapat lihat tabiat ini ada pada seekor cicak yang keseorangan tadi. Kalau dia sendiri datang ke arah dua ekor cicak tadi kan mudah. Lagi cepat masalah dia selesai. Berbanding dia kena tunggu dua ekor tadi datang ke arahnya. Barulah dapat sama-sama merasai kehangatan lampu pendaflour. Cicak oh cicak.

Sudah terbiasa tak mahu membabitkan masalah sendiri dengan orang lain. Tak boleh sebenarnya. Sehinggakan masalah yang membawa kesan besar. Sebab dulu-dulu mak sendiri dah bagi nasihat jangan main sorok-sorok waktu maghrib nanti kena sorok dengan hantu. Apa pun waktu bekerja lah terutamanya, jangan sorok masalah sendiri-sendiri. Apa pun, ada feedback daripada member aku. Ayatnya berbunyi begini.

'Sembunyi yang duka, tunjuk yang gembira'
atau lebih tepat, 'Hilangkan yang duka, tunjuk gembira'

Oh disebabkan aku nak berkongsi masalah, aku nak berkongsi masalah penyakit kencing tikus yang agak berleluasa sekarang. Nama penyakit macam tak yakin je kan sejenis penyakit. Tapi bahaya. Sila elakkan pergi ke kawasan perkelahan seperti air terjun atau sungai sebab kebanyakkan kes di Kedah dan Pahang adalah tempat-tempat macam ini. Untuk sementara waktu. Risau juga kalau muntah-muntah balik dari air terjun. Simptom-simptom sahaja. Jadi beringat sebelum terlambat. Kalau rasa demam yang kau memang rasa badan lenguh-lenguh terus kejut doktor bangun tidur! haha (kes doktor kat klinik UTP)

Hari Sabtu Malam


Baru rasa selesa lepas mengalas laptop dengan kotak kasut Blundstone, 'The Greatest Australian Boot Company'. Kasut company percuma. Bukan beli pun. Tak perlu dibanggakan. Haha. Macam itulah kadang-kadang ada perkara yang kita suka banggakan sedangkan tidak perlu dibanggakan, atau tak perlu berbangga-bangga. Contohnya seperti di bawah.

(Bayangkan ada gambar lelaki berpeluk dengan makwenya.)

Aku balutkan tiga bantal dengan selimut aku yang berkotak-kotak oren itu dalam susunan memanjang. Kemudian aku baringkan. Memang nampak macam bentuk jasad sedang berbaring. Sengaja buat begitu untuk hidupkan rumah sebelum aku keluar. Lampu tandas dan lampu ruang tamu yang tak rupa ruang tamu aku buka suiznya biar nampak ada orang di dalam rumah. Kononnya taktik untuk mengelakkan pecah masuk rumah.

Malam itu aku terus berlalu dengan moto milik bapaku ke Kuantan. Tujuan utama nak menghiburkan hati yang keseorangan untuk hari minggu begini. Sadis sekejap. Mungkin ini memang rasanya membujang. Jalan raya daripada Balok Pantai, Beserah sehingga Bandar Kuantan terasa macam 'bapak aku punya'. Alamak rasanya macam jiwa rempit biarpun bukan motor RXZ mahupun motor EX5 yang kutunggang. Sedikit sebanyak mengalir sedikit jiwa rempit itu. Alah, sama sahaja konsepnya, pulas minyak dan tukar gear kelajuan. Mazda 6 pun kalah tau aku potong tadi.

Balik daripada menonon wayang, jam 12.00 malam lebih kurang aku terus pusing-pusing Kuantan lagi. Sengaja melihat suasana malam. Banyak 'benda' yang aku jumpa tapi biarlah rahsia. Selepas pusing-pusing hampir 20 minit, aku pun berniat pulang. Memikirkan jalan makin lengang nampaknya.

Berlalu di Pantai Batu Hitam. Ada bau-bau wangi, tapi selalu aku endahkan. Mungkin bau sabun kakak atau makcik yang tengah mandi tengah malam. Sambil memulas minyak, aku jeling-jeling di cermin sisi, manalah tahu ada benda pelik. Kemudian nampaklah benda hitam terbang-terbang. Nampak macam panjang saja. Berderau juga. Dalam cermin sisi kanan motor aku. Bila tiba lalu di bawah lampu jalan, barulah aku perasan itu ekor kepala sweater aku rupanya. Berderau juga lah.

Kemudian aku pun sudah bosan dengan cerita-cerita pusing Kuantan daripada tadi. Hendak disimpulkan cerita, aku dapati dalam kebisingan siang, dalam kesunyian malam, tidak dapat mengalahkan kesunyian dan kebisingan di dalam hati.

Bila aku sampai depan pintu pagar rumah, aku tersengih bila nampak ada orang terbaring di ruang tamu. Aku rasa lega, nampaknya dah ada teman. Aku bukak pintu sliding. Baru teringat itu bantal-bantal yang aku balut tadi. Siot.

Cadar, Alas Tempat Tidur Kita Nanti


Mungkin tidak semua pernah merasa baring di atas toto yang cadarnya hasil jahitan kain perca. Kalau sudah baring di atas toto itu, akan terlihat corak kain perca di atas langit-langit rumah yang sama corak jahitannya. Sedikit lawak untuk siapa yang pernah melihatnya. Seolah-olah berbaring di atas langit-langit rumah pula. Tidak pula mereka mengeluh tidak cukup tidur. Walaupun beralaskan toto bercadarkan kain perca. Pada ketika itu, fikiran mula berawang-awangan sambil berfikir, adakah kita dapat mengubah langit-langit rumah ini menjadi siling berbatu sambil dihiasi lampu tidur berbatu mutiara?

Tak semua membesar di rumah yang ada bilik khas untuk anak bujang atau anak dara tidur dengan selesa. Ada kalanya ruang tamu yang tidaklah luas ruangnya sudah cukup disyukuri mereka untuk dijadikan tempat tidur. Berbaringlah mereka semua itu dengan kombinasi gaya bebas atau lebih jelas bergelimpangan. Haha.

Maka apabila usia meningkat belasan tahun, telah diberikan rezeki untuk dapat bilik tidur dengan katil yang selesa. Kali ini tiada lagi toto bercadar kain perca. Katil satu tingkat dengan tilam empuk, bercadar dan berbantal khas. Sedondon pula kain cadarnya. Katil asrama. Haha.

Konsep atur cadarnya tetap sama macam toto, perlu dikebas dan dikemas setiap hari. Selepas itu meningkat usia 20-an, cadar katil kini boleh dipilih pula. Sebab sudah ada sedikit wang di tangan. Jadi dapatlah memilih dan membeli corak cadar yang berkenan. Cadar tilam kali ini berbunga-bunga dengan warna yang menarik pandangan, pasti tertawan siapa melihat. Tetapi untuk alas tidur sahaja pun. Oh untuk saat ini, dapat juga bilik tidur sendiri. Berdua lagi. Yelah, di rumah sewa sewaktu di universiti.

Setelah selang beberapa tahun, dapat pula menikmati bilik tidur dengan cadar yang lagi cantik coraknya. Coraknya kali ini nampak matang. Tidaklah berbunga-bunga. Anak jantan, adalah pilihan coraknya sendiri. Malah ada bantal peluk tambahan untuk dipeluk. Maklumlah bujang...

Kemudian setelah umur mencecah 30-an, cadar tilamnya bertukar menjadi lagi lebar. Cukup-cukuplah untuk dua orang. Siap dengan comforter atau selimut tebal yang memang lebarlah. Maklumlah sudah beristeri...

Tetapi tiba-tiba cadar katilnya kali ini berbeza sedikit daripada yang biasa menjadi alas untuk tidur. Masih berbunga. Masih sedondon. Cuma tiada toto dan tilam empuk. Habis cadar itu membalut tubuh seolah-olah seperti bayi dibedung, tangan tidak mampu digerakkan.

Kain batik emak yang biasa disidai di ampaian tidak kelihatan. Cadar, alas tempat kita tidur nanti.


Happy Birthday Tok U


Sepertinya hendak saja aku pos entri ini di opis tadi. Tetapi tidak sempat sebab mungkin tidak ada privasi di situ. Seperti biasa lah, opis tempat untuk bekerja, bukan buat-buat ada kerja. Haha

Oh ya selamat hari lahir kepada aku. Agaknya kalau ada memori waktu nak terberanak keluar, barulah kita tahu nak hargai yang melahirkan kita 100%. Terima kasih kepada semua yang memberikan ucapan sms, fb, dan melalui kata-kata. Satu ucapan ibarat satu doa untuk kita semua.

Edisi Raya 2010


Tapi kali ini aku seronok nak berbicara pasal bertemu kekasih-kekasih. Kekasih, orang yang disayangi dan kalau tak percaya buka Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Edisi ke berapa kau orang pilihlah sendiri. Macam raya juga, macam-macam edisi. Edisi raya kali ini aku boleh simpulkan begitu bermakna lah. Ini bukan ucapan yang digunapakai setiap tahun ya. Tapi secara teknikalnya, memang pun setiap tahun macam itu "raya tahun ini paling bermakna". Pengakuan tahunan. Dah memang setiap tahun rasa macam itu, tak salah buat pengakuan tahunan macam itu.

Macam biasa kalau beraya, tidak singgah ke rumah makan kuih tat, teguk air berkarbonat sambil mengumpat, bukan raya namanya. Raya bila dapat jumpa kawan-kawan lama dan keluarga memang rasa meriah. Bukan apa, sambil-sambil dapat bertukar cerita selepas dah lama tak jumpa. Maklumlah, masing-masing sudah ada hala tuju sendiri dan alhamdulillah masing-masing tertuju.

Menjadi pemegang umur 20-an buat rasa terbuka untuk menerima sesuatu yang baru dan menerima sesuatu yang lama ditinggalkan. Kiranya, tak adalah istilah malu nak jumpa lah, malu nak bergaul balik lah. Bukan apa, memang sudah begitu coraknya. Mungkin ada sebabnya. Rasakan sendiri, cariklah balik kawan-kawan lama, yang jauh dirapatkan, yang dekat di hati dinikahkan. Pon boleyhhhh...