Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Mencari Dewi Anjani dan 'Bertarung' Dengan Keindahan Pulau Komodo di Lautan Flores #2

Sebelum itu, ini adalah entri sambungan kepada kisah Mencari Dewi Anjani dan 'Bertarung' Dengan Keindahan Pulau Komodo di Lautan Flores #1.

Boleh baca, tetapi tidak bersangkutan 100% dengan entri pada kali ini kerana yang lepas itu cuma entri kosong dengan rumusan bodoh.

Cukup berterima kasih kerana berpeluang mendapatkan pengalaman tak ternilai ini dengan kelebihan kesihatan tubuh badan dan kekuatan minda menempuh ranjau semasa pendakian ke atas puncak berketinggian 3726m dari aras laut di samping menyorok di dalam kabus sejuk sepanjang perjalanan ke puncak. Pelayaran di Pulau Komodo merentasi Kepulauan Flores, menambah seru perjalanan pada kali ini, dari Pulau Seribu Masjid, merentasi juga pulau-pulau kecil sekitarnya langsung ke Labuan Bajo. Sedikit rumusan kepada 'Mencari Dewi Anjani dan 'Bertarung' Dengan Keindahan Pulau Komodo di Lautan Flores' sebelum menyelam dengan lebih dalam lautan aksara yang belum lengkap dan bakal dilengkapkan dari semasa ke semasa untuk merakam kenangan. Buat cucu cicit juga nanti dan bila sudah tua, atau mungkin hampir Alzheimer nanti, halaman ini akan memetik kembali ingatan yang mungkin pudar pada ketika itu.

Mencari Dewi Anjani
 
Gunung Rinjani dengan ketinggian 3726m daripada aras laut, adalah sebuah gunung yang tidak asing di Indonesia selaku puncak gunung kedua tertinggi di kepulauan Jawa bagi kategori gunung berapi. Sebenarnya, jikalau merujuk kepada tajuk yang aku karang bukanlah hendak menunjukkan kehebatan kononnya hendak bertemu Dewi Anjani di puncak tetapi lebih tertarik dengan kisah orang-orang di sini tentang Dewi Anjani yang katanya seorang puteri yang jelitawan membuat orang teruna tertarik. Kisahnya Dewi Anjani merajuk kerana terdapat dua orang putera yang hendak mengkahwininya. Ala-ala Puteri Gunung Ledang. Jauh di sudut hati, setelah mengakhiri pertualangan di Gunung Rinjani ini, aku rasa aku telah bertemu dengan 'kecantikkannya'. (Pejam mata)

 
Sedikit menjadi persoalan mengapa puteri-puteri atau dewi pada zaman dahulu suka melarikan diri ke puncak gunung. Adakah gunung menjadi simbolik kepada kes lari rumah seperti yang banyak berlaku pada zaman sekarang?
 
Sebelum sampai ke Sembalun dan melepaskan lelah perjalanan hampir 5 jam dari Bandar Udara Internasional Lombok, kami berlima bertandang ke desa tempat tinggal kaum Sasak yang merupakan kaum natif di 'Pulau Seribu Masjid' ini. Dilabel sebagai Sasak moden, nampaknya penyambut tetamu pada hari itu fasih berbahasa Inggeris dan sudah tentu boleh berbahasa Indonesia. Beberapa kosa kata bahasa Sasak diajar oleh bapak si pemandu mobil rental kami tetapi sayangnya sudah lupa. Satu kosa kata yang paling aku ingat ialah,

'Tampiasih'  yang memberi maksud 'Terima Kasih'.

Tanjung Aan yang mempunyai landskap pantai dan batuan yang cantik sering dikaitkan dengan kisah Puteri Mandalika. Menurut orang tempatan, Puteri Mandalika mengorbankan dirinya di pantai Tanjung Aan ini bagi menyelesaikan pertelegahan antara dua putera raja daripada dua kerajaan untuk memiliki atau mengahwini Puteri Mandalika kerana terpesona dengan kecantikkannya dan tidak mahu ada pertumpahan darah di Bumi Lombok. Kerana itu, sering diadakan perayaan Bau Nyale untuk menyambut jelmaan Puteri Mandalika dalam bentuk cacing laut. Bau bermaksud menangkap manakala Nyale ialah cacing. Unik.

Antara spot menarik di sini ialah batu bongkah seakan pentas yang terbentuk secara semulajadi. Dari atas batu bongkah ini, pemandangan pantai di Tanjung Aan nampak lebih menyeluruh.


Perjalanan ke Sembalun yang memakan masa hampir 5 hingga 6 jam sangat meletihkan dan kami sedaya upaya mengisi perbualan dalam mobil supaya tidak terlalu bosan. Hampir setiap pekan atau desa kecil yang kami lalui pasti ada bangunan Masjid yang boleh dikatakan sangat besar dan tiang serinya melebihi 6 meter. Pas dengan panggilan Lombok sebagai Pulau Seribu Masjid.

Kami sempat singgah di sebuah masjid bagi menunaikan solat jamak qasar Zuhur dan Asar. Di hadapan masjid ini, kelihatan beberapa anak muda berumur sekitar 10 hingga 12 tahun, sedang sibuk memunggah dan bekerjasama memasukkan buah tembikai ke dalam lori pemunggah yang kecil. Ini menunjukkan bumi Lombok begitu subur dengan tanaman buah-buahan selain padi seperti yang pengunjung boleh lihat sepanjang desa kecil di kiri dan kanan jalan.


Suku perjalanan kami menuju ke Desa Sembalun agak mencabar kerana perlu melalui jalan curam dan kadang-kadang menanjak naik apatah lagi waktu itu sudah malam. Bapak supir memainkan lampu tinggi dan membunyikan hon setiap kali menghampiri selekoh tajam untuk memberi amaran kepada kenderaan yang mungkin datang dari arah bertentangan. Ini tidak cukup ekstrem jika dibandingkan perjalanan aku dan Pakde dengan lori dari Wae Rebo ke Pelabuhan Labuan Bajo. Waktu itu, hanya Tuhan saja yang tahu.

Semakin mendekati desa Sembalun, semakin terasa perubahan altitud dan dinginnya sampai menggigit tulang. Secara teorinya, tubuh manusia boleh menyesuaikan diri mengikut suhu persekitaran tetapi oleh kerana aku tidak terbiasa dalam kondisi sejuk seperti ini, aku memerlukan masa untuk rasa aman. Setelah melewati lorong-lorong kecil dalam keadaan gelap, kehadiran kami disambut mesra dengan secangkir kopi bersama unggun api yang sedikit sebanyak menghangatkan tubuh kami. Tidak banyak yang dapat dilihat sekeliling pada waktu dinihari cuma kami melewati rumah-rumah desa yang beratapkan nipah dan berdindingkan anyaman rotan. Di desa tempat kami bermalam ini, hanya generator yang menyalakan segenap ruang. Mungkin kerana itu, aku mendapati lampu-lampu di sini agak malap membuatkan suasana terasa agak sugul pada malam itu. Sambil duduk mengelilingi ungun api, kami memulakan mukadimah dengan bercerita tentang perancangan pendakian untuk hari esok. Awalnya, perbualan kami tampak serius mungkin kerana kami begitu teruja untuk ke puncak tetapi setelah beberapa ketika, kami mula menyelitkan humor tentang apa saja atau mungkin sudah mengantuk dan 'mabuk' atau mamai. Apa yang melucukan ialah kelihatan penduduk desa Sembalun ini cuma berselubung dengan kain pelikat atau kain batik sahaja sebagai baju sejuk. Berbeza dengan aku, yang bertungkus lumus berpakaian windbreaker dan pakaian berlapis ditambah dengan aksi menggosok-gosok tapak tangan kerana tidak tahan dengan kedinginan malam itu.

Menjadi sebuah pengalaman baru apabila merasai kesejukkan air yang ditadah di dalam kolah kecil tatkala mengambil wudhuk. Konsep pili air di sini amat mudah iaitu menggunakan P=(rho)gh dengan tekanan air mengikut kedalaman air di dalam kolah. Lubang dibuat pada paras tekanan maksimum tanpa perlu pompa atau pam air. Lubang itu ditutup dengan semacam gabus yang diikat dengan karet atau getah supaya tidak tercabut. Segalanya di sini mengaplikasikan cara hidup yang paling sederhana dan mudah.

Maaf, aku sudah masuk terlalu dalam jauh ke dunia teknikal. Tetapi intinya, hidup seperti keluarga Pak Suketi di sini amat mudah. Sumber makanan, minuman, elektrik, dan sayur-sayuran adalah tanpa tax mahupun GST. Semuanya datang dari alam.

Seperti biasa, apabila generasi Y seperti kami berada di luar kawasan, colokkan di rumah saudaranya Pak Suketi menjadi tumpuan kami untuk mengecas teknologi paling tipikal pada masa kini iaitu telefon selular. Kami mengecas telefon selular mahupun bateri kamera secara rakus dengan harapan ianya bisa bertahan selama lebih 4 hari dan mampu merakam pemandangan yang indah lagi mengiurkan pancaindera.

Sebenarnya kami sangat beruntung kerana diberikan ruangan tidur serta tilam toto yang empuk dan selimut bagi menghangatkan tubuh pada malam tersebut sebelum memulakan perjalanan panjang keesokkan harinya. Tak mudah untuk aku lelapkan mata kerana terlalu teruja buat esok.

Dalam keadaan menggigil, selesai solat Subuh, kami menghirup kopi hangat. Oh nikmat betul kerana bukan selalu dapat minum kopi dari desa sambil diselubungi kabus pagi di pangkin rumah.

(Bersambung)

Ombak Perkenalan di Trikora dan Pulau Beralas Pasir - Nikoi

Batu Ampar - Telaga Punggur - Tanjung Pinang - Trikora - Pulau Beralas Pasir/Nikoi - Telaga Punggur - Batu Ampar

Foto lengkap: 

Deruan ombak seakan memberikan salam perkenalan dan angin bayu laut menyapa di bahu membangkitkan rasa ingin mengenal orang-orang sekelilingku ini dengan lebih dalam.

 

Dalam radius sekecil ini, dan dengan suasana yang santai, diselangi dengan tawa dan topik perbualan yang seringkali menyimpang-nyimpang, menciptakan ruang perkenalan begitu kondusif dan efektif. Setelah hampir sebulan di sini, barulah dapat menguruskan liburan sebegini dengan tujuan ini. Walaupun pada mulanya cuma bereempat, tetapi mungkin kerana masing-masing terlalu rasa ingin berlibur, jumlahnya menjadi 11 orang. Dengan rangka plan bajet yang mengambil masa satu malam, aku bertungkus lumus mencari tahu lokasi yang paling santai dan rare. Oleh kerana temanya pantai, tidak ada aktiviti lain yang terbaik selain snorkeling dan menyelam bebas. Sesuatu yang buat aku tertarik untuk ke Trikora yang terletak di bawah pemerintahan Kota Tanjung Pinang ini adalah rumah kelongnya yang unik dan sesiapa yang betul-betul ingin merasakan terdampar di tengah lautan luas, nah di sinilah tempatnya. Menyaksikan bintang-bintang di tengah laut yang kelam. Beberapa orang rakan sudah pernah menikmati bermalam di rumah kelong dan merasakan semua yang aku ceritakan tapi malangya mereka lupa nama lokasinya dan orang lokal yang bisa kita hubungi.

Bersesuaian dengan jumlah 11 orang, maka tidak menjadi kenyataan untuk menempatkan kesemuanya teman-teman aku ini di atas rumah kelong. Beralihlah aku dengan mencari tempat bermalam di atas daratan tapi betul-betul menghadap pantai. Mujur Shady Shack berjaya memenuhi semua itu malah, pondok buruk dua tingkat beratapkan nipah dan hampir 100% balai serinya dan juga katilnya terbuat daripada kayu. Benar-benar sesuai buat backpackers yang inginkan kekosongan dan membuat diri mereka merasa memiliki jaluran pantai dan laut di sini.

Ombak menderu menemani sepanjang malam kami di sini. Angin bayu laut yang seharusnya panas, tidaklah sepanas yang di sangka malah menjadi dingin seperti penghawa dingin. Pondok dua tingkat ini boleh memuatkan 15 orang maksimum dengan harga 13.5 SGD per orang.

Perjalanan satu jam dari Pelabuhan Telaga Punggur ke Pelabuhan Tanjung Pinang dengan harga tiket pergi balik adalah 90,000 Rp dan harus menambah 5,000 Rp untuk tax apabila melewati gerbang keberangkatan. Untuk jalan mudah, sejumlah wang dikutip daripada setiap orang sebagai modal untuk perbelanjaan agar waktu pembayarannya lebih mudah dan tidak memeningkan malah menjimatkan masa pengurusan pembayaran.


Mengintai di sebalik pagar besi di pinggir jeti di Telaga Punggur ini, membuat aku tidak menyangka kerana airnya begitu jernih dan tidak ada sampah. Tidak sama seperti jeti yang lain seperti kebiasaannya. Dengan sudut positif itu tadi, sedikit sebanyak menambah rasa teruja untuk meneruskan perjalanan. Waktu sebegini, dalam perjalanan feri adalah waktu yang sesuai untuk berkomunikasi dan kerana ingin lebih santai, kami memilih untuk menghirup udara dan duduk di luar sahaja. Kami melupakan bunyi enjin yang agak kuat dan berusaha bercakap dengan nada yang tinggi apabila bercakap. Itu sangat gigih. Aku boleh simpulkan bahawa rata-rata mereka ini sangat terbuka dan peramah lebih-lebih lagi kepada orang luar seperti kami berempat. Oleh kerana itu, tidak ada rasa janggal untuk bercakap dalam bahasa Indonesia mahupun bahasa Malaysia dengan dialek bahasa pasar. Terdapat banyak perkongsian pendapat dan bahasa yang dapat dilihat menerusi pertalian seperti ini. Bagi aku, orang Indonesia ada keunikkannya sendiri. Selain rasa berbangga dengan sikap terbuka mereka ini dengan mengamalkan ketaksamaan gender mahupun bangsa, mereka juga mempunyai semangat nasionalisme yang kuat dan rata-rata yang aku kenal setakat ini sangat teransang untuk berhijrah ke kota luar, tidak takut untuk meneroka tempat baru luar daripada kotak selesa.

Mungkin ini adalah semangat anak muda Indonesia yang patut kita serapkan kepada anak muda di tanah air. (Angguk-angguk kepala)

Apabila terasa penat berbicara, aku membawa diri ke suatu sudut dan duduk menikmati angin yang bertiup menyisir rambut aku yang agak kerinting. Sambil membayangkan tentang apakah rangka perjalanan untuk seterusnya, aku memejamkan mata dan kadang tersengih apabila membayangkan perkara menarik yang aku ingin lakukan buat meneroka Jawa Timur Indonesia nanti.

Sesudah sampai di Jeti Tanjung Pinang, kelihatan sampan kecil nelayan melewati melabuhkan jaring. Perkampungan nelayan di samping-samping pantai dan rumah-rumah air bagaikan cendawan, menyakinkan aku lagi bahawa di sini masih ada ikan-ikan yang boleh dimakan dan tidak tercemar. Tetapi pada kebiasaannya, di mana ada jejak manusia, disitu ada jejak sampah yang ditinggalkan.

Kami bersebelas meluru lurus ke hadapan sehingga sampai di pintu utama Jeti Tanjung Pinang. Suara-suara mengajak untuk naik teksi kami endahkan. Keluar sedikit daripada pintu gerbang, beberapa kenderaan minibus yang dipanggil angkot mula menawarkan harga-harga untuk ke pantai Trikora 3 di kilometer 41 daerah Gunung Kijang.

Kami bernasib baik mempunyai seorang 'negotiator' yang hebat untuk mendapatkan harga angkot seminimum yang boleh. Akhirnya, kami mendapatkan angkot dengan bayaran 300,000 Rp hantar dan jemput yang boleh memuatkan 11 orang walaupun agak penuh. Perjalanan di dalam angkot dengan pintu yang terbuka luas menambah seru. Pak De Boler ialah empunya angkot berasal dari tanah Jawa. Dia memutuskan untuk memasang lagu Jawa dengan tidak semena-mena dan itu sangat lucu. Perjalanan 1 jam setengah kami dihiburkan dengan lagu Jawa yang sedikit membuatkan antara kami yang terasa ingin bergoyang pinggul. Kalau didengarkan lagu Jawa, bahasanya unik. Terasa rugi kerana tidak belajar bahasa Jawa daripada Mak Abah dari kecil.

Shady Shack agak mudah ditemui di sisi kerata betul-betul terletak di sisi kiri jalan dari Tanjung Pinang menuju ke Trikora, Kira-kira selepas melewati dua jambatan berwarna kuning diraja, anda sudah menghampiri Trikora atau Gunung Kijal. Sepanjang jalur ini berderetan pokok kelapa berdiri condong seakan menyambut kedatangan pengunjung yang datang ke sini. Pak De Boler sebenarnya tidak pasti atau lebih tepat tidak tahu kedudukan Shady Shack mungkin kerana tempat ini tidak terkenal di kalangan pengunjung yang lain. Jika anda pergi sendiri atau menaiki angkot, terdapat satu pondok kecil bertulis Shady Shack di bahu kiri jalan. Terima kasih instagram kerana menjadi sumber utama dalam misi mencari lokasi ini. Mungkin tak ramai tahu, instagram bersama hashtag sangat berguna. Bukan setakat  lambakkan foto selfie yang bisa buat orang lain memuntahkan sesuatu.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, boleh hubungi pemilik Shady Shack, iaitu Pak Lobo di talian +62 813 6451 5223.


Sesuatu yang membuatkan tempat ini istimewa adalah ruangnya yang minimalisme dan cukup selesa buat mereka yang inginkan kesederhanaan, tidur berkelambu sambil dibuai bayu laut dan deruan ombak. Oh, hanya Tuhan saja tahu nikmatnya hidup kalau hari-hari dapat begini.


Tidak banyak yang dapat dilakukan di Pantai Trikora 4, tetapi pemandangan batuan pantai dan pantainya yang tampak panjang apabila surut adalah sesuatu yang boleh disaksikan pada lewat petang. Cukup sekadar menikmati otak-otak kiriman Pak Den Boler, kami duduk bertenggek bagai kan sekawanan burung di atas batuan besar menghadap pulau kecil yang tidak dapat dikenalpasti. 


Antara sebab mengapa aku selalu tidak memilih untuk bermalam di resort atau chalet yang terbina elok ialah kerana suasananya yang terkadang membuatkan aku rasa terlalu selesa dan itu membosankan. Cukuplah sekadar ada alas tidur dan sumber makanan, itu sudah cukup sempurna.

Oleh kerana kesal dengan sunset yang tidak kelihatan, atau mungkin salah tafsir, kami terus membilas badan dengan bayaran 3,000 Rp per orang untuk fasilitas kamar mandi. Mungkin aku tidak perlu menyatakan tentang ini. 

Pak Den Boler yang sejak dari tadi sanggup menunggu kami, mula menhinjak platform kaki, membuka ruang udara dan memaksa piston enjin menderum laju membawa kami ke Restoran Rumah Kelong, 15 minit daripada Pantai Trikora 4. Aku sebenarnya tidak menyangka makan malam kami semewah ini kerana disajikan dengan sajian istimewa seperti gong gong, cumi goreng butter, dan ada satu jenis udang yang aku lupa namanya. Makan malam untuk 11 orang ini cuma 947,000 Rp. Pengsan.

Malam itu, unggun api menjadi teman dan usaha mengumpulkan kayu api dan menghidupkan api adalah berkat usaha teman-teman yang kononnya bersemangat ingin mewujudkan suasana 'campfire'. Malam itu, selain menikmati saat menggigit marshmallow hangat yang meletup dan cair di mulut, kami bertungkus lumus menggoreng keropok ikan dari Terengganu dan juga berkerjasama memakannya. 

Acara pada pagi hari Ahad ialah snorkeling ke Pulau Beralas Pasir dan sekitar Pulau Nikoi. Objek menarik yang dapat tatkala muncung boat memotong jaluran ombak ialah rumah kelong yang tersergam indah di tengah-tengah lautan. Mungkin bagi orang lokal, rumah kelong ini adalah hanyalah sebuah pondok kecil yang terbuat daripada kayu, tetapi bagi aku, iainya ialah sebuah senibina yang menjurus kepada kebudayaan orang setempat yang perlu dikekalkan. 

Roy selaku orang yang dengan rela hati membawa kami snorkel ke pulau yang indah nian ini, sedikit sebanyak memberikan informasi bagaimana rumah kelong ini ditarik oleh boat peninda dan dipindahkan daripada satu lokasi ke satu lokasi. Mungkin juga kerana rumah kelong ini sebenarnya ditunda untuk mengejar seumpulan ikan atau ditempatkan ke sarang ikan yang bertepatan buat sesuatu musim. 

Wira Adi Dharma atau aku panggil dengan gelaran Mas Adi, merupakan pemuda kelahiran Indonesia yang kayaknya sudah bermaustatin di Tanjung Pinang beberapa tahun dan lebih tahu tentang lokasi-lokasi snorkeling dan free diving di Kepulauan Riau mahupun di luar kota Melayu ini seperti di Pulau Anambas dan sebagainya. Tidak cukup masa yang dapat aku habiskan bertanya dan bersembang tentang keindahan gunung dan lautan di Indonesia bersama Mas Adi kerana dia membawa satu lagi boat bersama teman-teman yang lain ke Pulau Penyusuk. Mas Roy Fadhli atau Roy lah yang membawa kami melongsori segenap Pulau Beralas Pasir, Nikoi sehingga sore sebelum kami pulang semula ke Batam.

Kebetulan Mas Roy adalah pemuda kelahiran Lingga dan perbualan kami tentang Gunung Daik Bercabang Tiga, dan tentang Lingga sendiri banyak bersangkutan dan nampaknya dia lebih tahu tentang tanah kelahirannya. Boleh jadi, visi jangka masa pendek aku untuk menjelajahi Kepulauan Lingga berkemungkinan akan menjadi kenyataan.

Kesimpulannya, trip ke Trikora ini berjaya dengan bajet 755,200 Rp per orang termasuk makan dan minum. Hasil usaha Pak De Boler memecut laju angkotnya, kami berjaya mendapatkan feri terkahir ke Telaga Punggur pada jam 6.00 petang. Sate Kendal menjadi santapan makan malam kami sesampainya kami di Kota Batam. 

Lebih seru, perkenalan dengan teman-teman yang baru aku kenal di sini langsung bertukar menjadi rapat setelah trip ini. Dedikasi saya berikan terhadap teman-teman saya yang baru dan tidak terlalu baru kenal iaitu, Pungky, Cipta, Tomo, Nadya, Victor, Esdelyn, Syahera, Hamizan, Jonathan dan Randi serta Pak De Boler angkot dan otak-otak (bisa dihubungi +62 812 6165 1566) Mas Adi, Mas Yusuf dan Mas Roy (Instagram: Markitrip) yang sudah secara tidak langsung, bersikap terbuka dan memeriahkan trip pada kali ini. Cihuy!

Lari Keliling Tanpa Medal - Batu Ampar - Pantai Batu Merah - Sengkuang

Sebenarnya sudah lama rasanya tak berlari keliling kampung macam pagi tadi. Tiada yang lebih bermakna bila dapat meluangkan masa untuk diri sendiri lagi-lagi pada hari di mana kau tak perlu pecah kepala memikirkan hal kerjaan yang tak berpenghujung. Orang kata, berlari adalah salah satu cara untuk meneroka sesebuah tempat yang asing. (Pasang lagu Scare Away The Dark - Passenger).
 
 
Tahun lalu, aku mengambil keputusan untuk mengeluarkan sedikit modal untuk mendapatkan kasut joging yang elok untuk tujuan ini. Semua ini adalah kerana terpengaruh dengan idea yang tertanam dalam buku "Born to Run" dimana penulisnya, Christopher McDoughall dengan keras menekankan persoalan dalam setiap halaman buku ini, bagaimana orang boleh berlari dengan laju tanpa rasa sakit? Persoalannya ini membawa dia ke sebuah pengembaraan yang panjang dan mengagumkan. Kalau nak tahu, aku berangan sampai ke hari ini untuk menjadi pelari dalam dunia aku sendiri, tanpa perlu mendaftar untuk pertandingan larian mahupun mendapatkan medal sebagai token. Aku mahu lari untuk diri sendiri. Ya. Banyak sangat bermimpi.
 
Kedengaran seseorang memanggil nama aku dari jauh. Aku memberhentikan langkah dan menoleh. Dalam hati aku, siapa pula yang ingat lagi rupa aku di daerah ini? Kerana aku sudah lama meninggalkan tempat ini lebih kurang satu tahun enam bulan yang lalu sebelum kembali semula ke sini pada awal Febuari tahun ini.

Mata aku terkebil-kebil merenung dekat wajah seorang lelaki yang memberhentikan motosikalnya di samping jalan.
 
Sesat.

Pentas Sunset di Tanjung Uma

Oleh kerana pelan asal ke Pantai Nongsa dan menaiki pompong ke Pulau Puteri tidak kesampaian, jadi kami mengambil keputusan untuk mengisi kekosongan hari minggu dengan bermotosikal mengelilingi Tanjung Uma. Rumah-rumah apung di perkampungan nelayan Tanjung Uma ini terisi  dengan masyarakat asli Melayu Kepulauan Riau, Batam Indonesia yang sudah lama bertapak di sini dan bisa jadi, sudah mencapai beberapa keturunan. Melihat keadaan persisiran laut Batam, membuat aku tertanya, berdayakah masyarakat di sini menjadikan tangkapan ikan sebagai nadi sumber rezeki mereka? Bukan saja ingin menghabiskan waktu, tetapi aku ke sini untuk mencari bentuk apakah kejutan yang bisa tempat ini sajikan.
 
Menunggang motosikal adalah cara terbaik untuk memasuki ceruk perkampungan ini kerana jalan aspal (Aspal ialah jalan bertar dalam bahasa Indonesia) yang kecil dan tidak berturap elok. Jalur utama memasuki Kampung Tua, Tanjung Uma terletak di persimpangan tiga secara spesifik di Lubuk Baja, berdekatan dengan Pasar Jodoh. Agak tercabar dengan jalan masuknya yang berbukit dan mencanak. Sebelum menghampiri pintu gerbang Kampung Tua, Tanjung Uma, di sisi kiri jalan terdapat warung makan atau angkringan sesuai untuk sesiapa yang ingin menikmati pemandangan di atas bukit. Sisi kanan jalan ini kelihatan puluhan kapal instalasi dan tongkang 'Flat Barge' melabuhkan sauh di perairan kota industri Batam. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, seakan menyisir rambut. Terdapat beberapa orang pemuda pemudi berkencan di kawasan tebing ini. Aku cuma tersenyum melihat telatah mereka dan kadang mentertawakan diri sendiri.
 
Setelah melepasi pintu gerbang, kami jalan menuruni bukit yang agak curam dan melepasi rumah-rumah penduduk sisi kanan dan kiri jalan. Suasana petang sama seperti di kawasan perkampungan, ibu-ibu asyik berkumpul di berandah rumah sambil menggendong anak sementara para suami ada yang sibuk bertukang dan ada yang duduk menikmati kopi. Beberapa kedai runcit kecil di kiri dan kanan titi berkayu menjual jajan. Agak teruja kerana kedai runcit ini menjual beberapa jenis jajanan yang pernah wujud waktu zaman aku kecil lagi. Mengingatkan zaman kanak-kanak.

Jalan semakin mengecil dan akhirnya melewati kawasan rumah-rumah apung. Halamannya dipenuhi boat dan sampan. Hari ini nampaknya air surut teruk sehingga menampakkan timbunan sampah botol, kertas, plastik dan sisa makanan. Boat dan sampan juga terduduk sepi di atas timbunan sampah. Agaknya ini kesan musim kering tak hujan ditambah air surut. Sesekali, kami ternampak tikus bersaiz penumbuk meniti timbunan ranting dan kayu. Dari sini, Pasar Basah Jodoh terlihat di seberang. Mungkin kalau air pasang, sampan atau boat boleh digunakan untuk melintas ke pasar di seberang. Pemandangan sebegini indah bagi aku kerana disini lebih manusiawi. Menjadikan ini sebagai latihan untuk mengenal jati diri.   
Apabila melewati sepanjang jalan titi kayu, kami terserempak dengan anak-anak kecil berlari-lari di celah-celah rumah apung di atas titi kayu seolah-olah melewati ruang 'Maze'. Ada juga yang mengambil kesempatan air surut, memanfaatkan kawasan lapang untuk dijadikan padang permainan bola sepak dan memberikan ruang yang cukup luas untuk mereka berlari-lari menerbangkan layang-layang. Melihat telatah mereka agak melucukan.

Tanjung Uma bagi orang lokal mungkin adalah tempat yang biasa mereka lewati hari-hari. Bagi aku, tempat ini sedikit sebanyak memberi gambaran warisan kampung nelayan terdiri daripada orang dan warisan Melayu yang ingin dikekalkan setelah beberapa kali desas desus diugut untuk digusur. Beberapa tahun lalu, berita sebegini sering menjadi buah mulut orang di kantor. Aku sedikit sebanyak dapat mengikuti khabar angin dan memahami arena politik setempat.

Kemajuan seharusnya ada, tetapi cara untuk memastikan pembangunan itu mampan adalah bukan sesuatu yang mudah. Aku percaya, masyarakat yang tinggal di sini inginkan perubahan, namun mereka sendiri juga harus mengubah cara fikir. Mulakan dengan membuang sampah ditempatnya.  
Kami cukup beruntung kerana menemukan tebing batuan granit yang menyajikan pemandangan sunset tidak jauh dengan pintu gerbang Kampung Tua, Tanjung Uma. Untuk ke tebing ini, harus merentasi kawasan lalang panjang. Tidak terlalu jauh dari jalan utama. Kawasan berbukit dan berbatu inilah menjadi pentas kami pada senja hari itu, untuk menonton sunset.
 
SubhanAllah.  

Laluan Sutera - Segmen II

Singapore - Kuala Lumpur - Xian - Jiuzhaigou - Lanzhou - Zhangye - Dunhuang - Xian - Kuala Lumpur - Singapore

Kota berdebu dan beku. Itulah yang dapat aku simpulkan tentang kota ini atau mungkin cuma aku. Kota ini mungkin lebih daripada apa yang aku sangka kan kerana mengikut cerita, kota Lanzhou ini pernah menjadi tempat persinggahan Marco Polo selama setahun dalam pengembaraannya. Kota ini juga pernah menjadi laluan perdagangan yang sangat sibuk dari Mongolia, Tibet dan Sichuan.

Ini adalah sambungan daripada Laluan Sutera - Segmen I

Perjalanan dari Jiuzhaigou merentasi kota-kota kecil daerah Sichuan menjadikan perjalanan selama lebih 8 jam agak kelelahan. Beberapa kota yang aku dapat catat apabila ternampak papan 'signboard' ialah Mianyang, Longnan, Hejiabaoxiang, dan Xiangfangya. Sepanjang perjalanan, kami dapat menikmati himpunan gunung bertopikan salji dan padang tandus. Tidak ada pohon tinggi yang tumbuh selain rerumput halus menjadi santapan Yak, iaitu sejenis kambing gurun yang hidup di sempadan pergunungan Himalaya ini. Oleh kerana tiada pohon atau semak, aku dikejutkan dengan aksi pemandu lori yang tidak segan silu berak di tepi jalan. Cuma lori kecil mereka menjadi penghadang. Pertama kali melihat separuh punggung manusia di tepi jalan. Pengalaman yang menjijikkan.

Tiba di sebuah lagi kota kecil, bas ini mengutip penumpang terdiri daripada sebuah keluarga Muslim kerana lelakinya berkopiah dan berjanggut. Wajah isterinya yang berhijab bersama dua anak kembar yang nampak sangat oriental, menimbulkan sedikit rasa teruja kerana ada juga orang Islam di sini. Tak majoriti tetapi boleh dikatakan, mereka ada di mana-mana. Semasa mereka menaiki bas, aku mengucapkan salam tanda perkenalan dan perasaan persaudaraan sesama agama betul-betul dapat dirasai ketika itu kerana berada di sebuah tempat yang jarang kali berhubung dengan dunia luar.

Beberapa kali, bas yang kami naiki terhenti kerana segerombolan Yak melintas bersama-sama bau hamis dan jika dilihat, bulu-bulu mereka persis karpet Bangladesh yang popular diborong warga ibu-ibu di Malaysia. Yak bukan sahaja menjadi binatang penunggang barang, tetapi diternak untuk dijadikan sup daging khusus. Boleh kata, setiap kali kami singgah di warung makan hampir setiap laluan Sutera ini, ada menyediakan menu sup daging yak. Pertama kali menjamah mee sup daging yak adalah di Jiuzhagou. Enak dan lembut. Setelah meninggalkan Lanzhou, aku tak menyangka rupa-rupanya Lanzhou merupakan kota yang popular dengan invensi 'mee tarik' yang dibuat secara manual menggunakan tangan beberapa abad dulu. Tidak rugi kerana dapat merasa menu berasaskan mee tepung di kota ini seperti yang diceritakan walaupun kuahnya agak berminyak.

Separuh perjalanan, bas berhenti di sebuah kawasan pergunungan yang tidak ada apa-apa cuma sebuah stesen minyak dan warung makan entah apa. Keluarga muslim tadi juga menuruni bas dan kami mencicip makanan di warung setelah memastikan ada makanan halal disediakan. Kami berempat tidak semua muslim jadi Victor dan Kartika tadi tidak mempunyai masalah tentang makanan. Oleh kerana persefahaman, mereka sering mengalah apabila membuat keputusan untuk menetapkan tempat untuk makan. Sangat berterima kasih kerana memahami.

Aku keluar dari warung makan tersebut untuk mengambil angin di luar walaupun di luar terlalu sejuk dan di dalam agak hangat. Oh ya, mujur bas yang kami naiki lengkap dengan mesin pemanas. Sepanjang di dalam bas, suhu sangat optimal dan selesa. Dua anak kembar keluarga muslim itu tadi sempat beraksi kencing di luar. Aku tersentap. Mungkin di sini sudah terbiasa dengan adegan seperti itu. Setelah ibunya mencuci anu mereka, mereka terus berlari ke arah anak kambing yang sedang asyik meragut rumput. Tak pasti sama ada kambing biasa atau anak yak.

Si pakcik tua yang berjanggut dan berkopiah juga menghampiri kambing tersebut dan mengatakan sesuatu dalam bahasa Mandarin seolah-olah mengajarkan sesuatu kepada cucunya. Kami sama sekali tidak faham Mandarin tetapi sedikit sebanyak hasil belajar asas Mandarin dulu dengan Puan Chan, itu sangat membantu sepanjang perjalanan di negara sebesar hampir separuh benua Asia ini. Aku mengangguk kepala.

Tua dan Sensitif

Tak pernah rasa terlalu sensitif seperti sekarang. Mungkin aku sudah mencapai proses penuaan dengan drastik. Aku perlu botox dan jamu. Untuk kekal awet muda secara natural dan paksa.

Cuma Air Pancur Muka Kuning

Tidak sabar sebenarnya untuk melongsori sejarah Kepulauan Lingga dan mendaki ke puncak Gunung Daik yang bercabang tiga. Menerbitkan rasa gembira sekiranya aku dapat menunaikan hajat sendiri untuk berkunjung ke daerah peersejarahan orang Melayu ini. "Pulau Pandan jauh ke tengah, gunung Daik bercabang tiga." Ungkapan ini bukan rekaan semata-mata tetapi ratusan tahun membuktikan bahawa tempat ini benar-benar wujud.
 
Beberapa hari lalu, aku menjumpai beberapa keping foto membingkai keindahan Kepulauan Lingga di Instagram. Maaf, bukan terjumpa tetapi mencari. Kerana terlalu ingin pergi, aku mula mendapatkan nombor kontak seorang penduduk lokal di sana, yang dipercayai mempunyai sebuah organisasi tak rasmi dinamakan 'Rumah Hutan'. Semacam backpacker's hotel yang memberikan fasilitas buat mereka yang ingin mengembara di tanah subur Lingga ini.
 
Untuk sampai hari ini, cuma Air Pancur Muka Kuning mungkin menjadi destinasi permulaan buat mengisi hujung minggu. Pertama kali ke sini, aku tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana tidaklah setinggi mana bukit di Kepulaun Riau ini. Maka aku memandang kewujudan air terjun atau kawasan tadahan air di daerah ini. Lagi pula, beberapa akhir pekan ini, hujan seakan merajuk pergi tak turun lagi. Perjalanan ke Kampung Aceh, bertentangan dengan Batamindo Plaza, adalah lokasi permulaan untuk menuju ke 'pintu masuk' air pancur Muka Kuning. Dari sini, perjalanan memakan masa 30 minit dengan berjalan kaki, menuju ke parkiran motor atau kawasan lapang sedikit di 'pintu masuk'. Berhati-hati melalui kawasan perkampungan 'ruli' atau rumah liar ini kerana aku tidak begitu yakin kalau mahu parkir motosikal di sini atau apa jua kenderaan. Beberapa kelibat orang muda yang menjadi tukang jaga parkir mengenakan bayaran 3,000 Rupiah. Sesuatu yang buat aku terfikir bagaimana bersungguh-sungguhnya warga lokal di sini berusaha mencari sesuap nasi. 'Merompak' peluang, tidak seperti di beberapa sudut bucu Malaysia, ada yang masih memiliki tubuh sempurna tetapi menagih sedekah daripada orang.

Perjalanan merentas empat anak sungai atau kawasan paya sedikit mengujakan. Laluan batang kayu merentasi denai dan tasik empangan Muka Kuning menjadikan trek ke air pancur Muka Kuning agak menarik. Setelah berjalan 15 minit, kami sampai di kawasan bukit 'botak'. Dari atas bukit 'botak' ini, dari jauh, kelihatan kawasan paya yang ramai dengan rerumput seolah-olah padang savana dan payanya dihiasi dengan beberapa cerucuk pohon kering tak berdaun. Tampak mistik seperti dalam adegan pertarungan Raja Palembang dengan Hang Tuah dalam filem Puteri Gunung Ledang.

Menuruni Bukit Botak ini, dari samping kiri, terdapat jalur pagar dawai hijau yang lompong. Laluan sepanjang pagar hijau ini akan membawa ke sebuah laluan sepanjang empangan tasik atau 'dam' dengan bahasa panggilan orang lokal. Pemandangan di sini agak tenang kerana hampir 50% pemandangan adalah air tasik dan sungguh tak ramai orang yang lalu lalang di sini. Mungkin aku silap. Hari minggu, orang bangun lewat untuk melakukan segala aktiviti.

Terdapat satu spot menarik di sini. Sebatang kayu mati sepemeluk terdampar di gigi air. Aku terus melulu meniti batang kayu tersebut sambil mata tajam memerhati di hujung tasik. Tak ada apa yang dapat dilihat selain pemandangan yang mengkagumkan. Spot ini sesuai untuk dirakamkan dalam bentuk foto.

Setelah melalui empat titi terbuat daripada kayu, untuk melintas paya dan anak sungai, kami sampai di lokasi air pancur Muka Kuning yang mungkin tak semua orang di Kepulauan Riau ini tahu kewujudannya.

Ramai menyangka, tempat ini 'kotor' dan agak berpuaka. Berdasarkan pembacaan dan reaksi orang apabila aku terpacul menyebut istilah 'Muka Kuning'. Ceritanya kerana ramai perempuan 'kilang' yang suka menggoda para lelaki yang berpakaian 'Coverall'. Dikatakan merekan ini melihat poket penuh wang bukan kerana suka-suka. Itu cerita orang. Kata orang tidak akan bermakna betul sekiranya kita tidak melihat sendiri. Eh?

Lupakan.

Menyelinap di sebalik denai dan belukar, kelihatan beberapa khemah atau ponco didirikan di sebuah kawasan lapang berhampiran dengan air pancur tersebut. Tidak menyangka di pulau industri yang nampak gersang ini, ada  juga spot menarik dan boleh tahan penuh dengan kehijauan. Orang Putih kata, 'not bad'.

Air pancur di sini tidaklah betul-betul 'air terjun' tetapi lumayan untuk terjun dari ketinggian 4 meter dengan kedalaman air 5 meter. Boleh tahan. Airnya tak begitu jernih kerana refleksi lumut batuan bongkah. Agak licin jika tidak berhati-hati.

Sambil berendam, kami menjamah bekalan roti, biskut 'anu' buah tangan dari Bali dan cokelat bar. Setelah dua jam, kami pulang. Melalui denai dan jalur yang sama. Setelah tiba di Bukit Botak tadi, terdapat paya atau tasik pohon kekeringan. Kami terpaksa menuruni tebing tanah merah yang sebenarnya tidak ada laluan khusus ke situ. Terdapat padang rerumput seperti savana sebelum menuju ke kawasan paya. Di sini agak kering dan terasa gersang tetapi ditutupi dengan ketenangan.

Dengan memutuskan untuk tidak melalui Kampung Aceh, kami sesat memasuki sebuah kilang industri Shimano melewati pagar hijau berlubang. Akibat terlalu optimistik, kami ditahan satpam atau guard kilang apabila hendak melewati pintu pagar hadapan. Dengan penuh tidak malu dan buat-buat rasa tidak bersalah, kami menerangkan perkara yang sebenar dan akhirnya dilepaskan tanpa perlu bayar wang sogokkan. Begitulah cerita menarik pada hujung minggu ini. Aku nak tidur.
 

Wah!

Agak-agak lah, berapa lama aku boleh betah di sini? Hidup nomad, tanpa ketetapan. Mungkin lagi 6 bulan, semuanya akan berubah. Aku tahu, hidup bertambah seru jika dipertaruhkan. Perkara ini lah yang menjadikan aku rela bernafas dan menjadikan setiap nafas aku tiap bangun bagi bertujuan untuk mengharung ketidakpastian. Aku sering meletakkan diri aku dalam drama atau cerita pengembaraan dalam layar kaca atau novel. Bukan sahaja dapat menutup kesepian yang sering kunjung, tetapi membentuk hidup dan mati dengan makna. Tiada masa senggang, beerti tidak berada dalam kerugian. Ah, ini terlalu sering diperkatakan orang. Berhenti kerja, lakukan sesuatu. Aku berpendapat, 10 tahun bekerja dalam perangkap samar ini mungkin cukup untuk mengumpul ongkos buat menciptakan cita-cita baru. Wah!