Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Sesat


Baiklah. Situasi yang aku nak ceritakan begini. Ada beberapa orang sahabat sedang merancang ingin menuju ke sebuah destinasi. Destinasi itu perlu melalui beberapa laluan atau arah. Memanglah setiap destinasi ada jalannya. Malangnya, semua tidak tahu arah mana ditujui. Maka seorang sahabat bertanya kepada seorang sahabat ini.

"Kita nak ke arah mana ini?"
"Aku rasa kita ke arah sini sebab mungkin kita akan menuju ke pencawang itu. Aku rasa kita akan lebih dekat dengan destinasi itu."

Selepas jalan ke arah itu. Malangnya tiadalah sampai ke pencawang itu, tapi bisa dilihat dari jauh.

"Eh, kenapa kau ikut arah ini. Salah arah ini. Kita ke arah mana ini?"
"Tak apa kita cuba ikut jalan itu. Nampaknya boleh sampai ke sana. Pencawang itu pun kita dah nampak"
"Engkau ni main cakap saja. Sampai sesat sekarang."

Kalau si sahabat ini tahu, tidaklah dia bersusah payah memikirkan jawapan kepada soalan pertama sahabatnya itu. Paling bangsat dia berfikir bagaimana caranya untuk ke destinasi itu. Bukan mengharapkan orang lain untuk dipersalahkan.

Menerima Sepucuk Surat Pada Hari Ini


Kita menjadi budak dalam negeri kita sendiri. Menerima orang lain pada hari ini seperti menerima sepucuk surat daripada pegawai kerajaan. Menerima orang lain pada hari ke 29 dalam bulan Febuari, pada tahun lompat, seperti menerima sepucuk surat daripada seorang rakan. Bahasanya lebih mengicau.

Menerima orang lain sebenarnya seperti minum susu ibu. Tak pula kau tanya berapa banyak kandungan laktosa, fosfolipid, atau kolostrum, yang memberikan kau tenaga untuk berjabat tangan dengan orang lain.

Kedai DVD


Bila aku pergi kedai DVD, aku bukannya suka beli. Mungkin sebab sektor pemain DVD komputer riba aku ini masih berstatus tak boleh pakai. Mungkin juga sebab aku bukan seorang yang buas apabila membeli cakera berkeping-keping. Maklum juga sekarang ini zaman generasi Y yang kononnya semua boleh dapat melalui jaringan telekomunikasi tanpa batasan ini. Cewah. Ayat ini boleh buatkan orang yang lebih makan garam mencebik bibir mereka. Bukan apa, sebab itulah puncanya anak-anak muda sekarang (macam aku) susah sangat nak menghargai sesuatu yang di depan mata. Lebih suka menghargai facebook daripada menghadap muka Mak Abah siang dan malam.

Oh kedai DVD. Cantiknya kedai DVD adalah cantiknya koleksi kulit-kulit album filem lama, lagu-lagu, yang ada unsur-unsur klasik, seni moden dan sebagainya. Dalam kulit album ini kadang-kadang boleh menceritakan apa kandungannya.

Aku ada juga membelek muka depan kulit album lagu artis-artis barat dan tempatan. Semuanya ada nilainya. Kadang-kadang kulit-kulit album ini semacam memberikan aku inspirasi dan idea. Boleh buat rasa puas macam tengah tengok pameran seni. Aku tak tahu kenapa aku berkongsi rasa pasal ini. Tapi ini semacam ilham untuk buat kerja-kerja seni atau apa jua kerja yang lain. Memang betul orang kata hasil seni ini boleh bercakap dengan kita.

Jadi bagi aku, kalau belum lagi mampu atau amatur macam aku untuk menilai hasil seni-seni yang memang tahap dewa, boleh cuba jadikan kedai DVD ini sebagai tempat untuk panaskan badan menikmati dan mentafsir hasil-hasil seni. Macam-macam ada. Yang abstrak, yang realistik dan sebagainya. Entahlah. Tapi ini apa yang aku rasa.

Dua Fakta, Buat Aku Nak Balik Rumah!



Oh ya, gambar ini seingat aku merupakan gambar candid yang abah ambil. Waktu ini kami cuba buat gaya tidur-tidur ayam. Tapi aku cuba spoilkan, tiba-tiba menyengih!

Yang berbaju kelawar itu, emak aku. Selalunya baju ini dipakai oleh kaum perempuan ketika zaman itu. Selalunya akan dipakai sebagai baju tidur atau pijamas pada waktu malam. Gambar ini diambil sekitar tahun 1998 atau 1999, waktu zaman sekolah rendah. Kalau aku tak silap lah. Sesiapa yang pakai baju kelawar, dia berupaya untuk buat gaya terbang. Ada dua isi penting di sini, iaitu dipakai pada waktu malam dan boleh buat gaya terbang. Sebab itu baju itu dipanggil 'Baju Kelawar'.

Kalau korang tengok karpet di atas lantai itu mungkin agak serupa dengan karpet rumah kau. Coraknya yang popular ketika zaman itu membuatkan semua rumah nak ada karpet yang sama corak itu. (Ini andaian aku sahaja). Walau apa pun, fungsinya tetap sama, menjadi alas lantai supaya kau tak sejuk bila baring di atasnya. Maklumlah, dulu mana ada lagi batu mar-mar yang cantik-cantik. Yang ada cuma lantai simen macam lantai rumah aku, dan tikar getah berbunga jadi alas.

Baiklah aku rasa dua fakta ini sudah cukup buat aku rasa nak balik rumah!

Kick

Kalau nak minta sesuatu daripada manusia, kena urut-urut badan, mencebik muka, mulut muncungkan sikit, gesel-gesel kaki, atau urut-urut dompet. Tapi nak minta dengan Tuhan, kau cuma rapatkan 10 jari dan cakap apa yang kau nak. Minta dikurniakan nikmat ilmu yang lebih itu juga antara bentuk permintaan dan harapan yang sangat tinggi nilainya.

Aku memang pandai cakap dan tulis haha. Tapi pandai cakap dan tulis tak bermakna kalau tak dizahirkan tindakannya. Sekurang-kurangnya idea itu tertanam macam dalam Inception dan mungkin menerusi tulisan ini, berjaya menanam dan membaja idea di seluruh tanah subur minda orang-orang baca benda alah ini. Nampak kan bagaimana ilmu boleh berkembang menerusi penulisan.

Tapi itu apa yang buat aku terfikir sekarang dan rasa-rasanya berfikir itu mencantikkan dunia realiti kita pada hari ini. Kalau tak bosan lah wei. Seperkara lagi, orang yang mencipta matlamat, sebelumnya mereka pun tak ada matlamat. Jadi, masyarakat yang berilmu sekarang, sebelumnya mestilah tidak atau kurang berilmu, maka 'bacalah'.

Baiklah sekarang aku nak sedarkan diri aku sebab aku dah tanam idea kat minda sekarang, melalui mimpi aku, dalam mimpi aku semalam, dalam mimpi aku atas katil tadi dan dalam mimpi aku depan komputer riba ni. (Sedang memasang lagu 'Non, je ne regrette rien' untuk 'kick' )