Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Gang Dapur Bergerak

Sebaik sahaja melangkah masuk pintu pagar besi, kehadiran kami disambut dengan kelunakan suara anak-anak kecil bersama taranum bacaan ayat suci Al-Quran seakan mengembalikan memori dulu ketika duduk bersila dan kaki hampir semut-semut untuk belajar mengaji di dalam ruang madrasah. Lidi sate disisipkan dalam surah terakhir yang dibaca pada hari itu, berfungsi sebagai penanda muka surat. Rihal Al-Quran daripada kayu menghasilkan bunyi hentaman apabila dilipat, dan seketika ianya mewujudkan seakan melodi perkusi. 

Kami melangkah masuk dalam lagi lantas bertemu seorang pemuda berjambang serta berbadan sedikit gempal yang sedang asyik menggoreng ayam. Tanpa perlu memperkenalkan diri dan bersalaman, dia lantas meminta tolong untuk membelikan dua botol Sunquick Tropikal, satu kotak air mineral berjenama khusus, empat bekas Nata De Coco, satu botol kordial sirap dan empat buah kantung ais. Oleh kerana suasana tiba-tiba bertukar menjadi seakan Amazing Race, kami bertiga bersama seorang relawan yang lain, bergegas ke kereta pemunggah miliknya.

Perkenalan yang cukup singkat.


Stering kereta pemunggah pacuan empat roda dipulas untuk memasuki sisi kiri sebuah gedung ais. Lori-lori putih penuh di dalam kotak parkir dan ada yang menyimpang sana-sini. Sekantung ais yang berbentuk silinder-silinder kecil digalas dan sempat merasa sejuknya Antartika di belakang tubuhku. Mujur pacuan empat roda ini, bagasi belakangnya cukup besar untuk memuatkan dua dozen air mineral, ais, dan segala bahan mentah yang diperlukan untuk menjamu kira-kira 40 orang anak-anak pelarian pada malam itu.


Aku sebenarnya lupa nama penggerak kepada gerakan ini kerana baru pertama kali mengikuti. Namun beliau cukup merendah diri. Hadi, selaku orang yang mengajak kami ke sini, menjelaskan dan bercerita tentang kehidupan mewah, bisnes yang memaksa beliau untuk berurusan dengan pelbagai bentuk situasi, sebelum beliau memulakan langkah untuk memacu gerakan Gang Dapur Bergerak. 

Beliau merasa hidupnya lebih tenang setelah mengambil keputusan untuk meninggalkan kejayanya yang sebelum ini, meninggalkan segala perusahannya yang bergelumang dengan perkara yang tidak jelas. Mungkin kita juga harus bertindak sekarang untuk sedaya upaya memaksimakan penglibatan dalam aktiviti sukarelawan kerana terlalu lama duduk empuk di atas bangku kantor.

Sesi makan malam menggunakan talam bermula. Aku mula memerhatikan sekeliling, melihat telatah anak-anak kecil yang begitu matang menjalani hidup tanpa ibu bapa. Setiap suapan nasi bersama lauk ke mulut, ada saja yang bermain di dalam fikiran. Pelbagai andaian apa yang akan berlaku setelah mereka semua merangkap dewasa. Selesai makan, Hadi membawa kami ke sebuah ruang kecil di sebuah sudut rumah lantai bawah. Sebuah almari bersama mural di dinding menempatkan beberapa buah buku bacaan buat anak-anak. Aku begitu kagum dengan usaha kelompok ini mewujudkan sudut bacaan santai selain seharian menghafal, membaca kitab suci Al-Quran. Tertarik untuk duduk membacakan buku, bercerita bersama-sama anak-anak ini jikalau berkesempatan nanti.

Malam semakin larut dan kami beransur pergi meninggalkan Maahad Tahfiz Al-Quran & Rumah Anak-anak Yatim Al-Sagaff sebelum berkenalan dengan sukarelawan-sukarelawan yang lain. 

Pertemuan yang cukup singkat tetapi bermakna. 

Kepada sesiapa yang ingin turut serta, boleh rujuk Facebook Gang Dapur Bergerak.

Kembara Keluarga di Sungai Lembing

Perjalanan yang memakan masa dua jam dari Johor Bahru ke Bandar Mersing tidak terasa jauh kerana kami tak henti berbual. Jarang sekali dapat begini. Sengaja aku tutup radio dan membiarkan jendela terbuka menjemput masuk udara pagi yang segar membikin suasana sepanjang perjalanan cukup tenang. Apa yang buat aku bahagia apabila dapat menikmati Sabtu dan Ahad tanpa perlu berkerut dahi sendirian di kamar apabila memikirkan hal kerjaan. 

Warung Tawaduk di Persisiran Pantai Mersing

Misi pertama selepas Subuh Jumaat itu adalah untuk mengisi perut sebelum menempuh 5 jam perjalanan ke Sungai Lembing, Pahang. Boleh dikatakan kami cukup beruntung kerana dapat menikmati roti jala bersama semangkok kuah kari yang memanggil-manggil. Mungkin kerana hari Ahad, bandar Mersing pada ketika itu sunyi bagai pekan koboi. Tenteram seperti yang aku dambakan. Cewah.

Walau cuma sekadar pondok kecil di tepi pantai Mersing, warung sarapan yang tawaduk ini cukup memberikan pengalaman berharga buat kami sekeluarga pada pagi yang mendung kelabu itu. Maka tidak salah lah jangkaan bahawa warung tepi jalan yang paling buruk itu selalunya menghidangkan menu yang paling lazat. Saat yang paling mengingatkan ialah apabila dapat melihat emak abah duduk melayani kerenah cucu. Sesuatu yang akan aku kenang.

Setelah menyapu tisu percuma di mulut, membersihkan sisa kuah kari yang terselit di misai, kami bergegas ke kereta kerana tidak sabar untuk menyambung perjalanan. Memandu pada awal pagi adalah suasana yang paling sesuai berbanding terpaksa menempuh silau sinaran Matahari tegak di kepala serta bahang panas permukaan jalan. Melewati Pekan Rompin dan Tanjung Gemok, tempat berlabuhnya feri dan kapal-kapal nelayan ke Pulau Tioman khususnya selain pelabuhan feri utama di Mersing. Kenangan yang paling berharga di Rompin ialah ketika berpeluang meratah lempeng kelapa sambil menikmati bayu darat persisiran pantai Rompin. Malangnya aku tidak berkesempatan untuk memberikan pengalaman yang sama buat keluarga kerana hampir lupa jalan menuju ke lokasi lempeng kelapa, beberapa tahun yang lalu. 


Daripada Rompin, kami memasuki sebuah daerah yang terkenal dengan jolokan bandar diraja, iaitu Pekan. Tidak banyak yang aku tahu tentang daerah ini tetapi seperti kebiasaannya 'bandar diraja' akan dihiasi dengan bangunan-bangunan istana diraja serta masjid diraja yang sengaja dihiasi dengan segala keistimewaan senibinanya. Pertama kali singgah di Pekan dulu ialah ketika menumpang saudara untuk pulang ke Gebeng. Paada ketika itu, kami melalui jalan kampung persisir pantai atau bakau menuju ke UMP Pekan yang juga sengaja dibina di lokasi yang sering dikepung oleh kumpulan lembu dan kerbau peliharaan. Maka tidak terperanjat jikalau ternampak tompok-tompok tahi kerbau atau lembu di atas pentas lebuhraya Pekan-Kuantan. Lebih lucu apabila ada di antara tompokan lembu itu muncul tunas pohon yang kelihatan subur. Ianya tumbuh bagaikan sebuah harapan. Maksud aku, kalau semua dunia musnah, maka mungkin ini adalah tompok-tompok harapan seluruh umat manusia untuk mengekalkan flora dan fauna jikalau sudah tidak ada lagi tanah subur.

Aku memang begini. Selalu meyimpang jauh apabila beroleh peluang berada di ruang fikir seperti dalam perjalanan jauh mahupun di ruang alam, gunung, pantai, sungai atau tasik. Bagi sesetengah orang, termenung itu akan menjurus ke arah psycho atau pecahan personaliti yang berkecamuk. Tapi, tergantung kepada individu itu sendiri ianya menjurus ke arah positif atau negatif serta kawalan minda. Macam orang dulu-dulu bertapa di dalam hutan, seperti biksu Buddha yang bertafakur dalam pakaian jingga dan seperti kisah Nabi Muhammad S.A.W. yang berkhalwat di dalam  Gua Hira. Aku yakin, dengan melaksanakan ini, akan beroleh sesuatu yang bermanfaat atau dengan kata lain, sebuah perkataan kegemaran aku, iaitu keajaiban.

Khayalan aku terputus. Kami belok ke simpang kanan setelah melewati Kem Askar masuk ke arah Sungai Lembing. Ini adalah antara petunjuk jalan masuk utama. Walaupun menggunakan Waze, aku rasa lokasi ini sangat mudah ditemukan kerana banyak papan tanda berwarna coklat terpampang ‘Sungai Lembing’. Ini pertama kali aku ke sini walaupun sudah sejak di menara gading lagi, para sahabat sibuk menggembar-gemburkan keindahan gumpalan awan di Bukit Panorama, Gunung Tapis, Air Terjun Pelangi dan sebagainya. Namun kerana batasan jarak, selama empat tahun bekerja di luar negeri, tidak banyak impian sendiri yang dapat aku tunaikan. Kerana itulah aku menyimpang ke haluan yang lain, secara automatik terlalu selesa melancong sendiri atau dalam kumpulan kecil. Rakan-rakan lama yang dulu sering mengadakan acara sendiri juga menghadapai nasib yang sama kalau tidak salah. Dunia kerjaya kadang-kadang agak kejam.

Tanpa mengendahkan keperluan untuk mencucuk kad ATM tadi membawa kepada penyesalan kerana di tempat pam minyak di sisi kiri masuk Sungai Lembing ini betul-betul seperti pekan cowboy. Nama pam minyak di situ juga tidak pernah aku dengar. Aku fikir, pasti ada sejarah khusus pam minyak ini seperti seorang tokoh yang membangunkan pam minyak ini suatu masa dahulu dan berapa lama ia sudah beroperasi. Dengan segan silu, aku menoleh ke arah tempat duduk penumpang dan membuat pengumuman tunai sifar. Ahli keluarga mengangguk dan seperti biasa emak mecagarkan wangnya terlebih dahulu. 

Setelah pemicu minyak kembali ke injap tutup secara automatik, aku kembali memicu minyak kereta untuk meneruskan perjalanan yang hanya tinggal 30 minit sahaja lagi. Jalan ke dalam agak berbelok-belok dan beberapa belokan tajam yang mungkin menguji sedikit pemanduan lebih-lebih lagi kalau kau rabun dan gagal memperbaharui kuasa penglihatan.

Solat Jumaat di Masjid Sungai Lembing

Di luar masih mendung dan isi masjid belum penuh walaupun sudah hamper pukul 1 tengah hari. Rata-rata di barisan paling hadapan adalah sosok-sosok warga tua yang jelas kelihatan tangan serta mukanya sudah berkedut. Sisi paling kiri sekali kelihatan dua orang warga emas yang kurang upaya untuk berdiri. Salah seorang daripada mereka baru sahaja melabuhkan punggung di atas kerusi pendek yang khusus tersedia, mungkin dia adalah tetamu yang tidak asing di sini setiap kali azan dilaungkan. Sebenarnya tidak sangka di Sungai Lembing ini terdapat sebuah masjid kerana melalui pembacaan di media sosial, pekan kecil ini banyak dihuni oleh masyarakat Cina. Tidak tahu tahun berapa masjid ini didirikan, tetapi terasa aura klasik apabila melangkah ke dalam ruang utama solat di samping sekitarnya terdapat rumah-rumah senibina Inggeris berwarna putih berlatarbelakangkan tebing tinggi dan satu sisi lagi Sungai Lembing yang mengalir tenang. Tepat pukul 2 tengah hari, kami akan bertemu dengan tuan empunya homestay bagi mendapatkan kunci kamar lalu menyumbat segala beg pakaian. 

Terowong Bijih Timah Sungai Lembing 

Terowong bijih timah sejauh 90m memberikan sebuah pengalaman baru kerana setiap kali melalui belokkan, kami disajikan dengan beberapa sudut yang sama tetapi isi ruang yang berbeza. Mungkin di sini tak hanya ruang orang-orang terdahulu membanting tulang, tetapi terisi dengan jiwa dan raga mereka demi keluarga tercinta. Bahkan, setiap ruang runtuhan serta rekahan batuan itu seakan memilki ceritanya sendiri. Berapa banyak tangan dan keringat yang membasahi ruang ini bersama beberapa bentuk geometri batuan keras. (bersambung)

Gua Charas

Gumpalan Awan di Bukit Panorama

Mee Jawa Kampung Pasir Kubur

Sungai Pasir Kubur

Kemaman 

Nasi Kukus Ayam Berempah 

Pantai Kemasik

Kopitiam