Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

The Blongkeng Riders Dalam Kelas Inspirasi Batam Hinterland Episod 2

Memulakan ketikkan papan kekunci laptop dengan foto ini, kerana terbawa perasaan dalam suasana malam bersama rintik-rintik air hujan yang berirama. Mengingatkan kembali rintik-rintik air hujan yang menyimbah di wajah saat menempuh laluan lopak air dan tanah merah menuju ke desa Blongkeng. Sejak dari pagi tadi hujan tidak berhenti menangis. Kalau sendiri di kamar, beginilah.


Memetik kata John Wood dalam bukunya "Leaving Microsoft to Change the World", "If you are thinking about making some adjustments in your life to allow you to help change the world, my hearfelt recommendation is not to spend to much time thinking about it. Just dive in." dan pada hari itu, kami telah 'dive in' ke dalam lumpur dan selut tanah merah demi mengubah dunia.

Secara amnya, Kelas Inspirasi Batam Hinterland ternyata memberikan pengalaman yang berbeza dibanding dengan Kelas Inspirasi Batam #5 yang lepas. Tidak cukup dengan keseruan perjalanannya, pertemuan dengan anak-anak hinterland yang luar biasa menyuntik lebih endorfin kecekalan kami kepada keseluruhan acara.  Fokus kali ini adalah bagi menyebarkan inspirasi kepada sekolah-sekolah dasar yang kurang diberikan perhatian dan terletak di kawasan yang sukar dicapai dengan pengangkutan awam atau terbatas. Selepas melepasi jambatan 4 Barelang, kelihatan beberapa kuntum payung yang kelihatan seperti cendawan muncul di samping jalan. Setelah beberapa kali diperhatikan, ternyata dibawah lindungan cendawan payung itu adalah anak-anak sekolah yang sedang menanti tumpangan ke sekolah.

Baju hujan yang kami sarungkan berkibar-kibar dengan kelajuan motosikal tidak melebihi 80 kilometer per jam bagi berhati-hati dengan keadaan jalan yang agak licin. Konvoi 9 motor daripada kelompok dua berbaris panjang membawa semangat yang luar biasa pada pagi itu. Beberapa kali kami berhenti bagi menghilangkan kebas di punggung. Dengan kapasiti membawa muatan barang seperti speaker, hadiah, alat-tulis dan makanan yang agak terbatas, kami sedaya upaya membahagikannya dengan sama rata. Kejadian seperti tayar motor yang terbenam dalam lumpur, menolak motor, dan berkaki ayam mengharungi lecak adalah antara adegan yang tidak dapat dilupakan. Bahkan, kaum hawa yang berstokin panjang, sanggup berjalan kaki beberapa meter dan beberapa kali kerana mengelak jatuh motor akibat jalan licin dan berbukit. Coklat dan merahnya tanah lecak seakan terpercik ke seluruh anggota tubuh badan seolah-olah memberitahu bahawa kita itu memang asalnya diciptakan daripada tanah. Mujurlah ahli-ahli kelompok dua ini semuanya gila-gila lantas membuatkan seluruh perjalanan tidak kering gusi dibuatnya.

Beberapa meter mendekati Sekolah Dasar Negeri 016 Blongkeng, kelihatan hamparan padang bola sepak yang terpotong dua oleh laluan tanah yang botak tanpa rumput akibat sering dijadikan laluan. Mungkin laluan ini menunjukkan sabuan tahun menjadi laluan pejalan kaki anak-anak sekolah di sini pergi dan pulang dari sekolah. Jejak manusia di Bumi mungkin juga begitu. Terlalu banyak jejak yang kita tinggalkan dan ada kalanya merusak kelestarian.

Saat melangkah masuk ke kelas, beberapa anak kelas 1 dan 2 kelihatan masih polos termangu seketika melihat kehadiran kami di daun pintu. Mungkin mereka agak malu buat pertama kali bertemu. Namun setelah melontarkan suara dan memberika salam, mereka langsung bersemangat menjawab salam dengan irama yang cukup mengingatkan aku semasa di sekolah rendah dahulu.

Tanpa berfikir panjang, kami sepakat menggabungkan Kelas 1, 2 dan 3 dalam satu lokasi oleh kerana jumlah pelajarnya tidak ramai. Keadaan kelas agak kelam kerana tiada pencahayaan yang secukupnya kerana bekalan elektrik yang terbatas. Saat memulakan kelas, perkongsian cita-cita bersama-sama anak-anak hinterland, sekaligus mengubah suasana kelam. Rata-rata anak-anak di dalam kelas ini sangat aktif menjawab segala pertanyaan dan berpatisipasi dalam nyanyian semangat, malah ada yang tanpa henti tertawa kerana pergerakkan-pergerakkan serta telatah pengajarnya yang lucu.

Mungkin kerana bersemangat menghabiskan rasa manis gula-gula getah, seorang anak yang bertubuh agak gempal masih dalam keadaan rukuk di luar kelas. Dia kemudiannya hampir lupa bahawa sesi pengajaran telah bermula. 


Ini adalah keadaan kelas dengan berdirinya plywood berkaki tiga cukup sekadar memisahkan antara Kelas 1 dan Kelas 2. Setelah bumi Blongkeng ditimpa hujan, lopak-lopak air bersama selut tanah merah memaksa kami untuk berkaki ayam semasa sesi mengajar dijalankan. Bayangkan anak-anak sekolah di sini harus melalui keadaan seperti ini untuk menuju ke sekolah setiap hari. Sesuatu yang dapat kita pelajari daripada semangat mereka jelas tidak padam demi mendapatkan pendidikan yang sewajarnya.


Sewaktu sesi kelas inpirasi berjalan, kelihatan dua ekor mata sedang memerhatikan kami disebalik daun pintu. Dia seolah-olah mata-mata yang bersembunyi merakamkan segala gerak geri kami di dalam kelas. Aku cuba mendekatinya dan mengajak untuk turut serta dalam aktiviti kelas dan pada hari itu, aku belajar sesuatu bahawa yang namanya anak kecil itu, mereka mempunyai rasa ingin tahu yang cukup bermanfaat buat perkembangan diri. Sedikit terharu dalam kelompok masyarakat yang agak terkebelakang dalam kesedaran pendidikan di sini, masih ada sinar semangat untuk belajar yang muncul secara natural dalam diri anak-anak kecil. 


Salah seorang anak kelas tersengih di atas basikal saat bertemu kami yang sedang berjalan menuju ke musollah. Raut wajah dan tingkahnya tampak lebih matang jika dibanding dengan umur yang baru setahun jagung. Menerusi pengalaman dan tantangan hidup sebenarnya akan menjadikan seseorang lebih berfikir ke depan dan lebih survival dalam perjalanan hidup.

Satu perkara yang kurang di sini ialah sumber air bersih yang sukar didapatkan kecuali harus ke telaga yang berhampiran dengan musollah dan air itulah digunakan untuk berwudhuk serta sumber air di dalam tandas. Dari segi prasana sekolah, kondisi meja kerusi yang sudah tidak stabil kakinya, tandas yang tidak berfungsi, menunjukkan bahawa kurangnya peyelenggaraan. Sedikit sebanyak, keadaan ini akan mempengaruhi motivasi anak-anak dan juga guru-guru untuk terus berjuang atas nama pendidikan.


Kehadiran kami pada hari itu diharap dapat menyuntik kembali semangat baru anak-anak di sini untuk terus belajar dan mengubah kemajuan diri serta keluarga. Aku percaya, titik tolak kejayaan itu tergantung individu itu sendiri dan tidak kira latar belakangnya apa, status keluarganya apa dan sekalipun kalau ibu bapanya tidak boleh membaca, anak-anak adalah sebuah permata berharga yang boleh mengubah segala kekurangan. 


Sebelum meninggalkan desa Blongkeng dan sebelum meredah beberapa titik akhir perjalanan yang mencabar, kami diajak oleh Fajar, dan teman-temanya menuju ke jeti yang dikelilingi oleh rumah panggung, penduduk lokal di situ. Rata-rata antara mereka bekerja sebagai nelayan dan mengumpulkan kayu-kayu bakau untuk dijadikan arang. Dalam perjalanan, aku sempat berceloteh dengan Fajar yang merupakan anak ketiga daripada empat adik-beradik tentang kehidupan sehari-harinya. Sengaja aku ceritakan bagaimana dunia di luar sana bakal lebih mencabar dan bisa memberikan lebih banyak pengajaran hidup supaya tak hanya duduk membesar di satu tempat dalam bahasa yang lebih mudah. Mungkin dengan umurnya yang masih setahun jagung belum cukup mengerti tetapi setiap apa yang kita sampaikan pada hari ini bakal menjadi ingatan buat mereka pada masa mendatang walaupun cuma seungkap nasihat.

Sepanjang acara Kelas Inspirasi, kita tak hanya menginspirasi tetapi turut terinspirasi dan mendapatkan banyak jawapan kepada persoalan-persoalan dalam hidup.

Mencari Hayati

Tanpa berfikir panjang, kami terus mencapai helmet dan memulas motor terus menuju ke Bandara Hang Nadim. Dengan backpack yang agak kebesaran untuk tiga hari dua malam, aku galas bersama khemah yang terisi didalamnya. Kerana Sabtu kerja separuh hari, teksi dan jalan dipenuhi orang yang pulang kerja dan berlumba untuk pulang ke rumah cepat untuk berehat. Mujur juga kami gagal menelefon teksi kerana dengan bermotosikal, segala kesesakkan lalu lintas berjaya dibatasi untuk segera sampai di pintu gerbang keberangkatan.

Tidak ada sebab yang jelas aku ke sini, cuma memerlukan rehat seketika daripada kesibukan kerja untuk saat ini. Kebetulan juga diajak untuk ke Sumatera Barat tanpa perancangan yang teratur. Maka aku cuma ingin menjalaninya sahaja dan mencari 'Hayati'.

Lekas pulang dari lapangan kerja dan letih masih terasa menjadikan mata agak berat untuk dibuka. Sesekali terlelap duduk dibonceng di atas motor. Mulutku masih terkumat-kamit menyanyi lagu Teroesir tanpa menghiraukan bunyi angin kuat yang hampir menerbangkan helmet motosikal. Seperti biasa, aku senang terpengaruh dengan filem, lagu dan buku.

Lebih kurang 1 jam, kami tiba di Bandar Udara Minagkabau, Padang yang secara geografinya terletak di Sumatera Barat Indonesia. Sayap pesawat hari itu begitu keras membelah komulunimbus bagaikan sebilah pisau yang tumpul.




Teguh membawa kami meluncur ke kawasan persisiran Padang dan seperti biasa, aku meletakkan harapan untuk mendapatkan pemandangan sawah padi yang lebih banyak. Setibanya kami di laluan lereng bukit yang menghidangkan tanjung dan pemandangan pelabuhan serta perkapalan yang agak besar, kami seterusnya dihidangkan dengan hidangan utama iaitu kawasan saeah padi yang terbantang luas ibarat permaidani dunia. Belok ke kiri dan kami sampai pula di sebuah pondok kecil yang merupakan restoran makan saudara si Teguh. Kehadiran kami disambut dengan beberapa ekor itik atau bebek yang sibuk menyudu air lopak di sawah. Terpukau dengan perlakuan itik-itik itu bersama hamparan hijau sawah padi, hingga tidak menyedari beberapa hidangan makanan telah tersedia di atas 'meja Jepun'. Kalau di Malaysia aku panggil 'meja Jepun' kerana tinggi mejanya cuma separas tulang keting kaki, muat-muat untuk melunjurkan kaki atau bersila ketika menyantap makanan.

Kami beruntung kerana tiba awal di situ kerana tidak ada pengunjung lain selain kami tambahan lagi, saudara Teguh menghidangkan Ikan Karang masak lemak, sayur  bersama beberapa hidangan Nasi Padang yang asli

Mungkin seorang Asyraf yang sudah tua, layak mendapatkan segulung ijazah tikar mengkuang dan pondok kecil di tengah sawah padi untuk menghabiskan sisa-sisa kehidupan. Sawah padi di kawasan persisir Padang ini terletak di dalam radius lagenda Malin Kundang dan persisiran pantainya luas, panjang dijamah ombak Lautan Hindi yang terbuka.


Setelah menyarung pakaian pembesar-pembesar Istana Pagar Ruyung, tidak terkecuali antara kami yang menginginkan dirinya dirakam gambarnya kerana bukan sahaja bayaran 35,000 Rupiah tetapi perasaan menyarung bangga pakaian tradisional kerajaan alam Melayu terdahulu.


Antara titik perhentian kami ialah di Padang Panjang iaitu perjalanan dari Bukit Tinggi menuju ke Lembah Harau. Dengan bantuan Gunawan yang kakinya pincang sebelah sisi, foto ini dirakam dengan harapan, dapat mewujudkan suasana 'road trip' merentas Sumatera Barat Indonesia. Walhal, perjalanan kelmarin tidaklah 100 peratus di atas jalan mahupun menginap di dalam mobil, namun perjalanannya seru dengan laluan bengkang-bengkok menguji pemanduan.


Setelah beberapa jam perjalanan dalam keadaan hujan yang menyimbah Bumi Minangkabau ini, kami terpegun dengan pemandangan di antara dua lembah gunung, terpecah dua dengan sungai deras bergabung dengan struktur 9 belokkan 'flyover' yang tajam. Sesungguhnya manusia itu terbatas, dan dengan ilmu manusia diberikan akal pula untuk menterjemah solusi kepada kemudahan seperti ini. Dalam hujan yang masih membadai, kami memberhentikan kereta di samping jalan sambil menikmati jagung bakar yang pedas, manis dan masin, simbolik kepada seluruh perjalanan pada hari itu.




Pagi di Bukit Tinggi tidak akan bermakna jika tidak mencuba Nasi Kapaw seperti yang disebut-sebut orang. Antara hidangan yang agak eksotik bagi aku ialah usus lembu yang disumbat dengan telur dan fizikal usus masih bisa dilihat terhidang di atas pinggan. Kerana aku jarang sekali makan organ-organ dalaman haiwan, usus yang menjadi salah satu lauk Nasi Kapaw, aku telan, dan hadam dengan terlalu berhati-hati.








(Bersambung)

Marah

1. Matahari terbenam. Pancaran cahaya jingga merayap di mukanya hingga suatu saat, merangkak di bibir yang sedang kumat-kamit membaca ayat Tuhan. Terpesona adalah perasaan ketika itu saat ada yang lehernya lentok tidur ke jendela berkaca dan orang lalu lalang sibuk membawa nasi bungkus buat makan malam. Keretapi Agro Wilis pada senja itu bercampur baur dengan suasana di saat aku duduk seorang menghayati perjalanan. Aku mengakui bahawa setiap perjalanan yang pernah aku lalui itu memberikan banyak inspirasi dan menanamkan idea-idea baru digaul dengan banyak persoalan sehingga aku temui jawapan yang mengujakan. Dan aku mulai marah kerana sudah lama tidak mendapatkan perjalanan panjang.

2. Membina kepercayaan itu sukar, tetapi membunuh kepercayaan itu cukup mudah. Kepercayaan yang gagal akan menerbitkan rasa sangsi dan prejudis. Akhirnya, mereka akan berbuat apa jua alasan untuk menyelamatkan diri sendiri apabila terbuai dengan persoalan 'Siapakah yang harus dipersalahkan' dan itu sangat tidak positif. 

3. Pemimpin yang bodoh adalah pemimpin yang membunuh masa depan cucu cicitnya sendiri. 

4. Menunggang motosikal, adalah umpama medan perang. Seringkali berperang dengan amarah di jalan, tetapi jarang sekali atau hampir tidak pernah ada rasa marah di luar jalan. Mungkin Tuhan telah memberikan peluang merasai nikmat marah itu khusus di jalan. Yang membuat aku takut ialah apabila aku tak dapat lagi merasai rasa marah.