Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Bukan Macam Orang Lain

Bukan macam orang lain. Orang selalu anggap ini adalah satu kesalahan. Kesalahan tak sama dengan orang lain. Ingatlah, bak kata Dato' Fadzillah Kamsah, "Orang yang cemerlang, tak buat perkara yang orang tak cemerlang lakukan." 

Percayalah, dulu aku pernah beli kaset motivasi Dato' Fadzillah Kamsah. Sahur. 

Orang Ketiga

Aku bukan nak cakap pasal cinta. 

Sekarang aku berdiri betul-betul di antara dua orang sahabat yang asyik menembak skrin mesin permainan Sega. Tiba-tiba terasa sepi. Rasa macam masa terhenti dan semua orang terpaku. Nenek yang tengah beli popcorn tadi pun terpaku. Serius, nenek tengok wayang. 

Paling tak selesa kalau jalan bertiga. Sebab kalau dua orang dapat topik perbualan, yang tinggal seorang tu mesti jadi krik krik krik. Jadi sebenarnya secara tak langsung, aku berjaya merasai jadi orang ketiga dalam percintaan. 

Setidaknya

Setidaknya, apa yang kita peroleh hari ini walaupun sedikit, haruslah dikongsi dengan orang lain terutamanya keluarga sendiri. Entahlah ya, mungkin kerana malam yang sejuk begini buat aku berfikir perkara yang serius-serius. 

Atau dah sampai masa untuk aku berfikir perkara yang serius. 

Intinya, dah sampai masa nak betul-betul balas jasa Mak Abah serta keluarga. Kenalpasti sama ada kita betul-betul 'membalas' atau tidak? 

Serius gementar nak menerobos alam kedewasaan. Tiboh.


Sudah Lama Kita

Memetik peluang deretan tahun yang lalu
Adalah tugas petani kebahagiaan hari ini
Setunduk mana kita mensyukurinya?

Bayang-bayang manusia yang sering mengikuti kita
Mereka tidak tahu siapa mati untuk siapa
atau mati untuk apa
Lalu ada petani mati sia-sia
Tanpa sumber baja rohani
Tiada serpihan ilmu untuk digunapakai

Pernahkah kita terfikir
Sudah lama kita tidak duduk berehat memikirkan akar permasalahan?
Peluh yang masih belum kering mengigilkan tulang kuat kita
Seharusnya kita saling berpeluk hangat
Tanpa memikir bau busuk badan
Tanpa memikir tusukkan cabaran
Sudah lama kita.