Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Kampung


Sedang menghirup mee sup warong Pattani di Balok dan aku terdengar sorakkan kuat penyokong pasukan harimau Malaya. Vietnam dan Malaya berperang dalam konsep ini memang nampak pelik sebab nampak pemain-pemain rasa tak puas hati. Kemudian semua orang yang sedang bersorak tadi menumpukan biji bola mata mereka ke arah sesuatu. Kelihatan seorang pakcik berbangsa India dan anaknya seperti Aishwara Rai barangkali, menyusul masuk ke warong Pattani itu. Tak sudah-sudah abang-abang di meja hadapan aku ini tergelak kecil seperti mentertawakan sesuatu.

Bagi aku, tak pelik pun kalau ada pengunjung warong itu berbangsa India masuk untuk buat pesanan makanan. Kau tahu tak Malaysia ini berbilang kaum?

Kemudian pasangan ayah dan anak itu duduk di meja sebelah aku dan memberi pesanan. Si ayah mungkin perasan gelak kecil abang-abang di meja hadapan aku ini. Kemudian anaknya yang macam Aishwara Rai tadi memanggil semula tauke kedai tadi. 10 minit selepas itu, 4 bungkusan plastik tiba di meja mereka. Kemudian mereka berlalu pergi dengan kadar segera.

Sedihnya apabila ada juga masyarakat yang tidak berfikiran terbuka lagi. Masih terkuncup payung fikiran dan takut-takut berkarat tetulang rangkanya. Jual kedai besi buruk pun tak laku. Malangnya tabiat suka stereotaip ini bukan sahaja membangkitkan nilai-nilai rasist dalam masyarakat, malah bangsa sendiri pun turut terpalit. Alamak berbunyi Namewee pula hehe. Semangat kenegerian yang terlalu tinggi contohnya, bakal merosakkan bangsa sendiri. Bangsa apa? Bangsa Malaysia lah (kononnya).

Kalau dicampakkan sebilangan daripada mereka ini di negara Russia, New Zealand, Pakistan, India Selatan umpamanya mungkin itu akan membuatkan mereka mula membuka pemikiran yang masih kekampungan itu. Jangan bangga sangat dengan hak ketuanan itu. Buktikan. Eh, aku pun orang kampung juga, Kampung Melayu hehehehehe.

Walaubagaimanapun, 3-0 Tahniah!

Teknik Rendaman Yang Terbaik Setakat Ini


Baru sahaja selesai merendam beberapa helai baju kotor bersama sabun Fab Total. Baju yang sebanyak ini aku fikirkan bilakan dapat aku basuh nanti? Hehe. Baru pulang dari Mersing dan seperti biasalah kondisi baju-baju kotor yang perlu dibasuh memberatkan tulang aku untuk menbasuhnya. Maka, teknik rendaman adalah terbaik setakat ini.

Mungkin helaian baju yang berlonggok ini tak dapatlah nak disamakan dengan kuantiti kenangan di Mersing tempoh hari. Bila dapat jumpa sahabat lama, episod hari tersebut adalah luar daripada kebiasaan. Tambahan lagi, lensa kamera aku berjaya merakamkan gambaran-gambaran subjek kenangan di Mersing dahulu, sejak pertama kali aku kenal Mersing. Termasuklah papan tanda Mersing yang sebiji seperti papan Hollywood itu, bas ting tong Omnibus Mersing dan keropok lekor dengan jeti-jeti boat yang sudah macam Pulau Caribbean.

Banyak juga subjek yang sudah berubah. Bangunan kedai yang baru, dan sebagainya. Tempoh dua tahun merayap di Mersing banyak mengubah cara hidup. Berjaga sampai 3 pagi sudah biasa di asrama ketika itu. Paling mengingatkan ialah kenangan-kenangan manis yang banyak ketika itu. Banyak jika hendak diceritakan. Takut terlalu teruja bercerita.

Apa yang penting, pertemuan yang sekejap tempoh hari, mengisi petak-petak kenangan lagi. Masing-masing sudah berfikiran terbuka dan itu adalah kuncinya. Mengharapkan ramai lagi yang akan turut serta untuk akan datang. Oh jangan lupa jemput anak bini sekali insyaallah. Lihat saja 'wallpaper desktop' yang aku 'print screen' ini. Sawah padi mersing dan terima kasih semua yang melibatkan diri dan menyibukkan diri untuk ini.


Oh mungkin bukan teknik rendaman yang terbaik setakat ini, takut kenangan-kenangannya luntur nanti. Aku segera basuh supaya cuma kotorannya sahaja luntur bukan pigmen kenangannya.

Hatiku Kau Garis Luka


Lalala lalla lallalla... Lalala lalla lallalla... (ambil intro lagu Sweet September, Hatiku Kau Garis Luka)

Lagu ini menemani aku malam ini. Sedikit menyebalkan bila kerja nampak macam banyak tidak selesai. Aku masih belum mula. Sibuk mendapatkan mood. Perlu siapkan sebelum Hatiku Kau (Yakni kerja-kerja) Garis Luka.

Bau Hijrah


Bau minyak wangi sebenarnya memberikan inspirasi kepada seseorang. Tadi aku cium bau minyak kiriman seseorang dari Jeddah-Saudi Arabia. Ternyata baunya menenangkan, buat hati sedikit sayup. Menjawab beberapa persoalan dan terus menerus merangsang bau. Bahagian atas rongga hidung terdapat Olfactory Epithelium yang dapat memberikan daya cipta imaginasi terhadap sesuatu yang dicium. Menarik bagaimana beratus-ratus jenis molekul bau di dalam udara boleh dirangsang oleh reseptor khas dan membeza-bezakan bau yang kita hidu. Seolah-olah macam mesin duit syiling CIMB. Duit 10 sen, 50 sen dan sebagainya dapat diasingkan dan terus rekod berapa nilainya. Tapi tak dapat nak menentukan nilai bau yang kita hidu. Terlalu halus dan teliti ciptaan-Nya. Malah siap dengan nilai estetikanya. Yang mancung, yang kembang, yang tirus, yang macam jambu tetapi manis. Haha. Bau yang tadi masih merangsang Olfactory Epithelium aku dan aku sedang membayangkan sesuatu. Selamat menyambut Maal Hijrah.

Baju Ternoda


Baju kemeja aku ternoda dengan pigmen warna cokelat datang daripada mana aku tak tahu. Kalau ada mesin basuh baju kan semudah ABC dan aku tak perlu rendam baju lama-lama sampai rosak baju kegemaran aku.

Aku cuba sental dengan kudrat tulang empat kerat, namun gagal. Kemudian aku gunakan ilmu tindakan sabun sewaktu tingkatan lima dulu. Bila hidrofilik dan hidrofobik, air panas, sabun dan sebagainya. Baru aku tahu ilmu sangat penting sebenarnya.

Rojak Punya Cerita


Sekian lama aku memendam rasa untuk kembali menulis di dalam, apa-nama, laman web percuma (blog). Tak tahu apa yang membataskan hujung jari-jemari aku untuk menganggu dilelektrik papan kekunci, selaras dengan perkataan-perkataan yang terbit dalam kotak minda aku ini. Mungkin kesibukan menyiapkan tugasan penyelia praktikal dan projek yang macam banyak. Kosentrasi aku sekarang adalah untuk menggunakan masa di pejabat sepenuhnya. Maksudnya bila balik kerja sampai rumah, goyang kaki sahaja dan besarkan perut sahaja. Tapi konsep ini aku nampak macam orang tak ada produktiviti. Tapi aku selesa hehe. Jangan tiru aku. Sebab bila difikirkan balik, takut terbawa-bawa sampai tiba masanya kita betul-betul bekerjaya. Bila kerja di pejabat dibawa balik rumah, hilang keseimbangan. Memahami Golden Ratio sedikit.

Aku nak kasi rojak ini punya cerita untuk entri kali ini sebab rasa banyak untuk diceritakan.

Tadi aku ke warong Thai nama apa entah. Nampak budak kecil sedang menyusun robot dan ultramannya di atas lantai. Kemudian dia berbasikal roda tiga mengelilingi kawasan meja di mana pelanggan lain sedang makan. Budak kecil ini aku nampak cukup matang dengan gaya mengelap basikal roda tiganya macam motosikal aku tengok. Kemudian buat gaya sedang parking motosikal. Basikal roda tiga macam dalam cerita Saw. Telatahnya nampak matang, walaupun nampak ketinggiannya macam baru berumur tiga tahun jagung. Mungkin manusia perlu memikirkan sebegitu. Luaran tidak penting. Perihal dalaman yang membina tindakan itu penting yang mematangkan kau. Macam kau goreng pisang tanduk, tanduknya tak terlihat tapi boleh dapat rasakan pisang tanduk itu tetambat di hati si pemakan bila digoreng dengan baik sekali dan cukup masak. Tidak terlebih masak atau mentah. Betul tak?

Perjalanan hujung minggu yang lalu di negeri pulau bermutiara sangat mengangumkan, bila konsep survival atau main redah sahaja sangat berkesan. Perjalanan ke Teluk Bahang dan Batu Feringgi sangat menarik jalannya yang bengkang-bengkok dan simpang 180 darjah cukup menambah trill kepada para penumpang, tetapi tidak kepada pemandu aku rasa. Selain berjalan di dalam ruangan berudara sejuk di Queensbay Mall, Prangin Mall dan sebagainya, banyak juga tempat yang dekat dengan alam sekitar di Pulau Pinang ini. Memang boleh nampak ia bermutiara. Air terjun Titi Kerawang yang sekecil itu cukup dapat menyegarkan badan. Air Terjun di Teluk Bahang pun lebih kurang macam kolam renang. Tapi ada laluan trek hutan yang menarik kalau sudah bosan dengan kebisingan kota. Ayat nak macam mempromosikan eco-tourism. Empangan Air Hitam amatlah sesuai bagi sesiapa yang nak bergambar dengan kecantikan alam untuk nampak cantik dalam gambar. Batu Feringgi sesuai untuk mandi dan acara macam Para-gliding tapi kami tak sempat nak turut serta. Kalau ditambah dengan berkhemah tanpa khemah dengan hidangan BBQ mungkin tambah baik bermalam di situ.

Puas untuk hari pertama dan hari keduanya berjalan dengan ringan-ringan di sekitar pulau, Jalan Penang, melihat bangunan lama-lama pastinya buat penggemar fotografi rasa gatal nak memicit butang untuk tangkap gambar. Oh tak lupa singgah untuk makan ikan bakar dan sotong bakar, ikan siakap tiga rasa yang memang murah. Sampai ada yang tambah ikan bakar double!

Melihatkan pakcik dan makcik yang nampak berusia di sekitar Fort Cornwallis memperlihatkan mereka masih mengekalkan budaya bermesra. Pastinya mereka yang sudah berkaca mata dan berkedut muka ini fasih berbahasa Inggeris. Memang surat khabar The Star berterabur. Menariklah.

Sedikit sebanyak dapatlah menambah pengalaman dan pemahaman untuk beberapa kali berada di Penang. Paling penting dapat berkumpul dengan sahabat lama-tak-jumpa. Hujung minggu yang bermakna lagi. Dan aku masih mencari hari-hari bermakna.
Semoga selepas beberapa bulan lebih lagi ini, sebelum aku tamatkan praktikal di Gebeng ini, aku dapat menambah lagi pengalaman dan mengubah diri sesuai dengan kelompok masyarakat di mana sahaja dan aku harapkan untuk rakan-rakan lain juga. Kalau sudah fikir itu cara kita, teruskan! Jika kau kaki rayap, teruskan merayap.

Untuk masa ini, aku sekadar nak berkongsi lagu klasik yang satu ini. Bila aku dengar dapat mengujakan motivasi aku dan aku harap orang lain pun dapat rasa yang sama. Rasa muda dan teruja!