Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Tergambar dan Aku Tersenyum


Aku memang tak serik dengannya. Kalau sekarang aku mengeluh sendirian penat menguruskan itu dan ini dan agak jenuh, tetapi tangan aku dan kaki malah otak aku berjalan dan masih melakukan pekerjaan ke arah itu. Oh tidak! Betul-betul kontradik.

Aku boleh simpulkan aku memang tak serik. Serik yang memaniskan. Bila tergigit lidah, darah itu manis aku rasa. Memang begitu rasa darah itu, bagi aku. Maka aku fikir biarkanlah 'darah itu' mengalir dalam tubuh ini selagi aku masih bertenaga dan betul-betul menghayati 'rasa'nya.

Bila aku kosong, darah ini mengalir mengisi setiap lohong-lohong yang kosong. Menjadi sendi-sendi, mengajak aku menjadi diri sendiri. Malah aku tak bosan untuk menyatakan bahawa aku gembira berada di dalam kelompok ini dan mungkin aku tak akan tinggalkan jikalau tiada aral melintang terbongkang. Maaf jika aku tidak cukup berguna tetapi aku masih menggunakan sudut dan posisi aku yang terbaik. Itu tanda aku tidak serik.

Tergambar dan aku tersenyum.


Minta Maaf Kepada Semut


Semut itu yang dulu pernah menggigit aku, barangkali sedang sibuk mencari makanan di celah-celah retakan lantai mar-mar. Aku perhatikan dan sesungut mereka yang menggelincat agak menggelikan. Ketika itu sedang aku termenung berseorangan dan semut-semut itu menjadi subjek tumpuan secara tidak semena-mena. Kalaulah manusia mempunyai asset organ sebegitu.

Dalam keramaian warga semut itu, aku sebenarnya tak pasti, semut yang mana pernah menggigit aku sehingga lebam-lebam epidermis aku dibuatnya. Kegatalannya membuatkan aku rasa ingin menyumpah, melaknat, mencacinya tetapi dia adalah seekor semut. Semut yang binatang!

Pernah juga aku amati setiap satu daripada mereka. Berada dalam satu barisan yang lurus, seolah-olah seperti tentera bersesungut. Yang aku tahu, mereka sedang mencari makanan. Mereka bukan seperti manusia, pergi ke pasar membeli barang basah untuk dijadikan lauk. Semua sudah tersedia tetapi memerlukan usaha. Ini kerana manusia mempunyai akal bicara untuk memikirkan yang terbaik untuk mereka atau memikirkan lauk yang terbaik untuk mereka. Manusia memang selalu tidak berasa puas.

Semut. Lucunya, wajah mereka serupa. Memang begitu trait DNA binatang ini seperti yang direka, berlainan dengan manusia yang mempunyai trait yang bervariasi. Hasil rekaan yang paling unik. Berabdomen dan mempunyai dua pinggang yang ramping nampaknya. Auwwww. Tertawa kecil. Punggung mereka yang besar itu pasti sarat dengan hasil mencari rezeki seharian. Aku pula terpaksa mengakui itu sesuatu yang boleh dibanggakan. Ya sama seperti manusia, perlu bekerja seharian untuk rezeki seharian dan rezeki untuk selama-lamanya. Tetapi aku masih hendak mencari semut yang pernah menggigit aku dulu!

Apakah dosa membunuh semut? Bila difikirkan balik, aku menyesal kerana telah menyembur air paip kepada mereka lantas melemaskan mereka. Air itu seperti bah mengalirkan mereka terus masuk ke lubang perparitan yang dalam sedalam jurang Mariana. Aku hanya ingin membalas dendam gigitan semut. Tidak ada niat lain.

Apakah dosa membunuh semut? Semut telah banyak berjasa kepada dunia. Mereka membina sebuah sistem yang paling penting di atas muka Bumi dan di dalam perut Bumi. Sarang mereka menjadi rongga-rongga pernafasan Bumi. Menyalurkan sumber air dan mineral kepada tumbuhan. Membenarkan akar-akar pokok menjalar menyokong Bumi. Manusia, minta maaf kepada semut.

Semut, aku minta maaf. Sesuatu yang menyakitkan, bisa gigitan semut. Bisa gigitan semut adalah hanya ujian di dunia. Bisa gigitan itu bisa membawa amarah, sebagai salah satu bentuk nafsu paling tinggi yang perlu dijauhi. Semut pembawa bisa gigitan sentiasa mendampingi manusia untuk menggigit manusia. Semut adalah sama seperti manusia tetapi yang berbeza adalah akal. Semut juga sebenarnya adalah keindahan yang membisakan. Tetapi terima kasih kepada semut kerana menggigit manusia.