Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Indochina I - Sebuah Perjalanan

Pastinya malam tadi Tuhan yang maha pengasih dan penyayang telah berlaku adil kepada makhluknya tidak mengira agama apa yang dianuti, bangsa apa kelahiran mereka, bahasa apa pertuturan mereka dengan melimpahkan ribuan liter air dari langit setelah kemarau panjang yang meresahkan banyak hati, anak kecil yang berlengging tanpa baju mengadu panas, seorang tua yang berjanggut kering tak seperti kebiasaannya yang lembab memerangkap peluh di muka dan mayat bergelimpangan tak berdarah hampir kurus kering menampakkan corak kerangka tulang berlapis epidermis kulit. Maka aku dapat simpulkan bahawa perjalanan minggu lalu mempertemukan aku dengan beberapa bentuk siri penyerahan diri kepada Tuhan.  

Indochina. Sebuah Perjalanan.

Ho Chi Minh, Vietnam - Siem Reap, Kemboja - Bangkok, Thailand - Bagan, Myanmar


Walaupun seminggu perjalanan panjang merentas beberapa lembah Indochina sudah berlalu, namun teriknya masih terasa saat kaki kembali menginjak tanah Malaya dan Kota Batam, yang aku gelarkan sarang kehidupan mungkin untuk tempoh lima tahun ke hadapan. Jasad dan hati kami bertiga diterbangkan oleh pesawat, berpacu dengan semangat untuk menempuhi perjalanan dengan telah dijangka bakal menghidangkan hal-hal yang baru. Walaupun tidak mencakupi seluruh kota besar, kota kecil pelusuk Indochina, namun perjalanan yang singkat ini sudah cukup untuk mengisi tembolok jiwa untuk setakat ini.

Secara jujur, tidak banyak ekspetasi atau rencana yang aku letakkan kerana kekangan masa dan mungkin juga rancangan basisnya adalah daripada Gunawan, 'the good looking engineer and traveller'. Malah permohonan E-Visa untuk melangkah masuk negara Myanmar diterima tiga hari sebelum tarikh yang dirancang.

Dengan rasa sedikit bersalah, aku pulang ke Johor Bahru sehari sebelum berangkat ke Ho Chi Minh, memanfaatkan masa bersama keluarga kerana rancangan awalnya adalah cuti satu minggu khusus untuk berada di rumah. Ternyata niat suciku gagal dan emak abah sudah terbiasa dengan perangai anak lelakinya yang satu ini. Aku cuma ketawa kecil saat emak abah memerli padu dalam kereta dalam perjalanan pulang dari Terminal Feri Stulang Laut. Begitulah dari kecil, sudah di didik untuk membuat keputusan sendiri asalkan tidak menyusahkan orang lain atau berbuat kejahatan.

Setibanya di Ho Chi Minh, kami bertiga termasuk Dikky yang datang dari Jakarta, mendapatkan tempat duduk di dalam bas umum untuk menuju ke Bui Vien Street. Sebuah kawasan terpadat warga backpacker mendapatkan hostel murah. Rujukan kami hanyalah nombor bas yang akan menuju ke arah Bui Vien Street dan pencakar-pencakar langit di sekitarnya.

Dengan tidak bersedia menghadapi segala tutur kata bahasa Vietnam yang asing bagi kami, jelas sekali kelihatan bingung dan itu disedari oleh seorang konduktor bas yang baik hati. Pemuda yang berkaca mata hitam tebal, berpakaian seragam hijau bak tentera komunis cuma tanpa simbol pangkat di bahunya itu melemparkan senyuman sambil bersandar di tiang stainless steel tanpa banyak gerak walaupun bas berpacu laju tidak seimbang. Terasa ngeri juga pada mulanya kerana mengingatkan sejarah Vietnam pada masa lampau. Bisa saja 'tentera komunis' ini menebang leher penumpang bas tanpa sebab asbab. Bayangan tentera komunis langsung terpadam apabila muncul sosok seorang rahib seakan berpakaian ihram warna oren duduk betul-betul di sebelah. Konduktor bas tadi tunduk hormat meraikan kehadiran rahib tadi. Aku saling berbalas senyuman tanpa henti kerana takut-takut disangka tidak sopan kerana duduk di tempat khusus wanita mengandung atau apa.

Aku menebarkan peta kota Ho Chi Minh yang sebesar depa, mencari tahu lokasi. Gunawan, Dikky dan aku mula berceloteh arah seterusnya. Mungkin kerana kasihan, sebatang jari telunjuk menggelincat dan mencuit bahuku dari arah samping. Seorang pakcik bersama anaknya berbahasa Inggeris dan cuba menjelaskan posisi kami. Beginilah enaknya kalau menjadi orang asing, sentiasa dilayan baik tanpa dipinta dan bisa juga ditipu tanpa dipaksa.

Sebaik sahaja sampai di pondok bas berhadapan dengan Ben Tanh Market, kami menuruni bas dan saat cahaya Matahari siang itu mengenai kulit, aku menjerit kepanasan di dalam hati. Teriknya baru dapat dirasai umpama betis kaki yang mencium ekzos motosikal. Musim kering dan panas yang betul-betul panas.

(Bersambung)