Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Kepada Sebuah Kepercayaan

Percaya adalah sesuatu yang terbit daripada harapan. Sedang lagu Temper Trap bersahut-sahutan aku mainkan, suara kecilku menyanyi gembira malam ini tanpa mulut kumat kamit menyebut lirik lagu. Cuma tertutup rapat. Penyudah kepada hari ini nampaknya sedikit memberikan kepuasan. Sore 16 Januari 2016 menghidangkan cumulonimbus di atas langit 5:45 petang tetapi matahari yang sepertiga hampir tenggelam, memancarkan cahaya tanpa di halang awan nakal sedikitpun. Seakan seperti ada harapan baru.

Memberi

Walaupun tahun baru masihi atau Georgian berbeza dengan tahun baru Hijrah tetapi tidak salah sekiranya mengambil sempena hari pertukaran ini sebagai titik permulaan kepada perubahan. 

Sambutan tahun baru tak harus dengan bunga api dan sorakkan di tengah kebanjiran manusia. Malam semalam, lagu-lagu intrumental memenuhi ruang kamar dan aku berselimut hampir menutupi separuh badan. Tertiarap menghadap skrin laptop. Jari-jemari rancak menari-nari di atas papan kekunci komputer riba. Semakin aku memuntahkan perkataan, semakin laju putaran memori tahun lalu yang kurang lebih memberikan banyak inspirasi hasil perjalanan, pertemuan dan perpisahan.

Minta maaf sekiranya aku sering muncul tak terduga dan menjadi orang asing dalam sesebuah kelompok kerana seringkali ditembak dengan soalan 'mengapa sendiri?'. Kejutan sebegini sengaja aku wujudkan kerana percaya bahawa manusia yang sememangnya diciptakan dengan pelbagai bentuk, sifat dan latarbelakang boleh bersatu dalam apa jua keadaan.


Menghidu bau buku yang baru dibeli di bahagian ruasnya adalah menghidu bau hutan kayu-kayan kedamaian dan itu membuatkan kau ingin kembali ke hutan.

Sepanjang tahun lalu, aku belajar mencuba perkara baru akibat pengaruh daripada idea-idea yang tertanam hasil bacaan buku-buku di masa senggang. Tidak dinafikan, buku-buku ini selain menjadi teman baik sewaktu dalam perjalanan di dalam MRT, di dalam feri serta waktu-waktu bila aku sudah jelak dengan rutin harian selain bertujuan untuk membunuh masa. Waktu ini juga, aku memberikan peluang kepada diri sendiri untuk berimaginasi saat membaca dan memahami apa yang ingin disampaikan oleh sang penulis lebih-lebih lagi, kebanyakkan buku ini adalah bertemakan sebuah perjalanan.

Secara lahiriah, aku adalah seorang yang mencintai perjalanan. Kekerapan perjalanan beberapa puluh tahun yang lalu menaiki bas awam dari sekolah asrama di Mersing untuk pulang ke Johor Bahru, melewati kebun-kebun kelapa sawit yang hijau dan ada yang gondol, yang sering memberikan pelbagai persoalan di kepala. Mungkin saat itu adalah mulanya perasaan cinta itu timbul.

Kita tidak boleh lari daripada ketetapan perjalanan kerana masa akan sentiasa berputar. Bahkan jarum saat yang berputar itu juga dinamakan sebuah perjalanan.

Tidak banyak yang aku inginkan, tetapi buat penyambung perjalanan pada tahun ini, aku cuma mahu lebih banyak memberi.