Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Dengan Sengaja Aku Bangun Awal Pada Hari Ini

Sudah banyak juga aku tinggalkan pemikiran-pemikiran serta perasaan-perasaan yang aku patut tulis dalam laman sesawang ini. Tuntutan pekerjaan kadangkala datang seperti ribut namun kebanyakkannya hari ini bernada santai. Sedikit sebanyak, perkara yang aku tidak dapat buat ketika bekerja di luar selama lebih kurang empat tahun yang lalu, dapat aku laksanakan sesuai keinginan aku sendiri. Sekembalinya di Kuala Lumpur, tanah air sendiri. Merasakan sensasi hidup bersesak dalam LRT, berenang dalam lautan manusia. Tidak seperti dulu. Berbeza, jauh berbeza. Sememangnya aku masih lagi dalam keadaan teruja sekembalinya ke sini, walaupun sudah setahun menjalani liku-liku hidup di kota lumpur ini. Orang kata, di sini adalah kota rezeki. Orang kata lah. Banyak hal yang aku dapat. Antaranya meluaskan kenalan yang sama pemikiran dan hobi, tidak lain tidak bukan adalah hobi memanjat gunung. Pertemuan dengan orang baru telah membuka pintu peluang dari satu ke satu peluang baru. Bagi aku, berada di sini, aku lebih sendiri. Walaupun cuba untuk tidak sendiri.

Aku tahu, perenggan di atas ini adalah tipikal alasan yang diberikan oleh mereka yang gagal menulis secara konsisten. Maka setiap kali hendak memulakan langkah, pasti memberikan alasan entah apa. Manusia memang lahir untuk memberi alasan.

Dengan sengaja aku bangun awal pada hari ini. Untuk menulis.

Bay of Bengal, 11 Februari 2020

Tidak Gopoh


Tidak banyak yang dapat aku kejar untuk masa sekarang. Segalanya agak terbatas kerana berada di atas kapal. Bahkan untuk mengutip duit sewa rumah pun aku tak sempat. Pusing juga kepala memikirkan. Entah aku terlalu berlembut atau memang si penyewa kurang ajar.

Ada banyak juga perkara yang aku hendak lakukan. Adakah terlalu tamak atau rakus? Bertambahnya umur pada tahun ini mengajar aku untuk buat sesuatu perkara dengan cermat dan satu-persatu. Bukan waktu baru-baru naik gunung dulu, habis belukar dan denai hutan ditebas betis sebab nak sampai puncak awal. Turun gunung pun berlari. Sekarang masanya untuk memperlahankan langkah. Tidak gopoh. Kerana aku percaya setiap langkah yang tidak gopoh itu akan memberi kita lebih waktu untuk berfikir. Kalau dahulu, tidak sempat berfikir panjang. Sebab itu orang selalu cakap waktu muda adalah waktu untuk menjadi bodoh.

Bertepatan dengan khutbah Jumaat di Masjid Agung Pontianak tempoh hari, berkisar tentang apabila mencapai umur 40 tahun, adalah umur untuk menjadi matang. Lebih kurang begitulah. Agak terkesan dengan cara penyampaian khatib kerana memang selalunya aku seronok mendengar Bahasa Indonesia. Bahasa yang Indah.

Untuk waktu sekarang, aku masih di atas kapal yang bergerak dengan kelajuan 9 knot dan kerjaan tidak begitu sibuk. Sudah tiba masanya untuk aku luangkan sedikit waktu untuk kembali menulis. Walaupun cuma menulis untuk perkara-perkara remeh. Tapi juga tidak remeh untuk aku. Cukuplah untuk beberapa perenggan.

Bay of Bengal, 10 Febuari 2020