Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

...sama macam kau tarik kurniaan yang Tuhan beri kepada aku


Haha. Aku mulakan entri ini dengan gelak kecil dalam hati. Aku dan rambut aku banyak sejarah yang kami lalui bersama. Manis tak?

Sekolah rendah dulu, bapak aku suruh abang kedai Gunting Rambut Ayya potong rambut aku dengan tapak satu. Waktu itu aku belum baligh sangat dan tak kisah ada rambut ke tak ada rambut. Sebab waktu itu tak ada tuntutan nafsu nak nampak indah pada pandangan orang. Pertama kali masuk darjah satu, sudah ada mamat panggil aku botak. Kalau botak aku tak kisah lagi. Mamat tu panggil aku botak pendek. Memang nak kena terajang mamat tu (kata hati kecil aku).

Dilahirkan sebagai seorang yang sopan dan penyabar, membuatkan aku selalu bercakap dalam hati kecil, katanya. Setiap hari, tak tahu berapa banyak kali orang panggil aku botak pendek sehinggalah pada satu hari aku mengadu dekat bapak aku.

'Kalau diorang ejek lagi, cakap saja. Bapak kau ke yang bayar untuk potong rambut?'

Aku agak teruja dan berdebar-debar sedikit nak lontarkan dialog ini. Aku cuba sekali dan ternyata ia membuatkan aku lebih yakin dengan fesyen rambut aku ketika itu yang macam Ronaldo, bukan nak kata apalah. Tahun berganti tahun dan aku hidup subur dengan 'dialog' itu. Kemudian imej bersongkok sebab kena jadi ketua darjah dan pengawas buat aku lebih yakin berambut botak. Tahun berganti tahun dan aku bertapak di Universiti. Tahun pertama, biasalah saki-baki imej budak sekolah masih ada dan masih botak. Masuk tahun kedua aku mula nak balas dendam dan tanam niat nak kumpul rambut sampai panjang. Kalau dapat panjang mengurai dan lurus macam Johnny Depp pun jadilah.

Maka kejayaan pertama adalah selepas lapan bulan mengumpul sejemput rambut ala-ala Alleycats. Ketika itu aku tak kisah orang namakan rambut sarang tebuan. Kemudian satu masa aku gunakan taktik yang bapak aku kasik untuk tambah berkenyakinan dengan rambut itu. Aku tahu, mungkin mereka cemburu dengan rambut kerinting-tapi-tak-kerinting-sangat-tapi-hensem aku ini. Terbiasa dengan adegan main tarik-tarik rambut aku. Mungkin aku kena guna taktik yang bapak aku bagi dulu dan ia perlu berbunyi begini:

'Rambut aku adalah kurniaan Tuhan kepada aku. Dan kalau kau tarik, sama macam kau tarik kurniaan yang Tuhan beri kepada aku.' Haha.


Kadang-kadang Kena Ikut Arus


Umur 5 tahun atau 4 tahun atau 3 tahun dulu memang kau tak banyak benda untuk difikirkan. Tugas kau ialah makan, tidur dan ikut sahaja arus zaman pada ketika itu. Ikut arus tuntutan pemikiran kanak-kanak, iaitu bermain.

Sekarang memang berbeza, bila banyak pula senarai perkara yang kau perlu buat. Daripada basuh baju, tugas menyiapkan projek sampai nak kena balik rumah sebab dah lama tak balik. Radius itu lebih besar. Dalam radius ini, banyak perkara yang kena sentuh. Bayangkan tanpa kesibukan hari ini, bagaimana akan datang kau dapat buat keputusan sebab semuanya nak kena buat keputusan.

Kesibukan hari ini, yakni waktu belajar sambil buat kerja luar kuliah, sebenarnya satu anugerah yang patut kau syukuri. Sebab waktu ini kau dapat ramai kawan untuk berkawan. Boleh buat semua perkara tak kira sesibuk mana. Yang penting suka. Suka sahaja bukan bermakna kau bazirkan masa dan kurangkan masa belajar. Tak rasa ke, waktu sekarang lah adalah waktu terbaik untuk buat apa jua benda. Haha (gelakkan diri sendiri)

Kadang-kadang aku rasa terperangkap di sini. Kalaulah aku... Eh tapi tak juga, sebab aku gembira dengan apa yang aku buat sekarang. Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Kalau sudah terjilat, manakan dapat tertahan dengan nikmat itu. Tak pula menolak. Maka teruskan meratah sampai puas tunas lidah kau merembes. Kadang-kadang kena ikut arus juga, macam kau buat waktu kecil dulu.


Mengarok Sikit


Di celah bantal, semalam aku mengarok. Hari ini senyap sekejap.

Buku Motivasi Terakhir Yang Aku Baca


Seingat aku, buku motivasi terakhir yang aku baca ialah (entah aku pun tak ingat). Bukan buku motivasi Cara-cara Menjadi Pelajar Cemerlang yang macam budak sekolah baca. Ini lebih bersifat memperbaiki diri. Memang betul kadang-kadang kau akan rasa diri kau adalah yang terbaik pada hari itu dan ada hari kau rasa kau orang paling tahi pada hari itu.

Murung, runsing dan tiba-tiba sedih mungkin atara bentuk perasaan yang boleh buat hidup kau pada hari itu tak ada maknanya! Bukan perempuan sahaja ya yang bermasalah emosi bila kitaran hormon tak stabil. Lelaki pun.

Satu hari yang sepi, aku google 'Motivasi diri' dan google memberikan hasil pencarian yang panjang berjela senarainya. Seperti biasa, senarai yang paling atas aku klik. Mungkin sebab yakin bahawa senarai yang pertama adalah terbaik untuk google (tipu sahaja). Jadi keluarkan artikel berkenaan memotivasikan diri. Mula-mula, reaksi aku, malas nak baca dan tarik sampai bawah artikel ini. Tetapi berkat ingin cari inspirasi, aku main-main tarik bebola mouse. Sedikit sebanyak, aku ada baca dan oh sampai habis aku baca. Teks dan kandungannya berbunyi begini.


Kita adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, namun kita masih tidak terlepas daripada menghadapi tekanan ketika bekerja. Pelbagai tekanan yang dihadapi menyebabkan hati menjadi runsing dan semua kerja tidak akan terlaksana. Tidak mustahil bagi individu yang berhadapan dengan masalah ini akan terbawa-bawa ke rumah hingga anak-anak pula menjadi mangsa. Namun, hati akan menjadi tenang sekiranya kita kembali kepada Allah. Apa jua yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah disertai dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.

Terdapat beberapa tips yang kita boleh amalkan bertujuan mengurangkan tekanan hidup. Antaranya ialah :

1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati.

2) Perbanyakkan membaca Al-Qur’an
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu.

3) Banyakkan Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.

4) Selalu berdoa kepada Allah
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.

5) Bersangka baik dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan- Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.

6) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.

7) Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.

8.) Menangis dengan sepuas hati
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. “Luaran lain hati lain” ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh, bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja.

9) Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

10) Cintai diri sendiri
“Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain”. Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman. Kesimpulan Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayanya.

Bukan apa, tak salah pun orang baca buku motivasi atau artikel berkenaan motivasi diri sebab tak salah pun. Dalam dunia teknologi sekarang ini, orang post entri ini atau sebarkan entri ini bukan sebab nak tunjuk bagus. Bukan nak berlagak alim atau pandai. Haha aku pun akui benda alah ini, kalau disebarkan kalau tak semua, kalau satu tips orang lain ikut, dapat pahala juga kepada orang yang dituduh nak tunjuk bagus itu. Terima kasih kepada penulis entri ini dalam blognya, kerana sedikit sebanyak membantu aku, beri idea nak buat apa.


Bau Rumput Segar Selepas Dipotong


Bau rumput segar selepas dipotong. Salah satu bau yang menjadi penghargaan seperti nikmat segarnya udara yang dihidu seperti masa lalu. Abah tak pernah berkerut bila sanggup berpanas hujan untuk mendapatkan duit lebih. Duit lebih itu pun untuk menyara kami, anak-anaknya yang masih setahun jagung ini. Pekerjaan sampingan abah memotong rumput di rumah orang. Siangnya, pekerjaan tetap abah tetap sama. Upah memotong rumput walaupun tidaklah sebesar upah bekerja dalam pejabat yang berhawa dingin, tetapi bisa mencukupkan makan dan minum kami. Terima kasih abah sebab memberikan peluang kepada anak-anaknya untuk merasai pengalaman memotong rumput. Memegang kayu penyapu berjeriji besi, mengangkut timbunan rumput atas canvas dan mencabut anak-anak rumput di sekeliling halaman rumah orang. Memang penat tapi gembira melakukannya walaupun masih kecil, sudah terbiasa dengan semua itu. Cuma, kadang-kadang tidaklah berpuas hati kerana terpaksa mengorbankan masa bermain pada waktu petang untuk membuat semua itu. Abah sebenarnya mahu anak-anak merasai susah bersama-sama supaya nanti, anak-anak benar-benar kenal bau rumput segar selepas dipotong.

Tidurlah


Berapa lama perlu ditunggu lagi
Selimut mirip kelambu membaluti
Kontang mimpi tidur mati
Selesa begini dinanti

Manusia boleh tidur di mana-mana
Bumi berteduh milik Tuhan ini, luas daerahnya
Meski dalam bayang umbra
Tidurlah dengan redha



Kau sedut udara yang aku hembus, aku sedut balik udara yang kau hembus


Cukuplah dengan ayat-ayat manusia pada hari ini. Benarkan aku mengicau. Ayat manusia kadang-kadang membunga sampai kau boleh tercium bau wanginya. Kadang-kadang aku salahkan teknologi sebab apa yang ditulis susah nak gambarkan apa emosi manusia pada ketika itu. Haha. Hari ini aku terkena dengan teka-teki emosi manusia dengan ayat-ayat mereka dalam ruang teknologi seperti sms dan komen di Facebook. Lahai, kadang-kadang rasa nak kembali semula seperti dulu, kalau apa-apa jumpa atau cakap terus depan muka. Cakap betul-betul sambil hidung bertemu hidung. Kau sedut udara yang aku hembus, aku sedut balik udara yang kau hembus, dalam masa yang sama.