Dah lama juga aku tak hadirkan diri dalam majlis seumpama pernikahan dan kerja kahwin. Mungkin sebab dulu aku banyak menyibukkan diri masuk ke dalam hutan, air terjun, atas gunung, dalam gua, soalnya jauh daripada kenyataan bahawa kau kena ada dalam majlis-majlis sebegini untuk meraikan orang yang kita kenal, sayang atau sentiasa ada untuk kita tanpa kita sedari atau tidak. Mula melangkah masuk ke rumah Tuan Rumah, agak kekok. Selesai bersalaman dan menyambung langkah masuk ke halaman rumah, ruang meja jamuan bersama kerusi dan meja, aku cuma berdiri kaku. Menoleh kiri dan kanan kalau-kalau ada orang yang boleh aku sapa untuk menghapuskan rasa kekok.
Sambil membetulkan lipatan samping songket, aku melabuhkan punggung di atas kerusi plastic PVC yang sengaja disusun rapi buat para lelaki untuk duduk di luar rumah. Mungkin sudah terbiasa dengan perangai lelaki atau jemaah lelaki untuk duduk di luar ketika doa selamat mahupun pernikahan sedang berjalan. Budaya orang kita. Duduk di luar lebih santai sambal mengintai-intai apa yang berlaku di dalam. Sejurus pengantin menyarungkan cincin di jari pengantin perempuan, semua Jemaah lelaki Bangun dan mengambil gambar dari tepi daun pintu. Hampir tersumbat pintu rumah dibuatnya kerana ramai yang berkerumun di situ. Aku cuma tersengih.
Selesai majlis ringkas dan selesai air mata pengantin disapu alas tangan selepas berpelukkan dengan ibu dan bapa, sudah tiba masanya untuk berjamu selera. Bukan kegemaran aku untuk datang makan biasanya, kerana lebih menikmati perjalanan majlis, melihat orang-orang asing, kenalan lama dan lebih unik orang yang aku jumpa dan berbual, lebih menyeronokkan.
Bahu aku ditepuk oleh seseorang.
"Anak dari mana?"
"Saya dari sini, dekat. Naik grab tadi."
"Oh, orang Johor eh?", soal Pakcik berkopiah putih sambal memerhatikan baju Melayu dan songket yang aku pakai bersama seluar 'slack' hitam.
Kedengarannya tidak banyak yang menjadikan diri kita sempurna jikalau kita bahagia dan membahagiakan orang lain. Sengaja aku biarkan lagu 'Reason' daripada Calum Scott bermain dalam Youtube.
Dalam lirik lagunya, dia mendaki hampir setiap gunung dan berenang hampir semua lautan, demi bersama dengan si dia atau orang tersayang. Dan membaiki apa yang telah dia rosakkan.
Semalam ada seorang sahabat menyebut bahawasanya kita sibuk membahagiakan diri sendiri tetapi sebenarnya membahagiakan orang lain juga dapat membuat kita bahagia.