Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Rungutan di Ambang Kemerosotan Ekonomi Seorang Pelajar


Semester terakhir meletakkan aku di ambang kemerosotan ekonomi. Pada fasa hidup yang belum tentu kekal ini, elaun biasiswa yang masuk setiap kali datang bulan baru, menjadikan aku seperti budak di negeri ini. Budak yang masih mengharap suapan dan juga perhatian daripada manusia lain. Yelah, pada ketika ini, nak kerja kena fikir dua kali. Sebab, sistem suruh kau belajar dulu rajin nak mampus dan meletakkan ia dalam Top Priority. (Tengok, mula-mula dah salahkan sistem haha).

Tapi sebenarnya, tak salah belanjakan duit, untuk modal. Pulangannya tak semestinya dalam bentuk duit. Boleh jadi pulangan dalam bentuk pengalaman. Kadang-kadang aku marah bila orang lain atau aku sendiri merungut, bila belanjakan duit tapi tak ada pulangan dalam bentuk duit juga. Duit atau harta memang boleh buat orang gelabah tak tentu pasal. Sejak bulan September 2011, aku banyak keluar daripada 'bilik'. Mungkin 'terlalu banyak' keluar bilik. Setiap minggu akan ada aktiviti seni yang sudah jadi tanggungjawab, dan bukan lagi suka-suka.

Baiklah bayangkan kau sedang menghirup kuah Meggi dan pada ketika itu, sudah wajib untuk kau rasa 'Untunglah siapa bapak dia kaya nak mampus, tak payah rasa susah'. Kemudian bila cuci mangkuk bekas Meggi yang sudah kosong tadi, kau akan terfikir 'Siapa bagi bapak dia harta, kalau bukan Tuhan?'.

Aku cuci tapak tangan dengan sabun Axion kemudian menggaru-garu celah-celah jari sampai rasa kotoran-kotoran atau daki-daki tertanggal. Tapi tak pula rasa cukup bersih tangan aku ini, walaupun dah lama aku cuci, bilas dan cuci kemudian bilas. 'Lepas ini mesti kotor balik', kata aku dalam hati. Ya, macam DIRI AKU sendiri.

Cerita Seseorang Yang Forever Alone Dalam Bulan Oktober


Kawan baru, kau sendiri
Kekasih-tunggu tak kunjung nanti
Mentari ditarik sampai ke bulan
Rembulan terik jadi kenangan.


Alarm 'Norkia' Berbunyi

Harga RM80 ringgit, user-friendly, dan bateri tahan sebulan sekali cas.

Aku memang berminat nak mencampakkan diri aku atau mendaratkan aku kat mana-mana tempat di atas Bumi bertuah ini. Kalau dalam realitinya, aku memang tak ada harta sendiri selain pinjaman MARA (untuk setakat ini) selain hasil kerja-kerja sambilan yang kecil ya amat jumlahnya (kebanyakkannya kerja suka-suka). Sumber itu sahaja lah yang boleh membawa aku ke gunung-ganang, kampung-kampung orang dan sebagainya untuk menagih pengalaman. Sekadar memiliki komputer riba Acer aspire dan telefon bimbit baru-beli-berjenama 'Norkia' yang ada lampu picit itu, aku selesa menjadi diri sendiri. Haha.

Betul, kalau Tuhan nak turunkan rezeki, tiadalah dapat tangan-tangan yang dapat menghalang, tapi kalau Tuhan tidak akan menurunkan rezeki, kebahagiaan itu dibahagi-bahagikan dengan cantik. Orang tidur tepi jalan macam sekitar McD Petaling Street-Pudu Raya pun tidurnya lagi nyenyak daripada orang yang punya rumah besar 1.6 billion di atas bukit permai.

Berada dalam radius Pavillion-Bukit Bintang, sepanjang hari dalam tempoh tiga hari yang lalu, buat aku berkata dalam hati 'Oh, kaya-raya rupanya negara aku ini'. Kalau sehari berada di situ, tak dapat rasa sangat. Kalau nak dibandingkan dengan kawasan rumah-rumah setinggan yang aku redah zaman sekolah dulu, memang sangat lah jauh. Aku rasa, kalau orang yang pertama kali datang Pavillion susah nak cari pintu keluar, cubalah campak mereka kat rumah setinggan. Sah-sah sesat bagaikan sebulan. Haha harta, permainannya begitu. Mengawan sekejap, hilang terus bahagianya. Macam kau excited pertama kali nak guna ipod. Awal-awal macam teruja habis nak guna. Baring dengan ipod, terkangkang dengan ipod, dalam jamban pegang ipod. Pada persimpangan jalan, kau akan bosan, hilang bahagia dapat memilikinya. Sekejap saja.

Ketawa gelak hilai dalam tempoh 2 minggu yang lepas pun cuma sementara. Bila dapat pulang ke Tronoh ini, semuanya macam sepi. Tula, macam ku ceritakan tadi, cuma sementara, sekejap saja. Tak gitu? Kadang-kadang, benda yang paling 'murah' itu membawa makna yang paling 'mahal' buat kita.

Alarm telefon bimbit 'Norkia' berbunyi. Peluang untuk cari kebahagiaan hakiki.