Sangat klasik! Apatah lagi aku mengenang kembali kisah Ustazah Leha dan kisah tahi kucing dalam bilik darjah. Aduhai. Sempat menggamit memori dalam waktu-waktu begini.
Sekolah Agama Dato' Abdullah Esa Johor Bahru. Berlatarkan masa 2003, di sinilah tempat aku dengan member yang lain gigih bermain bola kertas tergumpal ber-salotape-kan salotape yang kuat gamnya. Biasanya waktu Ustazah Leha tidak ada di dalam bilik darjah. Ustazah Leha dengan gaya cool-nya masih segar dalam ingatan. Suara kecil "Ye tak?"nya masih terngiang-ngiang dan menggetarkan tetulang osikel ini.
Ada satu hari semua berterabur lari bila Ustaz Sazali datang dengan gaya cool-nya juga mencekak pinggang. Dengan kuasa kuda aku lari masuk bilik darjah yang tak jauh, di sebelah saja. Semua buat muka tak tau. Aku ingat lagi yang kena soal ialah si pengawas bersamping merah. Firdaus Anna kalau tak silap. Tapi tak tahulah ketika itu dia terkencing dalam seluar atau tidak.Cerita pasal tahi kucing lagi seronok. Aku bersamping hijau sebab kena jadi ketua kelas ketika itu. Ketua kelas tahi kucing. Yelah, ada satu hari itu, tiba-tiba menusuk bau tahi entah dari mana. Aku ingatkan, kemungkinan tahi bayi-bayi yang hendak buat pemeriksaan di klinik yang sebelah sahaja dengan bagunan bilik darjah kami. Rupa-rupanya aku salah. Tahi kucing kurang ajar rupanya. Cantik sangat posisinya yang betul-betul bawah meja yang belakang sekali. Teknik penyamaran agaknya. Semua tak nampak.
Aku ketua kelas tahi kucing. Maka akulah yang kena cuci segala itu. Tapi nasib baik ada member yang selalu buat kecoh bersama. Wan Hasan, Wan Leman, Arwah Paan, Daus Anna, Daus Isnin, Faris, Hatta, entah siapa lagi ketika itu. Kamilah yang duduk dalam barisan yang sama yang selalu tido dan gelak tiba-tiba dalam kelas.Terima kasih kepada pencipta surat khabar. Sebab dengan surat khabar lah kami kutip tahi kucing itu. Lantas dimasukkan ke dalam penyodok sampah. Si Daus Isnin angkut baldi dari jamban yang busuk untuk membilas najis itu. Macam-macam idea keluar nak bersihkan tahi kucing itu. Siap dengan air tanah kononnya nak buat demonstrasi cara-cara menghilangkan najis Mughollazah.

Ini bukan saja cerita suka-suka pasal tahi kucing. Tapi nak cerita dan berkongsi cerita pasal zaman di mana ukhwah antara sahabat itu amat kuat rasanya. Macam tali ikatan pengakap yang tak mudah putus kecuali ada yang cuba membuka ikatannya.
Dengar cerita, gambar ini adalah pemberian seorang sahabat kepada sahabat lama ini. Al-Fatihah kepada arwah Farkhan Hakim bin Khamthani di atas pemergiannya sebelum kami semua dapat melihatnya mengenggam segulung ijazah. Itu semua takdir.





































