Sudah lama benar aku tak mendengar bunyi cengkerik. Bunyi yang buat kau berasa damai dan berfikir. Dari arah jendela dapur rumah, bunyi itu menyelinap masuk menggetarkan tulang osikel, terasa jiwa seakan berdering. Aku tersedar. Agaknya sudah terlalu lama aku terperangkap di dalam hutan konkrit sehingga terlupa adanya kewujudan cengkerik selaku penggesek biola yang sering muncul dalam kelam malam. Kesibukkan mengejar ringgit dengan sambutan gaji di akhir bulan adalah suatu kebiasaan buat semua orang tidak terkecuali aku.
Aku lebih suka membelanjakan wang untuk mendapatkan pengalaman daripada membeli produk-produk ciptaan manusia yang kononnya mewah. Menjadi kebodohan apabila terpaksa membayar lebih kerana jenama walhal kualitinya cuma 20% daripada apa yang tertera pada tanda harga. Lebih teruk, terdapat beberapa promosi syaitan dengan tawaran harga potongan, walhal sama dengan harga paras normal.
Pengalaman berjalan di dalam MRT dari Braddel ke Woodlands misalnya, sekurang-kurangnya dapat mengisi kotak-kotak kosong memori dalam otak melalui pemerhatian, gerak-geri manusia keliling dan membingkai alam dari jendela. Elemen-elemen ini seringkali membuat manusia berfikir tentang sesuatu dan akan membawa si pemikir jauh ke dalam dimensi lain. Masa akan seolah-olah terhenti. Pecutan MRT tidak terasa, malah momentumnya membawa si pemikir jauh lebih dalam atau lebih jauh ke masa hadapan. Selalunya apabila memerhati tingkah orang lain, seperti orang yang sedang tersenyum, menyisir rambut, membetulkan tali pengikat kasut, kau akan mengaitkan situasi itu dengan diri pada masa sekarang, atau pada masa akan datang. Nah, tepat pada momen itu, kau akan melakarkan beberapa layar gambaran seimbas lalu apa yang kau akan lakukan, menggambarkan perasaan dan mencari kepastian atau persoalan. Nampak tak? Apatah lagi jika kita manfaatkan masa untuk mengembara ke tempat asing, di dalam kelompok manusia yang berbeza budaya, bahasa dan rona hidup, sudah tentu kapasiti minda untuk berfikir bisa meningkat dan berkembang.
Bezanya membeli barang dan membeli pengalaman adalah nilai susutnya.
Tidak mustahil bagi kita untuk menggunakan 100% pengangkutan awam demi pengalaman-pengalaman kecil seperti ini untuk belajar sesuatu daripada orang sekeliling. Tidak salah memiliki kereta, tetapi tindakan itu akan mengecilkan ruang sosial malah mencipta zon yang terlalu selesa buat kita. Sesuatu yang merugikan. Jangan takut dengan pandangan orang lain bahawa orang yang memakai tali leher, berbaju kemeja kolar slim fit tidak layak berada di dalam bas atau MRT. Setakat ini, pengangkutan awam bukanlah tempat untuk menentukan status quo atau kasta seseorang di dalam masyarakat.
Aku menuruni bas di pondok bas dekat Petron Kampung Melayu. Sambil menyandang beg, tidak terperanjat sekiranya orang lain menyangka aku adalah budak tingkatan empat yang mungkin baru pulang dari sesi pembentangan kerja khusus. Masalahnya sekarang adalah musim cuti sekolah. Suasana petang tadi cukup indah di Kampung Melayu Majidee. Sudah dua minggu tak pulang, suasana sebegitu tetap menjadi sesuatu yang dirindui. Berjalan kaki lebih kurang 50m dari pondok bas menuju ke pintu masuk stesen minyak Petron seolah-olah menjadi pengembara di kampung kelahiran sendiri. Seorang pengembara yang sampai ke destinasi yang dituju dengan penuh harapan akan menemui pelbagai kejutan.
Pintu masuk stesen minyak tersebut ditanda dengan halangan 'operasi pengubahsuaian sedang dijalankan' dan kelihatan dua orang lelaki dewasa sedang menggerudi lantai konkrit. Agaknya mereka ingin memasang tiang halangan konkrit akibat kes sebuah kereta merempuh masuk tempoh hari. Tragis. Di samping seorang lelaki dewasa itu, kelihatan seorang anak muda berumur sekitar 8 tahun, menyapu-nyapu debu konkrit sambil bergurau senda dengan ayahnya tadi.
Musim cuti sekolah adalah waktu yang tepat buat anak orang-orang biasa untuk menolong ayah bekerja. Tidak mustahil sekiranya anak muda ini membesar menjadi orang yang berguna, seorang Civil Engineer yang berguna, bermula dengan menggerudi lantai konkrit dan menyapu debu di atas lantai.
Bunyi cengkerik masih kedengaran. Aku sungguh-sungguh menikmati malam Hari Natal ini dengan menulis dan mengabaikan hari-hari kerja yang telah berlalu.
No comments:
Post a Comment