Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Siri Kenangan #1 - Layang-Layang Kertas

Layang-layang kertas bukan sekadar alat permainan, tetapi ia mengingatkan aku tentang sebuah usaha keras, kegagalan, kenangan dan persahabatan.   
 
 
Aku menurunkan tongkat motosikal dan berjalan dengan topi keledar di kepala menghampiri sebuah kedai runcit, betul-betul di seberang masjid Al-Muhajirin, kelurahan Batu Merah. Perjalanan yang tidak sampai 20 meter itu, aku cuba gayakan dan bertingkah seperti masyarakat biasa di situ dengan harapan, barang yang aku hendak beli, tidak ditawarkan dengan harga yang mahal. Kebiasaan di sini, kalau tahu orang luar yang datang ke mari, pasti cekik darah harganya. Sambil berbahasa Indonesia yang kononya fasih, aku cuba berbasa-basi dengan seorang ibu tukang jualan. Kali ini, aku betul-betul nekad untuk mengasah kembali kemahiran membuat layang-layang kertas dan bermain layang-layang seperti zaman kanak-kanak dulu.
 
Harga segulung benang cuma sekitar Rp 3,000, aku pun menyambar 4 gulung benang cukup untuk diikat sebagai teraju. Dengan harga Rp 7,000 pula aku berjaya mendapatkan sebatang penyapu Harry Potter dari sebuah kedai runcit. Boleh dikatakan ini adalah sebuah kejayaan besar buat hari ini.

Selesai mengisi bensin (petrol), aku menyondol pemicu gear kaki dan terus pulang ke Batam House yang permai. Penyapu Harry Potter di tangan kiri, plastik kresek tersangkut di leher motosikal. Kadang-kadang hilang keseimbangan kerana batang penyapu Harry Potter berat ke sisi kiri. Tak sangka betul aku segigih itu demi sekeping layang-layang kertas.

Teringat waktu kecil dulu, bila azan Asar berkumandang, maka bertempiaranlah kami menuju ke lapangan permainan. Mungkin sudah menjadi kebiasaan, selepas Asar, adalah waktu untuk keluar daripada rumah dan bermain. Orang dewasa pada ketika itu gemar sekali memberi istilah "macam kambing keluar kandang" kerana begitu gembiranya anak-anak kecil yang seumuran dengan aku pada ketika itu bila dapat keluar bermain. Petang dengan kedudukan matahari di ufuk timur, dan angin petang yang sepoi-sepoi bahasa, adalah kondisi yang cukup sempurna untuk bermain di luar rumah.

Lapangan berumput di depan rumah aku adalah tempat berkumpulnya kanak-kanak sekitar sini untuk bermain teng-teng, belon acah, guli dan sebagainya. Dengan padang yang cukup luas dan redup dipayungi pokok rambutan yang rimbun, membuatkan kami tidak ambil peduli tentang ipod, iphone, Play Station, mahupun Gameboy. Tambahan lagi, pada waktu itu semua gajet ini belum lagi menjadi kegilaan. Makanya kami berasa lebih enak bermain di luar.

Secara jujur, aku tidak ingat bila pertama kali aku menghasilkan layang-layang kertas sendiri tetapi yang aku ingat ialah ia adalah berdasarkan beberapa siri pengalaman sendiri, maksudnya aku buat sendiri. Antara sumber rujukan pada ketika itu ialah hasil menonton Art Attack di televisyen. Aku tak pasti seandainya ramai tahu tentang ini, tetapi rancangan Art Attack ini mengajarkan cara-cara menghasilkan barang-barang kreatif termasuklah layang-layang kertas.

Kalau cerita pasal menerbangkan layang-layang, sudah banyak kali lutut luka bergesel dengan pasir kerana jatuh.

Jadi petang Ahad tempoh hari, setelah mendapatkan bahan-bahan keperluan untuk menghasilkan layang-layang kertas, kami bertiga (termasuk dua rakan yang lain) berhempas pulas memotong akhbar lama, mencarik lidi-lidi daripada batang penyapu dan menempelkan pita selofan secukup rasa sehingga terhasilnya figura layang-layang kertas berbentuk permata dengan kerangka yang membingkai. Tinggal pemasangan tali terajunya sahaja. Untuk pemasangan teraju dua, keseimbangan adalah keutamaan yang menentukan sama ada layang-layang itu boleh terbang atau tidak. Sama seperti apa jua yang kita lakukan dalam hidup. Semuanya memerlukan keseimbangan. Tidak berat sebelah, dan harus tahu cara untuk mengimbanginya. Tidak boleh terlalu berlebihan dan obses tentang sesuatu jika tidak, boleh hilang pedoman.


Padang di sebelah Perumahan Lancang Kuning adalah lokasi yang sesuai untuk menerbangkan layang-layang kerana tidak banyak pokok dan cukup luas untuk berlari-lari sambil menongkah angin. Lalang-lalang yang tidak begitu panjang, menyediakan trek larian yang cukup panjang untuk memberikan daya tujah sekiranya angin menyongsang ke arah lain atau tidak ada angin.

Walaupun pada mulanya agak malu, tetapi akhirnya kami berjaya menerbangkan dua layang-layang kertas. Malangnya layang-layang buatan aku gagal diterbangkan kerana terlalu berat dan sarat. Setelah dioperasi pun gagal diterbangkan.

Mungkin jarang sekali melihat orang datang bermain layang-layang di sini, bapak-bapak tukang jualan warung makan berhampiran padang kosong ini mula menyebarkan cerita kepada orang lain. Sehinggakan teman sekantor kami ketahuan ada tiga orang lelaki dan seorang perempuan bermain layang-layang. Ini agak lucu.
 

Seperti kata teman aku yang satu itu, mungkin inilah yang boleh kita ajarkan kepada anak-anak yang kita akan lahirkan nanti supaya mereka kenal disebalik permainan layang-layang kertas. Memberikan pengalaman dan ilmu yang baru kepada yang tidak pernah adalah juga pahala yang berpanjangan. Kan?

No comments: