Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Marah

1. Matahari terbenam. Pancaran cahaya jingga merayap di mukanya hingga suatu saat, merangkak di bibir yang sedang kumat-kamit membaca ayat Tuhan. Terpesona adalah perasaan ketika itu saat ada yang lehernya lentok tidur ke jendela berkaca dan orang lalu lalang sibuk membawa nasi bungkus buat makan malam. Keretapi Agro Wilis pada senja itu bercampur baur dengan suasana di saat aku duduk seorang menghayati perjalanan. Aku mengakui bahawa setiap perjalanan yang pernah aku lalui itu memberikan banyak inspirasi dan menanamkan idea-idea baru digaul dengan banyak persoalan sehingga aku temui jawapan yang mengujakan. Dan aku mulai marah kerana sudah lama tidak mendapatkan perjalanan panjang.

2. Membina kepercayaan itu sukar, tetapi membunuh kepercayaan itu cukup mudah. Kepercayaan yang gagal akan menerbitkan rasa sangsi dan prejudis. Akhirnya, mereka akan berbuat apa jua alasan untuk menyelamatkan diri sendiri apabila terbuai dengan persoalan 'Siapakah yang harus dipersalahkan' dan itu sangat tidak positif. 

3. Pemimpin yang bodoh adalah pemimpin yang membunuh masa depan cucu cicitnya sendiri. 

4. Menunggang motosikal, adalah umpama medan perang. Seringkali berperang dengan amarah di jalan, tetapi jarang sekali atau hampir tidak pernah ada rasa marah di luar jalan. Mungkin Tuhan telah memberikan peluang merasai nikmat marah itu khusus di jalan. Yang membuat aku takut ialah apabila aku tak dapat lagi merasai rasa marah.

No comments: