Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Mencari Dewi Anjani dan 'Bertarung' Dengan Keindahan Pulau Komodo di Lautan Flores #2

Sebelum itu, ini adalah entri sambungan kepada kisah Mencari Dewi Anjani dan 'Bertarung' Dengan Keindahan Pulau Komodo di Lautan Flores #1.

Boleh baca, tetapi tidak bersangkutan 100% dengan entri pada kali ini kerana yang lepas itu cuma entri kosong dengan rumusan bodoh.

Cukup berterima kasih kerana berpeluang mendapatkan pengalaman tak ternilai ini dengan kelebihan kesihatan tubuh badan dan kekuatan minda menempuh ranjau semasa pendakian ke atas puncak berketinggian 3726m dari aras laut di samping menyorok di dalam kabus sejuk sepanjang perjalanan ke puncak. Pelayaran di Pulau Komodo merentasi Kepulauan Flores, menambah seru perjalanan pada kali ini, dari Pulau Seribu Masjid, merentasi juga pulau-pulau kecil sekitarnya langsung ke Labuan Bajo. Sedikit rumusan kepada 'Mencari Dewi Anjani dan 'Bertarung' Dengan Keindahan Pulau Komodo di Lautan Flores' sebelum menyelam dengan lebih dalam lautan aksara yang belum lengkap dan bakal dilengkapkan dari semasa ke semasa untuk merakam kenangan. Buat cucu cicit juga nanti dan bila sudah tua, atau mungkin hampir Alzheimer nanti, halaman ini akan memetik kembali ingatan yang mungkin pudar pada ketika itu.

Mencari Dewi Anjani
 
Gunung Rinjani dengan ketinggian 3726m daripada aras laut, adalah sebuah gunung yang tidak asing di Indonesia selaku puncak gunung kedua tertinggi di kepulauan Jawa bagi kategori gunung berapi. Sebenarnya, jikalau merujuk kepada tajuk yang aku karang bukanlah hendak menunjukkan kehebatan kononnya hendak bertemu Dewi Anjani di puncak tetapi lebih tertarik dengan kisah orang-orang di sini tentang Dewi Anjani yang katanya seorang puteri yang jelitawan membuat orang teruna tertarik. Kisahnya Dewi Anjani merajuk kerana terdapat dua orang putera yang hendak mengkahwininya. Ala-ala Puteri Gunung Ledang. Jauh di sudut hati, setelah mengakhiri pertualangan di Gunung Rinjani ini, aku rasa aku telah bertemu dengan 'kecantikkannya'. (Pejam mata)

 
Sedikit menjadi persoalan mengapa puteri-puteri atau dewi pada zaman dahulu suka melarikan diri ke puncak gunung. Adakah gunung menjadi simbolik kepada kes lari rumah seperti yang banyak berlaku pada zaman sekarang?
 
Sebelum sampai ke Sembalun dan melepaskan lelah perjalanan hampir 5 jam dari Bandar Udara Internasional Lombok, kami berlima bertandang ke desa tempat tinggal kaum Sasak yang merupakan kaum natif di 'Pulau Seribu Masjid' ini. Dilabel sebagai Sasak moden, nampaknya penyambut tetamu pada hari itu fasih berbahasa Inggeris dan sudah tentu boleh berbahasa Indonesia. Beberapa kosa kata bahasa Sasak diajar oleh bapak si pemandu mobil rental kami tetapi sayangnya sudah lupa. Satu kosa kata yang paling aku ingat ialah,

'Tampiasih'  yang memberi maksud 'Terima Kasih'.

Tanjung Aan yang mempunyai landskap pantai dan batuan yang cantik sering dikaitkan dengan kisah Puteri Mandalika. Menurut orang tempatan, Puteri Mandalika mengorbankan dirinya di pantai Tanjung Aan ini bagi menyelesaikan pertelegahan antara dua putera raja daripada dua kerajaan untuk memiliki atau mengahwini Puteri Mandalika kerana terpesona dengan kecantikkannya dan tidak mahu ada pertumpahan darah di Bumi Lombok. Kerana itu, sering diadakan perayaan Bau Nyale untuk menyambut jelmaan Puteri Mandalika dalam bentuk cacing laut. Bau bermaksud menangkap manakala Nyale ialah cacing. Unik.

Antara spot menarik di sini ialah batu bongkah seakan pentas yang terbentuk secara semulajadi. Dari atas batu bongkah ini, pemandangan pantai di Tanjung Aan nampak lebih menyeluruh.


Perjalanan ke Sembalun yang memakan masa hampir 5 hingga 6 jam sangat meletihkan dan kami sedaya upaya mengisi perbualan dalam mobil supaya tidak terlalu bosan. Hampir setiap pekan atau desa kecil yang kami lalui pasti ada bangunan Masjid yang boleh dikatakan sangat besar dan tiang serinya melebihi 6 meter. Pas dengan panggilan Lombok sebagai Pulau Seribu Masjid.

Kami sempat singgah di sebuah masjid bagi menunaikan solat jamak qasar Zuhur dan Asar. Di hadapan masjid ini, kelihatan beberapa anak muda berumur sekitar 10 hingga 12 tahun, sedang sibuk memunggah dan bekerjasama memasukkan buah tembikai ke dalam lori pemunggah yang kecil. Ini menunjukkan bumi Lombok begitu subur dengan tanaman buah-buahan selain padi seperti yang pengunjung boleh lihat sepanjang desa kecil di kiri dan kanan jalan.


Suku perjalanan kami menuju ke Desa Sembalun agak mencabar kerana perlu melalui jalan curam dan kadang-kadang menanjak naik apatah lagi waktu itu sudah malam. Bapak supir memainkan lampu tinggi dan membunyikan hon setiap kali menghampiri selekoh tajam untuk memberi amaran kepada kenderaan yang mungkin datang dari arah bertentangan. Ini tidak cukup ekstrem jika dibandingkan perjalanan aku dan Pakde dengan lori dari Wae Rebo ke Pelabuhan Labuan Bajo. Waktu itu, hanya Tuhan saja yang tahu.

Semakin mendekati desa Sembalun, semakin terasa perubahan altitud dan dinginnya sampai menggigit tulang. Secara teorinya, tubuh manusia boleh menyesuaikan diri mengikut suhu persekitaran tetapi oleh kerana aku tidak terbiasa dalam kondisi sejuk seperti ini, aku memerlukan masa untuk rasa aman. Setelah melewati lorong-lorong kecil dalam keadaan gelap, kehadiran kami disambut mesra dengan secangkir kopi bersama unggun api yang sedikit sebanyak menghangatkan tubuh kami. Tidak banyak yang dapat dilihat sekeliling pada waktu dinihari cuma kami melewati rumah-rumah desa yang beratapkan nipah dan berdindingkan anyaman rotan. Di desa tempat kami bermalam ini, hanya generator yang menyalakan segenap ruang. Mungkin kerana itu, aku mendapati lampu-lampu di sini agak malap membuatkan suasana terasa agak sugul pada malam itu. Sambil duduk mengelilingi ungun api, kami memulakan mukadimah dengan bercerita tentang perancangan pendakian untuk hari esok. Awalnya, perbualan kami tampak serius mungkin kerana kami begitu teruja untuk ke puncak tetapi setelah beberapa ketika, kami mula menyelitkan humor tentang apa saja atau mungkin sudah mengantuk dan 'mabuk' atau mamai. Apa yang melucukan ialah kelihatan penduduk desa Sembalun ini cuma berselubung dengan kain pelikat atau kain batik sahaja sebagai baju sejuk. Berbeza dengan aku, yang bertungkus lumus berpakaian windbreaker dan pakaian berlapis ditambah dengan aksi menggosok-gosok tapak tangan kerana tidak tahan dengan kedinginan malam itu.

Menjadi sebuah pengalaman baru apabila merasai kesejukkan air yang ditadah di dalam kolah kecil tatkala mengambil wudhuk. Konsep pili air di sini amat mudah iaitu menggunakan P=(rho)gh dengan tekanan air mengikut kedalaman air di dalam kolah. Lubang dibuat pada paras tekanan maksimum tanpa perlu pompa atau pam air. Lubang itu ditutup dengan semacam gabus yang diikat dengan karet atau getah supaya tidak tercabut. Segalanya di sini mengaplikasikan cara hidup yang paling sederhana dan mudah.

Maaf, aku sudah masuk terlalu dalam jauh ke dunia teknikal. Tetapi intinya, hidup seperti keluarga Pak Suketi di sini amat mudah. Sumber makanan, minuman, elektrik, dan sayur-sayuran adalah tanpa tax mahupun GST. Semuanya datang dari alam.

Seperti biasa, apabila generasi Y seperti kami berada di luar kawasan, colokkan di rumah saudaranya Pak Suketi menjadi tumpuan kami untuk mengecas teknologi paling tipikal pada masa kini iaitu telefon selular. Kami mengecas telefon selular mahupun bateri kamera secara rakus dengan harapan ianya bisa bertahan selama lebih 4 hari dan mampu merakam pemandangan yang indah lagi mengiurkan pancaindera.

Sebenarnya kami sangat beruntung kerana diberikan ruangan tidur serta tilam toto yang empuk dan selimut bagi menghangatkan tubuh pada malam tersebut sebelum memulakan perjalanan panjang keesokkan harinya. Tak mudah untuk aku lelapkan mata kerana terlalu teruja buat esok.

Dalam keadaan menggigil, selesai solat Subuh, kami menghirup kopi hangat. Oh nikmat betul kerana bukan selalu dapat minum kopi dari desa sambil diselubungi kabus pagi di pangkin rumah.

(Bersambung)

No comments: