Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Kembara di Bumi Jawa Timur Segmen IV - Arjuno dan Gadis Bersimpuh Bersama Seikat Daun Serai di Genggaman

Johor Bahru - Jogjakarta - Surabaya - Malang - Banyuwangi - Malang - Jogjakarta - Johor Bahru
---------------------------------------------------------------------------------------
Kembara di Bumi Jawa Timur Segmen I - Bromo Meletuskan Rasa Kagum


Sumber foto: Merayap 66
---------------------------------------------------------------------------------------------
Selesai menuruni Gunung Arjuno yang seakan mematikan, kami berehat seharian sambil menikmati suasana di Desa Jambearjo dengan secawan kopi. Rasa kopi yang dibakar terik Matahari amatlah membuatkan aku ketagihan bagai candu. Rasanya masih melekat di lidah sehingga ke hari ini. Beruntung orang di sini, mereka mendapatkan segala keperluan asas seperti air mata air, biji kopi dan sebagainya dengan mudah. Perlu jadi rajin sahaja.

Kami berempat duduk bersandar di atas kerusi sambil bercerita kisah dari awal pendakian Gunung Arjuno sehingga hari kedua di atas puncak dan setelah menuruni. Aku menuangkan air kopi di atas piring cukup-cukup sebelum melimpah ke bibir piring lalu menghirup. Agak panas. Perbualan kami diselangi tawa kerana ada banyak siri kebetulan dan cerita yang lucu.

Teringat ketika 'overtime' menuju ke post perkhemahan terkahir sebelum ke puncak melalui laluan yang agak terjal dan berbatu. Oleh kerana malam dan dingin yang menggigit tulang, kami berempat agak hilang kawalan mental kerana kepenatan berjalan hampir 9 jam dan berhenti cuma seketika. Walau apa pun, perjalanannya cukup menarik apabila dapat menikmati bintang malam dan suasana damai malam bertemankan suluhan lampu sorot di kepala. Bukan selalu dapat menikmati suasana macam ini. Kadang-kadang kami sengaja mematikan lampu untuk betul-betul menikmati kegelapan malam bersama bunyi-bunyi serangga seakan melodi menyongsong ke masa silam. Aduh. Sukar untuk aku jelaskan dan bila orang bertanya mengapa memilih untuk mendaki gunung, sukar untuk aku jelaskan juga kerana terlalu subjektif. Ada yang pernah kata, kalau mahu lihat kegelapan malam dan bintang, matahari terbit mahupun terbenam, buat apa susah-susah panjat gunung? 

Kopi yang masih hangat di atas piring kuhirup buat entah ke berapa kali. Fikiran masih berlegaran di dunia Arjuno, memetik beberapa momen sepanjang pendakian.

Pada mulanya, menuju ke desa Ranupane demi menjejaki puncak Mahameru adalah misi pada pagi tanggal 11 Ogos 2015. "Maka beruntunglah mereka yang mati muda" adalah kalimat puisi Soe Hok Gie yang seringkali bermain dalam benakku, lantas memacu kehadiran aku ke sini. Bukan kerana ingin menawan puncak, tetapi lebih terarah menyahut kalimat yang keramat ini. Soe Hok Gie yang mungkin aku tidak betul-betul kenal, tetapi tragedi kematiannya di Semeru akibat terhidu gas beracun membangkitkan semangat untuk lebih mengenali diri. Walaubagaimanapun, pelan pada pagi itu gagal apabila mendapat panggilan telefon bahawa Semeru ditutup kerana insiden kehilangan seorang anak Bogor dan selang esokknya mendapat tahu bahawa seorang pendaki tempatan tewas akibat terhempap batu bergolek sewaktu pendakian dari Archopodo ke puncak Semeru. Pasukan mencari dan menyelamat dikhabarkan masih mengerah tenaga dan itu memakan masa beberapa hari sedangkan aku cuma ada 11 hari untuk mengelilingi Jawa Timur.

Tanpa membuang waktu bergelumang dengan keresahan, kami berempat bersetuju untuk mengubah arah menuju ke Gunung Arjuno-Wilerang di Kabupaten Pasuruan. Mujur Mas Dani, bersama Joni, Martha dan Mas Daniel sudi menghantar langsung dari Malang ke post pendakian. Bertemu dengan pengembara seperti mereka merupakan hal yang tidak dapat aku lupakan. Sahabat baru.

Tepat jam 4 petang, kami memulakan pendakian. Oleh sebab masih bersemangat, kami meneruskan perjalanan walaupun hari sudah gelap. Target kami, sebelum jam 12 malam akan tiba di campsite.

Mungkin foto-foto ini boleh menyimpulkan beberapa scene menuju ke puncak Arjuno.

Sependek ucapan "monggo" sudah cukup membangkitkan rasa persaudaraan antara pendaki yang berselisih jalan sewaktu pendakian. Budaya dan santun bangsa Jawa Timur yang patut dicontohi.

Apabila keletihan, aku berhenti seketika dengan mengamalkan teknik pernafasan hela hembus pada kiraan yang bersesuaian. Mujur ada satu paket kurma yang menjadi sumber tambah tenaga. Di atas gunung, segalanya tentang perkongsian. Berkongsi makanan, berkongsi cerita dan kisah hidup. Kadang-kadang, cerita yang paling indah dikongsikan di tempat yang tidak begitu indah seperti di belakang tandas saat kami duduk santai bersembang tentang hidup masing-masing.

Ada satu spot menarik ketika pendakian ke puncak. Kalau dari jauh, geometrinya adalah berbentuk trigonometri. Tebing gunung yang membentuk 3 garis lurus dan tiga sudut. Kerana itu namanya trigonometri. Tebing gunung itu tadi membentuk hipotenus dan pendaki berada di garisan itu. Apa yang aku dapat simpulkan ialah geometri alam yang tak pernah menghampakan para pencintanya. Malah pencintanya yang sering menghampakan alam, memadam garisan yang membentuk geometri ini dengan longgokan sampah durjana.


Satu lagi spot menarik ialah di kawasan tenda kami dirikan ini sebenarnya begitu hampir dengan rumah atau pondok tinggal penambang-penambang batuan sulfur yang sumbernya dari kawah Wilerang. Gunung Wilerang ialah gunung volkano yang masih aktif walhal gunung Arjuno adalah gunung berapi yang sudah mati. Maka kerana itu nama tempat ini Gunung Arjuno-Wilerang. Kawasan seumpama tempat tinggal Hobbit ini agak unik dan bertambah misteri dengan kisah dari Rasydan yang terserempak dengan beberapa penambang yang rata-rata berasal dari Pulau Madura. Seorang penambang Madura katanya telah menegur dan melarang Rasydan yang sedang asyik memotret foto di sekitar rumah-rumah Hobbit ini. Mungkin tidak senang dengan aktiviti mainstream kerana sebelumnya ada wawancara yang telah menyebarkan foto aktiviti penambang sulfur tanpa kebenaran mereka sendiri lantas mereka berasa jatuh air muka. Menurut kata orang, tidak ada yang berani macam-macam dengan orang Madura kerana jika tersalah kata, boleh binasa. Tapi itu cerita orang dan selaku orang luar, percaya atau tidak, kita cuma harus hormat.

Ketika hampir 500m untuk menuju ke puncak Arjuno, kelihatan sekumpulan kecil pendaki telah berada di puncak sedang duduk menikmati pemandangan yang tidak terkalahkan oleh kecantikkan alam yang berbeda. Dari atas puncak ini, kelihatan beberapa pergunungan, kadang-kadang dilitupi awan-gemawan. Ketika angin menolak awam, jelas kelihatan bentuk bongkah gunung seakan memberi kejutan. Menurut Pak Iman, yang paling tinggi dari arah Timur itu adalah puncak Mahameru. Aku terus teruja dan bergaya gambar seakan menyentuh puncak Mahameru di hujung jari telunjuk. Sebelah Barat pula kelihatan beberapa gunung 'adik-beradik' tersusun satu barisan dengan ketinggian yang berurutan. Itu sangat magis dan unik.

Maka hendak dijadikan cerita, Dewa Krishna telah mengerat bahagian puncak Meru di India lalu diterbangkan ke Jawa Timur. Kerana kononnya Bumi Jawa Timur tidak stabil. Sebagaimana yang kita ketahui, gunung-ganang diciptakan Allah sebagai pasak Bumi. Dan serpihan-serpihan tanah dari Gunung Meru itu telah jatuh bertimpa di tanah Jawa Timur, maka gunung-gunung berbaris ini terbentuk!

Menuruni puncak Arjuno dengan perasaan gundah, kerana harus meninggalkan satu jam sajian indah Maha Pencipta. Pemandangan Gunung Semeru, Gunung Penanggungan, dan Gunung Wilerang semakin ditinggal jauh dengan altitud yang semakin berkurang. Satu jam tadi yang membuat mata ini langsung tidak berkedip.


Malam itu dingin sekali sehinggakan kalau dibayar 4.6 billion untuk telanjangkan diri aku pasti tak mahu. Lebih kurang jam 10 malam, kami tiba di pondok pendaftaran Arjuno Wilerang. Perjalanan menuruni Arjuno tak kurang mencabar apabila kurang tidur dan air. Mujur ada sumber air dari kebun orang di pertengahan jalan. Habis pagar pengadang rebah dibuatnya saat melangkah masuk ke kebun demi mengisi sebotol air 1.5 liter. Tanpa memikirkan apa-apa, aku terus menurunkan backpack ke tanah dan terbaring sambil menutup kelopak mata. Aku cuma perlukan satu minit untuk menikmati segala tenaga yang telah hilang dikerah demi kepuasan diri.

Terdengar dari jauh, Pak Arifin mengajak kami meratah sate kambing di seberang jalan. Tak sangka, lewat malam begini masih ada warung yang menjual makanan. Teringat kisah sundelbolong minta seratus cucuk sate dalam filem Suzanna.

Sebenarnya untuk berjalan ke warung seberang jalan pada waktu itu, adalah dugaan terbesar namun perut dalam masa yang sama merengek minta diisi sesuatu. Setelah mendapatkan bangku untuk duduk, kami menghembus nafas lega seolah-olah perjalanan dari pondok pendaftaran ke warung sate kambing ini adalah sebuah perjuangan besar yang mencapai titik akhir. Sengaja aku duduk di atas bangku yang panjang dan di belakang aku ada bangku yang cukup lebar untuk aku membaringkan tubuh yang hampir longlai. Hawa hangat daripada arang pemanggang sate menambahkan lagi keasyikkan.

Sekarang, masa untuk mencari semacam angkutan atau teksi untuk kami pulang semula ke Desa Jambearjo iaitu ke rumah Pak Arifin. Hampir buntu juga mencari angkutan lewat malam seperti ini. Teman Pak Arifin yang sudah dihubungi juga tidak muncul-muncul sehinggakan sate serta kopi hampir sejuk dibuatnya setelah beberapa kali meneguknya.

Setelah meratah secucuk sate yang terakhir, aku bingkas bangun dan menyeberang ke sebuah hotel. Di hadapan hotel, kelihatan anak-anak muda berkumpul membuat bulatan. Ada yang berbungkus tubuh dengan kain pelikat dan ada yang ketawanya yang besar seakan hampir memecahkan gegendang telinga. Aku cuma tersenyum apabila melewati anak-anak muda tadi. Mengingatkan aku zaman di universiti dulu bersama-sama teman berkumpul di warung mamak sehingga lewat malam tak kisah esoknya ada kelas seawal jam 8 pagi atau tidak. Masa muda yang indah.

Pertanyaan aku di pondok satpam (Satuan Pengaman) gagal dijawab dengan benar kerana mereka juga bingung tak ada satu pun kelibat teksi di sini. Aku berputus asa lalu kembali ke warung sate tadi.

Demi menunaikan hasrat untuk pulan malam itu juga, demi bergerak awal esok pagi untuk ke pantai-pantai sekitar Malang, aku gagahkan diri mengajak Pak Arifin dan Hamizan untuk berjalan menuju ke depan jalan besar sedikit untuk mencari kalau-kalau ada teksi yang dalam 'mode standby'.

Seorang lagi teman sudah tewas ketiduran. Kami biarkan saja. Sesungguhnya malam itu tidak berpihak kepada kami kerana teksi gagal ditemui. Kami berpatah balik kira-kira 500m kembali ke pondok pendaftaran. Setibanya di depan pintu masuk, Hamizan terus membentangkan sleeping bag di betul-betul di sebelah unggun api bertentangan dengan seorang nenek tua yang tidak dikenali terbaring sepi juga betul-betul di samping unggun api tadi. Tanpa memikirkan untuk mendirikan tenda, kami terus baring seperti kepompong dan mencuri sedikit kehangatan unggun api tadi.

Seperti dalam siri perjalanan atau pengembaraan yang sebelumnya, pastinya kita akan belajar erti kesederhanaan dan betapa kesederhanaan itu indah. Menikmati hal-hal yang kecil itu membangkitkan rasa syukur kerana dapat merasai apa yang orang lain rasai buat masa sekarang. Bahkan, hal-hal yang bukan menjadi kebiasaan ini sering menyuntik semangat baru dalam diri dan dapat mematikan hal-hal yang sudah kita bosan lakukan atau fikirkan. Itu juga membentuk sekumpulan kenangan sebagai buah tangan apabila pulang dan menjadi tua nanti. Ya, yang pasti kita semua akan menjadi tua, dan aku mahu kenangan ini akan mengisi masa tua nanti.

Bermula seorang demi seorang antara kami, membentang sleeping bag membentuk susunan rawak. Unggun api tadi adalah semacam Matahari dan kami adalah planet di sekelilingnya. Cuma kami tak beredar mengelilingi Matahari, kami stagnant dan berdengkur!

Pagi keesokkan harinya, setelah menyapu taik mata yang tebal dan mengeras akibat dinginnya malam tadi, aku bangkit dan keluar dari sleeping bag. Rambut yang kusut terasa keras akibat tidak mandi selama beberapa hari. Namun begitu, aku sudah terbiasa malah sengaja begini demi mendapatkan pengalaman bukan biasa-biasa.

(Bersambung)

Suatu Sore di Simpang Melchem

Rim berputar tanpa mengendahkan kebocoran tiub tayar yang menyebalkan. Enjin kuasa dua lejang motosikal yang aku tunggang, nampaknya mengaum betul-betul berusaha keras mengheret aku menuju ke bengkel. Kadang-kadang tubuh motosikal secara tiba-tiba ke kiri samping jalan. Sesekali, leher pengemudi motosikal langsung dibalas ke kanan untuk memastikan tidak secara tiba-tiba terbabas ke kiri jalan. Jalan yang sedikit membukit, menambahkan lagi beban seorang lelaki yang sudah jatuh ditimpa tangga macam aku.

Tanpa tidak mempedulikan hujan yang semakin memburuk, aku meneruskan perjalanan untuk menuju ke sebuah mahkamah pengaduan yang aku namakan sebuah bengkel. Jaraknya yang tidak lebih 2 km namun terasa panjang bagaikan setahun.

Rintik-rintik hujan semakin berkurang saat melepasi bumbung bengkel yang ala kadar cukuplah bisa dijadikan teduhan. Kedatangan aku disambut oleh beberapa ekor ayam sedang sibuk mengais-ngais tanah menggunakan tajinya sambil berkokok meriuhkan satu kampung. Aku pun tak tahu apa sebabnya. Ah sudahlah, apa yang penting si abang mekanik berketurunan Batak ada untuk menampal dan memperbaiki tayar yang sudah bocor akibat paku bedebah.  

Kelihatan ramai bapak-bapak dan ibu-ibu yang sedang mendukung anak kecil sedang berteduh di bawah bumbung bengkel yang sama. Aku menganggukkan kepala lalu melontarkan senyuman ramah. Hari ini hari Ahad, maka ramai antara mereka yang berpakaian batik dan kemas mungkin baru pulang daripada gereja. Mereka saling berkomunikasi dalam bahasa yang aku tidak faham tetapi gaya tubuh dan lontaran vokalnya menyakinkan aku bahawa mereka ini daripada suku Batak. Kedengaran kasar bunyinya, tetapi antara perbualan mesra atau marah sukar untuk dibezakan walhal mereka sebenarnya tidak marah dan berbual tentang perkara biasa saja.

"Mas, ban saya bocor. Minta tolong ditambal ya." Aku terus membuka helmet dan melabuhkan punggung di atas barisan bangku yang berdekatan.


Kedengaran lagu Judika berjudul Aku Yang Tersakiti yang agak keras yang datang dari rumah kedai di sebelah. Ketukkan drum yang kadang-kadang lambat tempo, sedikit mencacatkan rentak yang aslinya. Rupa-rupanya ada yang jamming di sebelah. Tidak aku sangka, kedai yang berbentuk seakan-akan 'rumah liar' ini ada ruang untuk 'jamming'.

Seorang ibu keluar daripada ruang dalam bengkel dan menatang pinggan terisi sepenumbuk nasi dan seketul ayam goreng tak berkuah apa-apa. Aku yang khayal sedikit mendengar lagu Judika itu tadi disapa untuk makan siang. Aku tersengih membalas sapaan. Suapan demi suapan nasi dan ayam goreng dimasukkan ke dalam mulut dengan posisi kaki bersila di atas bangku. Cukup sederhana tanpa perlu mengendahkan 'table manners' dan suasana cukup alami dengan rintik hujan yang sejuk serta mendamaikan. Aku memerhati betapa kesederhanaan itu membentuk kemurahan hati mereka untuk berkongsi apa yang mereka miliki. Sapaan diterima atau ditolak itu lain cerita. Hidup persaudaraan seperti ini lah yang jarang sekali kita temui di kota-kota besar yang kini menjadikan kebanyakkan warganya berubah jadi lebih materialistik dan individualistik.

Kembara di Bumi Jawa Timur Segmen II - Madakaripura and Nyalaan Api Biru Ijen Yang Memukau

Johor Bahru - Jogjakarta - Surabaya - Malang - Banyuwangi - Malang - Jogjakarta - Johor Bahru

Sambungan kepada Segmen I dalam Kembara di Bumi Jawa Timur Segmen I - Bromo Meletuskan Rasa Kagum

Madakaripura, Sebuah Tempat Terakhir Meditasi Gadja Madha Sebelum Hilang

Perjalanan dari pergunungan Bromo ke Madakaripura mengambil masa 45 minit dari Desa Cemoro Lawang, ke Lumbang, Probolinggo. Air terjun yang tertinggi di Pulau Jawa dan kedua tertinggi di Indonesia ini tidak tercatat dalam pelan asal kembara ke Jawa Timur namun sengaja aku selitkan kerana alang-alang sudah ke sini. Pelan awal adalah untuk menghabiskan masa yang lama ketika di Banyuwangi nanti.

Secara amnya tempat ini harusnya terjaga tetapi malangnya sewaktu melakukan perjalanan tidak kurang 500m ke tempat terletaknya dua air terjun utama, didapati beberapa keping plastik terbuang kelihatan mencacatkan sedikit pemandangan. Manusia memang tidak pernah belajar daripada beberapa siri kejadian bencana alam yang sudah jelas akibat tangan manusia sendiri. Teringat ungkapan dalam novel Secret of Savanna, ketika datuknya yang suka berburu sakit. Dahulu dia suka menembak itik di tepi tasik, tetapi hari ini bilangan itik semakin berkurang dan kemungkinan lesap. Menjelaskan bahawa dirinya ibarat itik tersebut yang mungkin akan 'lenyap', menyedari bahawa kehilangan itik-itik yang sering terbang saat Matahari terbenam itu adalah akibat tangannya sendiri. Aku menutup halaman novel dan kembali menikmati angin yang masuk deras melalui tingkap kereta. Pak Dwi Bakso nampak sedikit keletihan setelah memandu hampir 4 jam dari Surabaya ke sini. Apa tidaknya, apabila kami sampai di Stasiun Surabaya Gubeng, kami terus bertemu Mas Dani dan berdoa dapat menyewa satu kereta buat perjalanan selama tiga hari. Agak tergesa-gesa.

Selesai memberi salam terakhir dalam tahiyat akhir, aku menolak daun pintu musollah dan berjalan menuju tempat duduk Mas Dani dengan penuh harapan. Setelah membuat mimik muka seakan bertanya mengenai hal kereta sewa, Mas Dani memberikan berita baik kerana berjaya mendapatkan kereta bersama Mas Dwi Bakso. Kemunculan Mas Dwi Bakso pada jam 12 tengah malam waktu Indonesia Timur seakan upacara gilang-gemilang. Hanya Tuhan saja tahu perasaan girang kerana optimis dengan pelan saat terakhir. Oh ya, ada sebab kenapa dipanggil Mas Dwi Bakso. Hanya Mas Arifin, dan kami bertiga sahaja yang tahu.
 
Diceritakan dua air terjun setinggi 200 meter ini merupakan tempat bermainnya Gadja Madha pada zaman kegemilangan kerajaan Majapahit di Pulau Jawa ini. Salah satu air terjun ini terdapat gua tempat pertapaan Gadja Madha tetapi sayangnya tidak ada jalan akses untuk ke situ. Pastinya gua yang diceritakan memiliki keunikan tersendiri. Rasa ingin tahu amat membuak tetapi menghormati budaya dan adat setempat adalah menjadi keutamaan. Satu lagi air terjun di sebelah sisi kanan, merupakan tempat bersiram Gadja Madha. Pada mulanya agak berhati-hati saat melakukan terjunan dan menghampiri ke kolam permandian Gadja Madha kerana teringat pesan orang-orang tua jikalau berkunjung ke sebuah tempat yang angker, kena mintak izin dahulu. Tambahan lagi, agak pelik kerana pengunjung lokal yang lain tidak berpakaian mandi malah memakai baju hujan.
 
Keluasan kolam tempat jatuhan air terjun madakaripura yang mencapai 300 meter persegi dan dengan kedalaman kira-kira 7 meter ini cukup menghairahkan buat mereka yang inginkan kesegaran dan melupakan bebanan kerja yang menggunung. Saat memasuki seakan gerbang masuk, mata melihat ke atas dan pemandangan air terjun yang seakan jatuh dari lubang di langit, membuat aku terpegun dan mengagumi ciptaan Tuhan ini. Pemandangan tebing tinggi berbentuk ladam kuda dan batuannya yang dipenuhi tumbuhan hijau ini jarang sekali dapat dilihat di Hutan Hujan Tropika seperti Malaysia. Tanpa berfikir panjang, aku segera menghamparkan tubuh di dalam kolam air terjun tersebut. Saat mengapungkan badan dan air menutupi hingga paras telinga, bunyi deruan air menjadi penyumbat kepada kebisingan kota. Terasa tenang, lebih-lebih lagi bila memejamkan mata sambil muka menghadap limpahan cahaya Matahari.

Aku memang suka begini, mencuri kesempatan untuk menikmati hal-hal kecil yang jarang sekali orang boleh faham.

Nyalaan Api Biru Ijen Yang Memukau

Menyambung perjalanan daripada daerah Probolinggo menuju ke Banyuwangi adalah misi setelah meninggalkan keajaiban air terjun Madakaripura.
 
Kami melewati sebuah Power Plant yang sangat besar, mencakupi hampir seluruh kawasan pantai yang panjang. Kelihatan beberapa terminal tempat air laut diproses untuk menjadi air tanpa mineral supaya pas menjadi air yang dipanaskan di dalam 'Water Tube Boiler' untuk menjana elektrik. Sedikit sebanyak, tempat ini mengingatkan aku kawasan perindustrian Gebeng, tempat aku menjalani latihan industri selama 8 bulan. Dari dalam kereta, kelihatan alunan ombak sangat kuat dari kejauhan. Hampir sepanjang laluan berbukit ini dipagar dan dipasang papan tanda 'Dilarang Berjualan Di Sini'. Boleh disimpulkan, hampir seluruh celah jalan di Indonesia terisi dengan padat angkringan atau lesehan tempat makan. Pernah ada seorang teman kenalan baru di Indonesia mengatakan bahawa tanpa kemahiran, hidup di Indonesia ini susah. Dengan kemahiran lah mereka mencipta perkerjaan. Rakyatnya yang terlalu padat tidak memungkinkan peluang pekerjaan makan gaji dapat diperoleh dengan mudah.
 

Tanpa segan silu, aku duduk mencangkung di tepi dapur daripada unggun api kerana tidak dapat menahan lagi kedinginan. Unggun api yang diceritakan hampir 100 tahun tidak pernah padam, betul-betul membuat suasana tengah malam itu hangat sedikit. Kami sempat berbual kosong dengan Pak Eko, Rasydan bersama seorang temannya. Tempat ini merupakan sebuah pondok jualan dan ruangan ini adalah dapur bersama ruang tidur kerana terdapat dua katil terletak di posisi tidak jauh dari unggun api. Perbualan kami menyentuh soal budaya Jawa Timur, sehinggalah berkenaan pesantren-pesantren yang banyak dibangunkan di daerah ini. Menyambung lagi perbicaraan kami, Pak Eko menerangkan perbezaan kelompok Muhammadiah dan UN yang sering mendapat khabar fahaman yang sedikit berbeza. Secara penilaian sendiri, aku sangat mengagumi budaya tidak mengenal warna kulit dalam masyarakat Indonesia. Bangsa atau etnik apa pun, mereka masih berbicara dalam satu bahasa dan persefahaman. Kalau di pejabat pun, rata-rata mereka sangat menjaga semangat persaudaraan atau setiakawan. Malah kalau perempuan, layanan kelas pertama pasti diberikan. Istilahnya 'gentleman'. Kalau nak dibandingkan dengan orang lelaki Malaysia tipikal macam aku, memang kalah. Kerana itu jugalah kami (rakan senegara) kadang-kadang bertelagah dan bercanda soal lelaki 'gentleman'.

Masih ada sisa lebih kurang 3 jam untuk mencapai jam 2 pagi yakni waktu bermulanya pintu pondok pendaftaran masuk ke Gunung Ijen dibuka buat pendaki. Kami sambung berceloteh mengelilingi unggun api tadi. Dua buah katil yang lengkap dengan selimut pada tengah malam itu sungguh menyelerakan sehingga beberapa menggoda kelopak mata aku untuk sesekali berkedip cepat.

Orang seperti Pak Eko adalah pejuang hidup yang sebenar. Beliau merupakan bekas pekerja tambang sulfur di kawah Ijen beberapa tahun yang lalu. Pekerjaan mengandar 80kg batuan sulfur naik dan turun ke kawah Ijen adalah bukan sesuatu perkara yang mudah. Aku mendengar cerita Pak Eko sambil melihat-lihat bara kayu Akasia yang merah menyala seperti butang kecemasan Ultraman ketika kehabisan tenaga. Teman Pak Eko menambah satu batang kayu Akasia sepanjang satu depa lagi untuk membina bara tambahan supaya tidak mati.

Selepas membuat operasi buang appendiks, Pak Eko membuat keputusan untuk berhenti menjadi penambang sulfur. Daripada raut wajah Pak Eko, susah untuk mencari kedutan kecuali kedutan di mulut dan mata ketika melemparkan senyuman tenang. Orangnya tenang. Kadang-kadang cemburu melihat orang di sini. Mereka kelihatan tenang, bersyukur dengan keperluan asas di desa tempat tinggal. Air saluran adalah asli dari air mata gunung, kebun sayur terbentang luas dan rumah cukup sekadar tempat berlindung panas dan hujan. Sumber alam sangat dekat tetapi harus rajin mendapatkan dan mengolah sumber tersebut.

 

Kembara di Bumi Jawa Timur Segmen III - Malam Ambang Kemerdekaan Indonesia di Kota Yogjakarta

Johor Bahru - Jogjakarta - Surabaya - Malang - Banyuwangi - Malang - Jogjakarta - Johor Bahru
 
 

Sumber foto: Merayap 66
 
Pelan data jaringan internet Telkomsel hampir tamat. Aku mencaci dalam diam. Mujur Matahari terbenam yang terlihat di jendela keretapi Bima dari Malang ke Yogjakarta seakan memujuk hati. Hamparan sawah padi menghijau yang tak berhenti mengujakan sehingga tak sedar sebelah pipi hampir melekat di jendela kaca. Bila kau sendiri dan dihidang dengan pemandangan sebegini, fikiran menerawang jauh memikirkan kejadian diri, alam, tentang masa silam tak ubah seperti menonton layar tancap filem kuno. Segalanya hitam putih. Kadang-kadang, fikiran menerobos pula ke dimensi lain. Luar daripada kotak. Betul lah orang kata, dengan mengembara sendiri, sedikit demi sedikit, kau bakal mengenal diri sendiri. Apa yang kau mahu, dan apa yang kau tak mahu.
 
Dua orang cewek berjilbab di sebelah, sedang asyik menjamah nasi lemak. Bunyi menguyah nasi bersama sambal ikan bilis, membuatkan aku sedikit terliur kerana sekeping roti yang aku beli di Alfa Maret tadi sebelum melangkah masuk ke gerabak keretapi nampaknya gagal mententeramkan perut yang berkeroncong. Aku harus membeli nasi lemak paket di kantin, walaupun harganya agak mahal, sekitar 25,000 Rupiah.
 
Selesai suapan nasi lemak yang terakhir ke dalam mulut, kelihatan gadis berjilbab yang di depan sedang mengangkat takbir dan di sebelahnya, kelihatan gadis berjilbab ungu memegang Al-Quran. Kedengaran sayup-sayup bacaan ayat Al-Quran dengan tarannum yang menenangkan. Kemungkinan mereka dari pesantren di daerah Surabaya atau Malang untuk pulang ke kampung sempena cuti hari Kemerdekaan Indonesia. Di Jawa Timur ini, Islam boleh dikatakan benar-benar diamalkan kebanyakkan golongan anak-anak desa yang tidak tercemar oleh budaya luar. Terkadang timbul rasa cemburu bagaimana mereka istiqamah dalam apa jua keadaan termasuklah ketika bermusafir di dalam keretapi dan sebagainya.
 
Tepat jam 9:45 malam, kedengaran hon yang kuat datang dari keretapi yang aku naiki. Bunyinya yang kuat membuatkan beberapa orang penumpang yang tadinya enak dibuai mimpi, terjaga dengan dahi yang berkerut.
 
Perlahan-lahan, keretapi berhenti. Tulisan Yogjakarta terpampang di luar saat melangkah keluar daripada pintu cabin nombor 1. Udara di Malang jelas berbeza dengan udara di sini tetapi aura kota di lembah tiga sungai ini, memiliki keistimewaan termasuklah bangunan tinggalan Belanda di samping kiri dan kanan jalan. Apatah lagi saat terjumpa papan tanda jalan bertulisan 'Jalan Malioboro'. Dari tadi, aku lihat ramai orang beratur ingin mengambil foto kenangan berasama 'Jalan Malioboro' itu tadi. Aku cuba memujuk hati untuk tidak berbuat demikian kerana memikirkan banyak masa lagi untuk ke situ saat kosong. (Ketawa sendiri)
 
Bermula di Jalan Malioboro, aku masuk ke celah lorong-lorong kecil yang terhias indah dengan papan tanda 'hostel' sepanjang laluan. Seakan memasuki sarang backpackers, aku tersenyum kerana senang. Target saat malam ambang kemerdekaan negara Indonesia itu adalah untuk mendapatkan kamar tidur yang murah, selesa dan lebih penting ada jaringan WIFI buat si pengembara solo untuk membuat pelan perjalanan. Malam 17 Augustus 2015 itu nampaknya terlalu kejam buat diriku apabila hampir semua hostel memasang tanda 'full' tandanya sudah penuh. Dengan optimis, aku teruskan langkah dan melewati satu pentas terbuka yang menampilkan pertunjukkan wayang kulit bersama boneka-boneka berwajah ganjil. Bayang-bayang wayang kulit menari-nari dibalik tirai putih diselangi suara tukang cerita yang sedang berceloteh dalam bahasa Jawa halus. Setelah satu karakter keluar layar, batangnya dicucuk ke batang pisang yang terlantar dibalik layar. Keluar karakter yang baru dan itu tandanya aku sudah terlalu lama disitu terbuai dengan penceritaan.
 
Sesuatu yang menarik seakan menyambut kedatangan aku ke sini.
 
Aku sambung melangkah ke hadapan tetapi masih lagi ingin terjengah, mengintai-ngintai ke belakang betapa aku ingin lagi menyaksikan pertunjukkan wayang kulit itu tadi sampai tutup kedai.
 
Hampir seluruh pelosok daerah ini aku kelilingi tetapi jawapan si mas-mas dan mbak-mbak kaunter masih lagi 'Kamarnya udah penuh mas'. Maka dengan itu, aku membuat keputusan untuk berpatah balik ke Stasiun Tugu Yogjakarta dan melelapkan mata untuk menanti hari esok.
 
Jalan Pasar Kembang masih dipenuhi orang, rata-rata pelancong luar dan orang lokal yang masih bermata segar bugar menyaksikan sambutan kemerdekaan Indonesia. Kerana terlalu penat, aku seakan tidak terlalu fokus dengan sekeliling. Kira-kira jam 2 pagi, aku hampir memasuki kawasan Stasiun Tugu Yogjakarta. Saat melewati sebuah lorong kecil yang agak suram, tiba-tiba muncul sosok tubuh seorang lelaki di bawah limpahan lampu jalan bersama basikal atau sepeda yang dibonceng.
 
Dengan wajah yang keras tetapi suara yang sopan, dia memulakan topik perbicaraan.
 
"Mas, dari tadi kayaknya saya udah ketemu masnya hampir tiga kali lewat jalan ini."
 
"Iyya Pak, kamarnya lagi penuh."
 
"Gapapa, ayuhlah ke rumah saya, nginep satu malam. Numpung udah lewat malam nih."
 
Dengan meletakkan sepenuh kepercayaan, aku mengikutnya dari belakang.
 
"Malam ini, malam kemerdekaan Indonesia mas." Aku tak banyak cakap dan menganggukkan kepala. Kami melewati beberapa lorong kecil yang aku sendiri bingung arahnya ke mana dan laluan itu cuma sedepa luasnya. Sesekali, dia turun dari basikal dan mendorong basikalnya di sisi.
 
"Di sini ga bisa bawa sepeda mas, nanti orang terjaga tidur."
 
Lebih kurang 10 minit, kami tiba di sebuat rumah yang sangat bersih, kosong tanpa ada perabot mahupun hiasan, lantainya putih, dindingnya putih bersih seperti rumah tinggal yang ada penjaganya. Terdapat tiga kamar yang cukup luas.
 
"Aku di syurga ke?"

 
Setelah melorotkan kedua-dua belah stoking, lelaki tadi yang bernama Pak John, duduk bersila di hadapan aku. Kami mula memperkenalkan diri. Bahasa tubuh Pak John sangat ikhlas termasuklah ketika membuaikan tangan semasa mempersilakan aku untuk masuk ke dalam kamar. Kerana itu juga kepercayaan aku terhadap dia semakin kuat. Bukan seorang preman atau orang yang cuba berbuat jahat mahupun mengambil kesempatan. Menurut Pak John, dia memang berasal dari Yogjakarta dan di rumah inilah, sambil telapak tangannya menampar-nampar lantai kamar, dia telah lahir dan membesar. Oleh kerana sudah larut malam, aku gagal menemui apa-apa papan tanda yang tertulis kawasan ini. Pak John sesekali bercakap menggunakan Bahasa Inggeris. Dia merupakan seorang pelayar di USA 10 tahun yang lalu dan itu cukup menjelaskan  kefasihan Bahasa Inggerisnya. Aku tidak terlalu banyak bertanya mengenai hal keluarga kerana tidak mahu menyentuh isu yang terlalu peribadi sedangkan dalam benakku, memikirkan terlalu banyak kemungkinan.

Seperti biasa, aku menceritakan tujuan bertandang ke daerah istimewa Yogjakarta ini dan kenapa cuma seorang sahaja. Orang seperti Pak John sangat unik kerana disamping rumahnya yang sangat dan terlalu kemas serta rapi, pemakaiannya agak merendah diri, tutur kata yang perlahan seperti orang yang telah banyak menempuh pengalaman.

Aku melontarkan pandangan ke arah pelekat muka Jokowi yang tertampal di depan pintu kamar saiz sebesar 100mm diameter. Orang di sini benar-benar mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi.

Pak John keluar meninggalkan kamar untuk memberikan sedikit privasi kepada aku, katanya. Saat melangkah keluar untuk ke bilik air, kedengaran sayup-sayup lagu keroncong. Suasana larut malam itu tiba-tiba jadi klasik. Tanpa segan silu, aku mengetuk pintu bilik Pak John yang terbuka sedikit.

"Pak, ini lagu keroncong Bengawan Solo yang saya sering dengar dan meminatinya."

"Oh iya, iya. B-E-N-G-A-W-A-N S-O-L-O." Dengan cukup berusaha, dia cuba menyebut dengan satu patah satu patah bagi menunjukkan sebutan yang betul.

Ternyata betullah lagu keroncong Bengawan Solo itu dicipta semasa pendudukan Jepun dan menjadi hits sehingga diterjemahkan dalam bahasa Jepun.

Malam itu, aku belajar bahawa masih ada lagi manusia sejujur dan ikhlas seperti Pak John. Pada mulanya aku agak ragu kerana beberapa kali saat mengheret basikal, dia agak gementar dan dua kali menjatuhkan basikalnya dengan tidak sengaja. Kemungkinan dia mabuk atau ada sesuatu yang membuatkan dia hilang deria rasa pada tangannya atau penyakit yang aku sendiri tidak tahu.


Sebagai seorang tetamu, aku tidak berani melontarkan soalan-soalan berkaitan. Ada satu ketika, dia menepuk-nepuk dada dan berusaha menyakinkan aku bahawa dia adalah seorang muslim dan memberikan aku sehelai sejadah yang berbau harum untuk solat. Malam itu aku belajar sesuatu keberuntungan.

Selesai solat Subuh esoknya, aku menghulurkan salam bersama sekeping wang satu ringgit sebagai tanda persabahatan. Mungkin aku akan bertemu lagi dengan Pak John sekiranya ada keberuntungan pada bila-bila masa. Semoga Tuhan memurahkan rezeki Pak John.

"Pak, saya minta izin foto bareng. Saya mau buat penulisan." Pak John menganggukkan kepala sebelum menyarungkan topi bagi menutup rambutnya yang agak jarang.
 
Sambungan Segmen IV - Goa Pindul dan Gondola Pantai Timang
 

Kembara di Bumi Jawa Timur Segmen I - Bromo Meletuskan Rasa Kagum

Johor Bahru - Jogjakarta - Surabaya - Malang - Banyuwangi - Malang - Jogjakarta - Johor Bahru
 
Mengamati Matahari terbit di penanjakan utama Bromo boleh dikatakan sebuah perjuangan walaupun tidak setinggi Gunung Semeru, bukan kerana ketinggiannya tetapi meredahi ramainya orang yang berpusu-pusu menuju ke penanjakan utama bagi melihat seni bina Tuhan yang unik ini. Pada mulanya terbit rasa kesal kerana hampir ribuan Jeep memenuhi sepanjang jalan sisi kiri dan kanan jalan. Karbon Monoksida yang menyengat pernafasan mencacatkan udara fajar ketika itu walaupun sejuknya hingga menggigit tulang dan suasana berkabus yang sepatutnya nyaman.

 
Sebelum menaiki jalan curam yang berturap ke penanjakkan utama, kami melewati kawasan berkabus tebal dengan pencahayaan yang terbatas daripada pacuan empat roda. Melewati kawasan ini seolah-olah memasuki alam Bunian yang penuh mistik. Mujur pemandu Jeep yakni Mas Andi sudah terbiasa dengan kerenah debu dan kabus seawal jam 12:00 malam. Mas Andi yang tidak pernah gagal melayani kami betul-betul seperti pelancong kelas satu sehinggakan pintu masuk Jeep dibukakannya untuk kami. Kadang-kadang terasa janggal dan bagi mengelakkan rasa janggal, terpacul keizinan untuk melayani kami seperti teman atau saudara sahaja. Dia menganggukkan kepala, tetapi masih lagi melayan kami tidak ubah seperti pelancong kelas pertama. Mungkin itu adalah santun yang ditunjukkan kepada para pengunjung ke sini.

Setelah hampir 3 jam perjalanan, Jeep di parkir di sisi jalan sebaris dengan ratusan Jeep atau pacuan empat roda yang lain. Suasana jam 3 pagi itu tidak ubah seperti di pasar jualan ayam, daging kambing dan sayuran. Telah dimaklumkan bahawa bulan Ogos adalah bulan paling padat dengan pengunjung dan di Bromo ini, tidak akan pernah sunyi. Lebih kurang 1 km lagi untuk sampai ke penanjakkan utama bagi menyaksikan Matahari terbit di pergunungan Bromo. Untuk menjimatkan masa, kami menaiki ojek atau motosikal tumpangan yang akan membawa kami mencelah keramaian orang dan ratusan pacuan empat roda di sisi kanan dan kiri jalan yang simpang siur. Berbaloi dengan bayaran 20,000 ribu Rupiah, kami berjaya meletakkan diri di spot penanjakkan utama bagi menikmati pancaran cahaya mentari pagi di pergunungan Bromo. Sebab lain kami mendapatkan ojek adalah kerana kesejukkan yang menggigit pada waktu itu mungkin kerana tubuh badan belum lagi dapat membiasakan kesejukkan udara yang membaluti. Terasa diri ini terlalu manja. Aku tertawa sendiri.

Sekitar jam 6 pagi, langit fajar yang kelam sedikit demi sedikit bertukar warna jingga mentari pagi hingga terpercik dan menyentuh ke wajah. Terasa sedikit hangat. Aku pejamkan mata, dan menikmati sedikit vitamin D yang terkandung di dalamnya. Dari jauh, kelihatan pergunungan Bromo dengan beberapa kepul asap letusan gunung volkano yang mewujudkan suasana dramatis pada ketika itu. Struktur gunungnya yang berbentuk konikal yang dikerat hujung runcingnya tidak ubah seperti zaman ketika wujudnya haiwan-haiwan primitif atau dinasour yang hidup berlatarbelakangkan pergunungan seperti ini. Tapi mungkin aku silap dan terlalu banyak menonton Mighty Morphin Power Rangers dulu. Pengaruh media massa betul.


Walaubagaimanapun, aku percaya Bromo telah berjaya meletuskan rasa kagum buat kesemua pengunjung yang datang dari seluruh pelosok dunia dengan sajian pemandangan yang menakjubkan. Memandangkan ini hari pertama di Bumi Jawa Timur, dapat disimpulkan perjalanan ke Bromo ini agak santai kerana cara termudah ialah dengan menyewa Jeep tetapi tidak perlu mendapatkan khidmat juru pandu. Tips yang paling bermakna ialah bagi mengelakkan tersepit dalam keramaian orang dan gagal menikmati Matahari terbit dengan puas, terdapat jalur turun merentas pagar di spot penanjakkan utama. Sedikit trekking menuruni bukit dan merentas belukar sudah cukup bagi mendapatkan spot privasi yang lebih natural.

Cukup berterima kasih kepada saudara Mas Dani kerana telah membantu mendapatkan sebuah mobil untuk perjalanan ke tiga tempat utama iaitu bermula daripada Stasiun Keretapi Surabaya Gubeng ke Bromo, Tengger dan air terjun Madakaripura, Probolinggo dan kawah Ijen di Banyuwangi. Pada mulanya perjalanan kami bertiga mendarat di Bandara Adisucipto, Yogjakarta dan menaiki keretapi daripada Stesen Tugu, Yogjakarta langsung ke Stasiun Surabaya Gubeng. Oleh kerana mobil tersedia untuk tiga hari perjalanan, kami makan, tidur dan tukar pakaian cuma di dalam mobil.

Perjalanan Awal - Johor Bahru ke Yogjakarta lalu merentas Bumi Jawa Tengah bersama Agro Wilis

Perjalanan dari Bandara Adisucipto Yogjakarta ke Stasiun Tugu Yogjakarta mengambil masa sekitar 30 minit dengan menaiki teksi tambang. Dengan menggunakan kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Indonesia walaupun tidak terlalu fasih, negosiasi adalah hal terpenting untuk mendapatkan bayaran yang terendah. Itu tidak akan terjadi sekiranya mengambil langsung teksi di dalam kawasan bandara yang boleh mencapai lebih 100,000 Rp satu arah. Kami beruntung kerana ketika melintas rel keretapi di luar pintu masuk Bandara Adisucipto, kami bertemu dengan Pak Gun dengan teksi tambangnya lalu menawarkan harga yang cukup rendah.

Berbicara soal kota Yogjakarta sepanjang perjalanan di dalam teksi tambang Pak Gun boleh disimpulkan sebagai muqadimmah kepada trip pada kali ini. Soal macet, soal tempat istimewa yang harus dikunjungi, soal keramaian pengunjung di daerah istimewa Yogjakarta ini sedikit sebanyak memberikan gambaran kepada aku buat trip solo tiga hari terakhir nanti.

Sempat berhenti di Alpha Maret untuk mendapatkan tiga tong gas butene bagi melengkapkan gajet buat pendakian ke puncak Semeru nanti.

Hamizan menghulurkan air teh botol kepada Pak Gun sebagai tanda penghargaan untuk menghilangkan dahaga kerana cuaca di sini agak kering dek musim kemarau. Sekecil-kecil penghargaan sebegini adalah penting lebih-lebih lagi ketika mengembara di negeri orang kerana sedar atau tidak, itu akan membangkitkan semangat persaudaraan. (Aku menganggukkan kepala)

Aku sengaja tidak peka terhadap pemandangan sekeliling Kota Yogja kerana ingin memberikan kejutan kepada diri untuk tiga hari terakhir nanti. Untuk saat ini, fokusku hanya untuk menuju ke Surabaya.

Sejurus sampai ke Stasiun Tugu Yogjakarta, kami menukarkan tiket keretapi yang sudah dibeli sebulan awal yang lalu di Indo Maret, kepada tiket asli. Musim perayaan yang lalu mengakibatkan tiket bakal penuh kerana ramai yang pastinya mudik ke kampung buat sambutan aidilfitri. Seeloknya tempahan awal tiket akan memudahkan perjalanan lebih-lebih lagi untuk ke Jawa Timur yang kerana jaraknya dari satu daerah ke daerah lain yang jauh-jauh belaka. Kemudahan di stesen keretapi di sini boleh dikatakan sangat teratur dan moden. Tiketnya yang asli boleh saja dicetak langsung di mesin pencetak yang telah disediakan. Hanya perlu masukkan nombor tempahan tiket sahaja.

Melihat seunik nama Agro Wilis di atas tiket keretapi ke Surabaya Gubeng, terus membangkitkan semangatku untuk memulakan pengembaraan di Bumi Jawa Timur. Kadang-kadang aku merasakan diri terlalu tamak untuk pergi ke semua tempat yang memberikan banyak inspirasi menyebabkan pelan perjalanan tampak padat. Akan tetapi, semuanya itu tidak mustahil asal siap menghadapi kejutan. (Tertawa sendiri)

Aku merelakan Agro Wilis membawa diriku langsung ke Surabaya, sebuah kota kedua terbesar di Indonesia dan amat mahsyur dengan nama jolokkan Arema, pasukan bola sepak yang menjadi kebanggaan para nasionalis jati tanah Jawa Timur. Melihat Matahari terbenam dan saat langit melabuhkan tirai di jendela keretapi Agro Wilis merupakan bonus kepada perjalanan yang memakan masa 4 jam. Buku dan tandas boleh dikatakan juga teman kebosanan.

Mencari Sosok Dian Sastrowardoyo di Pasir Berbisik, Bromo
 
Kira-kira jam 7 pagi, kami turun dari penanjakkan utama Bromo dan menyambung perjalanan untuk menuju ke sebuah kawasan gurun berpasir yang dipanggil Pasir Berbisik. Saat melabuhkan langkahan pertama di Pasir Berbisik sedikit terbit harapan untuk bertemu sosok Dian Sastrowardoyo berbaring sambil mendakapkan pipi dan telinga di atas hamparan pasir untuk mendengarkan bisikkan pasir. Bingung juga apa yang didengarkan oleh Dian Sastrowardoyo dalam filem Pasir Berbisik dan itu juga sedikit sebanyak menjadi sebab mengapa aku ke sini.

Ijen Blue Fire - Fenomena unik yang berlaku hanya dua lokasi di dunia. (Bersambung)

Kami Tak Hanya Mendaki Gunung Kerana Ketinggiannya

Pada awal percambahan minat mendaki gunung, kami pernah menyenaraikan gunung-gunung yang ingin didaki termasuklah Gunung Ledang (1,276m), Gunung Arong (898ft), Gunung Senyum (1,549m) dan Gunung Nenek Mukut (703m). Bagi kami, setiap gunung ini memiliki keistimewaan tersendiri selain ianya adalah gunung yang boleh didaki kurang daripada 12 jam atau bermalam di puncak satu malam sebelum turun keesokkan harinya. Tiga gunung pertama yang berjaya kami daki ini kecuali Gunung Nenek Mukut, juga merupakan gunung yang memiliki memori tersendiri buat pendaki pemula seperti kami pada ketika itu. Gunung Ledang terkenal dengan kisah mistik dan lagenda Puteri Gunung Ledang. Gunung Arong memiliki pemandangan lagun atau tanjung di puncaknya. Apabila menuruni gunung Arong, kami melintasi kawasan paya bakau sebelum sampai ke pantai Air Papan. Gunung Senyum yang boleh dikatakan mencabar kerana terbina daripada batuan kapur dan dibolongi dengan gua-gua bawah tanah yang juga memiliki kisah mistik serta bualan orang kampung. Kesimpulannya, kami tak hanya mendaki gunung kerana ketinggiannya, tetapi memilih gunung yang jarang kali didaki dan memiliki kisah serta bonus tersendiri. Paling utama adalah kepuasan menikmati Matahari terbit, terbenam dan ukhwah sepanjang perjalanan ke puncak.

Refrensi utama kami pada ketika itu adalah blog OGKL kerana kami bergerak secara sendiri. Banyak kajian secara online menjadi rujukan utama. Mungkin kerana terbatas oleh kemampuan dari segi kewangan untuk menyertai aktiviti pendakian kelolaan kumpulan yang telah ada nama pada ketika itu, maka tertubuhlah kumpulan yang bernama BEKAM atau Belia Kampung Melayu secara tidak formal dipelopori oleh 5 orang rakan baik. Bagi aku, ini agak kelakar. Lebih kelakar, kami ada logo sendiri. Betul sungguh kata Sheila On 7, 'kesombongan masa muda yang indah'.

Bila diingat semula, dengan ilmu yang kurang di dada, kami cukup berani memulakan langkah. Semuanya adalah tidak mustahil walaupun tanpa memiliki kereta sendiri kerana kami cuma pelajar sekolah menengah rendah. Oleh kerana itu, semua trip pendakian adalah dengan menaiki bas awam tempatan. Bayangkan, dengan periuk belanga, dapur gas butene saiz gajah dan beg galas sekolah, kami menaiki bas dari Larkin (sekarang stesen bas ini dikenali sebagai Larkin Sentral) ke Temerloh. Dari temerloh, kami naik teksi lama berwarna biru untuk masuk ke kawasan hutan lipur Gunung Senyum. Pulangnya, kami melintas Sungai Temerloh lewat kampung Sungai Temerloh dan menaiki bas ke stesen bas utama Temerloh. Ketika trip pendakian ke Gunung Ledang juga, kami menaiki bas ke Tangkak dan menaiki bas yang melalui hutan lipur Gunung Ledang sebelum berhenti di pintu masuk Gunung Ledang yang melalui kebun kelapa sawit kira-kira 2 km lebih sebelum ke kaki gunung.

Belum sempat menanam impian untuk mendaki Gunung Nenek Semukut, masing-masing terpaksa membawa haluan sendiri demi tuntutan kerja mahupun menyambung pelajaran di negara orang. Kerana itulah, pendakian Gunung Nenek Semukut tempoh hari, mengingatkan aku kembali kepada kisah ini. Sentimental betul.

Kupayung Ahmoi Dengan Bismillah

Ini kisah satu tahun lalu. Tempat yang tidak asing buat warga nomad yang ulang alik merentasi jambatan Tambak Johor yang ura-ura mahu dijadikan bengkok dahulu. Apabila terlalu banyak kenderaan yang ingin menyeberang dari bibir Woodlands ke bibir Johor Bahru Sentral, ramai yang memilih untuk berjalan kaki sepanjang hampir 2 km untuk membunuh masa yang bakal terbuang jika bergantung dan menunggu bas awam. Peluh di celah ketiak bukan lagi meleleh malah menjadi lopak dibuatnya akibat bahangnya yang datang dari keramaian warga Malaysia dan Singapura terutamanya, beratur panjang untuk mengecop pasport. Apalah lagi yang boleh dikeluhkan dengan situasi sebegini. Aku membuka halaman muka surat 57 buku The Monk Who Sold His Ferrari, menyambung bacaan minggu lalu dalam situasi yang sama seperti sekarang. Itulah waktu terbaik untuk mengisi masa dan membunuh kebosanan menunggu. Tanpa menghiraukan orang sekeliling, mataku meliar dari satu perenggan ke perenggan yang seterusnya.
 
Tanpa disedari, satu jam berbaris, tidak terasa lama dan tibalah giliran aku untuk mengimbas pasport di mesin automatik. Untung ada permit kerja, maka tidaklah aku perlu beratur di barisan mengecop pasport decara manual yang boleh buat orang hilang kesabaran dek kerana panjang barisannya bak ular kena palu.
 
Satu azab sudah lepas. Azab seterusnya ialah menunggu bas awam ke Johor Bahru Sentral atau Bangunan CIQ. Aku sisipkan buku diketiak kanan dan berjalan melulu ke pagar masuk yang berputar 360 darjah menuju ke laluan pejalan kaki. Menuruni beberapa puluh anak tangga ke bawah dengan bangga kerana tak perlu beratur panjang. Masa hemat, cuma tenaga untuk berjalan melintasi Tambak Johor itu, mungkin banyak tetapi berbekalkan tenaga muda ini, aku kuatkan semangat. Sampai sahaja ke lantai bawah, tiba-tiba hujan turun membasahi ruang pejalan kaki. Dalam hati aku, menyumpah.
 
Payung lipat pondan aku buka. Payung lipat yang sengaja aku beli berwarna biru agar tampak lebih maskulin betul-betul menjadi penyelamat aku pada hari itu.
 
Setelah berjalan sepanjang 100m, dari jauh kelihatan samar-samar figura seorang perempuan berlatar belakangkan 'billboard' 'Daulat Tuanku' biru dan emas. Macam dalam kebiasaan permulaan dalam mimpi, seorang bakal zaujah muncul dihadapan. Mungkin dengan rintangan angin dan hujan lebat, menyebabkan kadar pergerakkannya lambat dan aku hampir memotong si perempuan ini tadi.
 
Apabila menghampiri dengan kiraan 7 saat, aku mula berkecamuk membuat keputusan wajarkah aku memberi payung kepada si perempuan itu dan berjalan 'bogel' tanpa payung dalam hujan bagai lagak seorang 'gentleman' dalam hujan, atau aku berkongsi payung dengan dia, atau aku buat endah tak endah? Mungkin itu adalah 7 saat paling mendebarkan dalam hidup aku.
 
"Hi, heavy rain huh?" (Sambil memayungi si perempuan itu tadi)
 
Selayang pandang, satu pasang mata yang sepet melihat ke arah aku. Ada garis senyum. Bukankah kecurigaan itu telah terbunuh sejak kita bersapa? Kata-kata Usman Awang ini terus bermain dalam benakku. Ternyata Usman Awang benar.
 
Sambil tersipu-sipu, dia cuba menolak tawaran dan tangannya masih menopi di kepala kononnya memayung diri dari hujan. Orang kata, malu tapi mahu. Dari situ, kami mula berbual panjang.
 
Ahmoi di Tambak Johor yang kukenang.
 
 

Menjadi Pak Guard di Usia Muda

Sekerap mana pun berjalan keliling kota mahupun dunia, sesungguhnya itu tidak dapat mengisi kekosongan jiwa jika sepanjang perjalanan yang panjang itu tidak diisi dengan iktibar hasil pemerhatian, merasai norma budaya masyarakat setempat dan menghayati keindahan ciptaan Illahi.
 
Dalam rangka perjalanan yang hampir mencecah 26 tahun ini, terlalu banyak kisah waktu kecil dulu yang menjadikan aku tetap semangat malah menjadi bekalan serta sumber kekuatan pada hari ini.
 
Masih segar dalam ingatan ketika kerap kali menghabiskan hujung minggu atau cuti sekolah, menemani abah di sekolah. Menjadi wing man kepada abah untuk memastikan keadaan keselamatan ruang lingkup sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Tiram di Johor Bahru terkawal merupakan tugas yang jarang sekali diambil oleh kanak-kanak seusia aku pada ketika itu. Mungkin bukan sebagai seorang wing man, tetapi lebih kepada seorang peneman, kerana kalau ada apa-apa yang terjadi pencerobohan misalnya, apalah yang mampu budak sekecil aku lakukan.

Sementara itu di Mass Room, beberapa orang tukang tempa besi melewati pintu masuk dengan beberapa hela nafas setelah penat bekerja seharian. Peluh di dahi ditekap dengan kain sapu tangan berjenama 'Good Morning' dan ada juga yang mengesat peluh menggunakan lengan coverall yang tebal 3mm serta kalis api. Biasanya yang mengesat pakai lengan coverall itu belum menikah mungkin kerana tidak ada sapu tangan khusus dibelikan oleh isteri. Mungkin juga aku salah. Kalau di sini, mereka dipanggil dengan gelaran Welder selain dalam bahasa Kamus Dewan Edisi Ketiga ialah Tukang Tempa Besi.

Seorang Welder yang kelihatan agak berumur sekitar 50-an mengemam makanan. Bibirnya tidak bergerak tetapi rangka mulutnya kelihatan dari samping bergerak ke atas dan ke bawah sehingga ketara kedutan di muka dan di lehernya ibarat kulit popia yang berkedut jika tersalah gulung. Matanya tertuju di ruang kecil bertentangan dengan meja yang tersedia dengan hidangan makanan tengah hari. Kelihatan satu garis masa yang menunjukkan perjalanan hidup seorang anak yang baru dilahirkan, kemudian membesar dan tua seperti sekarang. Sudah umur sedemikian, dia masih lagi bekerja. Tidak seperti dalam filem-filem barat yang sering memperlihatkan pasangan tua duduk melunjur di tepi pantai sambil menikmati senja sambil memegang novel di dakapan. Adakah aku akan jadi tua dan mengemam makanan sambil memikirkan keluarga yang ditinggal jauh? Seperti ada projektor di dinding bagai layar tancap.
 

Laluan Sutera - Segmen III Kota Lanzhou

Singapore - Kuala Lumpur - Xian - Jiuzhaigou - Lanzhou - Zhangye - Dunhuang - Xian - Kuala Lumpur - Singapore

Sambungan daripada

Laluan Sutera - Segmen I

Laluan Sutera - Segmen II

Pengalaman menarik semasa menaiki bas dari Jiuzhaigou ke Lanzhou adalah saat melewati terowong yang begitu panjang merentasi lurah pergunungan. Seakan-akan menembusi terowong masa sama seperti  mesin masa di dalam laci Doraemon. Laluan tidak begitu gelap dan selang kira-kira 100m akan diterangi dengan lampu berbentuk cincin separa bulat. Mungkin kerana terlalu panjang, terowong ini, mengikut pemerhatian aku, ia memiliki sistem kecemasan yang mudah dikenalpasti seperti lorong kecil yang menyambungkan satu terowong ke terowong yang selari, dan pastinya mempunyai kotak kubikal yang aku percaya adalah kotak ventilasi.

Oleh kerana terpukau dengan pemandangan di luar sepanjang perjalanan 11 jam, aku tidak betul-betul fokus dengan nama terowong-terowong yang dilalui. Tambahan lagi, semua papan tanda memaparkan tulisan bahasa Cina purba atau pinyin yang kadang-kadang sampai terbelit lidah untuk menyebutnya apatah lagi hendak membezakan empat jenis tona suara apabila menyebut setiap patah karakter. Boleh disimpulkan, aku mengaji bahasa Mandarin tidak cukup sempurna dan itu telah berlalu sejak 13 tahun yang lalu.


Kami agak ragu hendak memberhentikan bas lalu mengharapkan pemandu bas, mengerti soalan yang kami ajukan. Mujurlah Kartika dan Gunawan menfotokopi beberapa keping gambar stesen keretapi Lanzhou dan di dalam foto tersebut ada karakter tulisan Cina yang kemungkinan besar boleh fahami. Setibanya di sebuah simpang tiga, bas berhenti dan kami menuruni bas lalu disambut dengan lecak di samping jalan. Habis kasut becak ditenggelami air kotor yang entah asalnya dari mana. Aku menyumpah.

Kota ini agak berdebu lebih-lebih lagi pada waktu senja seperti ini. Sejuk dan muram tetapi orang masih aktif berkeliaran di sekitar bangunan dan 100 meter dari persimpangan jalan itu adalah Stesen Keretapi. Misi utama ke sini adalah untuk mendapatkan tiket dan masa perjalanan dari Lanzhou ke Dunhuang sesuai dengan masa perjalanan kami. Sebenarnya tiket perjalanan keretapi sudah ditempah sebelum ke sini tetapi harus mendapatkan tiket asli di kaunter kerana semua tempahan dibuat menggunakan khidmat agen.

Apabila melangkah masuk ke pintu utama stesen keretapi Lanzhou, kami disajikan dengan keriuhan umat manusia memenuhi setiap baris kaunter tiket dari hujung paling kiri hingga hujung paling kanan daripada baris satu hingga lebih 20 kaunter dengan pelbagai destinasi dan waktu perjalanan. Hampir pengsan aku dibuatnya. Kakak kaunter pertanyaan juga gagal memahami dan difahami apabila kami cuba bertanya kaunter yang mana harus kami pergi. Berbekalkan sedikit kefahaman, kami menghantar wakil setiap dua kaunter dan berlumba siapa yang bakal dapat menuju ke kaunter lebih awal, maka di kaunter itu lah kita akan dapatkan tiket. Strategi biasa dan kelebihan jika mengembara dengan beberapa jumlah orang yang baik-baik dan setia kawan. Setelah kaki lenguh berbaris lama, kami berjaya mendapatkan tiket.


Rancangan seterusnya adalah untuk menjejakkan kaki ke kawasan pergunungan pelangi di sebuah daerah kecil Danxia, Lanzhou, Shaanxi.

Masih ada kesempatan waktu untuk kami mengelilingi kota Lanzhou yang tak ubah seperti kota debu dan dingin seperti saya gambarkan. Antara spot menarik di Lanzhou ialah pasar lama dan melihatkan telatah para penjual atau pedagang Muslim yang berjilbab berbasikal lima roda menjual sayur dan kekacang di kaki lima. Menariknya, di Kota Lanzhou ini juga terdapat minoriti masyarakat Islam yang berniaga makanya terdapat juga restoran yang berlogo halal. Secara jujur, aku tidak begitu mengenali kota Lanzhou sebelum ke sini tentang sejarahnya dan sebagainya dan masa yang kami bekalkan ke sini tidak banyak.

Kami sempat singgah minum teh susu hangat dan menggunakan tandas dengan kemudahan terbaik setakat ini sebaiknya. Hampir satu jam juga kami di dalam kafe tersebut dek terlalu selesa dengan suhu yang hangat. Sekali lagi, Victor beruntung menyaksikan aksi jorok seorang anak kecil yang mengeluarkan objek yang terpotong dari lubang dubur. Tapi kali ini, betul-betul targetnya memasuki besen mop. Ibunya mungkin gagal memberhentikan tindakan anak kecil tersebut lantas janitor di kafe tersebut tersengih tak mampu berbuat apa oleh kerana sudah terbiasa atau memang tidak ambil peduli. Aku mengeluh sangsi. Setelah gagal memasuki sebuah taman publik yang dikatakan popular di kota ini, kami berjalan menuju ke pondok bas atau teksi terdekat untuk terus menuju ke Danxia Landform.


Mengikut cerita, ramai pelancong asing yang ditipu oleh pemandu teksi berkenaan dengan harga, lalu ada juga yang diberhentikan di tengah-tengah perjalanan yang kanan kiri kawasannya cuma padang jarak padang terkukur. Gunung berbatu dan berpasir bagai gurun. Cerita-cerita sebeginilah menjadikan orang luar seperti kami berjaga-jaga namun itu tidak mematahkan semangat untuk melihat tempat orang. Membuat kajian dan bacaan sebelum ke tempat orang itu perlu sekurang-kurangnya sedikit pengetahuan itu boleh membantu dalam penyelesaian masalah. Ya, setiap perjalanan itu pasti ada yang tidak kena atau sedikit cabaran sebagai rencah yang menjadikan perjalanan sebegini tak terlupakan seumur hidup.


Hendak dijadikan cerita, kami diminta tambang lebih dan tidak seperti yang dipersetujui awalnya. Salah komunikasi. Terpaksalah kami menghulurkan sejumlah wang seperti diminta kira-kira 100 RMB. Tanpa melengahkan masa, kami berempat melangkah demi pemandangan batuan pelangi yang kami kejari, dan pemandangan inilah yang mengejar kami semula dibalik mimpi.

Lapisan batuan berwarna ini adalah hasil mendakan batuan karst atau tanah liat serta batuan mineral yang mengambil masa 100 tahun untuk membentuk 5mm lapisan berwarna dan menurut informasi ianya telah terbentuk selama 6 juta tahun dahulu. Kerana itu, empat puncak utama yang memiliki tarikan serta pemandangan tertentu tidak dibenarkan memijak di batuan tersebut jika tidak, lapisan ini akan rosak dan tercela.

Aku boleh sama ertikan Danxia Landform ini sebagai beberapa potongan kek lapis berwarna hasil ciptaan Tuhan yang dibakar enak. Kami cukup beruntung dapat mencicip nikmat sebegini apatah lagi setelah mengharung beberapa peristiwa lucu dan payah untuk menuju ke sini.

Beberapa kali, aku pejamkan mata lalu menikmati bunyi desiran pasir di telinga. Walaupun cuaca sejuk dan kering sehingga membuat bibir aku merekah, pemandangan sebegini memang tidak terkalahkan.

Siri Kenangan #1 - Layang-Layang Kertas

Layang-layang kertas bukan sekadar alat permainan, tetapi ia mengingatkan aku tentang sebuah usaha keras, kegagalan, kenangan dan persahabatan.   
 
 
Aku menurunkan tongkat motosikal dan berjalan dengan topi keledar di kepala menghampiri sebuah kedai runcit, betul-betul di seberang masjid Al-Muhajirin, kelurahan Batu Merah. Perjalanan yang tidak sampai 20 meter itu, aku cuba gayakan dan bertingkah seperti masyarakat biasa di situ dengan harapan, barang yang aku hendak beli, tidak ditawarkan dengan harga yang mahal. Kebiasaan di sini, kalau tahu orang luar yang datang ke mari, pasti cekik darah harganya. Sambil berbahasa Indonesia yang kononya fasih, aku cuba berbasa-basi dengan seorang ibu tukang jualan. Kali ini, aku betul-betul nekad untuk mengasah kembali kemahiran membuat layang-layang kertas dan bermain layang-layang seperti zaman kanak-kanak dulu.
 
Harga segulung benang cuma sekitar Rp 3,000, aku pun menyambar 4 gulung benang cukup untuk diikat sebagai teraju. Dengan harga Rp 7,000 pula aku berjaya mendapatkan sebatang penyapu Harry Potter dari sebuah kedai runcit. Boleh dikatakan ini adalah sebuah kejayaan besar buat hari ini.

Selesai mengisi bensin (petrol), aku menyondol pemicu gear kaki dan terus pulang ke Batam House yang permai. Penyapu Harry Potter di tangan kiri, plastik kresek tersangkut di leher motosikal. Kadang-kadang hilang keseimbangan kerana batang penyapu Harry Potter berat ke sisi kiri. Tak sangka betul aku segigih itu demi sekeping layang-layang kertas.

Teringat waktu kecil dulu, bila azan Asar berkumandang, maka bertempiaranlah kami menuju ke lapangan permainan. Mungkin sudah menjadi kebiasaan, selepas Asar, adalah waktu untuk keluar daripada rumah dan bermain. Orang dewasa pada ketika itu gemar sekali memberi istilah "macam kambing keluar kandang" kerana begitu gembiranya anak-anak kecil yang seumuran dengan aku pada ketika itu bila dapat keluar bermain. Petang dengan kedudukan matahari di ufuk timur, dan angin petang yang sepoi-sepoi bahasa, adalah kondisi yang cukup sempurna untuk bermain di luar rumah.

Lapangan berumput di depan rumah aku adalah tempat berkumpulnya kanak-kanak sekitar sini untuk bermain teng-teng, belon acah, guli dan sebagainya. Dengan padang yang cukup luas dan redup dipayungi pokok rambutan yang rimbun, membuatkan kami tidak ambil peduli tentang ipod, iphone, Play Station, mahupun Gameboy. Tambahan lagi, pada waktu itu semua gajet ini belum lagi menjadi kegilaan. Makanya kami berasa lebih enak bermain di luar.

Secara jujur, aku tidak ingat bila pertama kali aku menghasilkan layang-layang kertas sendiri tetapi yang aku ingat ialah ia adalah berdasarkan beberapa siri pengalaman sendiri, maksudnya aku buat sendiri. Antara sumber rujukan pada ketika itu ialah hasil menonton Art Attack di televisyen. Aku tak pasti seandainya ramai tahu tentang ini, tetapi rancangan Art Attack ini mengajarkan cara-cara menghasilkan barang-barang kreatif termasuklah layang-layang kertas.

Kalau cerita pasal menerbangkan layang-layang, sudah banyak kali lutut luka bergesel dengan pasir kerana jatuh.

Jadi petang Ahad tempoh hari, setelah mendapatkan bahan-bahan keperluan untuk menghasilkan layang-layang kertas, kami bertiga (termasuk dua rakan yang lain) berhempas pulas memotong akhbar lama, mencarik lidi-lidi daripada batang penyapu dan menempelkan pita selofan secukup rasa sehingga terhasilnya figura layang-layang kertas berbentuk permata dengan kerangka yang membingkai. Tinggal pemasangan tali terajunya sahaja. Untuk pemasangan teraju dua, keseimbangan adalah keutamaan yang menentukan sama ada layang-layang itu boleh terbang atau tidak. Sama seperti apa jua yang kita lakukan dalam hidup. Semuanya memerlukan keseimbangan. Tidak berat sebelah, dan harus tahu cara untuk mengimbanginya. Tidak boleh terlalu berlebihan dan obses tentang sesuatu jika tidak, boleh hilang pedoman.


Padang di sebelah Perumahan Lancang Kuning adalah lokasi yang sesuai untuk menerbangkan layang-layang kerana tidak banyak pokok dan cukup luas untuk berlari-lari sambil menongkah angin. Lalang-lalang yang tidak begitu panjang, menyediakan trek larian yang cukup panjang untuk memberikan daya tujah sekiranya angin menyongsang ke arah lain atau tidak ada angin.

Walaupun pada mulanya agak malu, tetapi akhirnya kami berjaya menerbangkan dua layang-layang kertas. Malangnya layang-layang buatan aku gagal diterbangkan kerana terlalu berat dan sarat. Setelah dioperasi pun gagal diterbangkan.

Mungkin jarang sekali melihat orang datang bermain layang-layang di sini, bapak-bapak tukang jualan warung makan berhampiran padang kosong ini mula menyebarkan cerita kepada orang lain. Sehinggakan teman sekantor kami ketahuan ada tiga orang lelaki dan seorang perempuan bermain layang-layang. Ini agak lucu.
 

Seperti kata teman aku yang satu itu, mungkin inilah yang boleh kita ajarkan kepada anak-anak yang kita akan lahirkan nanti supaya mereka kenal disebalik permainan layang-layang kertas. Memberikan pengalaman dan ilmu yang baru kepada yang tidak pernah adalah juga pahala yang berpanjangan. Kan?

Jumaat Malam Menatap Langit Siling Konkrit

Setelah memainkan lagu Fatwa Pujangga menerusi laman sesawang Youtube berulang kali, baru aku sedar aku telah masuk terlalu dalam. Bait-bait kata atau liriknya begitu bermakna. Melodinya membawa aku melongsori zaman ketika budaya Melayu itu menjadi agung di seluruh pelosok nusantara. Aku percaya, S Affendi mengarang lagu ini dengan jiwa.


2013: Berkelana di Gunung Bintan dan Pulau Penyengat menimbulkan rasa ingin tahu saya tentang keberadaan Bunda Tanah Melayu iaitu Lingga ditambah dengan kewujudan The Dragon Tooth mountain yang bercabang tiga. Masih menggali masa dan kesempatan untuk ke sana. Lagu Fatwa Pujangga dan Bunda Tanah Melayu tidak henti saya mainkan. (Bersambung)

Kalau bukan kerana bilik yang terlalu sejuk menggila, aku tidak akan berganjak dari tempat duduk dan bangun untuk merendahkan suhu penghawa dingin. Orang kampung macam aku, penghawa dingin adalah semacam alat kebesaran diraja yang janggal untuk aku nikmati. Suhu di ruangan bilik ini sepertinya sudah cukup optimum sesuai dengan ketebalan lapisan lignin dan epidermis. Beginilah duduk di perantauan. Kalau sudah melangkah masuk ke dalam bilik, ruang dunia seakan mengecil. Ada kalanya ruang kecil ini cukup sempurna untuk aku berkhalwat dengan diri sendiri. Saat-saat tubuh lagi malas bergerak, otot-otot lagi malas bekerja, di dalam ruang ini juga lah aku melabuhkan tubuh di atas kasur sambil menatap langit siling konkrit.

Semalam kecoh satu Facebook dek isu KWSP yang bakal diperpanjang umur kelayakkan mengeluarkan wang yang tersimpan dalam lubuk KWSP setelah puluhan tahun membanting tulang. Umur 55 tahun sebenarnya bagi rakyat biasa sudah cukup lama menunggu dan terbeban kerana ketika dalam usia ini, mereka amat membutuhkan dana untuk perubatan dan jika antara mereka yang istilahnya 'terlajak umur kahwin' kos untuk melanjutkan pendidikan anak-anak adalah menjadi keutamaan. Melalui wang KWSP ini lah mereka meletakkan harapan. Apatah lagi kalau ditambah lagi 5 tahun mencapai umur 60 tahun. Merangkak-rangkak lah kerja part time di McDonalds sambil bertongkat. Mungkin aku salah. Entah. *Garuk punggung*

Mencari Dewi Anjani dan 'Bertarung' Dengan Keindahan Pulau Komodo di Lautan Flores #2

Sebelum itu, ini adalah entri sambungan kepada kisah Mencari Dewi Anjani dan 'Bertarung' Dengan Keindahan Pulau Komodo di Lautan Flores #1.

Boleh baca, tetapi tidak bersangkutan 100% dengan entri pada kali ini kerana yang lepas itu cuma entri kosong dengan rumusan bodoh.

Cukup berterima kasih kerana berpeluang mendapatkan pengalaman tak ternilai ini dengan kelebihan kesihatan tubuh badan dan kekuatan minda menempuh ranjau semasa pendakian ke atas puncak berketinggian 3726m dari aras laut di samping menyorok di dalam kabus sejuk sepanjang perjalanan ke puncak. Pelayaran di Pulau Komodo merentasi Kepulauan Flores, menambah seru perjalanan pada kali ini, dari Pulau Seribu Masjid, merentasi juga pulau-pulau kecil sekitarnya langsung ke Labuan Bajo. Sedikit rumusan kepada 'Mencari Dewi Anjani dan 'Bertarung' Dengan Keindahan Pulau Komodo di Lautan Flores' sebelum menyelam dengan lebih dalam lautan aksara yang belum lengkap dan bakal dilengkapkan dari semasa ke semasa untuk merakam kenangan. Buat cucu cicit juga nanti dan bila sudah tua, atau mungkin hampir Alzheimer nanti, halaman ini akan memetik kembali ingatan yang mungkin pudar pada ketika itu.

Mencari Dewi Anjani
 
Gunung Rinjani dengan ketinggian 3726m daripada aras laut, adalah sebuah gunung yang tidak asing di Indonesia selaku puncak gunung kedua tertinggi di kepulauan Jawa bagi kategori gunung berapi. Sebenarnya, jikalau merujuk kepada tajuk yang aku karang bukanlah hendak menunjukkan kehebatan kononnya hendak bertemu Dewi Anjani di puncak tetapi lebih tertarik dengan kisah orang-orang di sini tentang Dewi Anjani yang katanya seorang puteri yang jelitawan membuat orang teruna tertarik. Kisahnya Dewi Anjani merajuk kerana terdapat dua orang putera yang hendak mengkahwininya. Ala-ala Puteri Gunung Ledang. Jauh di sudut hati, setelah mengakhiri pertualangan di Gunung Rinjani ini, aku rasa aku telah bertemu dengan 'kecantikkannya'. (Pejam mata)

 
Sedikit menjadi persoalan mengapa puteri-puteri atau dewi pada zaman dahulu suka melarikan diri ke puncak gunung. Adakah gunung menjadi simbolik kepada kes lari rumah seperti yang banyak berlaku pada zaman sekarang?
 
Sebelum sampai ke Sembalun dan melepaskan lelah perjalanan hampir 5 jam dari Bandar Udara Internasional Lombok, kami berlima bertandang ke desa tempat tinggal kaum Sasak yang merupakan kaum natif di 'Pulau Seribu Masjid' ini. Dilabel sebagai Sasak moden, nampaknya penyambut tetamu pada hari itu fasih berbahasa Inggeris dan sudah tentu boleh berbahasa Indonesia. Beberapa kosa kata bahasa Sasak diajar oleh bapak si pemandu mobil rental kami tetapi sayangnya sudah lupa. Satu kosa kata yang paling aku ingat ialah,

'Tampiasih'  yang memberi maksud 'Terima Kasih'.

Tanjung Aan yang mempunyai landskap pantai dan batuan yang cantik sering dikaitkan dengan kisah Puteri Mandalika. Menurut orang tempatan, Puteri Mandalika mengorbankan dirinya di pantai Tanjung Aan ini bagi menyelesaikan pertelegahan antara dua putera raja daripada dua kerajaan untuk memiliki atau mengahwini Puteri Mandalika kerana terpesona dengan kecantikkannya dan tidak mahu ada pertumpahan darah di Bumi Lombok. Kerana itu, sering diadakan perayaan Bau Nyale untuk menyambut jelmaan Puteri Mandalika dalam bentuk cacing laut. Bau bermaksud menangkap manakala Nyale ialah cacing. Unik.

Antara spot menarik di sini ialah batu bongkah seakan pentas yang terbentuk secara semulajadi. Dari atas batu bongkah ini, pemandangan pantai di Tanjung Aan nampak lebih menyeluruh.


Perjalanan ke Sembalun yang memakan masa hampir 5 hingga 6 jam sangat meletihkan dan kami sedaya upaya mengisi perbualan dalam mobil supaya tidak terlalu bosan. Hampir setiap pekan atau desa kecil yang kami lalui pasti ada bangunan Masjid yang boleh dikatakan sangat besar dan tiang serinya melebihi 6 meter. Pas dengan panggilan Lombok sebagai Pulau Seribu Masjid.

Kami sempat singgah di sebuah masjid bagi menunaikan solat jamak qasar Zuhur dan Asar. Di hadapan masjid ini, kelihatan beberapa anak muda berumur sekitar 10 hingga 12 tahun, sedang sibuk memunggah dan bekerjasama memasukkan buah tembikai ke dalam lori pemunggah yang kecil. Ini menunjukkan bumi Lombok begitu subur dengan tanaman buah-buahan selain padi seperti yang pengunjung boleh lihat sepanjang desa kecil di kiri dan kanan jalan.


Suku perjalanan kami menuju ke Desa Sembalun agak mencabar kerana perlu melalui jalan curam dan kadang-kadang menanjak naik apatah lagi waktu itu sudah malam. Bapak supir memainkan lampu tinggi dan membunyikan hon setiap kali menghampiri selekoh tajam untuk memberi amaran kepada kenderaan yang mungkin datang dari arah bertentangan. Ini tidak cukup ekstrem jika dibandingkan perjalanan aku dan Pakde dengan lori dari Wae Rebo ke Pelabuhan Labuan Bajo. Waktu itu, hanya Tuhan saja yang tahu.

Semakin mendekati desa Sembalun, semakin terasa perubahan altitud dan dinginnya sampai menggigit tulang. Secara teorinya, tubuh manusia boleh menyesuaikan diri mengikut suhu persekitaran tetapi oleh kerana aku tidak terbiasa dalam kondisi sejuk seperti ini, aku memerlukan masa untuk rasa aman. Setelah melewati lorong-lorong kecil dalam keadaan gelap, kehadiran kami disambut mesra dengan secangkir kopi bersama unggun api yang sedikit sebanyak menghangatkan tubuh kami. Tidak banyak yang dapat dilihat sekeliling pada waktu dinihari cuma kami melewati rumah-rumah desa yang beratapkan nipah dan berdindingkan anyaman rotan. Di desa tempat kami bermalam ini, hanya generator yang menyalakan segenap ruang. Mungkin kerana itu, aku mendapati lampu-lampu di sini agak malap membuatkan suasana terasa agak sugul pada malam itu. Sambil duduk mengelilingi ungun api, kami memulakan mukadimah dengan bercerita tentang perancangan pendakian untuk hari esok. Awalnya, perbualan kami tampak serius mungkin kerana kami begitu teruja untuk ke puncak tetapi setelah beberapa ketika, kami mula menyelitkan humor tentang apa saja atau mungkin sudah mengantuk dan 'mabuk' atau mamai. Apa yang melucukan ialah kelihatan penduduk desa Sembalun ini cuma berselubung dengan kain pelikat atau kain batik sahaja sebagai baju sejuk. Berbeza dengan aku, yang bertungkus lumus berpakaian windbreaker dan pakaian berlapis ditambah dengan aksi menggosok-gosok tapak tangan kerana tidak tahan dengan kedinginan malam itu.

Menjadi sebuah pengalaman baru apabila merasai kesejukkan air yang ditadah di dalam kolah kecil tatkala mengambil wudhuk. Konsep pili air di sini amat mudah iaitu menggunakan P=(rho)gh dengan tekanan air mengikut kedalaman air di dalam kolah. Lubang dibuat pada paras tekanan maksimum tanpa perlu pompa atau pam air. Lubang itu ditutup dengan semacam gabus yang diikat dengan karet atau getah supaya tidak tercabut. Segalanya di sini mengaplikasikan cara hidup yang paling sederhana dan mudah.

Maaf, aku sudah masuk terlalu dalam jauh ke dunia teknikal. Tetapi intinya, hidup seperti keluarga Pak Suketi di sini amat mudah. Sumber makanan, minuman, elektrik, dan sayur-sayuran adalah tanpa tax mahupun GST. Semuanya datang dari alam.

Seperti biasa, apabila generasi Y seperti kami berada di luar kawasan, colokkan di rumah saudaranya Pak Suketi menjadi tumpuan kami untuk mengecas teknologi paling tipikal pada masa kini iaitu telefon selular. Kami mengecas telefon selular mahupun bateri kamera secara rakus dengan harapan ianya bisa bertahan selama lebih 4 hari dan mampu merakam pemandangan yang indah lagi mengiurkan pancaindera.

Sebenarnya kami sangat beruntung kerana diberikan ruangan tidur serta tilam toto yang empuk dan selimut bagi menghangatkan tubuh pada malam tersebut sebelum memulakan perjalanan panjang keesokkan harinya. Tak mudah untuk aku lelapkan mata kerana terlalu teruja buat esok.

Dalam keadaan menggigil, selesai solat Subuh, kami menghirup kopi hangat. Oh nikmat betul kerana bukan selalu dapat minum kopi dari desa sambil diselubungi kabus pagi di pangkin rumah.

(Bersambung)

Ombak Perkenalan di Trikora dan Pulau Beralas Pasir - Nikoi

Batu Ampar - Telaga Punggur - Tanjung Pinang - Trikora - Pulau Beralas Pasir/Nikoi - Telaga Punggur - Batu Ampar

Foto lengkap: 

Deruan ombak seakan memberikan salam perkenalan dan angin bayu laut menyapa di bahu membangkitkan rasa ingin mengenal orang-orang sekelilingku ini dengan lebih dalam.

 

Dalam radius sekecil ini, dan dengan suasana yang santai, diselangi dengan tawa dan topik perbualan yang seringkali menyimpang-nyimpang, menciptakan ruang perkenalan begitu kondusif dan efektif. Setelah hampir sebulan di sini, barulah dapat menguruskan liburan sebegini dengan tujuan ini. Walaupun pada mulanya cuma bereempat, tetapi mungkin kerana masing-masing terlalu rasa ingin berlibur, jumlahnya menjadi 11 orang. Dengan rangka plan bajet yang mengambil masa satu malam, aku bertungkus lumus mencari tahu lokasi yang paling santai dan rare. Oleh kerana temanya pantai, tidak ada aktiviti lain yang terbaik selain snorkeling dan menyelam bebas. Sesuatu yang buat aku tertarik untuk ke Trikora yang terletak di bawah pemerintahan Kota Tanjung Pinang ini adalah rumah kelongnya yang unik dan sesiapa yang betul-betul ingin merasakan terdampar di tengah lautan luas, nah di sinilah tempatnya. Menyaksikan bintang-bintang di tengah laut yang kelam. Beberapa orang rakan sudah pernah menikmati bermalam di rumah kelong dan merasakan semua yang aku ceritakan tapi malangya mereka lupa nama lokasinya dan orang lokal yang bisa kita hubungi.

Bersesuaian dengan jumlah 11 orang, maka tidak menjadi kenyataan untuk menempatkan kesemuanya teman-teman aku ini di atas rumah kelong. Beralihlah aku dengan mencari tempat bermalam di atas daratan tapi betul-betul menghadap pantai. Mujur Shady Shack berjaya memenuhi semua itu malah, pondok buruk dua tingkat beratapkan nipah dan hampir 100% balai serinya dan juga katilnya terbuat daripada kayu. Benar-benar sesuai buat backpackers yang inginkan kekosongan dan membuat diri mereka merasa memiliki jaluran pantai dan laut di sini.

Ombak menderu menemani sepanjang malam kami di sini. Angin bayu laut yang seharusnya panas, tidaklah sepanas yang di sangka malah menjadi dingin seperti penghawa dingin. Pondok dua tingkat ini boleh memuatkan 15 orang maksimum dengan harga 13.5 SGD per orang.

Perjalanan satu jam dari Pelabuhan Telaga Punggur ke Pelabuhan Tanjung Pinang dengan harga tiket pergi balik adalah 90,000 Rp dan harus menambah 5,000 Rp untuk tax apabila melewati gerbang keberangkatan. Untuk jalan mudah, sejumlah wang dikutip daripada setiap orang sebagai modal untuk perbelanjaan agar waktu pembayarannya lebih mudah dan tidak memeningkan malah menjimatkan masa pengurusan pembayaran.


Mengintai di sebalik pagar besi di pinggir jeti di Telaga Punggur ini, membuat aku tidak menyangka kerana airnya begitu jernih dan tidak ada sampah. Tidak sama seperti jeti yang lain seperti kebiasaannya. Dengan sudut positif itu tadi, sedikit sebanyak menambah rasa teruja untuk meneruskan perjalanan. Waktu sebegini, dalam perjalanan feri adalah waktu yang sesuai untuk berkomunikasi dan kerana ingin lebih santai, kami memilih untuk menghirup udara dan duduk di luar sahaja. Kami melupakan bunyi enjin yang agak kuat dan berusaha bercakap dengan nada yang tinggi apabila bercakap. Itu sangat gigih. Aku boleh simpulkan bahawa rata-rata mereka ini sangat terbuka dan peramah lebih-lebih lagi kepada orang luar seperti kami berempat. Oleh kerana itu, tidak ada rasa janggal untuk bercakap dalam bahasa Indonesia mahupun bahasa Malaysia dengan dialek bahasa pasar. Terdapat banyak perkongsian pendapat dan bahasa yang dapat dilihat menerusi pertalian seperti ini. Bagi aku, orang Indonesia ada keunikkannya sendiri. Selain rasa berbangga dengan sikap terbuka mereka ini dengan mengamalkan ketaksamaan gender mahupun bangsa, mereka juga mempunyai semangat nasionalisme yang kuat dan rata-rata yang aku kenal setakat ini sangat teransang untuk berhijrah ke kota luar, tidak takut untuk meneroka tempat baru luar daripada kotak selesa.

Mungkin ini adalah semangat anak muda Indonesia yang patut kita serapkan kepada anak muda di tanah air. (Angguk-angguk kepala)

Apabila terasa penat berbicara, aku membawa diri ke suatu sudut dan duduk menikmati angin yang bertiup menyisir rambut aku yang agak kerinting. Sambil membayangkan tentang apakah rangka perjalanan untuk seterusnya, aku memejamkan mata dan kadang tersengih apabila membayangkan perkara menarik yang aku ingin lakukan buat meneroka Jawa Timur Indonesia nanti.

Sesudah sampai di Jeti Tanjung Pinang, kelihatan sampan kecil nelayan melewati melabuhkan jaring. Perkampungan nelayan di samping-samping pantai dan rumah-rumah air bagaikan cendawan, menyakinkan aku lagi bahawa di sini masih ada ikan-ikan yang boleh dimakan dan tidak tercemar. Tetapi pada kebiasaannya, di mana ada jejak manusia, disitu ada jejak sampah yang ditinggalkan.

Kami bersebelas meluru lurus ke hadapan sehingga sampai di pintu utama Jeti Tanjung Pinang. Suara-suara mengajak untuk naik teksi kami endahkan. Keluar sedikit daripada pintu gerbang, beberapa kenderaan minibus yang dipanggil angkot mula menawarkan harga-harga untuk ke pantai Trikora 3 di kilometer 41 daerah Gunung Kijang.

Kami bernasib baik mempunyai seorang 'negotiator' yang hebat untuk mendapatkan harga angkot seminimum yang boleh. Akhirnya, kami mendapatkan angkot dengan bayaran 300,000 Rp hantar dan jemput yang boleh memuatkan 11 orang walaupun agak penuh. Perjalanan di dalam angkot dengan pintu yang terbuka luas menambah seru. Pak De Boler ialah empunya angkot berasal dari tanah Jawa. Dia memutuskan untuk memasang lagu Jawa dengan tidak semena-mena dan itu sangat lucu. Perjalanan 1 jam setengah kami dihiburkan dengan lagu Jawa yang sedikit membuatkan antara kami yang terasa ingin bergoyang pinggul. Kalau didengarkan lagu Jawa, bahasanya unik. Terasa rugi kerana tidak belajar bahasa Jawa daripada Mak Abah dari kecil.

Shady Shack agak mudah ditemui di sisi kerata betul-betul terletak di sisi kiri jalan dari Tanjung Pinang menuju ke Trikora, Kira-kira selepas melewati dua jambatan berwarna kuning diraja, anda sudah menghampiri Trikora atau Gunung Kijal. Sepanjang jalur ini berderetan pokok kelapa berdiri condong seakan menyambut kedatangan pengunjung yang datang ke sini. Pak De Boler sebenarnya tidak pasti atau lebih tepat tidak tahu kedudukan Shady Shack mungkin kerana tempat ini tidak terkenal di kalangan pengunjung yang lain. Jika anda pergi sendiri atau menaiki angkot, terdapat satu pondok kecil bertulis Shady Shack di bahu kiri jalan. Terima kasih instagram kerana menjadi sumber utama dalam misi mencari lokasi ini. Mungkin tak ramai tahu, instagram bersama hashtag sangat berguna. Bukan setakat  lambakkan foto selfie yang bisa buat orang lain memuntahkan sesuatu.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, boleh hubungi pemilik Shady Shack, iaitu Pak Lobo di talian +62 813 6451 5223.


Sesuatu yang membuatkan tempat ini istimewa adalah ruangnya yang minimalisme dan cukup selesa buat mereka yang inginkan kesederhanaan, tidur berkelambu sambil dibuai bayu laut dan deruan ombak. Oh, hanya Tuhan saja tahu nikmatnya hidup kalau hari-hari dapat begini.


Tidak banyak yang dapat dilakukan di Pantai Trikora 4, tetapi pemandangan batuan pantai dan pantainya yang tampak panjang apabila surut adalah sesuatu yang boleh disaksikan pada lewat petang. Cukup sekadar menikmati otak-otak kiriman Pak Den Boler, kami duduk bertenggek bagai kan sekawanan burung di atas batuan besar menghadap pulau kecil yang tidak dapat dikenalpasti. 


Antara sebab mengapa aku selalu tidak memilih untuk bermalam di resort atau chalet yang terbina elok ialah kerana suasananya yang terkadang membuatkan aku rasa terlalu selesa dan itu membosankan. Cukuplah sekadar ada alas tidur dan sumber makanan, itu sudah cukup sempurna.

Oleh kerana kesal dengan sunset yang tidak kelihatan, atau mungkin salah tafsir, kami terus membilas badan dengan bayaran 3,000 Rp per orang untuk fasilitas kamar mandi. Mungkin aku tidak perlu menyatakan tentang ini. 

Pak Den Boler yang sejak dari tadi sanggup menunggu kami, mula menhinjak platform kaki, membuka ruang udara dan memaksa piston enjin menderum laju membawa kami ke Restoran Rumah Kelong, 15 minit daripada Pantai Trikora 4. Aku sebenarnya tidak menyangka makan malam kami semewah ini kerana disajikan dengan sajian istimewa seperti gong gong, cumi goreng butter, dan ada satu jenis udang yang aku lupa namanya. Makan malam untuk 11 orang ini cuma 947,000 Rp. Pengsan.

Malam itu, unggun api menjadi teman dan usaha mengumpulkan kayu api dan menghidupkan api adalah berkat usaha teman-teman yang kononnya bersemangat ingin mewujudkan suasana 'campfire'. Malam itu, selain menikmati saat menggigit marshmallow hangat yang meletup dan cair di mulut, kami bertungkus lumus menggoreng keropok ikan dari Terengganu dan juga berkerjasama memakannya. 

Acara pada pagi hari Ahad ialah snorkeling ke Pulau Beralas Pasir dan sekitar Pulau Nikoi. Objek menarik yang dapat tatkala muncung boat memotong jaluran ombak ialah rumah kelong yang tersergam indah di tengah-tengah lautan. Mungkin bagi orang lokal, rumah kelong ini adalah hanyalah sebuah pondok kecil yang terbuat daripada kayu, tetapi bagi aku, iainya ialah sebuah senibina yang menjurus kepada kebudayaan orang setempat yang perlu dikekalkan. 

Roy selaku orang yang dengan rela hati membawa kami snorkel ke pulau yang indah nian ini, sedikit sebanyak memberikan informasi bagaimana rumah kelong ini ditarik oleh boat peninda dan dipindahkan daripada satu lokasi ke satu lokasi. Mungkin juga kerana rumah kelong ini sebenarnya ditunda untuk mengejar seumpulan ikan atau ditempatkan ke sarang ikan yang bertepatan buat sesuatu musim. 

Wira Adi Dharma atau aku panggil dengan gelaran Mas Adi, merupakan pemuda kelahiran Indonesia yang kayaknya sudah bermaustatin di Tanjung Pinang beberapa tahun dan lebih tahu tentang lokasi-lokasi snorkeling dan free diving di Kepulauan Riau mahupun di luar kota Melayu ini seperti di Pulau Anambas dan sebagainya. Tidak cukup masa yang dapat aku habiskan bertanya dan bersembang tentang keindahan gunung dan lautan di Indonesia bersama Mas Adi kerana dia membawa satu lagi boat bersama teman-teman yang lain ke Pulau Penyusuk. Mas Roy Fadhli atau Roy lah yang membawa kami melongsori segenap Pulau Beralas Pasir, Nikoi sehingga sore sebelum kami pulang semula ke Batam.

Kebetulan Mas Roy adalah pemuda kelahiran Lingga dan perbualan kami tentang Gunung Daik Bercabang Tiga, dan tentang Lingga sendiri banyak bersangkutan dan nampaknya dia lebih tahu tentang tanah kelahirannya. Boleh jadi, visi jangka masa pendek aku untuk menjelajahi Kepulauan Lingga berkemungkinan akan menjadi kenyataan.

Kesimpulannya, trip ke Trikora ini berjaya dengan bajet 755,200 Rp per orang termasuk makan dan minum. Hasil usaha Pak De Boler memecut laju angkotnya, kami berjaya mendapatkan feri terkahir ke Telaga Punggur pada jam 6.00 petang. Sate Kendal menjadi santapan makan malam kami sesampainya kami di Kota Batam. 

Lebih seru, perkenalan dengan teman-teman yang baru aku kenal di sini langsung bertukar menjadi rapat setelah trip ini. Dedikasi saya berikan terhadap teman-teman saya yang baru dan tidak terlalu baru kenal iaitu, Pungky, Cipta, Tomo, Nadya, Victor, Esdelyn, Syahera, Hamizan, Jonathan dan Randi serta Pak De Boler angkot dan otak-otak (bisa dihubungi +62 812 6165 1566) Mas Adi, Mas Yusuf dan Mas Roy (Instagram: Markitrip) yang sudah secara tidak langsung, bersikap terbuka dan memeriahkan trip pada kali ini. Cihuy!