Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Alarm 'Norkia' Berbunyi

Harga RM80 ringgit, user-friendly, dan bateri tahan sebulan sekali cas.

Aku memang berminat nak mencampakkan diri aku atau mendaratkan aku kat mana-mana tempat di atas Bumi bertuah ini. Kalau dalam realitinya, aku memang tak ada harta sendiri selain pinjaman MARA (untuk setakat ini) selain hasil kerja-kerja sambilan yang kecil ya amat jumlahnya (kebanyakkannya kerja suka-suka). Sumber itu sahaja lah yang boleh membawa aku ke gunung-ganang, kampung-kampung orang dan sebagainya untuk menagih pengalaman. Sekadar memiliki komputer riba Acer aspire dan telefon bimbit baru-beli-berjenama 'Norkia' yang ada lampu picit itu, aku selesa menjadi diri sendiri. Haha.

Betul, kalau Tuhan nak turunkan rezeki, tiadalah dapat tangan-tangan yang dapat menghalang, tapi kalau Tuhan tidak akan menurunkan rezeki, kebahagiaan itu dibahagi-bahagikan dengan cantik. Orang tidur tepi jalan macam sekitar McD Petaling Street-Pudu Raya pun tidurnya lagi nyenyak daripada orang yang punya rumah besar 1.6 billion di atas bukit permai.

Berada dalam radius Pavillion-Bukit Bintang, sepanjang hari dalam tempoh tiga hari yang lalu, buat aku berkata dalam hati 'Oh, kaya-raya rupanya negara aku ini'. Kalau sehari berada di situ, tak dapat rasa sangat. Kalau nak dibandingkan dengan kawasan rumah-rumah setinggan yang aku redah zaman sekolah dulu, memang sangat lah jauh. Aku rasa, kalau orang yang pertama kali datang Pavillion susah nak cari pintu keluar, cubalah campak mereka kat rumah setinggan. Sah-sah sesat bagaikan sebulan. Haha harta, permainannya begitu. Mengawan sekejap, hilang terus bahagianya. Macam kau excited pertama kali nak guna ipod. Awal-awal macam teruja habis nak guna. Baring dengan ipod, terkangkang dengan ipod, dalam jamban pegang ipod. Pada persimpangan jalan, kau akan bosan, hilang bahagia dapat memilikinya. Sekejap saja.

Ketawa gelak hilai dalam tempoh 2 minggu yang lepas pun cuma sementara. Bila dapat pulang ke Tronoh ini, semuanya macam sepi. Tula, macam ku ceritakan tadi, cuma sementara, sekejap saja. Tak gitu? Kadang-kadang, benda yang paling 'murah' itu membawa makna yang paling 'mahal' buat kita.

Alarm telefon bimbit 'Norkia' berbunyi. Peluang untuk cari kebahagiaan hakiki.

Kaki


Kerusi biasa ada kaki. Tak boleh bergerak. Kerusi biasa, tambah roda. Kerusi roda yang boleh bergerak. Manusia biasa ada kaki. Tak boleh bergerak. Manusia biasa, tambah otak. Manusia berotak yang boleh bergerak.

Ketika Hujan Sedang Berkabung (911)


Aku lihat hujan teresak-esak, di luar jendela seolah-olah sedang berkabung atas nama Islamophobia (911). Aku masih tersorong menaip enak, menerbitkan apa yang aku rasa dalam bentuk bait-bait kata yang kau baca sekarang. Baru selesai menonton beberapa video tentang tragedi 911 atau 9 September 2001, ditambah sedikit dengan hasil bacaan buku-buku yang lalu, beberapa kesimpulan daripada aku (yang kurang ilmu ini) dapat dibuat. Pertama, mensyukuri nikmat paling besar sekali, yakni lahir sebagai muslim. Yang kedua, sentiasa belajar.

Aku pernah terfikir, kalau ditakdirkan aku lahir sebagai bukan Islam, betapa ruginya aku. Fikir dalam-dalam dan syukur itu patut aku letak dalam gerobok hati elok-elok. Yang menentukan syukur itu tersimpan rapi atau tidak, adalah cara aku meletakkan rasa syukur itu. Akui, masih banyak kekurangan dan Tuhan sentiasa 'tahu' dan 'akan memenuhi'.

Belajar. Setiap yang berlaku termasuk usaha jahat memecahkan Islam, 911 ini tak perlu banyak aku ceritakan di sini kerana eloklah dinilaikan sendiri berdasarkan sumber yang lebih rapi dan pasti. Aku tahu belajar adalah keperluan aku dan termasuk apa yang telah berlaku selepas peristiwa 911, disebaliknya ada sinar. Setelah dakyah tersembul pusatnya, lebih ramai yang memilih Islam (termasuk rakyat Amerika sendiri) walaupun dalam dengan cabaran Islamophobia yang begitu besar raksasa sekalipun. Melihat bagaimana mereka terdetik memeluk Islam, kadang-kadang buat aku sendiri terkesima. Aku yang lahir sebagai Islam, yang dikatakan bukan calang-calang ini pun masih 'belum cukup'. Harapannya sekecil menyedari perkara ini dapatlah diri diperbaiki. Manusia itu, lembutnya pada Tuhan itulah paling elok buatnya. Buat aku juga pastinya, dan semua.

Atmosfera Kong-Tang


Aku ini, pulang dengan jiwa yang besar. Beg galas pun cukup-cukup besar, untuk aku isi dengan beberapa helai baju dan jeans serta buku-buku sepi, yang tak langsung disentuh sepanjang cuti. Stok kuih raya pun terpaksa aku tolak tepi sebab tak suka jinjing barang kanan dan kiri. Seperti biasa, setiap kali nak pulang ke Bumi Tronoh, dari rumah mak abah aku ini, jasad aku sahaja yang mampu aku bawa ke mari, kerana tiket ini aku beli untuk single seat. Kalaulah double seat mungkin aku boleh bawa jasad dan roh aku sekali.

Bumi Tronoh ini biadap sekali, dek saki-baki keriangan aidilfitri. Tiada seorang pun yang dah balik. Sekali lagi aku bernafas dalam atmosfera yang Kong-Tang. Minggu peperiksaan yang betul-betul sesat dalam minggu perayaan macam sekarang, memang sangat tak relevan (kalau aku beri pandangan ikut emosi lah). Kalau dah begitu jadualnya nak buat macam mana? Kemudian kau nak aku tunduk kesal dalam-dalam dan menyalahkan sistem? (lagi)

Aku berhenti mengeluh pasal tadi, sebab banyak lagi yang aku nak keluhkan macam mengeluh pasal sejarah palsu Malaysia ini dan juga bangun dengan nikmat jerebu (yang macam aku pun tak pasti) serta pasal cukai. Alamak macam ada gaya pulak kan bila fikir pasal cukai. Selalunya orang yang kaya-raya dan harta terlebih sahaja atau mak bapak kita yang tak sekaya 'mereka-mereka' ni, kena fikir pasal cukai. Sekarang, budak sekolah tingkatan tiga pun dah kena fikir pasal cukai, kalau tak dulu macam 'perlu ke aku ambil tahu?'. Nak keluh pasal benda-benda ini pun bukan apa, takut-takut nanti sampai masa, semua masalah kena rujuk ahli politik sahaja sebab ahli politik kan macam semuanya betul.

Aku selaku yang kurang ilmu tentang semua ini berdoa dan berharap agar semua ini dipulihkan dengan kembali merujuk 'yang dua' itu. Ya, semua ini. Peranan aku yang kurang ilmu ini? Buat kajian, tambah bacaan dan penilaian tanpa double standard. Mungkin itu cukup selagi tidak mencaci-maki tak henti-henti. Dalam atmosfera Kong-Tang ini, selamatkan lah.

Untuk rujukan isu kenaikan cukai, lihat-lihat pun boleh, nilai sendiri siapa yang tentukan:

Sambung 'Gila-gila'


Jangan anggap sisa-sisa Ramadhan ini sia-sia, seperti tertinggal sepi sisa-sisa kunyahan manusia. Dibiarkan, akan dihurung lalat. Dihabiskan dengan kunyahan terakhir, tidaklah ia membazir begitu sahaja. Sekembalinya di daerah ini, aku makin bahagia menyambut Ramadhan, seiring dengan masa cuti yang lapang tanpa urusan akademik yang membatu-batu di pundakku. Masa kian lapang dan cukup luas untuk melakukan apa yang sepatutnya di dalam acara Ramadhan ini dengan lebih 'gila-gila'. Kalau sebelum ini, jarang sekali dapat buat sedemikian dan aku pernah rasa sesal bila gagal. Tuntutan universiti yang menyuruh hamba-hambanya menggondol markah yang tinggi-tinggi, ah! karut semua itu. Kurang tiga bulan ini, belajarnya langsung tidak menyeronokkan dan sudah lari sedikit objektifnya, bagi aku. Semua asal siap dan asal markah dapat. Kalaulah dapat capai tahap penghargaan ilmu macam Imam Al-Ghazali alangkah indahnya. Sambung kembali Ramadhan di Perak ke Ramadhan di kota Tanjung Puteri.

Masih Belum Mengecewakan (Mungkin tidak akan)


Poskad beserta penanda buku tertulis 'Das Leben soll nicht jedes mal wunderbar sein, aber die Wunder bleiben fur immer in des Erinnerrung' atau maksudnya 'Life should not be wonderful every time, but the miracle remains forever in the Erinnerrung'.

Dia yang duduk sebelah kiri tempat duduk belakang kereta itu, adalah seorang rakan yang sejak dari tadi asyik berceloteh berkongsi pengalamannya belajar di negeri orang. Cuping telinga aku ini, masih setia menadah segala apa yang diceritakannya, sampai melimpah-limpah. Daripada kisah itu sampai kisah ini. Itu dan ini, buat pertemuan tadi tambah bermakna, lebih-lebih lagi dapat membatalkan puasa, duduk dua meja yang digabung rapat. Juadah steamboat apalah kiranya kalau nak dibandingkan dengan kesempatan untuk bertemu dengan mereka ini. Apatah lagi ada yang sanggup turun dari daerah Pontian ke negeri JOHO ini. Ya, ini semua adalah geladangan aku sejak di bangku sekolah dulu, yang rasa mesranya seperti dulu-dulu.

Hari pertama aku setibanya di Kampung Melayu, ternampak senyumannya dengan gigi kuning, panjang-panjang. Wajahnya tak pernah sugul, senyuman sentiasa menguntum. Oh itu hanya bayangan aku, sekiranya Kampung Melayu ini adalah seorang manusia yang punya otak dan perasaan. Telah banyak kali pun aku pulang ke tanah kelahiran aku ini, 'dia' tetap tidak mengecewakan. Tiba saja di sini, disambut pulang mak abah sudah tentu perkara pertama yang diraih. Seolah-olah Hari Raya datang awal sebelum sampai waktu.

Aku menyinsing seluar paras lutut. Bersedia untuk ini! Ya, malam pertama aku, adalah kemesraan di persisiran pantai lumpur Senibong. Sebuah tempat yang kotor dan penuh maksiat anak muda. Kami yang berlima sempat berkhalwat menggunakan teknologi penyauk ikan, dengan harapan dapat menangkap beberapa ekor ketam saiz tapak tangan. Dua pasangan berkhalwat, cuma aku seorang tidak berpasangan menjaga baldi dan bertugas sebagai runner. Bantuan lampu di telefon bimbit biasa, yang tak dapat dilakukan oleh telefon Blackberry, kami terbongkok-bongkok mencari ketam, satu baldi penuh (sebenarnya tak penuh). Terasa singkat malam itu. Tapi malam pertama itulah paling mesra!

Oh ya, penanda buku itu tadi macam mengetahui keperluan dan kerakusan yang ada pada aku sekarang. Mungkin ini ilham (ilham lagi). Selepas ini, penanda buku ini mungkin akan tersisip, dinodai beberapa buku sastra Indonesia atau sedikit-sedikit bahan bacaan yang nakal.

Setakat ini Kampung Melayu masih belum mengecewakan (Mungkin tidak akan).

Kejam Terhadap Langit


(Baca dengan penuh emosi dendam)

Langit adalah seorang gadis sunti. Terima kasih daun keladi saiz besar (nada perli). Ya, kerana kau sudi menangis kerana aku. Bukan aku minta, tetapi kau yang menangis sendiri, kan? (mata di atas tangan di dada) Garang kau yang mengguruh pada waktu itu kekadang buat aku rasa nak berhadas kecil pula. Sejuk!

Walau apa pun, waktu kau menangis, gebor itu membaluti aku bagai anak kecil dibedong dan seolah aku menggonggong angin kerana menahan sejuk itu tadi. Dua, tiga hari ini aku memanfaatkan kesedihan kau untuk tambah fokus buat kerja dunia (eyes rolling). Kerja untuk akhirat juga. Kau tak perlukan pujukan aku kot. Kerana Tuhan takdirkan kau untuk menangis, dan memberikan peluang kepada orang-orang lain, seperti aku untuk menikmati kesedihan kau. Itu kau kena terima. Kerja-kerja aku pun makin nampak hasilnya walaupun aku harus tak peduli pasal kau, langit. Kejam kan? Nanti kalau kau dah berhenti menangis, beritahu aku. Aku nak ucap padan muka kat kau!

(Terima kasih Tuhan kerana menurunkan hujan dan ilham)

Tak tahu, bisakah ini dijadikan sebuah perenggan cerita?


Doa kita adalah sayap keredhaan, buat dia yang sedang terbang menuju Tuhan. Banyak juadah untuk dijamah, ramai saudara untuk diramah. Apalah kiranya kalau kolek kecil pun sudah bisa menjadi tadahan hujan, rezeki empunya Tuhan. Langit sedang marah. Bukan aku, tapi langit juga yang menangis sendiri. Pelik. Perbanyakkan lah mengingati-ingat tentang perkara-perkara yang menghapuskan kelazatan (kematian). Perut pun berbunyi kalau lapar, inikan pula mulut manusia. Ilham telah datang bagai bisikan seorang perempuan, aku redha dibotakkan. Anak lelaki pertama, tanggungjawabnya besar dan utama. Hari ini memijak-mijak kesibukkan. Lidah dijelir-jelir. Minum darah kambing biri-biri. Selamat tinggal neraka, aku nak pergi syurga di utara Malaysia. Kalau ada kebun buah-buahan, aku nak petik buah fikiran. Tolonglah beri aku kerajinan kuasa kuda.

Izinkan aku berbuka puasa denganmu Markonah, bukan hanya ada di dalam angan.


Markonah, bini baru aku telah seminggu bersama aku. Tidur nyeyaknya aku tenung, mengisi setiap ruang sepiku. Tidur petang setiap hari begini barangkali boleh menjadikannya cukup-cukup gilakan aku. Oh kalau begitu, aku akan biarkan Markonah tidur setiap petang selama 40 hari. Aku akan nanti-nantikan kari yang ke-40 (eh maksud aku hari). Kari ikan yang aku beli hanya untuk Markonah nikmati. Memang aku beli untuk dia, bukan kau. Jam menunjukkan 7:30 pm dan aku harus bersedia untuk berbuka puasa. Hari ini masuk hari yang ke-5 Ramadhan. Biasanya aku akan pasang kisah Jejak Rasul di rumah dan menonton bersama Markonah. Sambil menghayati suara Zainal Ariffin Ismail dan mengambil setiap pengajaran yang terkandung di dalamnya. Kadang-kadang Markonah minta aku tukar rancangan Adikku Sayang. Aku merelakan. Malangya aku di rumah sewa tak berTV, yang memaksa aku hanya duduk menghadap kari yang aku beli tadi.

Azan berkumandang, aku pun membuka bekas polisterin terisi kari tadi. Sebenarnya aku terlupa nak sediakan elok dalam pinggan kerana asyik teringat pasal Jejak Rasul tadi. Aku ambil tamar dan suapkan ke dalam mulut aku sendiri. Bila aku sedari, Markonah tiada di sisi.

Dalam hati aku hanya beristighfar 100 kali dan berharap agar Markonah tak terasa hati. Fikiran aku serabut tak terperi, memikirkan apakah yang perlu aku lakukan bagi mengelakkan Markonah bertindak liar nanti. Segera aku tumpahkan kuah kari tadi di seluar putih ku ini. Aku pun menjerit.

Aduhhhhhhh! Aduh! (Sambil berbuat gaya Johnny Depp mengerang kesakitan)

Dalam hati aku sangat berharap agar jeritan aku tadi membuat Markonah sedar daripada tidur. Kalau tak sedar, memang bini jenis apakah dia ini. Bunyi tapak kaki terseret menghampiri dapur kedengaran. Aku tahu itu tentu Markonah dan aku tersengih merasakan taktik aku berjaya. Markonah menghampiri aku. Lantas, dalam keserabutan mukanya dan rambut ikalnya dia bertanya.

Abang kenapa menjerit ni? Kenapa abang tak kejut saya? Saya dengar jiran sebelah dah mula mencarut dah tanda dah buka puasa. Alahhh

Aku segera menjawab.

Abang sakit perut. Sebab itu tak sempat nak kejut Markonah berbuka. Tengok seluar abang ni.

Markonah melihat kesan kari tumpah berwarna coklat di seluar aku. Ya, itu telah mati-mati menyakinkan dia. Betapa hati aku senang Markonah tak bertindak liar. Kalau tidak habis aku dincincang nanti. Oh Markonah, maafkan abang Markonah. Abang janji tak buat lagi pada esok hari, pada Ramadhan yang akan datang lagi. Hari ini mungkin malang bagi aku tak dapat berbuka puasa bersamanya. Izinkan aku berbuka puasa denganmu Markonah, bukan hanya ada di dalam angan.

Penari Selepas Jarum Saat Ini


Ada kabus tenang sore ini
Waktu terasa kita mendekati
Tuhan memerhati
Berikanlah kuat itu jadi penari
Bisa aku liukkan setiap ruas dan luas tubuh berpersegi
Terus memandang kanan dan kiri

Kalau aku tanyakan kepada kemudi-kemudi
Ada lagikah layar yang ditiup angin sepi?
Barangkali kapal itulah yang berlayar sendiri
Tentukan sendiri mana arah yang dicari
Saat hujan nanti
Kolek kecil pun,
bisa lagi menjadi takungan Tuhan empunya rezeki

Hari ini berpenghulu segala hari
Selepas jarum saat ini, selepas ilham berdiri
Di hadapan aku, tersenyum begini.

Panaslink

Panaslink
04/08/11 2:40 pm

RM0. Rebut peluang untuk memiliki Epal iPad2. Sertai MAK KAU & mula chat sekarang, sebelum berbuka puasa. Hantar MAK KAU ke 23668. Tamat pada 1/9. Tertakluk pada terma dan syarat MAK KAU. (Tiada caj data).






Pernah dapat mesej macam ini banyak kali waktu kau rasa tak memerlukan mesej? haha

Macam Perkasam, Makin Lama Makin Geram


Kalau buat assignment dalam kumpulan, aku suka diberi soalan random. Bini aku nanti pun nak random. Kata aku secara spontan dalam gtalk. Cinta untuk aku mungkin datang macam gelombang Streamyx bukan macam Unifi. Bukan macam orang lain, sudah ada pasangan untuk berkongsi straw minum air bandung, ada pasangan nak makan tempe sama-sama atau pergi ipoh beli cadar katil sama-sama. Haha. Bagi aku, berpasangan ada garisannya dan masanya. Cinta untuk dipendam macam perkasam, makin lama makin geram. Bila dia sampai, sampailah dia. Ya tak?

(Amaran: Jarang sekali aku berbicara manis cinta. Kalau budak hingusan baca benda alah ini, boleh bawa aduan ke PIBG sekolah. Takpun muntah.)

Duit Syiling Basuh Baju


Menjana transformasi (latar bunyi tepukan tangan). Mungkin itu sebabnya syiling berzaman yang digunapakai di Malaysia ini mengalami revolusi siri ketiga dalam tempoh 20 tahun. Ya, setelah berapa banyak peluh dan daki bangsa-bangsa yang wujud dalam Malaysia ini, melekat atas syiling tersebut. Sesuatu yang lama terkumpul. Sama macam terkumpulnya nilai sentimental duit syiling Malaysia 50 sen yang ada motif wau atau bangunan parlimen di belakangnya. Tak perasan? Sampai sekarang pengadil bola sepak akan beri pilihan, nak 'bunga' ke nak 'wau' untuk tentukan siapa main dulu.
Bagi aku, bila duit syiling 50 sen yang bermotifkan sulur kacang dan berbentuk bulat berlekuk 9 ini menggantikan yang lama, macam mana nanti aku nak guna mesin jaja (vending machine) basuh baju?

Oh mestilah kena tukar reka bentuk mesin jaja (vending machine) basuh baju yang lama kepada yang baru dan bertepatan dengan corak syiling 50 sen yang baru. Lagi-lagi di universiti tempat aku belajar ini. Kalau tak tukar, habis pelajar buat demonstrasi. Pelajar universiti kan ada 'Power'! (gelak kecil).

Semoga syaitan tak lagi bergayut atas kelopak mata aku ini. Ramadhan nanti, jangan harap.


Aku yang baru sedar daripada kematian sementara, duduk 90 darjah. Sebelumnya itu, aku berbaring enak dan lagu 'Dari Sinar Mata' sedikit menuntun aku dalam mamai, untuk cepat sedar. Tiadalah mengerti mengapa rakan sebilik aku ini memutarkan lagu Rock Kapak secara berkala dan berterusan. Tidaklah mengeluh, cuma memahami.

Membuka mata luas-luas. Sangap aku hanya menunjuk-nunjuk rasa puas menggunung.

Cadar katil yang koyak aku biarkan tanpa berganti, sama seperti slide presentation aku ini yang aku biarkan tidak dibetulkan lagi. Aku hanya ingin berehat sebentar memanjakan diri untuk tempoh 2 jam setengah. Sekarang aku memerlukan 'dadah' yang segar.

Aku sebenarnya bercadang hendak bersiram. Malangnya belum lagi niat itu ditunaikan. Masih duduk atas kerusi Polyvinyl chloride ini. Susah sebenarnya hendak buat keputusan, apatah lagi keputusan yang mendatangkan kesan yang besar dalam hidup. Mungkin memerlukan beberapa hari? Jam digital komputer riba ini menunjukkan pukul 1:55 AM. Lagilah aku perlu fikir dua kali untuk mengambil keputusan untuk bersiram. Bukan apa, takut peparu berair. Kalau hati berair tak mengapa, kerana kalau 'hati sudah kering' , semua kerja tak berjalan.

Mengeluh lagi. Semoga syaitan tak lagi bergayut atas kelopak mata aku ini. Ramadhan nanti, jangan harap.


J****n Belakang Rumah


Sesungguhnya, blog kerepektempe ini kalau dilihat memang bosan sebab bermain dengan dua warna sahaja iaitu hitam dan putih. Beberapa kali kepala visualnya ditukar mengikut suka hati aku. Aku tetap suka membebel di sini, sendiri haha. Ini cerita tengah malam semalam, sedang aku asyik meratapi semua hasil-hasil bebelan aku yang lepas-lepas. Seronok juga baca blog sendiri sebab, aku dapat ingat kembali apa yang pernah aku rasa, buat dan dapat.

Boleh dikatakan, tahun 2011 ini sangat pantas roda dan gandarnya berputar. Rancak dengan kedatangan pelbagai pengalaman baru dan membahagiakan, macam orang dalam lamunan cinta. Ya, waktu-waktu berseronok dengan keluarga, kawan-kawan dan kawan-kawan baru, buat aku rasa ada kehidupan. Dalam jamban belakang rumah pun ada kehidupan bila sampai masanya.

Sebenarnya aku nak cerita pasal jamban belakang rumah. Budak-budak zaman sekarang mesti tak tahu jamban belakang rumah macam mana. 'Jamban belakang rumah' adalah sama jenis dengan washroom/tandas, tetapi unit ini yang biasanya boleh didapati dalam bangunan, dibawa keluar bangunan. Maksudnya, unit tandas yang berada di luar rumah/belakang rumah biasanya.

Hendak dijadikan cerita, jamban belakang rumah ini sebenarnya bagi aku banyak kenangan yang dilalui bersama aku sejak kecil dulu. Teringat dulu bila 'penggera' berbunyi, kelam kabut cari lampu picit atau lampu minyak tanah (yang ada gambar perempuan Cina) untuk menerangi kegelapan dalam bilik berpersegi kecil itu. Sedikit sebanyak, pengalaman itu mengajar aku tentang keberanian. Dulu waktu kecil mungkin agak takut-takut sampai suruh orang teman, sebab menganggap ianya angker. Yelah, tempat orang buang benda-benda tak elok katakan.

Itu kisah jamban belakang rumah pada waktu malam. Menjelang siang, jamban belakang rumah aku dulu memang tempat paling strategik untuk bersembunyi. Waktu main Polis Entry, lokasi ini memang panas. Oleh sebab tak nak orang jumpa, sanggup bersempit 4 orang dan memanglah akan berkunci. Taktiknya mudah. Jangan buka kalau ada orang ketuk. Alamatnya, malanglah siapa yang nak berhajat. Paling bahagia, bila budak-budak yang main Police Entry tak dapat cari sampai Maghrib.

Ada pernah satu hari, tragedi malang berlaku pada aku. Niat aku sama seperti selalu. Bila 'penggera' dah bunyi, aku terus buka pintu belakang rumah, melangkah palang pintu, kemudian berlari menuju ke jamban belakang rumah. Mungkin malang pada hari itu, ada mak ayam tiba-tiba tenung sambil mengembangkan ekor. Tiba-tiba terbang mematuk 'belakang' aku. Aku apa lagi. Terus menangis sebab sakit 'belakang' aku dibuatnya. Aku menangis sambil berdehem dan sambung balik tujuan asal aku.

Belakang rumah aku ini selain ada jamban, ada juga pokok durian belanda. Buahnya manis, masam-masam sedikit. Pokok ini terletak dalam koordinat X:Y = 2:1 dari jamban belakang rumah aku ini. Pokoknya rimbun, dan selalu berbuah. Mak aku pernah jadikan durian belanda untuk buat ais-krim batang Malaysia yang 20 sen. Adalah jualan kecil-kecilan. haha

Fasa Normal kepada Fasa Tak Normal


Dalam tempoh dua bulan ini, aku mungkin sibuk dengan banyak hal. Setiap hujung minggu turun naik Kota Lumpur dan di Perak ini, aku jadikan bilik ini semacam hotel. Pulang untuk tidur dan mandi, sama seperti teman sebilik aku juga. Sepesen. Kekosongan bilik ini bertambah bila semua kesibukkan itu tamat. Mula tak tahu nak buat apa dalam bilik. Aku cuba padatkan punggung atas kerusi plastik PVC ini tapi belum cukup haba dipindahkan, aku dah mula tak senang duduk.

Rehat lama mungkin tak sesuai untuk aku, dan aku mula bertambah malas. Semakin malas untuk selesaikan tugas akademik terutamanya. Haha sepatutnya bila banyak masa, banyak kerja yang boleh selesai. Yelah, itu semua bohong sebab orang makin kaya, makin kurang duit sebab banyak berbelanja. Samalah macam bila orang kaya dengan masa, makin kurang masanya sebab banyak 'dibelanjakan' untuk yang tak berfaedah. Ya, aku memang sedang merungut sebab dah empat hari aku melangut dalam bilik tak mencapai objektif apa-apa. Padan muka aku.

Selepas memikirkan, selain aku merungut di blog ini untuk memenuhi 'nafsu' yakni membelanjakan masa yang aku ada, maka eloklah aku betulkan niat, dodol!

Kalau dapatlah semua ini tamat sejurus lepas aku merungut di sini, alangkah baiknya. Aku boleh namakan ini 'fasa peralihan', seperti biasa, macam sebelum ini juga, selepas rancak buat teater atau buat hal lain sana-sini. Terpaksa menghadapi fasa peralihan daripada normal kepada tak normal. Eh ke sepatutnya daripada fasa tak normal kepada normal?

Sambung membelek-belek gambar-gambar dalam album lama dalam hard disk dan foto dalam album Facebook.

Motosikal Tenang


Motosikal dua lejang terduduk tenang
dan kepulan asap yang ditinggal panjang
Pernah penuhi setiap ruang Subuh
Mengibar-ngibar kain ibu yang labuh

Kami berempat di atas pangku
Alas koyak dibiar buntu
Dalam raga terisi buku
Dalam hati bekal nawaitu

Sudah tiada berbaki jalan dituju
dan tongkat diturunkan
Sepertinya hidup ini ada halaju
Kita tentukan sampai dimatikan

Menoleh ke belakang lihat perjalanan
Telah banyak asap ditinggalkan
Hitam jelaganya juga mengingatkan
Namun hilang jua dari kejauhan.

Mee Bandung Kembali


Sampai di rumah jam 12 malam dan aku bernasib baik dapat membantai mee bandung lebih di dapur. Walaupun sudah sejuk, sedapnya mengiurkan dan membuat aku lebih yakin bahawa kaki aku memang sekarang berpijak di tempat aku diberanakkan. Hurmmm bau udang dalam mee bandung masih mencuit-cuit hidung.

Petang Jumaat tadi pula, pisang goreng kedai depan Sekolah Agama Dato' Abdullah Esa, aku ratah. Paling epik bila dapat duduk lepak makan pisang goreng cicah sambal kicap dengan ahli keluarga yang lain. Ya di pondok Wak Maskan, terbina cantik dan elok di depan rumah aku ini.

Sekarang, waktu aku sedang menulis entri ini semuanya sedang berbaring sambil menonton televisyen seperti biasa bila semua berkumpul dan balik kampung. Melihat, memerhati dan merasakan semua ini membuatkan aku rasa kembali.

Kakak Good Luck


Kotak kubikal di hadapan aku ini macam penjara. Itu, apa yang aku rasa bila mentelaah di IRC UTP ini. Ya aku bukan pengunjung setia di sini, tetapi kadang-kadang perlu memaksa diri untuk pergi sendiri atas tuntutan kerja. Sepatutnya IRC perlu lebih 'terbuka' dengan kehadiran macam-macam perangai manusia, seperti manusia tak berkasut, manusia tak punya kad matriks, manusia berambut serabai dan manusia kelas bawahan. Haa barulah ramai akan jadi pengunjung setia pusat sumber ilmu ini. Kalau tidak banyak sangat halangan. Kata nak jadikan IRC pusat informasi. Hehe.

Oh sambung di kotak kubikal tadi. Mulanya aku nak duduk kubikal yang paling hujung. Sebab aku malu nak duduk sebelah kakak-yang-sedang-rajin-dan-ayu. Malangnya, akibat dua kubikal di hujung ini nampak macam ada orang, maka aku pun terpaksa kawal rasa malu aku dudu betul-betul sebelah kubikal kakak-yang-sedang-rajin-dan-ayu. Sedaya upaya aku elak memandang dia sebab takut dia malu. Oh nampaknya aku berjaya.

Sedang aku sibuk main tekan-tekan kalkulator, tiba-tiba aku dengar ucapan.

'Good luck :)'

Sambil tergamam, aku pun mencari, siapa pula yang beri ucapan macam bersemangat ni? Bila aku pandang kiri, terus tersengih. Rupa-rupanya kakak sebelah aku ini. Kemudian aku tersengih lagi.

'Oh terima kasih :)'

Kemudian adalah sedikit perbualan selepas itu yang aku main cakap saja. Sebab aku ini pemalu orangnya. Apa yang aku nak cerita ialah betapa ucapan 'Good Luck' yang sekecil ini aku sangat hargai sebab lepas itu, aku rasa tenang dan bersemangat. Boleh ingat lagi air muka ceria kakak-yang-sedang-rajin-dan-ayu itu tadi. Terima kasih tapi susah rasanya aku nak jumpa balik dia untuk cakap terima kasih lagi sekali. Aku menjawab soalan Operational Management dengan bersemangat petang tadi. Aku boleh kategorikan pengalaman aku ini jarang-jarang. Yalah, siapa yang berani cakap 'Good Luck' dekat orang yang kau tak kenal dengan tiba-tiba. Lagi-lagi macam kakak-yang-sedang-rajin-dan-ayu ini. hehe.

Ketawa Sambil Mengemutkan Mulut


Pada satu malam, aku tergelak kuat di hadapan cermin yang sangat besar luas perseginya. Ketawa yang berjaya menghasilkan gelombang bunyi dengan amplitud tinggi. Ketika itu aku berada dalam bilik bercermin dan berkarpet, sebelah bilik tarian di Blok Ko-kurikulum, di hadapan ramai orang. Tiba-tiba aku rasa aku tak matang dengan hilaian ketawa seperti itu. Pulang ke bilik, aku menghadap cermin. Perasaan yang sama. Buat muka sedang berfikir dan aku tanam idea untuk kurangkan ketawa semacam itu sebab takut-takut mematikan akal. Dalam masa yang sama, aku cuba ketawa sambil mengemutkan mulut. Sumpah tak jadi. Selongkar balik idea yang aku tanam tadi.

Walaubagaimanapun, kena kurangkan lah ketawa berdekah-dekah yang keterlaluan. Daripada Abu Hurairah r.a., bersabda Rasulullah SAW:

"Jangan kalian banyak ketawa, kerana banyak ketawa itu mematikan hati."

Daripada Abu Dzar r.a., dia berkata:

"Rasulullah SAW tidak pernah tertawa selain daripada senyuman"
(HR Muslim & Ahmad).

Aku percaya, senyuman walau sesisir kecil, boleh membuatkan segala-galanya menjadi positif.


...sama macam kau tarik kurniaan yang Tuhan beri kepada aku


Haha. Aku mulakan entri ini dengan gelak kecil dalam hati. Aku dan rambut aku banyak sejarah yang kami lalui bersama. Manis tak?

Sekolah rendah dulu, bapak aku suruh abang kedai Gunting Rambut Ayya potong rambut aku dengan tapak satu. Waktu itu aku belum baligh sangat dan tak kisah ada rambut ke tak ada rambut. Sebab waktu itu tak ada tuntutan nafsu nak nampak indah pada pandangan orang. Pertama kali masuk darjah satu, sudah ada mamat panggil aku botak. Kalau botak aku tak kisah lagi. Mamat tu panggil aku botak pendek. Memang nak kena terajang mamat tu (kata hati kecil aku).

Dilahirkan sebagai seorang yang sopan dan penyabar, membuatkan aku selalu bercakap dalam hati kecil, katanya. Setiap hari, tak tahu berapa banyak kali orang panggil aku botak pendek sehinggalah pada satu hari aku mengadu dekat bapak aku.

'Kalau diorang ejek lagi, cakap saja. Bapak kau ke yang bayar untuk potong rambut?'

Aku agak teruja dan berdebar-debar sedikit nak lontarkan dialog ini. Aku cuba sekali dan ternyata ia membuatkan aku lebih yakin dengan fesyen rambut aku ketika itu yang macam Ronaldo, bukan nak kata apalah. Tahun berganti tahun dan aku hidup subur dengan 'dialog' itu. Kemudian imej bersongkok sebab kena jadi ketua darjah dan pengawas buat aku lebih yakin berambut botak. Tahun berganti tahun dan aku bertapak di Universiti. Tahun pertama, biasalah saki-baki imej budak sekolah masih ada dan masih botak. Masuk tahun kedua aku mula nak balas dendam dan tanam niat nak kumpul rambut sampai panjang. Kalau dapat panjang mengurai dan lurus macam Johnny Depp pun jadilah.

Maka kejayaan pertama adalah selepas lapan bulan mengumpul sejemput rambut ala-ala Alleycats. Ketika itu aku tak kisah orang namakan rambut sarang tebuan. Kemudian satu masa aku gunakan taktik yang bapak aku kasik untuk tambah berkenyakinan dengan rambut itu. Aku tahu, mungkin mereka cemburu dengan rambut kerinting-tapi-tak-kerinting-sangat-tapi-hensem aku ini. Terbiasa dengan adegan main tarik-tarik rambut aku. Mungkin aku kena guna taktik yang bapak aku bagi dulu dan ia perlu berbunyi begini:

'Rambut aku adalah kurniaan Tuhan kepada aku. Dan kalau kau tarik, sama macam kau tarik kurniaan yang Tuhan beri kepada aku.' Haha.


Kadang-kadang Kena Ikut Arus


Umur 5 tahun atau 4 tahun atau 3 tahun dulu memang kau tak banyak benda untuk difikirkan. Tugas kau ialah makan, tidur dan ikut sahaja arus zaman pada ketika itu. Ikut arus tuntutan pemikiran kanak-kanak, iaitu bermain.

Sekarang memang berbeza, bila banyak pula senarai perkara yang kau perlu buat. Daripada basuh baju, tugas menyiapkan projek sampai nak kena balik rumah sebab dah lama tak balik. Radius itu lebih besar. Dalam radius ini, banyak perkara yang kena sentuh. Bayangkan tanpa kesibukan hari ini, bagaimana akan datang kau dapat buat keputusan sebab semuanya nak kena buat keputusan.

Kesibukan hari ini, yakni waktu belajar sambil buat kerja luar kuliah, sebenarnya satu anugerah yang patut kau syukuri. Sebab waktu ini kau dapat ramai kawan untuk berkawan. Boleh buat semua perkara tak kira sesibuk mana. Yang penting suka. Suka sahaja bukan bermakna kau bazirkan masa dan kurangkan masa belajar. Tak rasa ke, waktu sekarang lah adalah waktu terbaik untuk buat apa jua benda. Haha (gelakkan diri sendiri)

Kadang-kadang aku rasa terperangkap di sini. Kalaulah aku... Eh tapi tak juga, sebab aku gembira dengan apa yang aku buat sekarang. Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Kalau sudah terjilat, manakan dapat tertahan dengan nikmat itu. Tak pula menolak. Maka teruskan meratah sampai puas tunas lidah kau merembes. Kadang-kadang kena ikut arus juga, macam kau buat waktu kecil dulu.


Mengarok Sikit


Di celah bantal, semalam aku mengarok. Hari ini senyap sekejap.

Buku Motivasi Terakhir Yang Aku Baca


Seingat aku, buku motivasi terakhir yang aku baca ialah (entah aku pun tak ingat). Bukan buku motivasi Cara-cara Menjadi Pelajar Cemerlang yang macam budak sekolah baca. Ini lebih bersifat memperbaiki diri. Memang betul kadang-kadang kau akan rasa diri kau adalah yang terbaik pada hari itu dan ada hari kau rasa kau orang paling tahi pada hari itu.

Murung, runsing dan tiba-tiba sedih mungkin atara bentuk perasaan yang boleh buat hidup kau pada hari itu tak ada maknanya! Bukan perempuan sahaja ya yang bermasalah emosi bila kitaran hormon tak stabil. Lelaki pun.

Satu hari yang sepi, aku google 'Motivasi diri' dan google memberikan hasil pencarian yang panjang berjela senarainya. Seperti biasa, senarai yang paling atas aku klik. Mungkin sebab yakin bahawa senarai yang pertama adalah terbaik untuk google (tipu sahaja). Jadi keluarkan artikel berkenaan memotivasikan diri. Mula-mula, reaksi aku, malas nak baca dan tarik sampai bawah artikel ini. Tetapi berkat ingin cari inspirasi, aku main-main tarik bebola mouse. Sedikit sebanyak, aku ada baca dan oh sampai habis aku baca. Teks dan kandungannya berbunyi begini.


Kita adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, namun kita masih tidak terlepas daripada menghadapi tekanan ketika bekerja. Pelbagai tekanan yang dihadapi menyebabkan hati menjadi runsing dan semua kerja tidak akan terlaksana. Tidak mustahil bagi individu yang berhadapan dengan masalah ini akan terbawa-bawa ke rumah hingga anak-anak pula menjadi mangsa. Namun, hati akan menjadi tenang sekiranya kita kembali kepada Allah. Apa jua yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah disertai dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.

Terdapat beberapa tips yang kita boleh amalkan bertujuan mengurangkan tekanan hidup. Antaranya ialah :

1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati.

2) Perbanyakkan membaca Al-Qur’an
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu.

3) Banyakkan Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.

4) Selalu berdoa kepada Allah
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.

5) Bersangka baik dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan- Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.

6) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.

7) Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.

8.) Menangis dengan sepuas hati
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. “Luaran lain hati lain” ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh, bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja.

9) Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

10) Cintai diri sendiri
“Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain”. Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman. Kesimpulan Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayanya.

Bukan apa, tak salah pun orang baca buku motivasi atau artikel berkenaan motivasi diri sebab tak salah pun. Dalam dunia teknologi sekarang ini, orang post entri ini atau sebarkan entri ini bukan sebab nak tunjuk bagus. Bukan nak berlagak alim atau pandai. Haha aku pun akui benda alah ini, kalau disebarkan kalau tak semua, kalau satu tips orang lain ikut, dapat pahala juga kepada orang yang dituduh nak tunjuk bagus itu. Terima kasih kepada penulis entri ini dalam blognya, kerana sedikit sebanyak membantu aku, beri idea nak buat apa.


Bau Rumput Segar Selepas Dipotong


Bau rumput segar selepas dipotong. Salah satu bau yang menjadi penghargaan seperti nikmat segarnya udara yang dihidu seperti masa lalu. Abah tak pernah berkerut bila sanggup berpanas hujan untuk mendapatkan duit lebih. Duit lebih itu pun untuk menyara kami, anak-anaknya yang masih setahun jagung ini. Pekerjaan sampingan abah memotong rumput di rumah orang. Siangnya, pekerjaan tetap abah tetap sama. Upah memotong rumput walaupun tidaklah sebesar upah bekerja dalam pejabat yang berhawa dingin, tetapi bisa mencukupkan makan dan minum kami. Terima kasih abah sebab memberikan peluang kepada anak-anaknya untuk merasai pengalaman memotong rumput. Memegang kayu penyapu berjeriji besi, mengangkut timbunan rumput atas canvas dan mencabut anak-anak rumput di sekeliling halaman rumah orang. Memang penat tapi gembira melakukannya walaupun masih kecil, sudah terbiasa dengan semua itu. Cuma, kadang-kadang tidaklah berpuas hati kerana terpaksa mengorbankan masa bermain pada waktu petang untuk membuat semua itu. Abah sebenarnya mahu anak-anak merasai susah bersama-sama supaya nanti, anak-anak benar-benar kenal bau rumput segar selepas dipotong.

Tidurlah


Berapa lama perlu ditunggu lagi
Selimut mirip kelambu membaluti
Kontang mimpi tidur mati
Selesa begini dinanti

Manusia boleh tidur di mana-mana
Bumi berteduh milik Tuhan ini, luas daerahnya
Meski dalam bayang umbra
Tidurlah dengan redha



Kau sedut udara yang aku hembus, aku sedut balik udara yang kau hembus


Cukuplah dengan ayat-ayat manusia pada hari ini. Benarkan aku mengicau. Ayat manusia kadang-kadang membunga sampai kau boleh tercium bau wanginya. Kadang-kadang aku salahkan teknologi sebab apa yang ditulis susah nak gambarkan apa emosi manusia pada ketika itu. Haha. Hari ini aku terkena dengan teka-teki emosi manusia dengan ayat-ayat mereka dalam ruang teknologi seperti sms dan komen di Facebook. Lahai, kadang-kadang rasa nak kembali semula seperti dulu, kalau apa-apa jumpa atau cakap terus depan muka. Cakap betul-betul sambil hidung bertemu hidung. Kau sedut udara yang aku hembus, aku sedut balik udara yang kau hembus, dalam masa yang sama.

Sesat


Baiklah. Situasi yang aku nak ceritakan begini. Ada beberapa orang sahabat sedang merancang ingin menuju ke sebuah destinasi. Destinasi itu perlu melalui beberapa laluan atau arah. Memanglah setiap destinasi ada jalannya. Malangnya, semua tidak tahu arah mana ditujui. Maka seorang sahabat bertanya kepada seorang sahabat ini.

"Kita nak ke arah mana ini?"
"Aku rasa kita ke arah sini sebab mungkin kita akan menuju ke pencawang itu. Aku rasa kita akan lebih dekat dengan destinasi itu."

Selepas jalan ke arah itu. Malangnya tiadalah sampai ke pencawang itu, tapi bisa dilihat dari jauh.

"Eh, kenapa kau ikut arah ini. Salah arah ini. Kita ke arah mana ini?"
"Tak apa kita cuba ikut jalan itu. Nampaknya boleh sampai ke sana. Pencawang itu pun kita dah nampak"
"Engkau ni main cakap saja. Sampai sesat sekarang."

Kalau si sahabat ini tahu, tidaklah dia bersusah payah memikirkan jawapan kepada soalan pertama sahabatnya itu. Paling bangsat dia berfikir bagaimana caranya untuk ke destinasi itu. Bukan mengharapkan orang lain untuk dipersalahkan.

Menerima Sepucuk Surat Pada Hari Ini


Kita menjadi budak dalam negeri kita sendiri. Menerima orang lain pada hari ini seperti menerima sepucuk surat daripada pegawai kerajaan. Menerima orang lain pada hari ke 29 dalam bulan Febuari, pada tahun lompat, seperti menerima sepucuk surat daripada seorang rakan. Bahasanya lebih mengicau.

Menerima orang lain sebenarnya seperti minum susu ibu. Tak pula kau tanya berapa banyak kandungan laktosa, fosfolipid, atau kolostrum, yang memberikan kau tenaga untuk berjabat tangan dengan orang lain.

Kedai DVD


Bila aku pergi kedai DVD, aku bukannya suka beli. Mungkin sebab sektor pemain DVD komputer riba aku ini masih berstatus tak boleh pakai. Mungkin juga sebab aku bukan seorang yang buas apabila membeli cakera berkeping-keping. Maklum juga sekarang ini zaman generasi Y yang kononnya semua boleh dapat melalui jaringan telekomunikasi tanpa batasan ini. Cewah. Ayat ini boleh buatkan orang yang lebih makan garam mencebik bibir mereka. Bukan apa, sebab itulah puncanya anak-anak muda sekarang (macam aku) susah sangat nak menghargai sesuatu yang di depan mata. Lebih suka menghargai facebook daripada menghadap muka Mak Abah siang dan malam.

Oh kedai DVD. Cantiknya kedai DVD adalah cantiknya koleksi kulit-kulit album filem lama, lagu-lagu, yang ada unsur-unsur klasik, seni moden dan sebagainya. Dalam kulit album ini kadang-kadang boleh menceritakan apa kandungannya.

Aku ada juga membelek muka depan kulit album lagu artis-artis barat dan tempatan. Semuanya ada nilainya. Kadang-kadang kulit-kulit album ini semacam memberikan aku inspirasi dan idea. Boleh buat rasa puas macam tengah tengok pameran seni. Aku tak tahu kenapa aku berkongsi rasa pasal ini. Tapi ini semacam ilham untuk buat kerja-kerja seni atau apa jua kerja yang lain. Memang betul orang kata hasil seni ini boleh bercakap dengan kita.

Jadi bagi aku, kalau belum lagi mampu atau amatur macam aku untuk menilai hasil seni-seni yang memang tahap dewa, boleh cuba jadikan kedai DVD ini sebagai tempat untuk panaskan badan menikmati dan mentafsir hasil-hasil seni. Macam-macam ada. Yang abstrak, yang realistik dan sebagainya. Entahlah. Tapi ini apa yang aku rasa.

Dua Fakta, Buat Aku Nak Balik Rumah!



Oh ya, gambar ini seingat aku merupakan gambar candid yang abah ambil. Waktu ini kami cuba buat gaya tidur-tidur ayam. Tapi aku cuba spoilkan, tiba-tiba menyengih!

Yang berbaju kelawar itu, emak aku. Selalunya baju ini dipakai oleh kaum perempuan ketika zaman itu. Selalunya akan dipakai sebagai baju tidur atau pijamas pada waktu malam. Gambar ini diambil sekitar tahun 1998 atau 1999, waktu zaman sekolah rendah. Kalau aku tak silap lah. Sesiapa yang pakai baju kelawar, dia berupaya untuk buat gaya terbang. Ada dua isi penting di sini, iaitu dipakai pada waktu malam dan boleh buat gaya terbang. Sebab itu baju itu dipanggil 'Baju Kelawar'.

Kalau korang tengok karpet di atas lantai itu mungkin agak serupa dengan karpet rumah kau. Coraknya yang popular ketika zaman itu membuatkan semua rumah nak ada karpet yang sama corak itu. (Ini andaian aku sahaja). Walau apa pun, fungsinya tetap sama, menjadi alas lantai supaya kau tak sejuk bila baring di atasnya. Maklumlah, dulu mana ada lagi batu mar-mar yang cantik-cantik. Yang ada cuma lantai simen macam lantai rumah aku, dan tikar getah berbunga jadi alas.

Baiklah aku rasa dua fakta ini sudah cukup buat aku rasa nak balik rumah!

Kick

Kalau nak minta sesuatu daripada manusia, kena urut-urut badan, mencebik muka, mulut muncungkan sikit, gesel-gesel kaki, atau urut-urut dompet. Tapi nak minta dengan Tuhan, kau cuma rapatkan 10 jari dan cakap apa yang kau nak. Minta dikurniakan nikmat ilmu yang lebih itu juga antara bentuk permintaan dan harapan yang sangat tinggi nilainya.

Aku memang pandai cakap dan tulis haha. Tapi pandai cakap dan tulis tak bermakna kalau tak dizahirkan tindakannya. Sekurang-kurangnya idea itu tertanam macam dalam Inception dan mungkin menerusi tulisan ini, berjaya menanam dan membaja idea di seluruh tanah subur minda orang-orang baca benda alah ini. Nampak kan bagaimana ilmu boleh berkembang menerusi penulisan.

Tapi itu apa yang buat aku terfikir sekarang dan rasa-rasanya berfikir itu mencantikkan dunia realiti kita pada hari ini. Kalau tak bosan lah wei. Seperkara lagi, orang yang mencipta matlamat, sebelumnya mereka pun tak ada matlamat. Jadi, masyarakat yang berilmu sekarang, sebelumnya mestilah tidak atau kurang berilmu, maka 'bacalah'.

Baiklah sekarang aku nak sedarkan diri aku sebab aku dah tanam idea kat minda sekarang, melalui mimpi aku, dalam mimpi aku semalam, dalam mimpi aku atas katil tadi dan dalam mimpi aku depan komputer riba ni. (Sedang memasang lagu 'Non, je ne regrette rien' untuk 'kick' )


Bumi Yang Bernama

Bumi Yang Bernama

Memeluk pohon itu bermain sembunyi ibu
Dan aku masih ingat lagi
Pepohon membingkai gerak-geri penghuni alam
Masih dapat aku rasakan lumut menumpang kasih
Masih dapat aku rasakan akar melilit
Bersama setiap sedutan udara
Hembusannya adalah lestari sebuah penghidupan

Bumi ini namanya Bumi Manusia
Rongga tanah ini yang kau jadikan ia alas tidur
Empuknya dek kerana kesuburan
Sejuknya mengusap dada kemanusiaan
Diamlah
Betapa itu akan melelapkan
Kesibukan kota seketika

Selintas camar yang lalu
Membawa sarat kedukaan masa ini
Nun di sana tanah terkuis bernanah
Sudah hilang hijau tak tahu kemana
Sayapnya luas membuka persegi lautan
Perut Bumi menenggelamkan jutaan
Ruang pandangan insan
Mengheret ketamadunan

Ingatlah
Daun keladi itu menjadi ucapan terima kasih
Yang begitu bermakna kepada dunia
Gaharu ini memberitahu
Ilmu itu pasaknya di dada
Cendana ini menanyakan semula
Apakah makna syukur buat semua?

Jangan namakan Bumi ini bernama
Bumi yang hilang
Jangan namakan Bumi ini bernama
Bumi yang kontang
Jangan namakan Bumi ini bernama
Bumi yang sengkangkang
Bumi ini kita namakan Bumi bertuah
Jangan kau lupa
Bumi ini bernama
Bumi milik Pencipta.

.nakulrepid alib ilabmek naka.ajahas inis id iapmas

.nakulrepid alib ilabmek naka.ajahas inis id iapmas

Sembunyi Ibu


Memeluk pohon itu dan aku bermain sembunyi ibu. Aku mula mengira dengan kiraan satu, dua, tiga dan seterusnya bila aku rasa mereka sudah bersedia untuk dicari, aku berhenti. Tanpa sebarang kesan bunyi, seperti bunyi ranting yang dipijak patah, aku cuba berjalan supaya membuatkan orang lain tidak sedar akan kehadiran aku. Kemudian terlihat sosok tubuh di sebalik rumpun pandan, tempat permainan labah-labah dan serangga kerana wanginya pandan yang mengujakan. Peluh di dahi menitis dan mengalir melalui kerutan senyuman manis kiri pipiku. Merasai sedikit masin air peluh tadi. Tersengih aku kerana bakal menemui si dia yang bersembunyi sepi di sebalik rumpun pandan itu.

Ini bukan permainan menyembunyikan ibu. Tapi ikutkan permainan ini suruh kita cari 'ibu' atau orang-orang atau kawan-kawan yang disayangi. Lebih tepat 'ibu' adalah 'orang yang disayangi'. Simboliknya permainan zaman kanak-kanak dulu kan? Bersusah payah hari ini kita, adalah untuk orang yang tersayang. Tapi ingat, jangan main sembunyi-sembunyi waktu maghrib nanti kena sembunyi dengan hantu *****!


Seperkara Yang Menerbangkan Aku Ialah Sayap-sayap Kenangan Lalu

Seperkara yang menerbangkan aku ialah sayap-sayap kenangan lalu. Lencana ketua darjah ini aku masih simpan untuk mata aku melihat diri yang dulu. Sudah tiba masanya untuk berubah lagi dan terus berubah. Aku percaya manusia sentiasa perlu berubah daripada yang baik kepada lebih baik. Untuk tempoh masa sekarang, aku lihat ramai sahabat-sahabat yang nampaknya turut berubah kepada yang lebih baik. Alhamdulillah, dan pastinya setelah membuat setiap satu perubahan itu, kau akan rasa menjadi diri sendiri dan lebih bersemangat untuk apa jua yang dilakukan.

Selamat berubah kepada semua. Setiap orang tentunya ada impian atau sesuatu yang ingin dicapai. Selain memajukan diri dengan ilmu, manusia pun ada kehendak sendiri seperti memiliki masa untuk diri sendiri. Memikirkan apa yang perlu disediakan untuk hari esok. Contohnya tempoh untuk satu tahun akan datang, apakah bayangan diri kau. Apakah bayangan kau selepas 25 tahun. Sudah berbini? sudah ber-anak? Melunaskan tanggungjawab untuk mak abah? Bergantung kepada kau.

Kalau kau salin pakaian, tentunya kau perlukan kain sarong atau tuala melitupi tubuh kau sebelum menyalin baju yang baru. Maka kau perlukan kain sarong atau tuala itu sebagai ruang masa untuk diri sendiri atau kau perlu menyendiri bermuhasabah sebelum kau berubah. Kalau tidak kau akan telanjang!

We’ll spend some time forever
We’ll never feel bad anymore

Rasa 'Oh aku kembali'

Dah lama rasanya tak balik kampung. Lagu ini mungkin boleh buat orang yang rasa nak balik rumah sangat pada ketika ini rasa sangat menghargai kampung halaman sendiri. Rumah, tempat yang boleh buat kau rasa 'Oh aku kembali' atau 'Oh aku pulang'.



Pejamkan matu mu untuk ku
Dengarlah dunia berkata-kata
Usah kau ragu disini tempatmu
Walau berubah dimata kita
Tetap indah selagi kau masih percaya

Tertawa kecewa terpisah
Jalan yang lurus yang berhalang
Adakah semua ini yang ku inginkan
Ataupun hanya mengejar dunia semata-mata
Ku harap ku masih percaya

Adakah semua ini yang ku inginkan
Ataupun hanya mengejar dunia semata-mata
Ku harap ku masih percaya

Bukalah matamu
Biar aku memelukmu
Kita bersama masih muda masih mentah
Ku harap kau masih percaya

Selama ini ( 7 kali )

Percaya Kepada Manusia, Persetankan


'Percaya kepada manusia, persetankan'

Mungkin sudah capai satu tahap aku perlu bersalin, memberanakkan sebanyak mana emosi yang terbeku.

Oh tak mungkin sebab itu bukan aku yang sebenar. Maka telah dijadikan manusia itu sebaik-baik kejadian jadi tak perlu kau percaya bahawa kau tidak bisa menghadapi sesuatu dugaan atau ujian. Telah direka ujian itu khas untuk manusia semampu mana dia bisa menyelesaikannya. Macam sistem imunisasi dalam tubuh badan kau. Seganas mana bendasing atau bakteria yang menceroboh masuk, ada pasukan tentera yang diciptakan khas untuk memberi perlindungan. Jikalau tidak bisa melawan, maka itu adalah takdir. Marah bukan jalan penyelesaian yang membuka ruang seluas-luas jalan tapi semakin luas jalan kau ke neraka. Bersabar adalah sesuatu yang kau tak boleh persetankan dan kau perlu percaya.

Jadi jangan berhenti mempercayai.

Jom dengar lagu ini untuk meneutralkan hati! Haha

Hati Manusia Percuma!


Kongsi. Aku kongsi makanan dengan kau macam kau berkongsi udara dengan aku. Kita semua berkongsi udara dan berkongsi wang kertas dan duit syiling. Tak percaya, cuba kau lihat kesan daki pada wang kertas dan duit syiling. Daki-daki itu datangnya daripada kau dan aku dan kita semua. Jadi mari kita berkongsi rasa pula.

Jangan lupa datang menonton persembahan Jerit! Jilid 1: Untukmu Palestin pada hujung minggu ini. Aku sangat-sangat menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung untuk program ini. Ya, sangat menghargai walaupun persembahan kemuncaknya belum lagi berlangsung. Datang pada malam 9 atau 10 April dan apa yang kami harapkan ialah penonton dapat membawa pulang hati manusia secara percuma!

Bersaki-baki


Terlalu banyak perkara yang mengubah diri semacam tanah liat yang diuli untuk dijelmakan dalam pelbagai bentuk. Mungkin tangan berurat arteri dan vena serta berotot ini adalah pengalaman dan pengetahuan yang lama dicari, diperoleh. Yang menentukan bentuk tanah liat itu akhirnya. Adalah bertepatan bahawa kita ini naik dan turun imannya. Jadi tidak salah dan tidak salah dan tidak salah. Manusia yang sentiasa bersaki-baki dengan kelemahan dan tidak pula berlebih-lebihan dengan kesempurnaan. Mari kita kurangkan saki-baki itu, macam kau makan tetapi tidak meninggalkan sebutir nasi pun di atas pinggan.

Mengadu Pada Gunung

Ingin sekali aku
Kembali mengadu pada gunung
Sebalik rimba berbunyi ritma
Puncaknya ku isi teriak
Biar hilang sampai pekak
Biar lari menuruni sampai berhenti
Oh sudah lama gemanya ku nanti
Aku dipeluk kabus sampai tenang
Dinginlah kini kaki berdiri
Waktu senja mentari lari.

Apabila Tetulang Osikel Aku Makin Sensitif Bergetar


Penangan Kingdom of Rebel #2 membuatkan tetulang osikel aku tak berhenti bergetar. Sekecil-kecil bunyi daun pintu tandas dibuka dan bunyi jiran sebelah berkumur-kumur pagi tadi, buat aku rasa menghargai setiap desibel bunyi di sekeliling. Baru aku tahu serba sedikit betapa indah dan cantiknya bunyi di sekeliling kita jikalau kita menghargai setiap bunyi yang dikurniakan-Nya. Ini adalah aku sebagai pengunjung pertama kali ke dalam dunia mereka.

Bukan sekadar bunyi kicauan burung, desiran angin, malah bunyi guruh, bunyi dengkuran, bunyi geseran tapak kasut dan banyak lagi bunyi yang tak dapat aku hitung, setiap daripada satunya dapat merangsang emosi, pastinya. Ertinya, bila dengar bunyi daun pintu dibuka, timbul perasaan sangsi iaitu sangsi siapa yang akan muncul, risau iaitu adakah sesuatu yang datang itu akan memomokkan kita? Wow! (jerit aku dalam hati) Kadang-kadang kita sendiri tidak perasan, bahawa bunyi sekeliling kita ini sebenarnya mempengaruhi emosi kita pada suatu masa dan ketika.

Menariknya, hasil gabungan bunyi-bunyian ini lah yang membentuk cerita atau kisah hidup kita dan juga perasaan kita setiap hari. Aku bayangkan, bunyi seperti melagukan kisah hidup kita setiap hari. Itu adalah apa yang aku dapat pada hari atau malam itu. Dalam dekat aku menghayati lagu mereka. Dalam dekat aku memahami mereka. Semoga dalam dekat ini semua bisa mendekati pencipta.

Terima kasih kepada Kamal Sabran dan Space Gambus Experiment (jikalau nasib baik terbaca entri ini) kerana sudi menjemput Tronoh Theatre Shop, dan kami, si pelakon bisu untuk menghilangkan kesan-kesan ruam dan gegata kami untuk berlakon kerana kami tak serik dengan ruam-ruam begitu, walaupun banyak sekalipun. Haha

(menamatkan entri ini sambil menghayati bunyi papan kekunci laptop ditekan-tekan)
jjhhhsndfllfo jenskjr rtu4nw93n9jfrpw03 kidkinjfu99900jjn
(sedang menaip dan cuba improvise buat muzik guna papan kekunci laptop)

Menerima Tanpa Meminta


Bulu-bulu pada sayap itu adalah sebahagian daripada aku. Untuk terbang, aku perlu kembangkan sayap. Lalu bulu-bulu itu menyisir lembut angin, membawa aku ke atas untuk kekal terbang. Sehelai bulu itu adalah seperti yang aku katakan, adalah sebahagian daripada diri aku. Setiap daripada satu adalah daya yang membawa aku terbang ke atas ruang udara yang tidak terkira luasnya, aku terkesima. Setiap pagi, dan setiap hari aku bertanyakan kepada diri sendiri. Adakah aku sudah cukup memiliki keupayaan ini? Sudah cukupkah bilangan bulu yang tumbuh pada sayapku ini? Sayap, sesuatu yang aku miliki dan ini adalah salah satu pemberian. Aku menerima tanpa meminta.

Semalam ibu telah mengajar aku untuk membersihkan diri, mengembangkan sayap tapi aku masih belum dapat apakah tujuan ibu yang sebenar. Aku penat dan tetulangku masih belum cukup kuat. Tendon dan sarafku masih muda bekerja. Ya aku masih muda untuk itu.

Melihat ibu terbang jauh membawa pulang sesuatu. Itu adalah aku setiap kala senja. Tidak pula aku mempersoalkan kerana itu adalah kebiasaan. Nikmat menjamah rezeki yang ibu bawa pulang, buat mata hatiku terpadam.

Suatu senja, sinar Matahari di Timur terpancar tepat menembak mataku. Aku terbang dengan sendirinya ke atas sana. Apakah daya yang menujah aku ke atas? Soal dalam hatiku. Ibu memandang aku seperti menunggu, termangu.


Tarikh Pemulangan


Bersama kekecewaan aku bawakan daripada dua hari yang semalam dan tahun lepas barangkali. Mungkin sebab tertentu sahabat boleh dipercayai maka aku tidak pernah berbasa-basi ambil kira apa-apa. Maka telah disajikan aku dengan beberapa bentuk permasalahan. Kisah pertama itu, adalah pinjaman kerana tanda kasih dan keprihatinan. Aku berikanlah segantang agar dia bisa menjadi apa diidamkan. Berlatar-belakangkan keupayaan itu dapatlah agar memenuhinya. Dapatlah aku tersenyum lalu membuat orang lain tersenyum. Namun aku diingatkan apabila berbuat begitu, terbalas itu bukanlah apa yang diharap segunung harga. Di dalam seluk seluar pun tiadalah apa-apa selain bisa menakung sedikit pemberian. Maka dengan itulah harus dipegang. Kekecewaan yang ku bawa itu tak usahlah. Gendang yang dipalu, gemanya itu hanya sementara, tidak kedengaran di kejauhan. Begitulah harusnya seorang manusia, memaafkan kesilapan orang lain kerana sekuat mana dipalu-palu kesalahan itu, akhirnya kemaafan juga yang dapat meredakan lalu tenang. Bertautkan kematangan akal fikiran, beradulah penyelesaian daripada beradu pertengkaran.

Pengajaran bagi kemanusiaan. Kerana hari ini telah banyak kesyahidan dan bukti kewujudan. Telah banyak juga barang pinjaman yang harus dipulangkan. Nikmat kehidupan, hikmah keislaman. Bezanya, tiadalah tarikh pemulangan yang kita sedia tahu, diberitahu. Ini lebih penting daripada pertengkaran dan marilah bermaafan.

Aku Biarkan Ranting Itu Tidak Berbunga


Kembali daun-daun sekecil ruas kelingking itu luruh
Aku biarkan ranting itu tidak berbunga
Sama ada Qada' dan Qadarnya
Biar dibaja tuk berbunga
Tidak peduli biar saja

Namun tiada ranting tiadalah bunga
Si ranting muda yang menatang bunga mekar
Debunga janganlah kau terbang sebelum sempat
Sebelum dapat ku rasa manis
Buah fikirannya.

Kisah Tentera Jepun Berbasikal


Teringat kisah di asrama dulu. Waktu umur aku masih belasan tahun dan kumis serta janggutku tidak lagi selebat setakat hari ini.

Waktu di asrama dulu, Warden Aspura (Asrama Lelaki) di sekolah aku, menggunakan taktik berbasikal untuk tidak meninggalkan sebarang kesan bunyi tapak kaki. Taktik ini sangat berkesan dilakukan pada waktu 'Light Off' atau waktu tutup lampu yang biasanya berkuatkuasa pada jam 11 malam. Jarang sekali warden asrama di sekolah-sekolah berasrama menggunakan taktik ini kerana biasanya motor adalah pilihan utama warden kerana malas tidak memerlukan tenaga yang banyak.

Namun begitu, taktik berbasikal ini sangat berkesan untuk memberikan saguhati rotan kepada pelajar-pelajar terpilih. Taktik ini dimodifikasi dengan taktik penyamaran di belakang bangunan penjana elektrik. Ketika itu bilik aku adalah markas pasukan Navigator atau pemerhati. Lengkap dengan dua mata kurniaan Illahi dan sepasang penyerap bunyi lengkap di kiri dan kanan bahagian muka. Mungkin nasib baik bagi kami yang bereempat ini kerana mendiami bilik yang serba cantik ini atau Bilik Line Clear. Maka jaranglah betis kami dijilat rotan Warden.

Bila dapat tahu Warden berbasikal menghampiri kubu kami, si polan pun menyampaikan maklumat menggunakan kod morse (ketuk dinding kuat-kuat). Kemudian berturutanlah sampai ke dinding bilik yang hujung. Ada juga yang asyik memasang 'ubat nyamuk' di tandas terus melompat masuk ke bilik entah siapa-siapa secara rawak.

Tertawa kecil aku bila Warden cuba buat serang hendap. Kami tutup mata rapat-rapat dan untuk tampak lebih realistik, kami berdengkur sedikit. Bila keadaan tenang, kubu kami semula hidup dengan masing-masing sibuk menghabiskan tugas masing-masing. Terang-benderang semula kubu kami seolah-olah ada kenduri. Ada yang sibuk menyambung cerita bodoh dan lucu tadi, ada yang menyambung menyental pakaian dan sambung pasang 'ubat nyamuk'.

Jadi begitulah sehari-hari kehidupan di sini. Tengah malam kami sangat terisi dan terpaksa menghadapi serangan tentera Jepun berbasikal. Jarang sekali malam kami sunyi.

Dalam kehidupan ini, mungkin taktik tentera Jepun ini boleh digunakan untuk memperbaiki diri sendiri maksudnya kemajuan atau perubahan. Bila hendak menyerang tabiat buruk, hendaklah berbasikal perlahan-lahan tanpa meninggalkan bunyi maksimum. Kayuhan pertama, eloklah dimulakan dengan Bismillah, kayuhan kedua disertai dengan nawaitu dan kayuhan seterusnya perlulah lurus sehingga menuju ke destinasi yang kita tujui. Destinasi yang ingin diserang.




Buang


Hendak sahaja aku buangkan kerisauan ini seperti aku buang plastik air nescafe ais tadi. Aku fikir aku perlu tamatkan dan habiskan atau lengkapkan tugas ini sehabis baik kerana esok bakal menyusul tugas yang seterusnya. Saat-saat sukar sebegini macam cabaran mendaki puncak Everest pun aku tetap harus kuatkan diri.

Seperkara yang timbul dalam perbualan dengan rakan-rakan tadi ialah bagaimana rasanya lembu dicucuk hidung dan begitulah kami di universiti ini. Disuruh itu dan ini supaya jadi begini dan begitu. Contohnya, wajib hafal fakta ini untuk mendapat 100% markah, daripada wajib memahami fakta ini untuk mendapat 100% penghayatan. Betul ke? Kalau setuju, angkat tangan macam saya (gaya pergelangan tangan berpusing-pusing) [1]

[1] Mamat Khalid, Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010), HKLBR, Tayangan Unggul Sdn Bhd.

Baiklah aku sudah terpengaruh dengan tatacara menulis rujukan, kerana asyik menulis laporan ini. Semacam penat membuat alasan macam itu dan macam ini. Jadi apa kata pelajar sendiri (termasuk aku) mula menghargai ilmu. Macam mana? Perlukan penghayatan. Contohnya kau belajar macam mana nak berjalan dulu. Kemudian kau variasikan cara berjalan. Kau guna kebolehan berjalan untuk berlari dan seterusnya melompat. Setelah berjalan, kau boleh pula memanjat dan seterusnya sehinggalah sampai waktu nanti kau tidak lagi bisa berjalan. Macam ilmu yang dimiliki manusia iaitu terbatas dan tidak tercapai 7 lautan dakwat.

Aku cakap macam ini sebab nak memotivasikan diri sendiri dan orang lain Insya-Allah sebab memang kuat bebenor cabaran orang nak mencari ilmu sama seperti berperang. Konsepnya, jangan sampai otak-otak kita ini dimakan oleh Zombie macam orang yang masih tidak berfikiran terbuka. Seperkara lagi, jangan biarkan emosi dan ego menjadi pemandu kepada tindakan atau percakapan kita, kerana takut terbabas. Boleh tak jangan merasa diri terlalu hebat untuk dibandingkan dengan orang lain? Kerana kita semua sama daripada tanah, di mana di situ juga lah kaki kita berpijak. Bila dah bertambah umur ini, barulah aku dapat alami perkara sebegini dalam skala besar. Semoga dijauhkan.



Tergambar dan Aku Tersenyum


Aku memang tak serik dengannya. Kalau sekarang aku mengeluh sendirian penat menguruskan itu dan ini dan agak jenuh, tetapi tangan aku dan kaki malah otak aku berjalan dan masih melakukan pekerjaan ke arah itu. Oh tidak! Betul-betul kontradik.

Aku boleh simpulkan aku memang tak serik. Serik yang memaniskan. Bila tergigit lidah, darah itu manis aku rasa. Memang begitu rasa darah itu, bagi aku. Maka aku fikir biarkanlah 'darah itu' mengalir dalam tubuh ini selagi aku masih bertenaga dan betul-betul menghayati 'rasa'nya.

Bila aku kosong, darah ini mengalir mengisi setiap lohong-lohong yang kosong. Menjadi sendi-sendi, mengajak aku menjadi diri sendiri. Malah aku tak bosan untuk menyatakan bahawa aku gembira berada di dalam kelompok ini dan mungkin aku tak akan tinggalkan jikalau tiada aral melintang terbongkang. Maaf jika aku tidak cukup berguna tetapi aku masih menggunakan sudut dan posisi aku yang terbaik. Itu tanda aku tidak serik.

Tergambar dan aku tersenyum.


Minta Maaf Kepada Semut


Semut itu yang dulu pernah menggigit aku, barangkali sedang sibuk mencari makanan di celah-celah retakan lantai mar-mar. Aku perhatikan dan sesungut mereka yang menggelincat agak menggelikan. Ketika itu sedang aku termenung berseorangan dan semut-semut itu menjadi subjek tumpuan secara tidak semena-mena. Kalaulah manusia mempunyai asset organ sebegitu.

Dalam keramaian warga semut itu, aku sebenarnya tak pasti, semut yang mana pernah menggigit aku sehingga lebam-lebam epidermis aku dibuatnya. Kegatalannya membuatkan aku rasa ingin menyumpah, melaknat, mencacinya tetapi dia adalah seekor semut. Semut yang binatang!

Pernah juga aku amati setiap satu daripada mereka. Berada dalam satu barisan yang lurus, seolah-olah seperti tentera bersesungut. Yang aku tahu, mereka sedang mencari makanan. Mereka bukan seperti manusia, pergi ke pasar membeli barang basah untuk dijadikan lauk. Semua sudah tersedia tetapi memerlukan usaha. Ini kerana manusia mempunyai akal bicara untuk memikirkan yang terbaik untuk mereka atau memikirkan lauk yang terbaik untuk mereka. Manusia memang selalu tidak berasa puas.

Semut. Lucunya, wajah mereka serupa. Memang begitu trait DNA binatang ini seperti yang direka, berlainan dengan manusia yang mempunyai trait yang bervariasi. Hasil rekaan yang paling unik. Berabdomen dan mempunyai dua pinggang yang ramping nampaknya. Auwwww. Tertawa kecil. Punggung mereka yang besar itu pasti sarat dengan hasil mencari rezeki seharian. Aku pula terpaksa mengakui itu sesuatu yang boleh dibanggakan. Ya sama seperti manusia, perlu bekerja seharian untuk rezeki seharian dan rezeki untuk selama-lamanya. Tetapi aku masih hendak mencari semut yang pernah menggigit aku dulu!

Apakah dosa membunuh semut? Bila difikirkan balik, aku menyesal kerana telah menyembur air paip kepada mereka lantas melemaskan mereka. Air itu seperti bah mengalirkan mereka terus masuk ke lubang perparitan yang dalam sedalam jurang Mariana. Aku hanya ingin membalas dendam gigitan semut. Tidak ada niat lain.

Apakah dosa membunuh semut? Semut telah banyak berjasa kepada dunia. Mereka membina sebuah sistem yang paling penting di atas muka Bumi dan di dalam perut Bumi. Sarang mereka menjadi rongga-rongga pernafasan Bumi. Menyalurkan sumber air dan mineral kepada tumbuhan. Membenarkan akar-akar pokok menjalar menyokong Bumi. Manusia, minta maaf kepada semut.

Semut, aku minta maaf. Sesuatu yang menyakitkan, bisa gigitan semut. Bisa gigitan semut adalah hanya ujian di dunia. Bisa gigitan itu bisa membawa amarah, sebagai salah satu bentuk nafsu paling tinggi yang perlu dijauhi. Semut pembawa bisa gigitan sentiasa mendampingi manusia untuk menggigit manusia. Semut adalah sama seperti manusia tetapi yang berbeza adalah akal. Semut juga sebenarnya adalah keindahan yang membisakan. Tetapi terima kasih kepada semut kerana menggigit manusia.

Kampung


Sedang menghirup mee sup warong Pattani di Balok dan aku terdengar sorakkan kuat penyokong pasukan harimau Malaya. Vietnam dan Malaya berperang dalam konsep ini memang nampak pelik sebab nampak pemain-pemain rasa tak puas hati. Kemudian semua orang yang sedang bersorak tadi menumpukan biji bola mata mereka ke arah sesuatu. Kelihatan seorang pakcik berbangsa India dan anaknya seperti Aishwara Rai barangkali, menyusul masuk ke warong Pattani itu. Tak sudah-sudah abang-abang di meja hadapan aku ini tergelak kecil seperti mentertawakan sesuatu.

Bagi aku, tak pelik pun kalau ada pengunjung warong itu berbangsa India masuk untuk buat pesanan makanan. Kau tahu tak Malaysia ini berbilang kaum?

Kemudian pasangan ayah dan anak itu duduk di meja sebelah aku dan memberi pesanan. Si ayah mungkin perasan gelak kecil abang-abang di meja hadapan aku ini. Kemudian anaknya yang macam Aishwara Rai tadi memanggil semula tauke kedai tadi. 10 minit selepas itu, 4 bungkusan plastik tiba di meja mereka. Kemudian mereka berlalu pergi dengan kadar segera.

Sedihnya apabila ada juga masyarakat yang tidak berfikiran terbuka lagi. Masih terkuncup payung fikiran dan takut-takut berkarat tetulang rangkanya. Jual kedai besi buruk pun tak laku. Malangnya tabiat suka stereotaip ini bukan sahaja membangkitkan nilai-nilai rasist dalam masyarakat, malah bangsa sendiri pun turut terpalit. Alamak berbunyi Namewee pula hehe. Semangat kenegerian yang terlalu tinggi contohnya, bakal merosakkan bangsa sendiri. Bangsa apa? Bangsa Malaysia lah (kononnya).

Kalau dicampakkan sebilangan daripada mereka ini di negara Russia, New Zealand, Pakistan, India Selatan umpamanya mungkin itu akan membuatkan mereka mula membuka pemikiran yang masih kekampungan itu. Jangan bangga sangat dengan hak ketuanan itu. Buktikan. Eh, aku pun orang kampung juga, Kampung Melayu hehehehehe.

Walaubagaimanapun, 3-0 Tahniah!

Teknik Rendaman Yang Terbaik Setakat Ini


Baru sahaja selesai merendam beberapa helai baju kotor bersama sabun Fab Total. Baju yang sebanyak ini aku fikirkan bilakan dapat aku basuh nanti? Hehe. Baru pulang dari Mersing dan seperti biasalah kondisi baju-baju kotor yang perlu dibasuh memberatkan tulang aku untuk menbasuhnya. Maka, teknik rendaman adalah terbaik setakat ini.

Mungkin helaian baju yang berlonggok ini tak dapatlah nak disamakan dengan kuantiti kenangan di Mersing tempoh hari. Bila dapat jumpa sahabat lama, episod hari tersebut adalah luar daripada kebiasaan. Tambahan lagi, lensa kamera aku berjaya merakamkan gambaran-gambaran subjek kenangan di Mersing dahulu, sejak pertama kali aku kenal Mersing. Termasuklah papan tanda Mersing yang sebiji seperti papan Hollywood itu, bas ting tong Omnibus Mersing dan keropok lekor dengan jeti-jeti boat yang sudah macam Pulau Caribbean.

Banyak juga subjek yang sudah berubah. Bangunan kedai yang baru, dan sebagainya. Tempoh dua tahun merayap di Mersing banyak mengubah cara hidup. Berjaga sampai 3 pagi sudah biasa di asrama ketika itu. Paling mengingatkan ialah kenangan-kenangan manis yang banyak ketika itu. Banyak jika hendak diceritakan. Takut terlalu teruja bercerita.

Apa yang penting, pertemuan yang sekejap tempoh hari, mengisi petak-petak kenangan lagi. Masing-masing sudah berfikiran terbuka dan itu adalah kuncinya. Mengharapkan ramai lagi yang akan turut serta untuk akan datang. Oh jangan lupa jemput anak bini sekali insyaallah. Lihat saja 'wallpaper desktop' yang aku 'print screen' ini. Sawah padi mersing dan terima kasih semua yang melibatkan diri dan menyibukkan diri untuk ini.


Oh mungkin bukan teknik rendaman yang terbaik setakat ini, takut kenangan-kenangannya luntur nanti. Aku segera basuh supaya cuma kotorannya sahaja luntur bukan pigmen kenangannya.

Hatiku Kau Garis Luka


Lalala lalla lallalla... Lalala lalla lallalla... (ambil intro lagu Sweet September, Hatiku Kau Garis Luka)

Lagu ini menemani aku malam ini. Sedikit menyebalkan bila kerja nampak macam banyak tidak selesai. Aku masih belum mula. Sibuk mendapatkan mood. Perlu siapkan sebelum Hatiku Kau (Yakni kerja-kerja) Garis Luka.

Bau Hijrah


Bau minyak wangi sebenarnya memberikan inspirasi kepada seseorang. Tadi aku cium bau minyak kiriman seseorang dari Jeddah-Saudi Arabia. Ternyata baunya menenangkan, buat hati sedikit sayup. Menjawab beberapa persoalan dan terus menerus merangsang bau. Bahagian atas rongga hidung terdapat Olfactory Epithelium yang dapat memberikan daya cipta imaginasi terhadap sesuatu yang dicium. Menarik bagaimana beratus-ratus jenis molekul bau di dalam udara boleh dirangsang oleh reseptor khas dan membeza-bezakan bau yang kita hidu. Seolah-olah macam mesin duit syiling CIMB. Duit 10 sen, 50 sen dan sebagainya dapat diasingkan dan terus rekod berapa nilainya. Tapi tak dapat nak menentukan nilai bau yang kita hidu. Terlalu halus dan teliti ciptaan-Nya. Malah siap dengan nilai estetikanya. Yang mancung, yang kembang, yang tirus, yang macam jambu tetapi manis. Haha. Bau yang tadi masih merangsang Olfactory Epithelium aku dan aku sedang membayangkan sesuatu. Selamat menyambut Maal Hijrah.

Baju Ternoda


Baju kemeja aku ternoda dengan pigmen warna cokelat datang daripada mana aku tak tahu. Kalau ada mesin basuh baju kan semudah ABC dan aku tak perlu rendam baju lama-lama sampai rosak baju kegemaran aku.

Aku cuba sental dengan kudrat tulang empat kerat, namun gagal. Kemudian aku gunakan ilmu tindakan sabun sewaktu tingkatan lima dulu. Bila hidrofilik dan hidrofobik, air panas, sabun dan sebagainya. Baru aku tahu ilmu sangat penting sebenarnya.

Rojak Punya Cerita


Sekian lama aku memendam rasa untuk kembali menulis di dalam, apa-nama, laman web percuma (blog). Tak tahu apa yang membataskan hujung jari-jemari aku untuk menganggu dilelektrik papan kekunci, selaras dengan perkataan-perkataan yang terbit dalam kotak minda aku ini. Mungkin kesibukan menyiapkan tugasan penyelia praktikal dan projek yang macam banyak. Kosentrasi aku sekarang adalah untuk menggunakan masa di pejabat sepenuhnya. Maksudnya bila balik kerja sampai rumah, goyang kaki sahaja dan besarkan perut sahaja. Tapi konsep ini aku nampak macam orang tak ada produktiviti. Tapi aku selesa hehe. Jangan tiru aku. Sebab bila difikirkan balik, takut terbawa-bawa sampai tiba masanya kita betul-betul bekerjaya. Bila kerja di pejabat dibawa balik rumah, hilang keseimbangan. Memahami Golden Ratio sedikit.

Aku nak kasi rojak ini punya cerita untuk entri kali ini sebab rasa banyak untuk diceritakan.

Tadi aku ke warong Thai nama apa entah. Nampak budak kecil sedang menyusun robot dan ultramannya di atas lantai. Kemudian dia berbasikal roda tiga mengelilingi kawasan meja di mana pelanggan lain sedang makan. Budak kecil ini aku nampak cukup matang dengan gaya mengelap basikal roda tiganya macam motosikal aku tengok. Kemudian buat gaya sedang parking motosikal. Basikal roda tiga macam dalam cerita Saw. Telatahnya nampak matang, walaupun nampak ketinggiannya macam baru berumur tiga tahun jagung. Mungkin manusia perlu memikirkan sebegitu. Luaran tidak penting. Perihal dalaman yang membina tindakan itu penting yang mematangkan kau. Macam kau goreng pisang tanduk, tanduknya tak terlihat tapi boleh dapat rasakan pisang tanduk itu tetambat di hati si pemakan bila digoreng dengan baik sekali dan cukup masak. Tidak terlebih masak atau mentah. Betul tak?

Perjalanan hujung minggu yang lalu di negeri pulau bermutiara sangat mengangumkan, bila konsep survival atau main redah sahaja sangat berkesan. Perjalanan ke Teluk Bahang dan Batu Feringgi sangat menarik jalannya yang bengkang-bengkok dan simpang 180 darjah cukup menambah trill kepada para penumpang, tetapi tidak kepada pemandu aku rasa. Selain berjalan di dalam ruangan berudara sejuk di Queensbay Mall, Prangin Mall dan sebagainya, banyak juga tempat yang dekat dengan alam sekitar di Pulau Pinang ini. Memang boleh nampak ia bermutiara. Air terjun Titi Kerawang yang sekecil itu cukup dapat menyegarkan badan. Air Terjun di Teluk Bahang pun lebih kurang macam kolam renang. Tapi ada laluan trek hutan yang menarik kalau sudah bosan dengan kebisingan kota. Ayat nak macam mempromosikan eco-tourism. Empangan Air Hitam amatlah sesuai bagi sesiapa yang nak bergambar dengan kecantikan alam untuk nampak cantik dalam gambar. Batu Feringgi sesuai untuk mandi dan acara macam Para-gliding tapi kami tak sempat nak turut serta. Kalau ditambah dengan berkhemah tanpa khemah dengan hidangan BBQ mungkin tambah baik bermalam di situ.

Puas untuk hari pertama dan hari keduanya berjalan dengan ringan-ringan di sekitar pulau, Jalan Penang, melihat bangunan lama-lama pastinya buat penggemar fotografi rasa gatal nak memicit butang untuk tangkap gambar. Oh tak lupa singgah untuk makan ikan bakar dan sotong bakar, ikan siakap tiga rasa yang memang murah. Sampai ada yang tambah ikan bakar double!

Melihatkan pakcik dan makcik yang nampak berusia di sekitar Fort Cornwallis memperlihatkan mereka masih mengekalkan budaya bermesra. Pastinya mereka yang sudah berkaca mata dan berkedut muka ini fasih berbahasa Inggeris. Memang surat khabar The Star berterabur. Menariklah.

Sedikit sebanyak dapatlah menambah pengalaman dan pemahaman untuk beberapa kali berada di Penang. Paling penting dapat berkumpul dengan sahabat lama-tak-jumpa. Hujung minggu yang bermakna lagi. Dan aku masih mencari hari-hari bermakna.
Semoga selepas beberapa bulan lebih lagi ini, sebelum aku tamatkan praktikal di Gebeng ini, aku dapat menambah lagi pengalaman dan mengubah diri sesuai dengan kelompok masyarakat di mana sahaja dan aku harapkan untuk rakan-rakan lain juga. Kalau sudah fikir itu cara kita, teruskan! Jika kau kaki rayap, teruskan merayap.

Untuk masa ini, aku sekadar nak berkongsi lagu klasik yang satu ini. Bila aku dengar dapat mengujakan motivasi aku dan aku harap orang lain pun dapat rasa yang sama. Rasa muda dan teruja!